lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Zakat Terengganu Catat Peningkatan Kutipan 15 Peratus Tika Pandemik
Zakat Terengganu Catat Peningkatan Kutipan 15 Peratus Tika Pandemik
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Walaupun terpaksa berdepan cabaran pandemik Covid-19, Terengganu mencatat peningkatan zakat sebanyak 15 peratus pada tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMCARE Agency, Datuk Mohamad Zahari Harun berkata, jika dibandingkan dengan tahun lepas, ada pertambahan dalam kutipan zakat. "Kita ingat kutipan zakat ketika pandemik ini akan berkurangan, tetapi alhamdulillah pada tahun lepas kita mencatat kutipan sebanyak RM167 juta. "Dan tahun ini kita mencatat anggaran kutipan berjumlah sebanyak RM185 juta, manakala untuk tahun hadapan iaitu 2022, kita anggarkan kutipan akan mencapai sebanyak RM205 juta," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMCARE Agency, Datuk Mohamad Zahari Harun. Menurutnya lagi, antara salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat ketika waktu pandemik adalah kesedaran syarikat-syarikat korporat yang membuat bayaran di negeri Terengganu. "Di negeri Terengganu, mereka dapati zakat pendapatan lebih tinggi daripada zakat perniagaan mungkin kerana dalam aspek perniagaan terdapat penurunan dari segi ekonomi dan suasana pandemik. "Kita mempunyai tujuh saluran seperti kaunter, atas talian, aplikasi banking, sistem dan kaedah lain lagi yang sentiasa dibuat penambahbaikan, serta kita dapati ketika pandemik ini, boleh dikatakan ramai yang menggunakan kaedah online secara lebih ketara. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, Tuan Haji M. Rozi Bidin "Ini mungkin disebabkan pandemik, orang ramai semakin mahir menggunakan kaedah online sebagai alternatif dan mungkin mereka juga sudah menerima dan yakin bahawa pembayaran secara atas talian kini sudah jelas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Program Seminar Taksiran Zakat Harta Anjuran AMCARE Agency di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, Isnin lalu. Seminar itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, M. Rozi Bidin, dan diadakan dua hari bermula 17 Oktober melibatkan 70 orang pemimpin kerajaan, pemilik perniagaan, peniaga, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negeri Terengganu. Beliau yang juga Ahli Majlis Maidam berkata, dalam dunia yang bergelut dengan pandemik Covid-19, pelbagai inovasi dalam kewangan sosial Islam mesti diadaptasi dan diterapkan sesuai dengan keadaan semasa. "Amcare Agency merupakan Ejen Sah Kutipan Zakat Maidam  yang telah diamanahkan untuk menjalankan pengurusan kutipan zakat secara profesional, efektif dan bersistematik serta berkesan sesuai dengan objektif untuk membantu Maidam. "Selain berkongsi cara kiraan zakat perniagaan, pendapatan, koperasi, pertanian, ternakan emas, simpanan serta zakat pelaburan, seminar ini juga turut berkongsi hikmah bagaimana berzakat dapat memberi keberkatan sekali gus melindungi harta mereka," tambahnya lagi.    
20 Oct 21
711
Remaja Perlu Didedahkan Dengan Politik Islam
Remaja Perlu Didedahkan Dengan Politik Islam
Oleh : Asraf Ikhwan DUNGUN, 12 Oktober - Golongan belia perlu didedahkan dengan politik Islam supaya mereka mempunyai kesedaran untuk turut terlibat mendaftarkan diri sebagai pengundi dan bertanggungjawab memilih pemimpin. Tokoh Belia Ma'al Hijrah 1442H Daerah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, perkembangan politik mutakhir ini memerlukan kefahaman anak muda yang jelas tentang politik Islam. "Anak-anak muda ini akan turut terlibat sebagai peserta demokrasi yang akan mewujudkan serta akan membentuk suasana yang baru kepada negara dalam memastikan pemimpin yang berakhlak baik, berintegriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah akan terpilih bagi menerajui negara. "Konsep memilih pemimpin pada sesebuah negara juga amat dititikberatkan dalam Islam, gagalnya anak-anak muda untuk turut terlibat dalam menjadi pengundi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti, akan menyebabkan negara akan dikuasai oleh golongan tidak sepatutnya. "Lebih teruk lagi apabila dikuasai oleh pemimpin yang berfikiran liberal, berideologi sekular, dan sebagainya yang akan membawa kesan yang buruk terhadap rakyat dalam negara ini serta negeri ini secara khususnya. "Sebagai rakyat di negara ini, sewajarnya pemimpin yang benar-benar berintegriti, mencontohi akhlak Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin di negara agar membawa kepada keadilan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pemberita, semalam. Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri ini dalam memartabatkan pemerintahan berteraskan Islam, beliau berkata ia sewajarnya dipertahankan. "Untuk memastikan kerajaan sedia ada ini kekal adalah menjadi tanggungjawab anak-anak muda pada hari ini untuk mendaftarkan diri untuk turut menjadi pengundi dalam melaksanakan tuntutan sebagai rakyat Malaysia yang bercita-cita mahu melihat negara ini sentiasa berada dalam keadaan baik. "Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, serta melaksanakan undang-undang Islam akan dapat dikekalkan demi kepentingan rakyat, serta masyarakat majmuk yang berbilang kaum dalam negara dapat hidup dalam suasana penuh harmoni," ujarnya. Jelasnya, dalam menyedarkan anak muda terhadap Islam yang syumul meliputi politik, ekonomi dan sosial menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan bagi digerakkan usaha-usaha tertentu. "Mereka merupakan generasi pada hari ini yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, penyampaian dakwah perlu dilakukan menerusi media sosial dengan kreatif dan inovasi yang menepati citarasa golongan berkenaan pada masa kini," ujarnya.
12 Oct 21
543
Terengganu Serius Angkat Martabat Guru Quran
Terengganu Serius Angkat Martabat Guru Quran
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Pemerkasaan kerjaya guru al-Quran menjadi keutamaan kerajaan negeri, lebih-lebih lagi bidang itu sangat tinggi nilainya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menzahirkan iltizam kerajaan negeri untuk mengangkat darjat dan nilai yang ada pada setiap guru terbabit melalui pelbagai pendekatan serta program dianjurkan menerusi jabatan-jabatan kerajaan. "Pelopor al-Quran perlu dimartabat bukan sahaja pada bacaannya tetapi pada kefahaman dan keilmuannya," katanya ketika merasmikan perasmian penutup Nadwah Al-Quran Bersama Daie baru-baru ini. Mengulas mengenai program yang diadakan Pertama kali itu adalah untuk meraikan jasa dan sumbangan yang telah yang diberikan selama ini dalam memperluaskan dan memperkasakan ilmu al-Quran mereka kepada anggota masyarakat.  "Juga untuk meningkatkan kesedaran para guru al-Quran agar mereka bukan sahaja mengajar al-Quran tetapi mereka juga sepatutnya mencontohi Rasulullah SAW," ujarnya. Beliau turut menitipkan harapan agar seluruh guru al-Quran di Terengganu ini mempunyai beberapa kriteria dalam memperkasakan karier yang sangat mulia ini. "Pertama, tingkatkanlah ilmu dan kefahaman khususnya yang berkait tentang al-Quran, bukan sekadar ilmu tajwid atau waqaf semata-mata tetapi turut mengikuti kelas-kelas tafsir al-Quran yang diadakan. "Tingkatkan kemahiran dan kaedah-kaedah yang efektif kepada anak murid kita dalam menambahkan kemahiran mereka membaca al-Quran. Terokai kaedah-kaedah baru yang lebih memberi kesan ke atas mutu kemahiran pelajar kita. "Terakhirnya, terima kasih kepada pihak Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang mengambil inisiatif untuk menghimpunkan seluruh guru-guru al-Quran dan Yayasan Islam Terengganu," ujarnya lagi. Program tersebut diserikan dengan panel jemputan yang pakar dalam ilmu al-Quran iaitu Dr Azizul Hassan dan Prof Madya Dr. Wan Mohd, kedua-dua mereka adalah pensyarah UniSZA.  Program berkenaan telah diadakan secara atas talian serta mendapat sambutan mencecah hampir 1,000 tontonan di platform Webinar dan laman Facebook rasmi DUAT.
11 Oct 21
349
Mufti Terengganu Nafi Keluar Kenyataan Pertikai Vaksin
Mufti Terengganu Nafi Keluar Kenyataan Pertikai Vaksin
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Mufti Terengganu, Prof. Madya Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron menafikan beliau mengeluarkan satu kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan penggunaan vaksin COVID-19. Beliau dalam satu kenyataan berkata, segala tuduhan, tohmahan dan sebarang kenyataan yang tidak benar itu harus dihentikan serta merta dalam apa jua medium penyebaran. “Pihak Jabatan Mufti Terengganu bersetuju dan selari dengan ketetapan yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020. “Semua rakyat Terengganu khususnya dinasihatkan mengambil vaksin COVID-19 sebagai satu usaha dan ikhtiar dalam mengekang penularan wabak berkenaan sebagaimana keputusan Mesyuarat Fatwa Negeri Terengganu,” katanya hari ini. Ujarnya lagi, beliau kesal dengan kenyataan di luar konteks sebenar oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.  
04 Oct 21
2176
Kerajaan Teliti Larangan 'Mak Nyah' Masuk Masjid
Kerajaan Teliti Larangan 'Mak Nyah' Masuk Masjid
KEMAMAN, 24 September - Kerajaan akan meneliti larangan golongan trasgender atau 'mak nyah' ke dalam masjid untuk dilaksanakan pada peringkat Wilayah Persekutuan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, apa yang paling penting dalam maslahah tersebut adalah kesucian masjid tidak dicemari dan peraturan itu tidak mengelirukan masyarakat. "Kalau golongan transgender ini masuk ke masjid, kadang-kadang mereka pakai tudung, sedangkan mereka lelaki, jadi itu sangat tidak sesuai untuk mereka hadir ke masjid. "Tindakan Perlis itu, saya fikir adalah satu tindakan yang boleh menjadi contoh supaya, pertamanya menjaga kesucian masjid dan tidak menimbulkan kekeliruan serta menjaga kehormatan orang lain. "Kalau orang lelaki yang berlakaian wanita masuk di sebelah Muslimat, itu sudah menganggu provasi kumpulan wanita di masjid kerana mereka akan buka tudung, memakai telekung," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 di pekarangan Stesen Teksi Kemaman, hari ini. Jelasnya, setakat ini pihaknya tidak terima maklumat yang serius tentang perkara tersebut dan menyifatkan apa yang dilaksanakan oleh negeri Perlis lebih kepada langkah pencegahan terhadap isu terbabit. "Kita pun sentiasa memantau perkara ini dan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tentang kehadiran golongan ini di masjid. Tetapi, kalau kereka hadir untuk bertaubat itu tidak apa, cuma kalau hadir tujuan lain memang tak patut. "Insya-Allah kita teliti untuk kita laksanakan. Saya bercakap dalam konteks Wilayah Persekutuan itu dalam bidang kuasa kita, adapun pada peringkat negeri-negeri itu terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing," katanya. Tambahnya, jika ada pencerobohan sebegitu oleh kumpualn transgender yang hadir ke masjid dan memilih tempat-tempat yang berbeza dari yang ditetapkan bagi mereka, kes sebegitu bukan lagi digalakkan malah memang perlu untuk dibuat peraturan sebegitu. Terdahulu, berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/ 2021 pada 23 dan 24 Jun lalu, Negeri Perlis melarang golongan transgender memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina. Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.    
24 Sep 21
437
Terengganu Sedia Laksana Hudud, Tunggu Isyarat Persekutuan
Terengganu Sedia Laksana Hudud, Tunggu Isyarat Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Terengganu bersedia melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) 2002 sebaik sahaja cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebahagian Rang Enakmen hasil pimpinan kerajaan PAS terdahulu telah berjalan mengikut bidang kuasa sedia ada seperti menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. “Kita sedia maklum empat undang-undang yang sekarang diselia di peringkat persekutuan. “Pelaksanaan ini akan melibatkan kadar populasi 96 peratus Melayu Islam tanpa berkait dengan mereka yang bukan Islam, ini kerana ia merupakan satu ibadah dan tuntutan buat seorang muslim. “Buat masa kini kita memaksimakan penggunaan peruntukan 356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini. Tambahnya, penerangan menerusi bengkel dan sesi dialog sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai jabatan penguatkuasaan, pendakwaan dan hakim mahkamah Syariah. “Kita bergerak secara berperingkat dan tahun hadapan pihak kami akan mempertingkatkan pelaksanaan di bawah bidang kuasa bagi memberi pendidikan dan penjelasan buat masyarakat. “Insya-Allah Terengganu akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan hudud mengikut peruntukkan yang diizinkan dan proses ini sentiasa diteliti bagi mengelakkan konflik dengan undang-undang sivil di peringkat persekutuan,” katanya lagi. Jelasnya lagi, Terengganu juga sedang menaiktaraf infrastruktur seperti mahkamah Syariah kepada empat lapisan serta kaedah-kaedah teknikal sedang dikemaskini. Terbaharu, cadangan dua RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke perundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary. Untuk rekod, RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
15 Sep 21
2729
RM1.14 Juta Disalurkan Ke Sekolah Agama, Pondok
RM1.14 Juta Disalurkan Ke Sekolah Agama, Pondok
KUALA TERENGGANU, 2 September - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.14 juta tahun ini bagi memastikan sekolah pondok dan sekolah agama di negeri Terengganu dapat terus beroperasi. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, sebanyak 18 sekolah pondok membabitkan 2,365 pelajar menerima bantuan sebanyak RM880,000 manakala RM260,000 disalurkan kepada tiga sekolah agama rakyat membabitkan seramai 701 pelajar. MAIDAM kini dalam proses menyiasat beberapa lagi sekolah menengah dan sekolah pondok yang memohon untuk mendapatkan bantuan. "Hingga akhir bulan lalu, kita sudah menyalurkan bantuan RM1.14 juta kepada 21 sekolah pondok dan sekolah agama membabitkan keseluruhan seramai 3,066 pelajar," katanya. Bantuan hanya disalurkan kepada sekolah agama dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan menepati syarat dan garis panduan yang ditetapkan MAIDAM. "Sepanjang tahun lalu kita menyalurkan bantuan keseluruhan RM2.195 juta kepada 31 sekolah pondok dan tujuh sekolah agama membabitkan seramai 5,827 pelajar," katanya. Untuk info, rakyat Terengganu boleh membayar zakat anda melalui https://ezakat.maidam.gov.my/online/.
02 Sep 21
817
Mantan Mufti Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Mantan Mufti Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Mantan Mufti Negeri, Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abd Kadir telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu bersempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1443H/2021M. Anugerah tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dalam Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan atas talian, semalam. Menurut Abdul Halim, penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan buat dirinya dalam dunia keilmuan Islam. "Syukur kepada Allah SWT, dan saya mengucapkan seribu penghargaan kepada kerajaan negeri dan barisan penganjur atas penghargaan ini," katanya menerusi siaran langsung di TVDI. Beliau yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) sejak tahun 2007 membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Piala Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021M dan Sijil Penghargaan. Menurut JHEAT, latar belakang pendidikan Abdul Halim bermula dengan pendidikan awal di pondok Jertih dan kemudian memperoleh pendidikan di peringkat menengah rendah di Sekolah Darul Ulum, Mekah al-Mukarramah dari tahun 1953 hingga 1956. Dari tahun 1960 hingga 1965, beliau menuntut di Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1966, beliau mendapat Diploma Pendidikan di universiti yang sama. Beliau juga turut aktif menyumbang tenaga dalam aktiviti luar sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Bharu, Kelantan (1957-1978), Pengerusi ABIM Wilayah Persekutuan (1981-1988) dan Pengerusi Persatuan Ulama’ Wilayah Persekutuan (1984-2000 kecuali tahun 1993-1994). Pada tahun 2000, beliau dilantik secara kontrak sebagai Mufti Kerajaan Negeri Terengganu sehingga 2004. Abdul Halim telah dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 20 Julai 2003. Dalam pada itu, Imam Masjid Kampung Rawai, Marang, Abd Wahab Muhammad telah dinobatkan sebagai Tokoh Imam Cemerlang dan dihadiahkan wang tunai RM5,000, Piala Tokoh Maal Hijrah serta sijil penghargaan. Manakala, Tokoh Bilal Cemerlang pula dianugerahkan kepada Mohd Puteh daripada Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus yang turut menerima dihadiahkan wang tunai RM5, 000, Piala Tokoh Maal Hijrah dan sijil penghargaan.
10 Aug 21
1167
Selawat 'Tafrijiyyah' Suatu Kelainan Sambutan Tahun Baru Di Masjid Abidin
Selawat 'Tafrijiyyah' Suatu Kelainan Sambutan Tahun Baru Di Masjid Abidin
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Sambutan ambang awal Muharram disambut secara sederhana di Masjid Abidin (Masjid Negeri) dengan memperkenalkan suatu pendekatan yang berbeza pada kali ini melalui Selawat 'Tafrijiyyah'. Ketua Eksekutif Masjid Abdin, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim berkata pemilihan selawat berkenaan adalah kerana ia memiliki keistimewaan tersendiri di samping memiliki pengertian yang sangat baik untuk memohon kepada Allah agar dilepaskan daripada wabak pandemik Covid-19 dan juga dihindari daripada perasaan keluh kesah. "Ia memberikan suatu kombinasi yang sangat hebat, antara doa, beristighfar dahulu selepas solat, maka kata ulama gabungan ini menjadi sesuatu yang sangat baik untuk berharap dan mengadu kepada Allah SWT agar diamakbulkan segala hajat. "Pendekatan ini diambil bukan kerana selawat yang biasa kita amalkan tidak baik, tetapi kebetulan malam ini merupakan malam yang sangat istimewa sebagai suatu permulaan untuk bermunajat kepada Allah SWT.  "Selain daripada berusaha melalui pengambilan vaksin, pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), kita juga perlu sedar adanya hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah kita. "Kerana itu pada malam ini (semalam) di samping solat secara berjemaah dan berdoa, turut dibuat kelainan melalui selawat ini, selepas solat Isyak dengan diulang sebanyak tujuh kali agar jemaah yang hadir dapat membacanya dengan lancar juga dapat menghayatinya dengan baik," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Sambutan Ambang Awal Muharram 1443 Hijriah, di sini, semalam. Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan itu katanya, meskipun berada dalam suasana diancam pandemik Covid-19 dengan kebenaran jemaah hadir mengikut keluasan masjid, ia tetap mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.  "Perjalanan program yang telah diatur sangat baik dengan agenda yang telah disusun bermula sebelum maghrib dengan bacaan Surah Al-Fath secara taranum oleh Qari negeri iaitu, Ustaz Abdul Hadi Che Ab Halim, juga mengaminkan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Imam Khas Masjid Abdin, Syeikh Mohamed Abdel Hamid Kulaib Al-Azhari. "Kemudian selepas solat Maghrib diteruskan lagi oleh Syeikh Mohamed Abdel dengan bacaan doa awal tahun dan diteruskan tawajjuh melalui surah Yassin dipimpin oleh saya memohon agar kita semua diberikan perlindungan daripada wabak yang sedangan kita hadapi pada hari ini," ujarnya. Beliau turut berharap agar bulan berkenaan menjadi suatu titik permulaan untuk menjani kehidupan yang  lebih baik dengan meningkatkan amalan dan ketakwaan. Di samping mendoakan agar wabak ini akan segera berakhir serta masyarakat di negeri ini akan kembali menjalani kehidupan secara normal.      
10 Aug 21
1075
Jemaah Malaysia Dijangka Tunai Umrah Akhir Tahun Ini
Jemaah Malaysia Dijangka Tunai Umrah Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan umrah dijangka dapat melakukan ibadah tersebut akhir tahun ini selepas Arab Saudi mengumumkan ibadah itu dibuka semula kepada jemaah dari negara tertentu, bermula 10 Ogos depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun jangkaan itu tertakluk kepada kebenaran daripada dua negara dan situasi kes jangkitan Covid-19 di negara ini. Selain kebenaran pihak Arab Saudi, semua pihak perlu akur dengan pendirian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan lain demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia. "Jika sebelah Arab Saudi terima (buat umrah), kita pula perlu bersedia akur pendirian MKN yang mungkin ada pertimbangan lain untuk jaga keselamatan dan kesihatan semua pihak. "Saya baru berbincang dengan Duta Besar Arab Saudi semalam dan alhamdulillah Malaysia sudah mendapat kebenaran memohon visa pelancongan ke Arab Saudi. "Walau macam mana pun, kita kena tunggu dan mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa termasuk kebenaran melakukan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan. "Kita harap sehingga tempoh tersebut isu berkaitan penyebaran Covid-19 dapat diredakan sebaik mungkin dengan rakyat mematuhi SOP. "Pada masa sama vaksinasi di negara ini dapat berjalan pada kadar maksimum. Jika hal ini kita dapat selesaikan dengan baik jadi untuk kita mengunjungi Tanah Suci Mekah tahun ini dapat direalisasikan insya-Allah. "Saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi kita sudah ada keputusan daripada kedua negara termasuk pihak MKN," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan kepada Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang, hari ini. Hadir sama dalam serahan sumbangan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ismail Osman.
05 Aug 21
614