Artikel "Agama" Terkini
Terengganu Naikkan Ganjaran Imam, Bilal
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan Terengganu bersetuju menaikkan ganjaran untuk imam dan bilal mukim yang bersara, berhenti atau berlaku kematian bermula Februari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
Katanya, kenaikan ganjaran telah dibuat Kerajaan PAS pada tahun 2000 dan kini selepas 22 tahun inisiatif tersebut dinaikkan sekali lagi di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Pada tahun 2000 jumlah ganjaran persaraan imam yang berkhidmat setahun ialah RM1,100 dan bilal yang berkhidmat setahun ialah RM900.
"Alhamdulillah, tahun 2022, ganjaran persaraan imam dan bilal dinaikkan sebanyak RM400 untuk imam dan RM300 untuk bilal," katanya ketika dihubungi Urus Penerbangan Darul Imam (UPDI) hari ini.
Menurut beliau, kenaikan itu juga membolehkan imam dan bilal bersara mendapat ganjaran lebih tinggi.
Jelas Mohd Nor, inisiatif itu adalah bukti komitmen kerajaan terhadap golongan agama.
"Walaupun Kerajaan Negeri berada dalam komitmen yang banyak untuk perbelanjaan dan pembangunan negeri tetapi Kerajaan Negeri sangat prihatin dan cakna untuk menjaga kebajikan imam dan bilal yang banyak jasa kepada Islam dan rakyat," tambah beliau.
20 Jan 22
3856
Penangguhan Umrah Bukan Keputusan Secara Semberono
MARANG, 9 Januari - Keputusan kerajaan Malaysia yang bersetuju menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari (semalam) selama sebulan bagi membolehkan kadar risiko penilaian jangkitan Omicron adalah tepat dengan merujuk kepada pelbagai pakar yang selayaknya.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan umrah itu mengambilkira perolehan maklumat daripada ahli perubatan termasuk dari kerajaan Arab Saudi.
"Begitulah sepatutnya penangguhan umrah kena tanya ahli perubatan, sekiranya ahli perubatan kata wabak tu merebak, itu hak yang perlu dilaksanakan.
"Memang dalam sejarah Islam, ibadah fardhu ini pernah ditangguh. Solat Jumaat pun pernah ditangguh di Masjid Nabawi dan Mekah juga disebabkan wabak," katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, baru-baru ini.
Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Marang, dalam situasi getir tersebut semua aspek akan diambil kira.
"Kalau nyawa diancam, kepentingan duit kena ditangguhkan dulu. Kerajaan bertanggungjawab menjaga nyawa dulu kerana dalam Islam benda yang perlu kepada manusia ialah agama, nyawa, akal, keluarga dan duit. Duit kemudian sekali," jelasnya.
09 Jan 22
447
Tiada Masalah Bersih Kediaman Bukan Islam
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Tiada sebarang masalah bagi orang Islam untuk membersihkan kediaman bukan Islam yang terlibat dengan banjir, demikian ujar Menteri Hal Ehwal Agama.
Idris Ahmad berkata, Islam tidak menghalang penganutnya menyampaikan apa jua bentuk bantuan dalam meringankan beban golongan ditimpa musibah bahkan ia sangat digalakkan.
Namun katanya, sebagai penganut muslim adalah penting untuk mengikuti panduan yang ditetapkan oleh ajaran Islam tanpa mempersoalkan kewajarannya.
"Ada perkara yang boleh dan tidak dibolehkan, iaitu tidak boleh membersihkan rumah peribadatan agama lain itu yang menjadi larangan dalam agama Islam.
"Kerana itu hendak membersihkan rumah serta kediaman mereka dibolehkan bagi membantu mereka yang dilanda musibah banjir dalam usaha meringankan beban mereka alami," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Haflah At-Takrim Huffaz Yayasan Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) Kali Ke-2, di Dewan Auditorium Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas mengenai bantuan makanan daripada golongan penganut agama lain ketika menghadapi musibah, Idris berkata orang Islam dibolehkan menerimanya selagi tidak timbul sebarang keraguan.
"Asalkan kita tahu itu daripada sumber yang boleh dikatakan makanan halal mengikut perspektif Islam, tanpa mengambil kira sesiapa pun yang memberikannya," ujarnya.
Sementara itu, bercakap tentang program yang diadakan YAKEP, beliau memuji usaha terbabit kerana ia berupaya memberi motivasi dalam melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah di masa hadapan
"Juga menjadi mercu tanda kejayaan pelajar-pelajar Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Pusat Tahfiz Al-Itqan Darul Iman dan Markaz Tahfiz Orang Kelainan Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) yang bernaung di bawah YAKEP," tambah beliau.
06 Jan 22
2700
YADIM Terengganu Permudah Mangsa Banjir Beribadah Di PPS
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu buat julung kali mengadakan misi sukarelawan dan bantuan sumbangan banjir pertamanya tahun ini di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja, di Dungun baru-baru ini.
Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, misi itu sebagai permulaan untuk berdakwah kepada mangsa banjir dalam musim tengkujuh
Katanya, pihaknya juga menyediakan kain sejadah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kedua-dua kampung berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan penduduknya beribadah dengan sempurna.
"Sebanyak RM22 turut disediakan untuk sumbangan makanan keperluan dapur kepada semua penduduk di kedua-dua kampung itu dan peruntukan bahan masakan ke PPS selama dua hari.
"Ini yang pertama usaha kami di Terengganu. Sebenarnya ia adalah satu persediaan awal untuk sebarang kemungkinan, kami sediakan makan percuma kepada semua penduduk kampung untuk sekurang-kurangnya membantu mangsa banjir lebih selesa untuk beribadah," katanya.
Beliau berkata selepas hadir pada Misi Bantuan Bencana Banjir Dapur Rakyat anjuran YADIM yang disempurnakan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Selain itu, YADIM Terengganu turut merancang pelaksanaan misi yang sama di Air Putih-Teladas, Kemaman, diikuti Setiu dan Kuala Berang tidak lama lagi.
30 Dec 21
454
Musabaqah : Pelajar KQT Timba Pengalaman Baru
MARANG, 25 Disember - Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) yang julung-julung kali diadakan telah membawa pengalaman baru kepada penuntutnya sekali gus mampu melahirkan qari dan qariah cemerlang di peringkat tertinggi.
Peserta hafazan wanita, Aishah Rusli berkata pendedahan kali pertama membuatkan dirinya sedikit gementar.
"Namun ia menyeronokkan kerana ia adalah pengalaman baru bagi saya, dimana saya telah melakukan segala persediaan dan persiapan yang terbaik bagi memastikan segalanya berjalan dengan sempurna.
"Insya-Allah pengalaman ini tidak akan membuatkan saya berputus asa sebaliknya akan terus menyertainya,"ujarnya yang mula menghafal kitab suci tersebut bermula di bangku sekolah rendah.
Dia yang juga merupakan pelajar tahun akhir Diploma Tahfiz dan Bahasa Al-Qur'an di kolej terbabit, berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada majlis penutup program tersebut yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity (TSIS), Dr. Wan Mat Sulaiman, di Dewan Ibnu Masud, KQT, di sini, pada kelmarin.
Manakala seorang lagi pelajar dalam bidang yang sama, Anis Nabila Sakinah Zahari pula berkata, pengalaman berkenaan menjadikannya lebih bersemangat untuk menyertainya di masa akan datang.
"Apabila dah memiliki pengalaman ini insya-Allah selepas ini akan lebih yakin di samping akan berusaha meningkatkan kemahiran. Insya-Allah saya baru sahaja khatam hafazan ak-Qur'an, insya-Allah selepas ini akan menyusun jadual dengan lebih baik untuk mengulangnya," ujarnya yang mendapat pendidikan bermula dari rumah oleh ibu bapanya yang juga merupakan guru agama.
Dalam pada itu katanya belajar menguasai al-Qur'an merupakan suatu perkara yang tidak mudah serta ia merupakan sebuah perjuangan.
"Terutama dalam menarik generasi pada masa kini untuk mencintai al-Quran kerana antara halangannya ialah remaja pada era kini disibukkan dengan peranti untuk melayari media sosial.
"Saya juga tidak lari daripada menerima ujian berkenaan, namun setiap kali baca al-Qur'an saya akan jauhkan diri dari gajet berkenaan, dan akan memperuntukkan masa dengan sebaiknya untuk al-Quran.
"Nasihat saya kepada remaja luar sana, dampingilah al-Quran agar hidup lebih terpandu, ruangkan masa untuk bersama al-Quran dengan mujahadah (bersungguh-sungguh) walaupun ia sukar dan pahit, namun ketahuilah syurga Allah itu merupakan penamat yang manis," katanya.
25 Dec 21
854
Dakwah Tanggungjawab Setiap Individu Muslim
KUALA TERENGGANU, 15 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Dakwah Jalanan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab dakwah di Dataran Pantai Batu Buruk, baru-baru ini.
Pengarah Program Dakwah Jalanan, Mohd Kazman Ishak ketika ditemui berkata, tanggungjawab meyampaikan dakwah merupakan peranan setiap individu Muslim kerana mereka semua merupakan duta yang mencerminkan kecantikan Islam.
“Justeru, tugas ini tidak hanya terletak kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja.
“Kita boleh menyampaikan dakwah melalui percakapan ataupun melalui perbuatan dengan menjaga tingkah laku kita dengan baik,” katanya.
Antara pemenang hadiah cabutan bertuah
Tambahnya, apa sahaja perbuatan yang mendekatkan diri dan masyarakat kepada Allah SWT dikira sebagai dakwah.
“Alhamdulillah, kehadiran peserta pada hari ini dianggarkan sekitar 60 orang walaupun dalam keadaan hujan,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut ialah penyampaian tazkirah, agihan risalah, penyampaian hadiah cabutan bertuah, agihan aiskrim percuma dan agihan belon percuma.
Agihan aiskrim percuma kepada peserta
14 Dec 21
549
Terengganu Mahu Rapat Saf Solat, Tunggu Keputusan MKN
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Kerajaan Terengganu telah berbincang dengan pihak berwajib mengenai solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini bagi membolehkan kewajipan umat Islam itu dilakukan tanpa penjarakan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam pertemuan tersebut beliau mahu semua agensi berkerjasama dan berusaha agar hasrat rakyat itu dapat direalisasikan.
“Semua agensi berkaitan bersetuju tetapi terikat dengan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tindakan perlu diseragamkan dan diselaraskan oleh semua pihak.
”Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mencadang rapat saf setelah melalui fasa endemik COVID-19. Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid Al-Haram dan Masjid Annabawi Arab Saudi sahaja, bukan keseluruhan masjid di Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) M. Rozi Bidin, Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Ahadi Othman dan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Ustaz Zulkefli Othman.
Dalam perkembangan berbeza, Mohd Nor berkata, gerak kerja untuk memartabatkan institusi agama dan peranannya dalam aspek dakwah serta pembinaan insan akan diperkemaskan.
“Pihak agensi dan jabatan bersikap terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan ke arah pemurnian aktiviti yang telah dijalankan pada tahun-tahun sebelum ini dan bersedia menilai cadangan-cadangan baru.
”Pihak jabatan akan mengadakan 'retreat' dalam masa terdekat bagi memperkasakan usaha ke arah Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” tambah beliau.
14 Dec 21
4102
Tak Patut Persenda OKU
KUALA NERUS, 11 Disember - Penghinaan terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak sewajarnya berlaku dalam masyarakat di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Idris Ahmad berkata, mereka juga adalah insan terpilih yang diciptakan oleh Allah SWT.
"Mungkin dari satu sudut kita melihat kekurangannya tapi di sudut yang lain mereka lebih baik daripada kita, boleh dilihat banyak golongan profesor ataupun cendekiawan serta bijak pandai di Mesir terutamanya di Universiti Al-Azhar di mana pensyarahnya buta.
"Mereka mempunyai kelebihannya yang tersendiri, sebab itu kita tidak boleh hina sebegitu kerana mereka merupakan insan pilihan Allah untuk menguji dan melihat sejauh mana kecaknaan kita terhadap golongan tersebut serta mengambil berat mengenai segala keperluan mereka sebagai anggota masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Program Yayasan Dakwah Islamiah malaysia (YADIM) Peduli; Musa'adah Asnaf dan kuliha Subuh khasnya, do Masjid Tok Jembal, di sini, pada hari ini.
Mengulas lanjut katanya, di Malaysia kerajaan sangat prihatin terhadap golongan terbabit serta kesedaran masyarakat terhadap mereka juga semakin meningkat.
"Kalau dilihat setiap masjid dalam negara ini telah mesra OKU sehingga diadakan lorong atau laluan khas untuk golongan ini.
"Boleh dikatakan mereka telah dapat diterima dengan baik, jika masih berlaku penghinaan terhadap golongan sebegini mungkin ia jarang-jarang berlaku dan hanya merupakan kes terpencil," katanya.
11 Dec 21
279
Tiada Laporan Ayam Dari Thailand, China Tidak Halal
KUALA NERUS, 11 Disember - Tiada sebarang laporan atau pengesahan tentang dakwaan ayam yang diimport dari China dan Thailand tidak halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, isu itu adalah tidak berasas dan sengaja dimainkan pihak tertentu untuk mencetuskan keraguan dalam masyarakat.
Katanya, setiap keratan ayam dan daging yang dieksport ke Malaysia telah dikawal selia oleh Badan Pengesahan Halal Luar Negara dengan mengikuti syarat, piawaian dan prosedur Persijilan Halal Malaysia.
"Tempoh pengiktirafan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih sah sehingga 31 Disember 2023 masih sah dan diterima oleh kerajaan.
"Sijil halal itu walaupun dikeluarkan oleh negara itu sendiri tetapi ada kolaborasi dengan pihak Halal Malaysia. Kalau didapati ada laporan yang mengatakan ia tidak halal dan sebagainya maka pihak kita akan menyekat segera kemasukan daging tersebut dan berhak untuk membatalkan pensijilan halal tersebut," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf dan Kuliah Khasnya, di Masjid Tok Jembal, di sini pada hari ini.
Justeru Idris menasihatkan orang ramai agar meneliti terlebih dahulu setiap isu yang ditimbulkan dengan bukti dan fakta tepat.
"Tidak boleh dengar begitu sahaja, kalau asas dan buktinya kukuh betul-betul tidak halal maka kita akan ambil tindakan dan ia boleh dibatalkan serta merta," katanya.
11 Dec 21
461
'Cadangan Rapatkan Saf Solat Telah Dikemukakan'
KUALA NERUS, 11 Disember - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib agar saf solat jemaah kembali dirapatkan.
Menurut Menterinya, Idris Ahmad, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti perkara itu dan pada ketika ini kebenaran masih belum diperolehi.
Katanya, pihaknya terpaksa akur dengan perkara tersebut demi kemaslahatan masyarakat namun akan terus berusaha untuk mencapai keputusan terbaik.
"Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ataupun agensi di bawah Hal Ehwal Agama tidak ada kuasa untuk memaksa mana-mana pihak bagi perkara ini, kerana ia juga tertakluk kepada bidang kuasa pihak agama negeri.
"Prosesnya adalah apabila ia telah dibincang, pihak saya akan mengarahkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dikemukakan kepada pihak Yang diPertuan Agong, begitu juga dengan negeri yang lain, ia juga bergantung kepada bidang kuasa kerajaan negeri yang mana pandangan pihak MKN akan diutamakan.
"Mereka mempunyai pandangan sendiri, jadi kita kena hormat perkara ini, keputusan terakhir adalah tertakluk bidang kuasa di negeri itu sendiri, sebab itu kita tengok kapasiti masjid dan surau di setiap negeri berbeza, seperti di Terengganu jemaah dibenarkan hadir mengikut keluasan masjid," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf dan Kuliah Subuh khasnya, di Masjid Tok Jembal, di sini, pada hari ini.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata bantuan yang disampaikan kepada 30 keluarga terpilih di kawasan masjid terbabit merupakan satu usaha yang berterusan pihak Yadim.
Ujarnya, melalui program berkenaan pihaknya dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta mereka yang dikenalpasti memerlukan bantuan berkenaan.
11 Dec 21
2917