lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Terengganu Benarkan Solat Di Masjid Ikut Kapasiti
Terengganu Benarkan Solat Di Masjid Ikut Kapasiti
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) berkenan mengumumkan bahawa solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di rumah ibadah di negeri berkenaan dibenarkan mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau. Memahami keperluan dan hasrat umat Islam untuk mengerjakan ibadah tersebut, MAIDAM setelah mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, kapasiti jemaah dibenarkan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa. Menurut Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, turut digariskan beberapa SOP iaitu pemasangan penghawa dingin tidak dibenarkan sepanjang ibadah solat sedang berjalan. Manakala, para jemaah yang hadir pula diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid. "Selain itu, jawatankuasa masjid juga bertanggungjawab melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas sebanyak tiga kali seminggu. "Sekiranya SOP tidak dipatuhi, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu berhak mengambil tindakan dengan menutup masjid dan surau berkenaan," jelasnya dalam kenyataan itu. Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut turut menyatakan, sebarang kuliah harian, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid masih tidak dibenarkan.      
08 Feb 21
1535
KAFA d'Hijrah Satu Anjakan Dalam Pendidikan
KAFA d'Hijrah Satu Anjakan Dalam Pendidikan
KUALA LUMPUR, 31 Januari -  Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) yang akan bermula pada bulan Februari ini di TV Al-Hijrah menjadi satu anjakan dalam dunia pendidikan buat rakyat di Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia merupakan satu sejarah kepada siaran televisyen berkenaan bahkan kepada perkembangan pendidikan Islam di negara ini. "Ini juga satu anjakan dalam tadbir urus Hal Ehwal Islam di Malaysia. Saya mahu pastikan apa yang disiarkan nanti adalah yang terbaik untuk anak-anak kita dan seisi keluarga," ujar beliau melalaui Facebook rasminya, semalam. Dr Zulkifli berkata rancangan berkenaan akan dimulakan dengan kelas al-Qur'an pada jam 4.30 petang dan siaran ulangan pada 6.30 petang dan 11.30 pagi keesokan harinya. Menurut beliau, seluruh rakyat Malaysia boleh mengikuti rancangan tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan di TV Al-Hijrah bermula dengan kelas mengenali huruf hijaiyah khusus untuk pelajar tahun satu. "Tahun 2 Surah An -Nas 2 Februari (Selasa),Tahun 3 Surah al-Baqarah ayat 1 sehingga 5 pada 3 Februari, Tahun 4 Surah Yusuf ayat 53-58 pada 4 Februari 2021 hari Khamis, (untuk) tahun 5 surah Al-mu'minun pada 5 Februari, Jumaat dan untuk Tahun 6 Surah Az-Zumur ayat 46-48 pada 6 Februari," ujarnya. Terdahulu katanya, rancangan itu dicetuskan kerana mengambil maklum mengenai kerisauan ibu bapa di negara ini terhadap pembelajaran pendidikan KAFA anak-anak mereka. Justeru katanya melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dibawah tanggungjawab beliau selaku Menteri Agama mengambil insiatif bagi memperkenalkan slot pendidikan berkenaan pada setiap hari melalui rancangan TV tersebut. "Pendidikan keagamaan dan nilai murni kepada anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami.  "TV Al-Hijrah di zaman saya adalah TV pendidikan, tarbiah, hiburan Islami dan ilmiah untuk seisi keluarga," ujarnya.
31 Jan 21
548
PKP : Terengganu Benar Solat Jumaat, Solat Fardu Berjemaah
PKP : Terengganu Benar Solat Jumaat, Solat Fardu Berjemaah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dibenar didirikan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang. “Iaitu daripada kalangan anak mukim tidak termasuk lmam, Bilal, Ahli Jawatankuasa Masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan. “Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi. Sementara itu, Osman turut memaklumkan, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh dan kuliah dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. “Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa supaya perlaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dapat berjalan dengan baik. “Jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP berkaitan dan arahan yang ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” jelasnya. Katanya lagi, semua Pegawai Agama Daerah diarahkan untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan. “Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” tambah beliau.
20 Jan 21
16021
Operasi Besar-Besaran Kurangkan Aktiviti Maksiat
Operasi Besar-Besaran Kurangkan Aktiviti Maksiat
MARANG, 2 Januari - Kesalahan jenayah syariah di daerah ini telah mencatatkan pengurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya terutamanya pada malam ambang tahun baharu berikutan operasi pencegahan yang kerap dijalankan. Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lokasi panas yang menjadi tempat pelaku melempiaskan nafsu memperlihatkan perubahan dan tiada tangkapan dibuat. Katanya, ia terbukti dalam satu operasi cegahan 'Sifar Maksiat' oleh Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang, dan Sukarelawan Syariah ke hotel-hotel, chalet, dan rumah tumpangan. "Dalam serbuan kali ini, hanya satu pasangan yang bukan berasal dari daerah ini, berusia lingkungan awal 20-an dicekup di sebuah hotel kira-kira jam awal 3.00 pagi. "Pasangan tersebut akan didakwa di bawah kesalahan seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 sekiranya sabit kesalahan," katanya selepas operasi. Menurutnya lagi, pada tahun ini Skuad Amar dan agensi terbabit akan terus memberi didikan dan kesedaran berkaitan syariat agama kepada masyarakat sekeliling. "Sebelum operasi ini dijalankan, kita telah membuat hebahan awal dan sebaran berkenaan pencegahan aktiviti maksiat serta akan melakukan operasi secara besar-besaran. "Satu 'banner berkenaan operasi mencegah maksiat juga telah dipasang di empat buah lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Alur Limbat dan Bukit Payong. "Ini adalah bagi mencegah daripada perkara tidak bermoral berlaku malah membuatkan mereka merasa gerun untuk melakukan kesalahan," tambahnya. Operasi yang bermula seawal jam 12.00 tengah malam berakhir sekitar jam 4.00 pagi disertai oleh lebih 60 orang yang terdiri daripada Ahli Skuad Amar, Sukarelawan Syariah dan Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang.
02 Jan 21
1777
'Street Dakwah' Ambang Tahun Baharu Didik Golongan Muda
'Street Dakwah' Ambang Tahun Baharu Didik Golongan Muda
KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Dakwah jalanan sempena ambang tahun baharu 2021 yang diadakan serentak di seluruh Terengganu berjaya mendidik anak muda tentang Islam dan gejala sosial. Bagi daerah ini, aktiviti yang diketuai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu menyasarkan kawasan-kawasan tertentu yang menjadi tumpuan belia seperti Sekolah Ladang, Drawbrige, Pasarnita, Dataran Astaka dan berakhir di Persisiran Payang. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengedarkan empat risalah antaranya menyentuh berkenaan seruan masyarakat untuk cakna tentang aurat.  "Kedua, risalah mengenai bahaya dadah agar warga belia jauhi najis dadah dan meningkatkan kesedaran tentang kesan merbahayanya kepada keluarga. "'Ayuh tolak maksiat', menceritakan kesan buruk aktiviti tersebut dan pendedahan buat orang muda sekeliling.  "Keempat mengenai solat iaitu tonggak sebuah negeri, jika rakyat menjaga sembahyangnya sudah tentu negeri kita kekal aman," katanya ketika ditemui semasa program itu. Hadir sama, Pengarah Akademi DUAT, Ramlan Mahmood dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak. Turut terlibat rakan strategi, Skuad Amar Maaruf Kuala Terengganu, Azhar Care, Amerah Terengganu, PESAT &  Alternative Riding Club (TARC), Pemuda Pas Kuala Terengganu dan Jabatan Amal. Untuk rekod, Akademi Duat Turut melancarkan program Street Dakwah Ambang Tahun Baru 2021 dan Aktiviti Dakwah di peringkat Dun seperti forum dan bicara Daie sempena ambang tahun baru secara serentak di seluruh Negeri bermula 28 hingga 31 Dis 2021.  Turut dilaksanakan majlis solat hajat dan doa menyambut tahun baru 2021.
02 Jan 21
1093
DUAT Turun Padang Santuni Masyarakat
DUAT Turun Padang Santuni Masyarakat
SETIU, 30 Disember - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) turun padang menyantuni masyarakat dengan mengedarkan risalah berbentuk nasihat di Pasar Tani Bandar Permaisuri di sini hari ini. Penolong Pegawai Seranta DUAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Mohd Zulkifle Abd Halim berkata, program edaran risalah itu adalah sebahagian tugasan pihaknya menyampaikan dakwah kepada masyarakat. "Risalah yang berbentuk nasihat seperti penyalahgunaan dadah, penjagaan aurat, hidup berjiran dan menjauhi maksiat ini adalah dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri yang mana menjadi 'tuan rumah'," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman. Katanya lagi, edaran risalah yang dijalankan itu menjadi salah satu jalan dalam mendidik masyarakat supaya sentiasa mengamalkan cara hidup berlandaskan hukum Islam. "Rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik dengan menerima risalah dan mengucapkan terima kasih," tambah beliau.
30 Dec 20
863
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
Skuad Amar Lancar Operasi Cegahan Maksiat Malam Tahun Baru
MARANG, 29 Disember -Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar)  memberi amaran sekeras- sekerasnya agar menghentikan segera aktiviti  tidak bermoral, terutama ketika menjelang tahun baru tidak lama lagi. Operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda. Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, sebaran meluas secara maya telah dibuat sebagai amaran bagi membendung dan menyahut ke arah seruan sifat maksiat di Terengganu. Katanya, operasi kali ini lebih kepada pencegahan awal, oleh sebab itu, hebahan berkaitan operasi telah dibuat awal melalui media massa, poster dan menggantung 'banner'. "Skuad Amar akan melakukan dua sesi, iaitu sesi pertama adalah membuat tinjauan di kawasan tumpuan seperti pusat peranginan, pantai, bermula lewat petang manakala sesi kedua pula akan melibatkan serbuan di hotel, chalet dan rumah tumpangan pada lewat malam, "katanya. Menurutnya ketika ditemubual wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, beberapa keping banner juga akan mula digantung pada keesokan hari di beberapa lokasi tertentu di sekitar daerah ini. "Skuad Amar juga mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada bahagian Penguatkuasaan Syariah daripada Pejabat Agama Daerah Marang. "Kita mengharapkan masyarakat bersama-sama dengan kita dalam mendidik generasi muda atau remaja terutamanya anak-anak kita, agar menjaga batas pergaulan dan tatacara berhibur mengikut ajaran dan syarikat islam. "Menjelang tahun baru, satu operasi akan diadakan secara besar-besaran di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi melibatkan generasi muda,"katanya.  
29 Dec 20
2256
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
Klinik Al-Fatihah, Tahsin Azan Bakal Lahir Imam Muda
MARANG, 29 Disember - Klinik Al-Fatihah dan Tahsin Azan bakal melahirkan golongan pelapis kepada imam dan bilal di kalangan generasi muda. Pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata 'Program Minggu Bersama Daie', ini telah diadakan bagi memperelokkan bacaan al-fatihah dan azan. "Harapan besar bagi penganjur adalah melatih masyarakat tempatan supaya lebih yakin untuk menjadi iman dan bilal di kampung masing-masing. Katanya, idea bagi menganjurkan program seperti ini sesuai dengan keperluan generasi baharu yang perlu diangkat untuk mengalas tanggungjawab iman dan bilal. "Sekiranya mendapat sambutan dan program ini berjaya, kita akan melakukannya secara berkala dan berperingkat di setiap kampung masing-masing. Beliau berkata ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini. Menurutnya lagi, di samping melahirkan keyakinan sebagai imam dan bilal, adalah menjadi satu tuntutan dalam agama memperbetulkan bacaan dalam solat. "Lebih-lebih lagi, bila memimpin masyarakat sebagai imam solat atau melaungkan azan untuk menyeru umat islam untuk melaksanakan solat," tambahnya. Program anjuran DUAT Dun Rhu Rendang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ini diadakan selama lima hari di surau Medan Rhu, Rhu Renggeh bermula 27 sehingga 31 Disember.  
29 Dec 20
676
Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Dibenar Berjalan Semula
Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Dibenar Berjalan Semula
KUALA TERENGGANU, 24 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berjalan di masjid dan surau di negeri ini berkuatkusa serta merta. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu adalah selaras dengan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Terengganu pada 21 November lalu. "Semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau dibenarkan serta merta. "Berkaitan had umur minima yang dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau diturunkan kepada 12 daripada 15 tahun sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Osman Muda. Menurutnya lagi, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki memastikan ahli Jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.   "Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengharapkan agar semua pihak termasuk rakyat jelata mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," tambah beliau.
24 Nov 20
1058
Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu
Sheikh Nuruddin Terkejut Dengan Sikap Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 November - Sheikh Nuruddin Al-Banjari terkejut dengan layanan kerajaan Terengganu terhadap golongan ulama yang bertandang dan berada di negeri itu. Pendakwah terkenal itu berkata, daripada beberapa negeri yang pernah dikunjunginya, beliau merasakan Terengganu mempunyai aura luar biasa. "Walaupun Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sakit, tetapi beliau tetap menjemput saya datang, mereka siapkan kami dua buah velfire, mereka memandu untuk kami dan kereta itu (bukan kereta kerajaan) memang mereka siapkan khusus untuk tetamu dan orang agama," katanya selepas bertandang ke Terengganu baru-baru ini. Menurutnya lagi, orang ramai boleh melihat keadaan tenang di Terengganu dan ia berpunca daripada sikap kerajaan yang memuliakan golongan agamawan serta ulama. "Saya juga dijemput kerajaan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk berbincang beberapa perkara bersama kumpulan kami. "Ikram dan takzim mereka kepada tetamu sangat ketara, prinsip dan asas ini insya-Allah tidak akan dipandang kosong oleh Allah SWT," jelasnya. Katanya lagi, beliau juga terkejut dengan sambutan masyarakat Terengganu terhadap kuliah-kuliah yang dianjurkan. "Sewaktu saya berkuliah di daerah-daerah dan masjid-masjid, bukan setakat mendapat sambutan, tetapi hubungan kami juga kami sangat mesra walaupun dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP)," tambah beliau.
15 Nov 20
10528