Artikel "Agama" Terkini
Kempen Solat 'Gegarkan' Pasar Raya Terkemuka
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Kempen Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) digerakkan kerajaan Terengganu termasuk di pasar raya terkemuka di sini mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata inisiatif yang dilakukan pihaknya itu adalah untuk memastikan rakyat di negeri ini tidak leka untuk mendirikan ibadat berkenaan yang menjadi tunjang penting dalam kehidupan umat Islam.
"Malam ini kita telah turun ke lapangan mengadakan 'street dakwah' bagi mendekati seramai mungkin pengunjung untuk disebarkan risalah agar mereka mengetahui tentang program BPIS yang secara ringkasnya disebut 'Jom Solat Berjemaah'.
"Saya mewakili pihak kerajaan berharap dengan inisiatif serta pendekatan yang diambil akan mampu mendidik masyarakat untuk sentiasa menghidupkan ibadat ini dengan sembahyang pada awal waktu dengan sentiasa menjaganya serta berusaha untuk memastikan ia dilakukan dengan sempurna dan mengerjakannya secara berjemaah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menghadiri Kempen BPIS, di Pasar Raya Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Giat Hypermarket Kuala Terengganu, dan Mydin Mall Kuala Terengganu di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Mengulas lanjut, Mohd Nor merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak pusat beli belah kerana telah membantu pihak kerajaan bagi memperhebatkan semarak dakwah bagi tahun ini.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam melaksanakan program ini kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menunaikan hasrat kerajaan ingin memastikan rakyat negeri ini hidup maju, berkat dan sejahtera berpandukan ajarana Islam kerana itu kerja dakwah ini menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan,"ujarnya.
22 Feb 22
1137
Jelajah Untukmu Wanita : Jadikan Satu Budaya Tak Lari Dari Syariat
DUNGUN, 22 Februari - Generasi kaum hawa pada hari ini disarankan agar mencari ilmu dan menjadikan ia sebagai satu budaya harian.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ilmu pengetahuan penting dalam membina jati diri golongan itu agar terus segar, semarak dan rancak.
"Pelaksanaan program Jelajah Untukmu Wanita diharapkan dapat membentuk dan mendidik jiwa wanita dan masyarakat di Terengganu dengan cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT.
"Ini juga bertujuan melahirkan generasi wanita yang mendekatan diri kepada Allah SWT secara seimbang dan berterusan dalam konteks dunia dan akhirat," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas program Suara Hati Wanita yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam.
Katanya lagi, program tahunan yang diadakan kali ketiga itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada kaum wanita dan masyarakat.
"Wanita itu tiang negara, apabila baik wanitanya maka baiklah sesebuah negara. Begitulah besarnya kepentingan wanita dalam pembinaan generasi masyarakat yang bertamadun.
"Kesedaran betapa pentingnya mendidik wanita ini menatijahkan program ini membawakan ikon pendakwah wanita yang sangat dekat kepada masyarakat iaitu Ustazah Datuk Nor Hafizah Musa," ujar beliau.
Justeru itu, beliau berharap program kali ini dapat mempersiapkan wanita dengan ilmu agama, kerohanian, pengurusan emosi dan diri yang baik sehingga dapat melahirkan generasi wanita Terengganu yang maju berkat dan sejahtera.
"Membimbing wanita menjalani kehidupan yang seimbang dunia dan akhirat.
'Mendidik wanita menjadi lebih kuat dan berani mendepani cabaran mendatang," tambah Sakinah lagi.
22 Feb 22
286
BPIS Ajak Rakyat Hayati Kefarduan Solat
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Kerajaan negeri meneruskan program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bagi mengajar seluruh rakyat agar menghayati kelebihan serta manfaat daripada kefarduan yang dikhususkan kepada seluruh umat islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata program berkenaan akan dirancakkan bermula Mac dengan pelbagai pengisian menarik.
"Ia akan dirasmikan bermula 1 Mac dengan program solat tahajud, kemudian solat Subuh secara berjemaah dan akan ada sedikit tazkirah beserta ucapan perasmian.
"Kempen ini sebagaimana kelaziman adalah suatu usaha yang diambil oleh kerajaan negeri untuk menghebahkan mengenai kepentingan ibadat solat ia merupakan kewajipan yang dituntut dalam agama Islam maka perlu dipelihara dengan sebaiknya-baiknya," ujarnynya dalam satu kenyataannya, di sini semalam.
21 Feb 22
318
Terengganu Perkemas Strategi Didik Wanita Berhijab Sempurna
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam negeri ini menerusi usaha dakwah jalanan di kesemua lapan daerah bermula bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, usaha menyantuni kaum hawa muda serta penjawat awam dari Kemaman sehingga Besut adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Hijab Terengganu 2022.
“Gelombang ini akan digerakkan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita.
“Selain itu, stokin tangan dan tudung juga akan diedarkan secara percuma di kawasan tumpuan masyarakat seperti di pusat membeli belah dan pesisir pantai.
“Inisiatif ini adalah tanda prihatin bahawa kerajaan bersama dengan rakyat, tepat dengan usaha memudahkan wanita Terengganu menyempurnakan pemakaian hijab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas majlis perasmian Terengganu Hijab Day bertempat di Dewan Perpustakaan Negeri Terengganu, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah USWa, Wan Nur Sakinah Din.
Menjelaskan tentang perancangan masa hadapan, Zuraida berkongsi pembikinan garis panduan pakaian patuh syariah melibatkan pelbagai sektor seperti sukan, sukan perairan, hiburan dan pelancongan.
“Pihak kami masih meneliti dan mengambil kira pandangan golongan wanita dan pelbagai pihak bagi memastikan kaedah terbaik tanpa mengabaikan tuntutan syariah dan urusan kerja.
“Setelah diutarakan dalam Sidang DUN baru-baru ini, pemerkasaan garis panduan ini tidak drastik kerana kita tidak mahu ada unsur paksaan,” katanya lagi.
Sementara itu, acara kemuncak Sambutan Terengganu Hijab Day 2022 mendapat sambutan menggalakkan daripada kaum wanita.
Ia diisi dengan aktiviti menarik seperti pertandingan persembahan fesyen bertemakan batik, gerai jualan dan forum 'hijabista'.
12 Feb 22
901
USWa Sokong Pelaksanaan Syariah Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyokong tindakan kerajaan negeri mengambil berat dan mengutamakan pelaksanaan syariah Terengganu dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, dengan pelaksanaan tersebut akan membawa rakyat negeri ini hidup dan mengamalkan ajaran Islam yang benar.
“Sebenarnya pelaksanaan syariah negeri Terengganu sedang giat diusahakan dan insya-Allah selepas kita menghadapi dua tahun pandemik COVID-19.
"Kita akan rancakkan kembali pelaksanaan konsisten syariah dan dakwah kepada rakyat yang kini juga sedang bergerak secara berperingkat.
"Saya mengucapkan tahniah kepada usaha-usaha kerajaan laksanakan dalam memastikan pelaksanaan Syariah di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, semalam.
Menurutnya, pelaksanaan peraturan Islam ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaannya supaya rakyat Terengganu terjamin, terpelihara dan dilindungi oleh Allah.
“Mungkin peringkat pertama dan fasa awal ini kita beri (nasihat), kita tak terus kepada penguasaan undang-undang atau beri hukuman tetapi kita beri kepada pendidikan dan kesedaran.
“Fokus utama adalah bagi memastikan rakyat faham kenapa perlu mengikut garis panduan yang Islam telah tetapkan,” ujar Sakinah.
Katanya lagi, pendekatan menyampaikan pendidikan dan kesedaran boleh diperluaskan pada pelbagai peringkat bermula seawal bangku sekolah hingga ke peringkat seterusnya.
“Jadi tahun ini alhamdulillah kempen kesedaran dan juga semarak dakwah akan terus digiatkan yang akan dimainkan pelbagai pihak, agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Insya-Allah ini adalah usaha daripada kerajaan negeri untuk kita satu padukan agensi dan jabatan serta NGO dalam kerja dakwah kepada rakyat,” katanya lagi.
08 Feb 22
451
Pengamal Perubatan Disaring Bendung Amalan Khurafat
KUCHING,1 Februari - Mantan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berharap agar kerajaan negeri melalui jabatan berkenaan terus menyaring pengamal perubatan Islam bagi membendung amalan khurafat dan syirik.
Katanya, siasatan sebelum ini mendapati segelintir mereka yang mendakwa mengamalkan perubatan Islam turut melakukan perbuatan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar
"Sebagai contoh yang terkenal adalah melakukan rawatan secara batin menggunakan bantuan jin dan seumpamanya, ini boleh memesongkan akidah masyarakat Islam.
"Walaupun ia sukar dikesan terutama apabila telah mendapat tempat dalam kalangan anggota masyarakat namun usaha melalui penyelarasan jawatankuasa pemantau pengamal perubatan berkenaan diperkasakan bagi mengelakkan daripada ia terus berleluasa," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Lawatan Penanda Aras Ke Jabatan Agama Islam Sarawak, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Timbalan Pengarah 1 JAIS, Ahmad Sukarno Saini, Ketua-ketua Bahagian JAIS serta Ahli Jawatankuasa Pemantau Perawatan Islam (Ilaj Syarie) Negeri Terengganu.
Mengulas lanjut, Mat Azmi Arshad berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh membawa kepada kes jenayah seperti cabul.
"Kerana itu jawatankuasa ini akan dilaksanakan agar tiada lagi pengamal perubatan seperti ini dan senarai nama-nama mereka yang bertauliah dalam bidang ini akan dipamerkan untuk perhatian masyarakat," ujarnya.
Bercakap mengenai lawatan kerja ke Sarawak, beliau berkata, ia bagi melihat tatacara pelaksanaan jawatankuasa perubatan secara Islam di negeri terbabit.
"Melalui jawatankuasa khusus ini mereka telah menilai serta memastikan pengamal perubatan Islam di negerinya mematuhi garis panduan bagi memastikan rakyat tidak tertipu.
"Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, Jabatan Imigresen, mereka telah berjaya membendung amalan salah ini kerana pemantauan secara bersepadu, ini yang kita ingin laksanakan di negeri kita.
"Jadi perkara ini adalah penting dan ia merupakan inovasi bagi JHEAT untuk menyelesaikan masalah masyarakat, saya harap ia akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin serta kerajaan melalui jabatan ini akan sentiasa komited untuk sentiasa berusaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
31 Jan 22
1986
Kerjasama Dakwah Terengganu-Sarawak Diperkukuh
KUCHING, 1 Februari - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agamanya (JHEAT) berhasrat menjalinkan hubungan erat dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi saling bertukar pandangan dan berkongsi idea dalam merangka strategi pemerkasaan dakwah demi kebaikan seluruh rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata hasil kunjunganya ke Sarawak beberapa pandangan dalam beberapa perkara berkaitan hal ehwal agama akan diberi perhatian secara khusus.
"Kita telah diberikan taklimat serta mendengar usaha yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam lawatan ke JAIS pada kali ini untuk dimanfaatkan diantaranya ialah pemerkasaan garis panduan berkait hal ehwal perubatan Islam.
"Selepas ini kita akan memperkasakan jawatankuasa pemantauan bagi pengamal perubatan Islam ini untuk peringkat negeri Terengganu agar rakyat mendapat rawatan daripada mereka yang benar-benar memiliki tauliah,bukan daripada mereka yang mengamalkan ajaran salah yang berselindung di sebalik nama.
"Insya-Alllah banyak perkara yang kita perolehi dan pelajari daripada kunjungan pada kali ini, dari sudut pemerkasaan dakwah kita boleh ambil dan pelajari dari pengalaman yang mereka ada, Sarawak ini dari sudut dakwah agak unik serta mencabar," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Majlis Islam Sarawak, di sini, pada semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Mufti, Mual Suaud.
Dalam pada itu, Misnu mewakili kerajaan Sarawak menyambut baik kedatangaan kerajaan Terengganu serta mengalu-alukan delegasi negeri itu dalam membuka ruang serta kerjasama yang lebih erat dua belah pihak.
"Saya beranggapan bahawa ia merupakan satu penghargaan, banyak perkara yang telah dibincangkan dan ini merupakan satu usaha untuk mewujudkan ruang kerjasama di mana banyak perkara akan dilakukan pada masa akan datang.
"Terutama daripada segi pendidikan di negeri Terengganu kita dapati ia lebih maju dari sudut berkenaan mungkin kerajaan Terengganu akan dapat membantu kita dalam memberikan pandangan serta idea yang baik untuk kita laksanakan di sini," katanya.
Berkongsi mengenai hala tuju pada masa akan datang katannya, MAIS mempunyai hala tujunya yang tersendiri menjelang 2030 dalam memperkasakan ummah di negeri terbabit.
"Dalam usaha mengembangkan dakwah, apa yang kita tekankan adalah dengan meningkatkan kefahaman umat Islam, walaupun hanya minoriti namun kita akan berusaha memperkasakan mereka agar menjadi lebih berkualiti.
"Dalam memastikan usaha dakwah sentiasa mekar dan subur, kita mempunyai jawatankuasa penyelarasan dakwah, umpamanya Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH),serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang sentiasa berusaha menyebarkan Islam di negeri ini terutamanya di kawasan pedalaman dengan gerakan bersepadu," katanya.
Dalam pada itu pihaknya juga turut berharap agar kerajaan Terengganu turut membantu dalam mengerakkan dakwah di negeri tersebut, agar lebih efektif dan ramai rakyat di negeri itu akan mendekati Islam.
31 Jan 22
359
Kit Pengurusan Jenazah Percuma Buat Warga Buluh Gading
KUALA NERUS, 30 Januari - Melihat kepada kos pengurusan kematian yang tinggi dewasa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim mengambil inisiatif proaktif dalam menyediakan kit pengurusan jenazah percuma bagi meringankan beban masyarakat Islam setempat.
Katanya, pihaknya amat memahami kos-kos berkaitan dalam pengurusan satu-satu kematian memakan sejumlah wang yang banyak.
“Oleh itu, kita telah putuskan untuk membekalkan perkakasan pengurusan jenazah secara percuma di Buluh Gading bermula pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Kit Pengurusan Jenazah peringkat DUN beliau, baru-baru ini.
Jelas beliau, set tersebut keperluan asas seperti kapas, kain kafan, setanggi, kapur barus dan air mawar yang digunakan untuk proses kafan jenazah dan kos setiap kit ini dianggarkan bernilai sekitar RM70.
“Tidak kira apa golongan sekalipun, B40 atau M40, miskin ataupun kaya, semua peringkat masyarakat kita akan usahakan.
“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban kewangan dan memudahkan urusan keluarga si mati,” tambahnya lagi.
Ridzuan juga menyarankan agar setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat menubuhkan badan khairat kematian dalam kampung masing-masing.
“Dengan penubuhan tersebut, ia cukup memberi kesan positif kepada setiap penduduk kampung serta merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
“Dengan adanya badan khairat kematian, pembiayaan pengurusan setiap kematian akan dapat ditampung dan peserta pula akan berpeluang untuk mendapat duit sumbangan,” jelasnya.
30 Jan 22
304
Awas Kaki Ponteng Solat Jumaat!
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Kaki ponteng solat Jumaat di Terengganu diberi amaran keras agar tidak terus melakukan perbuatan itu selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mula menggiatkan operasi pencegahan.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md Adnan Abdullah berkata, pada Jumaat lepas pihaknya bersama 22 Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Ibu Pejabat dan Dungun telah turun padang melakukan tinjauan di kawasan tumpuan orang ramai.
Katanya, operasi bermula pada jam 11.00 pagi itu mengfokuskan lokasi sekitar Pantai Sura, Pantai Teluk Gadong, Taman Arena Merdeka, Taman Permainan Masjid an-Naim dan Pantai Teluk Lipat.
“Kita turun padang mendekati golongan ini dan menasihatkan mereka menunaikan solat Jumaat. Ada sesetengah mereka ini menunaikan solat Jumaat namun dilihat melengah-lengahkan masa untuk masuk ke masjid berhampiran.
“Kami tidak teragak-agak untuk menangkap mereka. Tangkapan yang dilakukan bukan untuk menghukum atau memalukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kewajipan sebagai seorang Muslim,” katanya kepada UPDI hari ini.
Ujarnya, kaki ponteng jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Md Adnan turut berkata, selepas Solat Jumaat anggota PPS telah mengadakan operasi pemeriksaan berwaran ke atas premis-premis hotel dan rumah tumpangan di daerah Dungun.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan berjaya menahan sepasang kekasih kerana disyaki berkhalwat.
“Pasangan terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 atas perbuatan itu,” tambah beliau.
25 Jan 22
1252
Operasi Cegah Maksiat Lebih Rancak Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Operasi Pencegahan maksiat di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2001 di Terengganu pada tahun ini dijangka akan lebih rancak.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, tahun terdahulu pihaknya lebih menumpukan kepada aspek pendidikan bagi memastikan rakyat mengetahui dan memahami setiap perbuatan yang menjadi kesalahan jenayah syariah.
“Sebelum ini operasi pencegahan tetap ada, tetapi kerajaan lebih mengfokuskan untuk mendidik rakyat dahulu sebelum melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya.
“Insya-Allah operasi, kempen dan program penguatkuasaan yang dianjurkan kali ini akan melibatkan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai media rasmi.
“UPDI akan bertindak untuk menghebahkan program dan laporan operasi yang dilaksanakan JHEAT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UPDI selepas melakukan kunjungan hormat di Pejabat UPDI di sini semalam.
Mengulas lanjut Md Adnan berkata, penglibatan media atau UPDI sangat penting dalam memastikan segala kerja yang dilaksanakan pihaknya diketahui masyarakat umum.
“Jika tiada hebahan di media sosial, orang ramai tidak takut dan merasa bebas untuk melakukan perkara yang dilarang dan menganggap mereka tidak melakukan jenayah syariah.
“Kerjasama ini juga akan memastikan kempen tahun penguatkuasaa syariah atau kempen indahnya hidup bersyariah turut disambut baik oleh rakyat di Terengganu,” jelasnya.
20 Jan 22
1910