Artikel "Agama" Terkini
Penduduk Kampung Apal Bakal Terima Masjid Baharu
Oleh : Faris Ameir Ibrahim
SETIU, 19 April – Penduduk di Kampung Apal dapat menarik nafas lega apabila bakal menerima sebuah masjid baharu sekali gus memberi keselesaan untuk beribadat dan melakukan aktiviti komuniti.
Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, beliau bersyukur dan berpuas hati selepas proses pembinaan syiar bagi umat Islam itu telah bermula sejak semalam meskipun terpaksa melalui proses yang agak panjang.
Katanya, bermula tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur melalui peruntukkan khas PM.
"Dalam permohonan itu, sebanyak 13 projek infrastukur telah dikemukakan dan lima daripadanya telah diluluskan pada November 2020. Antara permohonan pembinaan yang diluluskan ialah Masjid Kampung Kuala Kubang, pembinaan Masjid Pengkalan Merbau, Dewan terbuka Kampung Kerandang dan dua jalan pertanian Felda Kampung Rahmat dan Felda Kampung Chalok Barat.
”Kemudian pada 3 Disember 2020, saya telah mengemukakan rayuan terhadap pembinaan Masjid Kampung Apal dan di samping mencadangkan enam projek bina baru masjid, iaitu Masjid Bukit Layat, Masjid Kampung Kasar, Masjid Merbau Menyusut, Masjid Kampung Beris Tokku, Masjid Maras dan Masjid Guntong Dalam.
"Cadangan-cadangan yang dibuat ini berdasarkan keadaan bangunannya yang sudah uzur dan usang. Bahkan dinding dan lantai reput dimakan anai-anai dan ada yang sudah beralih kiblat," katanya kepada UPDI.
Menurut beliau, permohonan pembinaan Masjid kampung Apal asalnya tidak diluluskan kemudian pada bulan yang sama beliau terus mengemukakan rayuan.
"Alhamdullilah, pada penghujung Mac yang lalu, PM telah meluluskan peruntukkan untuk bina baru Masjid Apal," jelasnya.
Mengulas berkenaan pembinaan Masjid Felda Chalok Barat pula, beliau memaklumkan semasa penghujung tahun 2019 kelulusan untuk pembinaan bina baru Masjid Felda Chalok Barat dengan kos RM2 juta telah diluluskan selepas permohonan rasmi dihantar kepada mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
"Kos pembinaan masjid ini menelan belanja RM4 juta tetapi dikongsi bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
"Selain itu juga, Kerajaan negeri juga ada meluluskan dua pembinaan masjid iaitu Masjid Mengabang Lekar dan Masjid Bukit Tanah," tambahnya.
19 Apr 21
1038
Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat Islam agar memperbanyakkan amal dan mengoptimumkan peluang dalam bulan Ramadan walaupun dalam kekangan perintah pergerakan.
Baginda bertitah, kesempatan untuk menghayati bulan Ramadan adalah kurniaan besar kepada seluruh umat dengan 1,000 rahmat dan keberkatan.
"Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.
“Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh berpegang kuat dengan agama allah dan perpaduan yang sangat kukuh.
“Oleh itu, beta menyeru marilah kita sama sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan,” titah Baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak Tahun 1442 Hijrah kelmarin.
Sultan Mizan turut menyarankan supaya perpaduan dan kesatuan dibentuk melalui niat yang betul, serta mendidik diri merasai kesusahan saudara yang memerlukan.
“Ambil kesempatan bulan ini untuk membina ikatan silaturahim melalui medium solat berjemaah di masjid dan surau, sama ada solat fardhu, solat sunat tarawikh dan lain-lain lagi.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan ini, mari kita terjemahkan melalui ibadah berzakat, menerusi Malis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bayar zakat menerusi amil-amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM, mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” titah Baginda.
13 Apr 21
483
Terengganu Benar Aktiviti Qiamullail, Tadarus Di Masjid
KUALA TERENGGANU, 13 April - Terengganu membenarkan aktiviti qiamullail dan tadarus al-Quran diadakan di masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berkaitan pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam negeri ini.
"Kebenaran ini terpakai dan berkuat kuasa pada 12 April 2021 mulai Solat Sunat Tarawih sehingga satu ketetapan baharu yang akan dikeluarkan oleh jabatan ini secara rasmi dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Mat Azmi, kebenaran itu diberikan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus diimarahkan sepanjang bulan Ramadan.
Namun katanya, ia perlu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Masjid dan surau hendaklah mewujudkan pasukan petugas yang terdiri daripada lelaki dan wanita untuk mengawal jemaah sepanjang keberadaan mereka di masjid dan surau.
"Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa mematuhi SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa sepanjang aktiviti ibadat di bulan Ramadan dilaksanakan," katanya.
12 Apr 21
880
Abdul Hadi Dinobat Juara Hafazan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 8 April - Abdul Hadi Nuhairi, 25, dari Daerah Kemaman telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri bagi kategori 30 juzuk bahagian lelaki.
Abdul Hadi berkata kemenangan itu sangat berharga pada dirinya kerana ia merupakan penyertaan kali terakhir.
"Sejujurnya saya sangat gembira dan bersyukur setelah terlibat semenjak tahun 2013 ketika masih belajar di sekolah Menengah Imtiaz Dungun.
"Kemenangan ini adalah untuk ibu bapa saya yang selama ini memberi dorongan serta semangat yang kuat buat saya dalam menjaga hafalan al-Quran ini.
"Tidak lupa kepada para guru yang pernah membimbing saya serta memberikan pertolongan samada dari segi fizikal atau mental termasuk rakan-rakan," ujarnya.
Hadi berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Majlis hafazan Al-Quran peringkat negeri hari ini, di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, proses untuk mengingati al-Quran dilalui dengan cabaran yang tersendiri.
"Saya terpaksa menguruskan waktu dalam kesibukan menghabiskan pengajian sarjana saya di Universiti Malaya dalam bidang syariah dan ekonomi serta dalam masa yang sama menetapkan waktu untuk al-Quran, suasana tidak sama sebagaimana di bangku sekolah dahulu," ujarnya.
Sementara itu, pemenang bagi kategori 30 juzuk wanita, Mawaddah Mohd Rani, 19, berkata kejayaan diperolehinya itu merupakan hasil didikan ibu bapanya.
"Serta para guru di Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu membimbing saya, di mana saya sebelum ini banyak menyertai pertandingan hafazan di peringkat sekolah.
"Ini kali pertama saya menyertai kategori ini dan dan bersyukur memenanginya. Minat menghafal al-Quran ini datangnya daripada diri sendiri," ujarnya.
Mawaddah turut berkesempatan memberi nasihat kepada mereka yang berminat untuk mejadi penghafal al-Quran, katanya setiap individu perlu mempunyai semangat yang tinggi serta perlu berusaha tanpa putus asa.
08 Apr 21
1250
'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Walaupun menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan, namun ia bukan suatu yang mustahil bagi Afzam Mustafa, 41, bagi mewakili daerahnya ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman pada tahun ini.
Qariah yang berasal dari Kertih berkata, kemahirannya dalam taranum diasah sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu dan kini mengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka.
“Kini hampir 10 orang pelajar saya mengajar cara baca bentuk tulisan ini daripada tidak pandai kepada sekarang mampu untuk mengaji, reaksinya orang ramai kagum dan memberi semangat kepada kita.
“Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang mengenali memberi semangat kepada saya untuk mendalami teknik baca braille sehingga kini pertama kali dipilih untuk ke peringkat negeri.
“Sebelum ini sudah banyak menyertai pertandingan sebegini, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Melaka dan diangkat sebagai naib johan," katanya ketika ditemubual pemberita, kelmarin.
Anak keempat daripada 8 orang adik beradik (3 Orang Kurang Upaya penglihatan) menyifatkan kekurangannya bukan penghalang kepada jiwanya untuk menguasai bacaan taranum dan tajwid melalui titik Braille.
“Jadi saya menyeru mereka yang celik terutamanya pada bulan Ramadan ini supaya tadarus dan perbanyakkan bacaan al-Quran.
“Bukan sahaja pada bulan puasa, maknanya jangan kita lari daripada kitab suci ini, kita perlu sentiasa bersama al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi.
Afzam adalah di antara 16 peserta dari seluruh daerah yang menyertai program tersebut selama tiga hari.
Setakat ini, Pusat al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing mempunyai seorang guru.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu turut merancang dalam menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
07 Apr 21
794
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
KUALA TERENGGANU, 7 April - Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan majlis norma baharu bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, kerajaan menekankan prinsip agama dan penghayatan taqwa.
“Ini adalah penting dalam pembangunan modal insan dan fizikal negeri demi kecapi keharmonian dan rahmat Allah.
“Usaha ini direalisasikan oleh kerajaan negeri melalui pendidikan dengan penubuhan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung, Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1442H/2021M di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen.
Hadir Sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, penyertaan masyarakat di peringkat daerah amat menggalakkan dengan penyertaan 159 orang terdiri daripada 109 Qari dan 50 Qariah.
“Sejak 64 tahun lalu, Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad menyahut hasrat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu.
"Kesinambungan daripada itu, buat julung kali majlis sebegini diadakan pada 14 Mac 1960 di Istana Maziah," jelas beliau.
Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
“Johan kali ini akan mewakili Terengganu di peringkat negeri yang dicadangkan berlangsung pada 13 sehingga 18 Jun di Ibu Negara,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.
07 Apr 21
205
Pincang Agama Beri Kesan Pada Negara
KEMAMAN, 7 April - Aspek pembangunan modal insan menjadi perhatian kerajaan dengan diberi perhatian khusus dari sudut pendidikan agama, kerana kepincangan dari sudut berkenaan akan membawa kepada kehidupan masyarakat yang tidak berkualiti dan akan menjejaskan masa hadapan negara.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, untuk tujuan itu kerajaan sedang giat menjalankan usaha termasuk memfokuskan dunia pendidikan.
"Pihak kerajaan akan cuba sedaya mungkin memperkasakan institusi pendidikan pondok, akademi dan sekolah-sekolah agama seperti Akademi Al-Qur'an Amalillah (AKMAL) di negeri ini yang sudah dibuktikan bahawa ianya berjaya dari sudut pengurusan dan melahirkan para hafiz dan hafizah.
"Insya-Allah akan mempermudahkan lagi sebarang bentuk bantuan daripada pihak kerajaan agar terus berperanan dan berjasa bukan hanya pada pelajar yang sedia ada bahkan generasi akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Haflah Takrimi AKMAL Graduasi Kali Ke-2, di Dewan Canselor kolej Universiti TATI di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, sepanjang mengamati pelajar-pelajar di akademi berkenaan didapati mereka memiliki kecemerlangan luar biasa dari sudut hafalan al-Qur'an.
"Mereka berperanan seumpama eksikplopedia al-Quran yang bergerak. Anak-anak yang menghafal al-Quran ini melalui suatu usaha yang sukar, ingatan mereka luar biasa.
"Ini merupakan ruang dan peluang yang Allah izinkan kepada mereka untuk menikmati mukjizat agung ini, jaminan yang sangat besar kepada ibu bapa yang memiliki hafiz dan hafizah ini.
"Di mana akan mendapat manfaat yang sangat besar dan semoga beroleh syurga Allah SWT," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, mendidik generasi serta masyarakat pada hari ini mengenai kesedaran agama merupakan tanggungjawab semua pihak.
"Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah dan diberikan dorongan serta dicetuskan hati kita untuk terus memberikan kerjasama dalam menjayakan usaha membimbing generasi pada masa kini dan akan datang supaya terlahirnya keturunan yang baik dan soleh," ujarnya.
06 Apr 21
509
‘Road Tour Al-Quran’ Selesai Jelajah Lapan Daerah
KUALA TERENGGANU, 5 April - Program Road Tour Al-Quran bersama Daie peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung mulai 19 Mac hingga 1 April 2021 berlangsung dengan jayanya melibatkan lapan buah daerah di negeri ini sekaligus menutup tirai kempen Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS).
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, meskipun BPIS telah melabuhkan tirainya, namun kempen dan kehangatan penghayatan ibadah solat tidak terhenti setakat itu.
“Saya yakin dan percaya segala program yang telah kita susun bersempena BPIS sepanjang bulan Mac yang lalu telah memberi impak yang cukup besar kepada golongan sasar kita termasuklah program Road Tour Al-Quran ini.
“Saya difahamkan Road Tour Al-Quran ini melibatkan semua daerah di negeri ini yang mengupas topik ilmu al-Quran yang mana dipecahkan kepada beberapa segmen utama.
“Selain ulum Quran, ijazah ayat al-Quran terpilih turut diperturunkan oleh penceramah-penceramah jemputan yang faqih dalam cabang ilmu yang berbeza-beza," kata ketika dihubungi pemberita, dekat sini baru-baru ini.
Jelas Ramlan, slot Road Tour Al-Quran bersama penceramah yang kian dikenali ramai atas keilmuannya dalam perubatan Islam, Ustaz Solihin Zamri telah mengijazahkan kepada orang ramai ayat sakinah iaitu ayat ketenangan ketika kesedihan menimpa.
"Ayat sakinah yang dimaksudkan ialah Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 248, Surah At-Taubah ayat 26, Surah At-Taubah ayat 40, Surah Al-Fath ayat 4, 18, 26 dan Surah 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, Surah An-Nas)," katanya.
05 Apr 21
208
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih RM3.9 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melaksanakan program Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka sejak 2018.
Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman berkata, skim itu melibatkan 713 peserta yang melalui ujian tertentu dan sabit hafaz.
Katanya, masing-masing 275 orang peserta pada tahun 2018, 302 pada tahun 2019 dan 136 orang pada tahun lepas, sekali gus menafikan fitnah bahawa skim itu dihapuskan.
“Mereka yang menyertai skim ini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Permohonan untuk menyertai skim ini adalah berdasarkan juzuk yang dipohon oleh peserta, iaitu 7 hingga 30 juzuk.
“Jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,543,548 melibatkan RM814,260 pada penggal pertama dan RM729,288 pada penggal kedua, manakala tahun 2019 adalah sebanyak RM1,677,228 membabitkan RM881,068 pada penggal pertama dan RM796,160 pada penggal kedua.
“Pada tahun 2020, ujian bagi skim ini telah dijadualkan pada bulan April tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan COVID-19 di seluruh negara.
"Oleh yang demikian, ujian hanya dapat dilaksanakan bagi satu penggal sahaja dan ujian ini telah diadakan pada bulan September 2020, melibatkan pembayaran sebanyak RM766,180”, katanya ketika ditemui UPDI di pejabat JHEAT pagi tadi.
Tambah Zulkefli, peserta akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing.
"Contohnya, peserta yang sabit hafaz (lulus) bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000.
“Sumbangan yang dimaksudkan adalah para hafiz dan hafizah hendaklah memberi sumbangan dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan," katanya lagi.
Mengulas tentang pelaksanaan skim pada tahun ini, Zulkefli berkata, permohonan akan dibuka selepas Majlis Tilawah Al-Quran Tahun 1442H/2021M berakhir.
Katanya, JHEAT akan mengeluarkan iklan/hebahan bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing.
"Kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama di daerah masing-masing untuk penggal pertama.
"Insya-Allah, Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka pada tahun ini akan laksanakan dua penggal seperti biasa, penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur tidak kurang dari 18 tahun," tambahnya lagi.
24 Mar 21
658
Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
SETIU, 24 Mac - Muhammad Muaz Mokhtar dan Rozilah Yaacob masing-masing dinobatkan sebagai Qari dan Qariah bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 2021 yang berlangsung malam tadi.
Seramai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang menyaksikan penyertaan empat lelaki dan dua wanita pada majlis tilawah tahun ini yang diadakan di Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Setiu, Bandar Permaisuri.
Muaz yang mengalunkan bacaan Surah Al An'am yang membawa lagu wajib Soba dan Rast itu berkata, penyertaan tahun ini merupakan kali yang kedua selepas 2019.
Katanya, ketika itu beliau hanya mendapat saguhati dan penyertaan tahun ini sangat berbaloi selepas diangkat sebagai johan.
"Saya mendapat latihan terus melalui ayah mertua yang juga imam di masjid Kampung Ladang Bari dan membentuk jiwa Al-Quran dalam diri saya lebih-lebih lagi dalam bidang fasohah, tajwid dan taranum," katany ketika ditemui UPDI semalam.
Sementara itu, Rozilah pula yang membacakan Surah Ali Imran berkata, pada mulanya beliau tidak mahu menyertai tilawah pada kali ini tetapi atas saranan dan nasihat kawan-kawan beliau membuat penilaian dan diterima masuk.
"Saya berlatih dalam masa dua hari selepas mendapat surah apa yang nak dibaca dan saya kena buat latihan lagi bagi peningkatan bacaan selepas ini".
Pada majlis itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang.
Masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, plat penghargaan dan piala pusingan.
Terdahulu majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim.
Hadir sama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri dan Langkap serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
24 Mar 21
1235