lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Optimis Program 'Bina Insan' Buah Hasil Lumayan
Optimis Program 'Bina Insan' Buah Hasil Lumayan
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu optimis program pembinaan insan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini mampu membuahkan hasil lumayan di masa hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, program yang disusun itu akan gagal sekiranya rakyat tidak mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. "Apa yang paling penting sekali saya harap agar rakyat Terengganu mengambil manfaat daripada ilmu yang disampaikan pada majlis-majlis ilmu, dan akhirnya rakyat beramal dengan ilmu yang ada seterusnya membuahkan 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghaffur', insya-Allah. "Hal ini kerana, impian besar kerajaan bukan sahaja negeri maju dalam apa jua bidang, tetapi yang besarnya adalah berkat daripada Allah SWT," ucap beliau dalam Majlis Perasmian Tausiyah Dhuha Daie bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari di Duyong Marina Resort, dekat sini baru-baru ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ridzuan Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor. Tambah Mohd Nor, pihaknya melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah menyusun pelbagai program dan aktiviti untuk membangun masyarakat bersama Islam di setiap kampung, mukim dan daerah "Kita membawa pendekatan dakwah yang pelbagai yang insya-Allah diterima pelbagai pihak," jelasnya. Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri seramai hampir 200 peserta itu menerima perkongsian ilmu secara langsung daripada Syeikh Nuruddin.
19 Mar 21
244
Sheikh Nuruddin Mulakan Jelajah Taalim Di Kemaman
Sheikh Nuruddin Mulakan Jelajah Taalim Di Kemaman
KEMAMAN, 19 Mac - Jelajah Taalim Murobbi Nusantara Negeri Terengganu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dimulakan di Kemaman, baru-baru ini. Hampir 700 orang telah hadir memenuhi ruang dalam program Bicara Israk Mikraj yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dapat mengadakan majlis ilmu yang sangat bermakna bersempena memperingati kisah Israk & Mikraj. "Semua orang yang beragama Islam sedang menyambut kedatangan Israk Mikraj, namun apa yang penting kisah dan pengajaran di sebalik kisah itu dapat kita jadikan iktibar dan yang baik perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian. "Sebagai contoh, kalaulah setiap hari kita dapat hadir beramai-ramai solat berjemaaah di masjid seperti sekarang ini, alangkah bahagianya hidup kita. 'Tetapi inilah antara perkara yang sangat jarang berlaku. Namun begitu, marilah kita berazam agar dapat sentiasa melaksanakan solat berjemaah di masjid seperti saranan kerajaan negeri yang mengadakan kempen "JOM! Solat Berjemaah," ujarnya dalam ucapan aluan program itu. Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu merupakan penganjur dalam program itu. Program itu turut mendapat kerjasama oleh Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) yang bertanggungjawab membawa Tuan Guru Sheikh Nuruddin dalam jelajah di negeri Terengganu pada kali ini.    
19 Mar 21
967
Orang Ramai Digesa Manfaatkan Kuliah Dalam Talian
Orang Ramai Digesa Manfaatkan Kuliah Dalam Talian
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Rakyat di negeri ini digesa memanfaatkan kuliah 'online' yang tumbuh bagaikan cendawan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang tersebut lebih-lebih lagi selepas kerajaan melancarkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS). “Akademi DUAT membawakan kuliah khas BPIS secara dalam talian selama 30 hari tanpa henti pada setiap jam 10.00 pagi sepanjang bulan Mac 2021 ini. “Sama-samalah kita memanfaatkan waktu dhuha dengan melayari laman rasmi Facebook Akademi DUAT,” katanya kepada pemberita, sejurus selesai Semarak Dakwah 2.0 di perkarangan Pasar Kedai Payang, di sini baru-baru ini. Dalam program tersebut, Ramlan bersama kakitangan DUAT yang lain turut memeriahkan program Semarak Dakwah tersebut yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Datuk Ahmad Amzad Hashim. Program Semarak Dakwah yang dianjurkan YADIM dengan kerjasama Akademi DUAT itu mensasarkan kira-kira 1,000 masyarakat sekitar Kuala Terengganu.
18 Mar 21
276
Akademi DUAT Bantu Rakyat Celik Kitab Jawi
Akademi DUAT Bantu Rakyat Celik Kitab Jawi
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Bagi memastikan tulisan jawi terus subur di negeri ini, pihak Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mengambil inisiatif melaksanakan pengajian kitab-kitab jawi. Pengarah Akademi DUAT, Ramlan Mahmood berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab untuk memperkenalkan kitab jawi selepas melihat orang ramai kembali sedar akan kepentingan tulisan terbabit. “Sememangnya Akademi DUAT menyambut hasrat kerajaan untuk memastikan pengajian kitab jawi terus hidup di segenap masyarakat seterusnya menyangkal stigma masyarakat bahawa kitab-kitab jawi ini hanya untuk pengajian di pondok-pondok sahaja. “Susulan itu, terbaharu kita telah menganjurkan program bedah kitab Kifayatul Muhtaj fi al-Israk wal mikraj, sebuah karya ulama nusantara yang terkenal iaitu Syeikh Daud Abdullah al-Fathani," katanya selepas ditemui media di ruang legar pejabat Akademi DUAT, dekat sini, semalam.  Ulas Ramlan lagi, antara pengajian yang telah dilaksanakan ialah pembelajaran kitab Kifayatul Muhtaj yang membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj. "Ia disampaikan khas Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek sebanyak lima siri," tambah beliau. Menurutnya, orang ramai boleh Ikuti rakaman pengajian kitab sebanyak 5 siri di pautan berikut : 1. https://fb.watch/4fY6kjv4JZ/ 2. https://fb.watch/4fY3E4CQe5/ 3. https://fb.watch/4fX_Qf2ax5/ 4. https://fb.watch/4fXXh_MPmt/ 5. https://fb.watch/4fXJrtek0j/
16 Mar 21
473
Mahu Lahirkan 'Pahlawan Subuh'
Mahu Lahirkan 'Pahlawan Subuh'
Oleh: Zul Jamal DUNGUN, 16 Mac - Bersempena dengan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, 'Pahlawan Subuh' merupakan antara program yang menggalakkan kanak-kanak ke masjid.  Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia adalah pengisian program bagi semarak dakwah yang akan bermula pada bulan Syaaban sehingga 15 Syawal. "Selain itu kita akan adakan kelas bagi membaiki bacaan dalam solat, juga akan kita adakan program 'Remaja Cinta Masjid'. "Pada bulan Ramadan pula kita akan adakan program meraikan anak-anak yatim, berbuka puasa bersama asnaf zakat dan warga emas di samping kelas-kelas berkaitan fardu ain.  "Insya-Allah kesemua program ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program 'Karnival Penghayatan Ibadat Solat' yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Muhd Ramli di Masjid Muhajirin Felda Jerangau, kelmarin. Katanya, program berkenaan akan diadakan dengan kerjasama pihak jawatankuasa masjid setiap kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pihak Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) serta Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi. Mengulas lanjut, katanya, program seumpama itu sangat penting dalam memastikan pembangunan rakyat dari sudut rohani. "Ke arah melahirkan masyarakat yang sejahtera yang mana pihak kami merasa bertanggungjawab bagi memastikan apa yang kerajaan hasratkan melalui slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS) dapat direalisasikan. "Usaha ini bagi memastikan setiap masjid dan surau benar-benar dimeriahkan dengan pelbagai program keagaaman dalam memberi didikan agama kepada seluruh lapisan masyarakat," ujarnya.  
15 Mar 21
757
Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat
Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Umat Islam dalam negeri ini diseru supaya menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai satu tanda kebesaran serta kehebatan kuasa Allah. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melalui ucapannya berkata, peristiwa tersebut menceritakan pertemuan antara Rasullulah SAW dengan Allah SWT yang telah memberikan perintah kefarduan solat lima waktu. “Begitu besarnya kefarduan solat ini maka ia adalah satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif membesar-besarkan perihal solat di Terengganu. “Di Terengganu sejak tahun 2019, kita telah menggerakkan agenda solat ini selama sebulan melalui program Bulan Penghayatan Ibadah Solat, supaya kesedaran solat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat," kata Ahmad Samsuri. Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Israk Mikraj Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi tadi. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda serta Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Rozali Salleh. Beliau turut menyifatkan peristiwa perjalanan Rasullulah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai perkara tidak tercapai dengan ilmu manusia pada waktu itu. “Di sinilah kita wajib bertambah yakin bahawa betapa kerdil dan ceteknya ilmu manusia, tetapi manusia tetap menjadi angkuh dengan meninggalkan ajaran Islam," tambahnya. Sementara itu, Mohd Nor Hamzah berkata, kedudukan ibadah solat adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana ia adalah penghubung umat dengan Allah SWT. “Salah satu inisiatif yang boleh dikatakan rutin tahunan mengelanya bulan Rejab adalah melaksanakan Bulan Penghayatan Solat. “Jelaslah bahawa, pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjukkan ini adalah bagi melahirkan masyarakat yang bersifat Khairu Ummah menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri 'baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur',” jelasnya.
11 Mar 21
472
BPIS : DUAT Sajikan Talaqqi Kitab Munyatul Musolli Setiap Hari Sepanjang Mac
BPIS : DUAT Sajikan Talaqqi Kitab Munyatul Musolli Setiap Hari Sepanjang Mac
MARANG, 6 Mac - Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang telah dilancarkan baru-baru ini dihangatkan lagi dengan penganjuran pengajian kitab untuk menambahbaik seterusnya menyempurnakan lagi mutu ibadah solat rakyat Terengganu khususnya. Pegawai DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, pengajian kitab Munyatul Musolli yang diadakan secara terbuka secara dalam talian di laman rasmi Facebook Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu itu disiarkan bermula 1 hingga 31 Mac 2021.  "Pastikan setiap pukul 2.30 petang semua antara kita mengosongkan masa untuk sama-sama menadah kitab yang saya kira cukup penting ini kerana kitab ini insya--Allah akan menambahkan lagi nilai dan kualiti ibadah solat kita.  "Kitab ini hanya nipis sahaja tetapi sarat dengan ilmu fardu ain tentang solat yang wajib setiap muslim ketahui dan amalkan. Program talaqqi kitab ini dikupas oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Suhaimi," katanya.  Beliau berkata demikian sejurus selesai slot program Chit Chat bersama Daie anjuran Marang TV bertempat di Studio Marang TV, baru-baru ini.  Terdahulu, dalam sesi program tersebut, beliau turut memperkenalkan apa itu DUAT. DUAT mula beroperasi pada tahun 2019 di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan yang dipengerusikan oleh Mohd Nor Hamzah.  "Tertubuhnya Akademi DUAT yang dipimpin oleh Ramlan Mahmood bertujuan menyelaraskan kegiatan institusi dan badan dakwah agar berjalan seiring dengan gagasan kerajaan negeri, iaitu Terengganu, Maju Berkat Sejahtera," katanya.  
04 Mar 21
501
Kerajaan Ajak Rakyat 'Hidupkan' Solat Berjemaah
Kerajaan Ajak Rakyat 'Hidupkan' Solat Berjemaah
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Bagi merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) peringkat Terengganu, kerajaan negeri bergerak mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah di Pasar Payang, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut dihidupkan sempena mengingati bulan Rejab yang padanya diturunkan kewajipan solat. "Hari ini, kita mendekati peniaga-peniaga mempromosikan usaha yang digerakkan Rasulullah SAW dahulu iaitu solat berjemaah. Kita mahu peniaga di sini bukan sahaja menjual produk tetapi yang turut menerapkan budaya solat berjemaah apabila masuk waktu. "Bukan sahaja mereka, malah kita mahu setiap pengunjung yang datang ke Terengganu juga terdidik dengan amalan mengerjakan solat secara berjemaah. "Apabila semua lapisan masyarakat jaga ibadah dan amalan yang utama ini, kita akan membina masyarakat yang baik," katanya selepas menyampaikan sekitar 250 helai baju Jom Solat Berjemaah kepada pengunjung-pengunjung di lokasi berkenaan. Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.   Menurut Mohd Nor, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan bagi memakmurkan surau di sana dengan aktiviti-aktiviti ilmu yang bakal dikendalikan IMiTS dan DUAT. "Solat berjemaah boleh dibuat di rumah, namun apabila ada ruang untuk solat di masjid disebalik kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita disarankan memenuhkan masjid. "Kerajaan negeri ambil tanggungjawab menyemarakkan kempen ini kerana inilah teras sebagai sebuah kerajaan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Ia bukan sahaja tanggungjawab badan individu, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan juga perlu ambil peranan. "Kita juga akan cuba luaskan kempen ini ke semua daerah. Setakat ini kita pilih tempat yang kita anggap biasanya membawa kepada kita lalai untuk solat seperti pasaraya, pasar-pasar, padang bola dan sebagainya," katanya. Dalam pada itu, pengerusi persatuan Pasar Kedai Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Syukri Abdullah mengalu-alukan kempen yang dianjurkan itu. "Kempen ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat untuk solat secara berjemaah kerana itu lebih afdal. "Terengganu terkenal sebagai tamadun yang memiliki keilmuan dan penghayatan agama yang tinggi. Dalam hal ini, kita perlu bersama-sama mengekalkan dan menunjukkan identiti ini terutama kepada generasi muda hari ini," katanya.        
03 Mar 21
662
Terengganu Benar Aktiviti Ibadat Di Masjid, Surau
Terengganu Benar Aktiviti Ibadat Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir 4 Mac ini. Bagaimanapun, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana masjid, surau dan pusat pengajian yang dikenakan arahan penutupan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sepanjang tempoh penutupan. "Penggunaan ruang dewan solat utama dan kawasan masjid bagi aktiviti solat Jumaat serta aktiviti pengajian dan kelas agama di masjid dan surau adalah dibenarkan. "Majlis akad nikah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan kapasiti tidak melebihi 20 orang," jelasnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Menurut beliau, semua madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang berada di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dibenarkan beroperasi mulai 8 Mac 2021. "Sultan Mizan Zainal Abidin juga mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," tambah Osman.
02 Mar 21
380
Lebih RM6.5 Juta Pembinaan Masjid Kampung Mak Lagam
Lebih RM6.5 Juta Pembinaan Masjid Kampung Mak Lagam
KEMAMAN, 28 Februari - Lebih RM6.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan sebuah masjid di Kampung Mak Lagam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan masjid yang bakal terbina itu. "Alhamdulillah, hari ini saya menunaikan sekali lagi janji kepada rakyat khususnya di kawasan ini jika saya dipilih menjadi wakil rakyat, saya akan mendirikan sebuah masjid di sini.  "Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah meluluskan peruntukan ini," ujarnya. Hanafiah turut mengharapkan dengan pembinaan masjid tersebut dapat memberikan banyak manfaat buat penduduk di kampung berkenaan dan kawasan-kawasan sekitarnya. "Insya-Allah, marilah kita sama-sama memakmurkan masjid ini dengan menghadirkan diri secara beramai-beramai supaya dapat menjadi contoh kepada kawasan lain bahawa di sinilah tempat berkumpul, beribadat dan berdoa kepada Allah S.W.T. "Bukan sahaja untuk kesejahteraan diri dan keluarga kita, bahkan untuk negeri dan negara kita," katanya lagi ketika ditemui pemberita, semalam. Pembinaan Masjid Kampung Mak Lagam ini dijangka siap pada Januari 2023 dan ianya mampu memuatkan seramai 2,000 orang dalam satu-satu masa. 
28 Feb 21
2139