Artikel "Agama" Terkini
200 Kaum Hindu Jabor Perasing Diraikan
KEMAMAN, 22 Nov - Kira-kira 200 orang kaum beragama Hindu diraikan dalam satu majlis sambutan perayaan Deepavali yang telah berlangsung di Ladang Jabor Perasing, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau merasa bersyukur kerana dapat mengadakan program sedemikian bagi meraikan kaum Hindu.
"Syukur dengan izin-NYA, saya hari ini dapat bersama-sama dengan anda semua yang baru sahaja bergembira menyambut Deepavali bersama keluarga dan sanak-saudara. Kami mengharapkan anda semua dapat menjalani kehidupan yang baik agar dapat mencapai kebahagiaan bersama.
"Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada November setiap tahun bakal dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia,"ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika merasmikan program itu.
Katanya lagi, Bulan Keluarga Malaysia 2021 akan memfokuskan nilai pengkayaan Keluarga Malaysia iaitu K.A.S.I.H. yang merangkumi kasih sayang, akhlak atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu serta harmoni sebagai nilai yang perlu ada dalam setiap ahli keluarga.
Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur penerima yang hadir. Majlis dimeriahkan lagi dengan jamuan dan cabutan bertuah.
Turut bersama ADUN Air Putih, Razak Ibrahim, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Ramlan Mahmood dan lain-lain.
22 Nov 21
451
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu- JAIM Rintis Kerjasama
MELAKA, 20 November- Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu menjalinkan hubungan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam usaha memperkasa institusi agama di negeri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan kali ini dilaksanakan untuk merintis perbincangan seterusnya antara kedua-dua jabatan agar dapat bertukar-tukar pandangan.
"Saya juga melihat bagaimana pengurusan hebat yang dibuat pengarah JAIM, Dato' Che Sukri sendiri sehingga menjadi jabatan agama pertama menerima Persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) pada Ogos lalu.
"Dengan harapan, Insya-Allah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dapat mempelajari beberapa kebaikan-kebaikan yang ada.
"Semoga kita dapat mengadakan perjumpaan seterusnya Insya-Allah di Terengganu pula, dan saya terbuka menjemput JAIM ke Wisma Darul Iman pula selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kunjungan Hormat ke ibu pejabat JAIM, di sini semalam.
Mengiringi beliau adalah timbalannya; Ridzuan Hashim, Timbalan Mufti Terengganu; Sahibul Fadilah Ahadi Othman, Pegawai Agama Islam daerah Kuala Terengganu; Shukri Faiz Jusoh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI); Mohd Soud Said.
Turut hadir, Pengarah JAIM; Dato' Che Sukri Che Mat, Timbalan Mufti Negeri Melaka; Hazarudin Baharudin serta Ketua-ketua Bahagian JAIM.
Dalam pada itu, Che Sukri turut mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Terengganu bagi kerjasama pada masa akan datang.@
"Kami daripada peringkat negeri Melaka amat menyanjung tinggi kerana kita dapat bertukar-tukar pendapat dan mencerakinkan idea.
"Mungkin ada beberapa pendekatan slot yang ada di Terengganu dan tiada di Melaka, manakala ada juga sebaliknya yang boleh dikongsikan.
"Insya-Allah, kami juga akan berkunjung ke Terengganu selepas ini bagi mendapatkan maklum balas daripada sana," katanya.
20 Nov 21
732
Tiada Pasangan Terengganu Terlibat Sindiket Lebai Loh
KUALA TERENGGANU, 18 November - Tiada pasangan di Terengganu yang dikesan terjebak dengan sindiket nikah tanpa tauliah di Thailand atau dikenali sebagai Lebai Loh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) serta pejabat agama daerah mendapati tiada warga negeri yang terlibat sehingga kini.
“Sebaik pembongkaran sindiket nikah tanpa tauliah dibongkar di Kelantan, saya telah mengarahkan semua pegawai agama setiap daerah di negeri ini untuk melakukan siasatan.
“Diharapkan rakyat Terengganu tidak termakan dengan isu dan sikap sebegini yang tidak bertanggungjawab, setakat ini tiada maklumat dibangkitkan pegawai-pegawai daerah.
“Kahwin atas talian juga tidak terlepas kerana perlu mengikuti peraturan dan pendaftaran dibawah JHEAT,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambah Mohd Nor, Terengganu antara negeri yang memudahkan perkahwinan menerusi anjuran program Walimatulurus Perdana yang telah diperuntukkan di dalam Bajet 2022 bernilai RM1.2 juta.
“Kita tanggung kos perkahwinan, tiada alasan kerana kita telah memudahkan persiapan buat mereka yang ingin membina rumah tangga,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, Terengganu juga diantara negeri mudah bagi prosedur poligami dengan pegawai Syariah menjadi pemudah cara, bergantung kepada kemampuan suami.
“Bagi ingin mengetahui siapa jurunikah sah, ada senarai jurunikah di seluruh mukim-mukim dan ada label di rumah mereka, semua pegawai agama daerah di pejabat agama daerah juga adalah bertauliah,” tambahnya.
18 Nov 21
608
Judi, Arak : Terengganu Ucap Tahniah Kepada kedah
KUALA TERENGGANU, 17 November – Terengganu merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Kedah atas penegasan tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, ia mengikuti langkah yang sudah dibuat kerajaan Terengganu dan Kelantan di bawah PAS.
Berita lanjut menyusul.
17 Nov 21
875
SIDANG DUN : Operasi Penguatkuasaan Jenayah Syariah Dipergiat
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri melalui Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan jenayah syariah bagi membasmi gejala terbabit di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata sebelum ini operasi telah diadakan seluruh negeri seperti di hotel dan rumah penginapan, pantai, pulau peranginan, pusat hiburan, pawagam dan juga di tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.
"Antaranya ialah operasi hotel sempena cuti umum, operasi minuman memabukkan, operasi judi, operasi dan pemantauan golongan 'Mak Nyah', operasi dan pemantauan aktiviti pergaulan bebas dan perbuatan tidak sopan, operasi dan pemantauan aktiviti tidak solat Jumaat serta operasi dan pemantauan pawagam.
"Selain itu kita turut mengedarkan 'flyers' dan pamplet di seluruh masjid negeri Terengganu dalam usaha menyedarkan rakyat agar tidak meninggalkan solat fardu," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.
Satiful turut berkata, dalam mempergiatkan usaha untuk memastikan pelaksanaan syariah di negeri ini dapat dilaksanakan, beberapa program juga akan dilaksanakan.
"Antaranya, penerangan kepada masyarakat mengenai kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah Takzir kepada semua golongan pelajar Institut Pengajian Tingga Awam/Swasta (IPTA/IPTS), kakitangan kerajaan/swasta, remaja dan lain-lain golongan.
"Juga bekerjasama dengan IPTA untuk mendapatkan kepakaran bagi melaksanakan program kaunseling dan pencegahan, pakar-pakar dalam bidang kaunseling, akidah dan syariah akan digunakan untuk menangani isu-isu berkatan akidah.
"Juga program 'street dakwah' bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan di kawasan 'hot spot' untuk mengedarkan risalah-risalah pencegahan jenayah syariah serta kempen kesedaran menutup aurat, Solat Jumaat, pencegahan khalwat, bonceng motorsikal, larangan judi, minum arak dan lain-lain akan dipergiat," ujarnya lagi.
15 Nov 21
304
Dakwah Jalanan Pupuk Rakyat Cinta Rasul
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kerajaan Terengganu menerusi akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) tampil menyemarakkan rasa cinta kepada baginda Nabi Muhammad SAW dengan menganjurkan Konvoi dan Street Dakwah Cintakan Nabi, baru-baru ini.
Penolong Pengarah DUAT, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab dalam mengajak masyarakat menghayati dan mengingati Nabi Muhammad SAW.
“Program dimulakan dengan konvoi motorsikal melibatkan 200 penyertaan bermula dari Masjid Terapung, Kuala Ibai ke Pantai Batu Buruk yang dilepaskan secara berperingkat sesuai dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setibanya di Perkarangan Pantai Batu Buruk, kami turun mengadakan Street Dakwah secara pendekatan kreatif antaranya sembang santai bersama para pengunjung dengan bertanyakan beberapa soalan berkaitan latar belakang baginda nabi,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau yang juga Pengarah Program berkata, selain mengagihkan risalah dakwah kepada pengunjung sekitar pesisir pantai, DUAT turut memberi sumbangan makanan dan minuman sepanjang ‘Street Dakwah’ itu berlangsung.
“Program sebegini perlu dipergiat dan dianjurkan secara lebih tersusun antaranya membabitkan jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit supaya masyarakat senantiasa didedahkan dan terdidik hasil variasi metodologi dakwah Islamiyyah,” katanya.
Program berkenaan membabitkan 200 sukarelawan yang terdiri daripada Alternative Riding Club (ARC), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Urus Setia Belia Sukan dan NGO (UBSNT), Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dan UPDI.
30 Oct 21
299
Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Pendidikan pada peringkat awal dalam kalangan orang Islam adalah mustahak bagi membawa budaya yang baik terutamanya bagi mencegah perbuatan haram seperti minum bahan yang beralkohol.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, perlu diwujudkan suatu sistem di peringkat prasekolah dalam membentuk generasi yang baik pada masa akan datang.
“Di antara yang penting dalam soal sistem pendidikan, kita mahu sistem ini dapat memenuhi apa dikatakan falsafah pendidikan Islam itu sendiri untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, inteleknya, emosi dan jasmani dalam bentuk bersepadu.
“Jadi perkara ini perlu dibina daripada awal prasekolah hingga institut pengajian tinggi supaya kesedaran beragama itu mesti dibina sepanjang masa. Kalau dari kecil berterusan hingga peringkat lebih tinggi saya yakin masyarakat kita ini akan melihat isu arak ini sangat merosakkan ibu segala maksiat yang perlu dijauhi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu forum atas talian dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute, pada semalam.
Justeru itu, beliau berharap ahli Badan Legislatif melihat perkara ini sebagai isu serius dan pada masa yang sama pihak kerajaan sendiri perlu lebih tegas.
“Supaya kita mahu dalam negara kita ini walaupun ada kebebasan di kalangan orang bukan Islam untuk minum arak secara privasi tapi tidak boleh kita katakan apa sahaja perkara berkait dengan arak walaupun mereka berhak minum arak.
“Mereka boleh bertindak bebas yang menyebabkan kita tidak menjaga dari segi keharmonian masyarakat itu sendiri,” tegasnya.
Beliau menambah, kerjasama semua pihak memainkan peranan masing-masing yang amat penting.
“Di peringkat mereka yang berkuasa mesti ada suatu kemahuan yang begitu tinggi bagaimana kita nak melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.
“Islam bukan hanya dilaksanakan secara peribadi tentang solat, puasa tetapi untuk melahirkan masyarakat yang bertakwa, dibina atas dasar akidah yang sudah tentu hasrat utama umat Islam,” tambah beliau lagi.
29 Oct 21
317
Kunjung Hormat Menteri Agama Perkukuh Hubungan Negeri, Persekutuan
PUTRAJAYA,27 Oktober - Kunjungan hormat Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad bakal memperkukuhkan lagi hubungan kerajaan Terengganu dan Persekutuan.
Ustaz Idris berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima kunjungan tersebut yang turut disertai agensi dan jabatan kerajaan negeri yang melibatkan Yayasan Islam, Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ,Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).
"Saya ucapkan terima kasih kepada delegasi Exco yang datang bersama rombongannya dalam merapatkan hubungan antara dua pihak.
"Saya kira pertemuan ini sangat penting dalam membincangkan banyak perkara, di mana kerajaan negeri merupakan antara pihak yang kita wujudkan kerjasama dalam perkara-perkara yang membabitkan perkara berkaitan agama Islam untuk kepentingan rakyat di setiap negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) daam pertemuan di Kompleks Islam Putrajaya, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, pihaknya bertanggungjawab dalam melakukan setiap penyelarasan dan mengemukakan pelbagai cadangan untuk kepentingan dan keselamatan negeri terutama dalam menghadapi pandemik, dimana setiap negeri jua akan menetapkan keputusan.
"Sebagai contoh dalam isu menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) tentang solat dan aktiviti masjid, kerajaan perlu meminta perkenan daripada Yang DiPertuan Agong sebagai pihak yang berkuasa di peringkat Wilayah Persekutuan sebelum dibawa ke negeri masing-masing untuk kelulusan di pihak penguasa agama negeri masing-masing.
"Sebab itu terdapat sebahagian yang telah dibenarkan untuk dibuka, ada setengahnya belum dibuka kerana kita hormat bidang kuasa agama kerajaan negeri. Kita memang dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) dihadiri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Untuk kita ambil input-input berkenaan kesihatan dan juga dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dimana mereka memberikan pandangan dari sudut keselamatan dan kesihatan, daripada situ kita buat rumusan melibatkan mufti-mufti di setiap negeri dan juga beberapa ahli yang dilantik," ujarnya.
Sementara itu, Mohd Nor mengharapkan agar kerjasama yang terjalin diantara dua pihak berkenaan akan dapat diperkukuhkan lagi dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera.
27 Oct 21
240
Kerajaan Berusaha Atasi Islamophobia Di Malaysia
PUTRAJAYA, 28 Oktober - Kerajaan sentiasa berusaha memberi kefahaman serta gambaran jelas mengenai Islam bagi mengatasi isu islamophobia terhadap pelaksanaan syariat dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Menteri Di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, susulan itu pemerkasaan dakwah sedang giat dilakukan melalui pelbagai ruang dan medium untuk menerangkan kepada masyarakat agar melihat bahawa Islam merupakan ajaran serta cara hidup yang sempurna meliputi segala aspek dalam kehidupan.
"Alhamdulillah dalam aspek mengembangkan dakwah kita mengambil peluang menerusi slot ruangan agama dalam TV Al-Hijrah termasuk RTM untuk kita menceritakan tentang Islam yang syumul melalui pelbagai kaedah dan program yang telah kita aturkan.
"Itu antara perkara yang kita akan lakukan dalam usaha untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat, maka saya telah mengarahkan untuk mewujudkan program dengan pengisian yang bermanfaat menerusi saluran di televisyen, di samping akan melibatkan pakar-pakar tentang perundangan Islam untuk mendedahkan pengetahuan dan memberikan gambaran tentang hukum Islam.
"Selain itu kita akan menganjurkan seminar mengenai tentang hukum sebat(rotan) mengikut acuan Islam yang ternyata lebih mendidik masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima kunjung hormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah , di Kompleks Islam Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu Idris Ahmad berkata setiap anggota masyarakat perlu memilki ilmu yang lengkap agar tidak timbul kecelaruan dan kepincangan dalam beragama serta tidak mudah terjebak dengan ideologi dan pemikiran bertentangan dengan ajaran Islam.
"Sebagaimana yang Allah firmankan dalam surah Al-Alaq yang menyarankan agar kita melengkapkan diri dengan ilmu agar tidak berpendirian kepada perkara yang tidak diketahui akan sumbernya. Kita mesti tegakkan prinsip dalam diri kita di atas dasar ilmu.
"Ilmu ini pula kena mengaji dengan guru yang mursyid, guru yang mengajar dan beramal dengan ilmunya barulah akan dapat melakukan amalan dengan cara yang tepat. Jangan belajar ilmu di tempat-tempat yang kita tidak tahu puncanya di mana," ujarnya.
Sebaliknya menurut beliau ilmu agama perlu dipelajari di tempat yang khusus serta ilmu perlu diamalkan untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
27 Oct 21
1285
Berbeza Ideologi Jangan Sampai Rosakkan Perpaduan
DUNGUN, 23 oktober - Masyarakat di negeri ini dinasihatkan agar tidak merosakkan perpaduan hanya kerana berbeza pandangan, ideologi, dan fahaman politik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebaliknya orang ramai di negeri ini yang majoritinya adalah muslim sewajarnya mencari ruang untuk membina kekuatan agar tidak didominasi oleh musuh Islam.
"Mereka sedang memiliki kekuatan, dan mengambil kesempatan atas sikap orang Islam tidak bersatu dan berbalah terhadap perkara remeh temeh, bahkan mereka menunjukkan tanda untuk menguasai politik bagi mentadbir negara ini dan mereka pernah berjaya menguasainya.
"Sudah sampai masanya untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri kerana wujudnya perbezaan pandangan sehingga berlakunya salah faham, bersamalah kembali membina kekuatan dalam kehidupan bermasyarakat berlandaskan apa yang diajarkan didalam Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Komuniti Sejahtera Darul Iman Di Hatiku (K.O.S.D.I) @Dungun, dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) peringakat daerah ini, di Padang Bola Felda Jerangau , di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas mengenai program berkenaan Mohd Nor berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan program yang diadakan bersempena Pelancaran Bulan Dakwah itu dalam menyemarakkan usaha dakwah di negeri ini dan mendidik rakyat agar mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya.
"Kerja mengajak dan menyeru masyarakat kembali sedar mengamalkan ajaran Islam untuk membentuk keperibadian mukmin yang baik, ini adalah kerja setiap orang, bukan sahaja pendakwah dan pihak tertentu, bahkan kerja ini juga perlu digerakkan dalam keluarga.
"Untuk menyampaikan peringatan kepada setiap orang mengenai peri pentingnya kewajipan menutup aurat dengan sempurna, menghadirkan diri ke masjid bagi mengikuti pengajian agama Islam sekali gus memakmurkan rumah Allah.
"Alhamdulillah, kini masjid sudah terbuka luas, pengajian kuliah telah dibenarkan apatah lagi pada Isnin ini negeri ini telah memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka lagi banyak program-program dakwah yang boleh diadakan, dalam usaha kerajaan untuk mendidik seluruh masyarakat agar bertakwa kepada Allah SWT," ujarnya.
Sementara itu Nasrul berkata, pihak YADIM melalui program berkenaan yang diadakan kali pertama membabitkan masyarakat di felda Jerangau selama dua hari menetapkan tiga matlamat utama.
"Iaitu bagi menyantuni komuniti tanpa mengira latar belakang mereka, supaya sentiasa hidup dalam perpaduan dan keharmonian.
"Mengukuhkan hubungan strategik dengan NGO Islam melalui pendekatan 'dakwah bil hal' serta menambah bilangan pasukan sukarelawan YADIM yang melibatkan komuniti setempat menandakan bahawa di sini sudah memiliki sukarelawan seramai 30 orang," katanya.
23 Oct 21
273