Artikel "Agama" Terkini
Terengganu Laksana Solat Tanpa Penjarakan Bermula 1 April
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Solat Jumaat dan berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Terengganu selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.
Kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, jemaah tidak perlu membawa sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid atau surau.
Berita lanjut menyusul.
20 Mar 22
1254
Ihya' Ramadan: Kerajaan Salur RM986,800 Untuk Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Kerajaan negeri mengagihkan peruntukan sebanyak RM986,800 kepada masjid dan surau terpilih di seluruh Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi majlis berbuka puasa sempena Ramadan.
Penyerahan tersebut disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar dalam Majlis Perasmian Ihya’ Ramadan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, penganjuran programogram Ihya’ Ramadan merupakan salah satu komitmen kerajaan bagi melahirkan rakyat yang bertakwa selaras dengan syariat kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan.
“Kita berharap program yang disusun dapat memupuk penghayatan bulan Ramadan yang mengandungi banyak ganjaran serta kebaikan.
“Pihak kerajaan optimis dengan penganjuran ini mampu melonjakkan samangat dalam mengejar kemuliaan bulan penuh keberkatan ini,” tambahnya dalam ucapan perasmian hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin serta barisan EXCO kerajaan negeri.
17 Mar 22
916
Anak Terengganu Jadi Imam Masjid Di Eropah
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Seorang anak jati negeri Terengganu, Abdul Muhaimin dilantik bertugas sebagai Imam Besar di Kampung Stevenage, England.
Dia yang menamatkan pengajian dalam bidang Hadis di Universiti Darul Ulum, Newcastle berhasrat untuk menetap di sana serta mengambil peluang berdakwah di Eropah.
Abdul Muhaimin yang berasal dari Manir, Kuala Nerus merupakan seorang penghafal Quran dan amat mesra dengan para jemaah di sana.
Menurut satu kenyataan, dia telah berjaya menarik ramai komuniti sekitar memeluk Islam dengan penuh hikmah serta membimbing mereka mendalami agama dengan baik.
Lebih istimewa dia mengekalkan bawaan Mazhab Syafie atas permintaan pengurusan masjid berbanding Mazhab Hanafi di kebanyakan masjid yang menjadi amalan di sana.
14 Mar 22
804
Pembebasan Al-Quds Isu Akidah Yang Wajib Diperjuangkan
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan bahawa isu pembebasan Al-Quds merupakan isu akidah yang wajib diperjuangkan sehingga umat Islam berjaya mengecap kemenangan.
Tambah beliau, isu pembebasan Al-Quds ini bukan sahaja isu rakyat Palestin atau serantau Arab semata-mata tetapi ia juga merupakan isu kemanusiaan yang wajar disambut diperingkat global.
“Minggu Al-Quds Sedunia ialah satu inisiatif yang digerakkan serentak di serata dunia bagi mencetuskan gelombang kesedaran berkenaan perjuangan pembebasan Al-Quds dan Palestin.
“Alhamdulillah, sepanjang kita melangsungkan program ini saya telah menerima mesej daripada rakan-rakan di Turki, Jordan, Tunisia, Pakistan dan lain-lain lagi yang begitu bersemangat melihat bagaimana sambutan yang diadakan di peringkat Malaysia,” katanya dalam Majlis Kemuncak Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia di Dewan Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Dato' Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap agar usaha kecil ini dapat menjadi pemacu bagi membangkitkan rasa cinta dan kasih kepada Al-Quds.
Majlis tersebut turut diisi dengan sebuah forum bersama aktivis Malaysia di Palestin, Nadir Al-Nuri yang berkongsikan ilmu serta pengalaman sepanjang berada di sana.
Di samping itu, majlis tersebut juga dimeriahkan lagi dengan persebahan oleh kumpulan Inteam dan deklamasi sajak oleh Bonda Nor dan Haji Rafi.
07 Mar 22
340
Jalinan Kerjasama Masjid, AADK Dekati Komuniti Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Satu Program 'Community Empowerment' telah diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Isra’ Mikraj di Masjid Tengku Nik Haji, Batu Buruk anjuran pihak masjid tersebut dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Majlis tersebut telah dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti kuliah maghrib khas bersempena peristiwa Isra' dan Mikraj yang disampaikan oleh Pegawai Agama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), Ustaz Syukri Harun.
Seterusnya, Penolong Pegawai AADK, Wan Mohd Nazarnoor Wan Ramli telah menyampaikan taklimat kepada jemaah masjid yang hadir.
“Kehadiran kita pada malam ini ialah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya dadah.
“Di samping itu, pihak kami juga telah mengedarkan nombor talian ‘hot line’ bagi memudahkan orang ramai untuk membuat aduan,” kata Wan Mohd Nazarnoor dalam ucapannya.Beliau juga menjawab beberapa soalan yang ditanya oleh hadirin yang hadir baru-baru ini.
Taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai AADK
Majlis tersebut juga telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Kita sebagai orang Muslim bukan sahaja perlu menjadi seorang yang soleh, tetapi juga perlu menjadi orang musleh untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.
“Justeru, majlis yang diadakan pada malam ini sangat bermanfaat dan semoga ia dapat diamalkan dalam kehidupan kita,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapan beliau.
Tambahnya, beliau mengucapkan tahniah atas penganjuran ini dan terima kasih atas jemputan.
Di samping itu, majlis tersebut juga telah dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah dan pameran yang telah disediakan oleh pihak AADK.
ADUN Batu Buruk Menyampaikan Ucapan
02 Mar 22
583
BPIS: Usaha Dakwah Kerajaan Sejak 2019
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Ibadat solat merupakan kefardhuan paling asas bagi seorang Muslim yang turut menjadi tanggungjawab pemerintah untuk tidak mengabaikan pensyariatan ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin berkata kempen tahunan itu diatur bagi memupuk kesedaran dan kefahaman ibadat solat yang menjadi penghubung kepada Allah.
“Kerajaan negeri memulakan usaha ini sejak 2019, namun kekangan pandemik membataskan penganjuran pada sesi lalu sehingga tahun ini pelancaran dan program mampu dilaksanakan secara fizikal.
“Kempen ini turut melibatkan kerjasama di peringkat agensi kerajaan, institusi pendidikan serta masjid bagi meluaskan sasaran dakwah kecintaan masyarakat terhadap solat,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) tahun 2022 peringkat negeri Terengganu di Masjid Kampung Tanjung Sabtu, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Ridzuan Hashim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Buluh Gading.
Dalam ucapan perasmian tersebut, Mohd Nor berpesan agar semua bahagian masyarakat turut serta dalam memupuk budaya solat berjemaah di masjid atau surau sebagai salah satu memupuk keharmonian sesama masyarakat.
Majlis perasmian itu diadakan seawal jam 4 pagi yang dimulai dengan solat sunat tahajud secara berjemaah.
02 Mar 22
393
'Solat' Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga
KUALA NERUS, 1 Mac - Ibadat solat merupakan kunci serta rahsia kebahagian dalam sesebuah rumahtangga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata oleh kerana itu kerajaan berusaha mengadakan kempen Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) agar timbul kesedaran dalam masyarakat untuk menjalankan kewajipan tersebut.
"Terbentuknya sebuah masyarakat yang hebat bermula daripada rumah, dengan suami menyuruh atau mendidik isteri dan anak-anaknya menjaga solat kerana daripada situ akan terbentuknya sebuah masyarakat yang baik.
"Kempen yang digerakkan ini berhasrat untuk membangunkan modal insan serta mendidik mereka agar mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan hadir pada majlis ilmu kerana ia menjadi aspek kemajuan kepada negeri ini.
"Kemunduran sesebuah negara atau negeri bukannya diukur melalui tertegaknya bangunan tinggi tetapi apabila masyarakatnya jauh daripada masjid," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tajung Sabtu, di sini, pada hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hasim dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata majlis yang dimulakan dengan Solat Tahajud dan Solat Hajat secara berjemaah adalah bagi mendidik seluruh rakyat di negeri ini agar memperbanyakkan ibadat sunat pada waktu malam kerana mengandungi hikmahnya cukup besar.
"Inilah yang dididik oleh Rasulullah kepada para sahabatnya sehingga menjadi generasi yang terhebat dalam sejarah kegemilangan Islam dan juga disampaikan oleh baginda melalui khutbahnya kepada sahabat apabila sampai ke Madinah dalam peristiwa hijrah.
"Dengan bangun solat pada waktu malam, di waktu ramai yang sedang tidur lena mampu melahirkan kembali masyarakat Islam yang hebat sebagaimana ketika era keemasan pemerintahan Islam.
"Ia juga menjadi perantara seorang hamba kepada Allah untuk mengadu dan merintih bertaubat dan meminta agar wabak Covid-19 ini segera diangkat," ujarnya.
01 Mar 22
456
Minggu Al-Quds : Bangkit Kesedaran Rakyat Bebaskan Palestin
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah telah melancarkan sambutan Minggu Al-Quds pada Jumaat lalu bagi membangkitkan kesedaran tentang perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada rejim Israel.
Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sambutan tahun ini diadakan dalam skala lebih besar denganmelibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, tanggungjawab serta kepentingan membesarkan bumi Palestin itu bukan hanya perlu disedari oleh orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam kerana ia turut membabitkan isu kemanusiaan.
"Harapa saya sangat tinggi agar seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama membantu dan berkerjasama bagi membebaskan Baitulmaqdis ini yang sekian lama kita melihat rakyat Palestin berada dalam kesengsaraan kerana dizalimi Zionis Yahudi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Al-Quds yang disempurnakan perasmiannya oleh Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di Dataran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini, pada kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Pelancaran minggu Al-Quds tersebut turut diserikan dengan gimik perasmian dengan pelepasan 500 peserta konvoi bermotorsikal, pacuan empat roda dan juga berbasikal.
Selain itu, program kemuncaknya pada 5 Mac nanti di Putrajaya akan turut melibatkan pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dengan aktiviti mewarna, memanjat bukit serta pelbagai aktiviti lagi dalam usaha mendidik masyarakat agar peka dengan isu yang melanda di Palestin.
"Kita berhasrat pada awalnya untuk turut mengadakan Le tour De Al-Quds yang konsepnya seperti Le Tour De Langkawi, dimana penunggang basikal akan mengelilingi seluruh Malasyia namun kerana masih lagi bimbang dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang masih melanda jadi kita tangguhkan dahulu.
"Pada tahun akan datang kita pastikan ia lebih meriah,"ujarnya Muhammad Khalil.
Justeru, pihaknya berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama berkongsi rasa dalam menjayakan program berkenaan dalam memperteguh solidariti Al-Quds dengan umat Islam di Palestin.
27 Feb 22
339
Rakyat Terengganu Dibenar Solat Jumaat Tanpa Dos Penggalak
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Rakyat Terengganu yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih walaupun belum disuntik dos penggalak.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, walau bagaimanapun kelonggaran itu tidak sepatutnya menjadi 'lesen' untuk orang ramai mengabaikan tanggungjawab mendapatkan dos penggalak.
Katanya, orang ramai tetap digalakkan mendapatkan suntikan dos terbabit.
"Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera masih dikekalkan kepada setiap ahli jemaah.
"Mereka juga wajib merekodkan butiran peribadi seperti menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.
Mengulas lanjut Shaikh Harun berkata, sebelum ini Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan agar semua masjid berusaha menambahkan bilangan jemaah solat Jumaat.
“Pihak masjid perlu menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.
“Masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.
"Mesyuarat khas Maidam kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan," tambah beliau.
Pada Isnin lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi dan dos penggalak sahaja dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia dilaksanakan susulan penularan pandemik Covid-19
23 Feb 22
3762
Rakyat Puji Kesungguhan Kerajaan Tegakkan Syiar Islam
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Usaha kerajaan membangunkan rakyat berlandaskan agama Islam mendapat pujian ramai pihak termasuk masyarakat di negeri ini.
Bibi Izzati Nadia Kama, 30, berkata inisiatif kerajaan Terengganu mengadakan program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) menjadi bukti kesungguhan pentadbiran hari ini meletakkan Islam sebagai teras utama untuk menjadikan negeri ini makmur dan sejahtera.
"Konsep kemajuan yang saya faham bukannya dengan mendirikan bangunan yang tinggi, hebat dan tersergam indah sebagaimana segelintir mereka yang beranggapan bahawa apabila disebut maju ia mesti dilihat dari sudut berkenaan, kadang kala ia boleh menjadi sebuah pembangunan yang hanya membazirkan sedangkan rakyat masih hidup dalam keadaan mengalami kemiskinan kerana nasibnya tidak terbela.
"Bahkan membawa kepada kemiskinan jiwa yang akan mendorong berlakunya perkara-perkara yang meruntuhkan moral dan akhlak seperti jenayah, maksiat dan sebagainya apabila tidak diberikan perhatian daripada sudut kerohanian hanya bertunjangkan materialistik semata-mata, yang akan menjadikan nagara atau negeri kita ini secara khususnya dalam keadaan kacau bilau serta huru hara.
"Jadi saya melihat kerajaan yang ada ini mengadakan banyak program seperti BPIS ini, Madinah Ramadhan, 'street dakwah', ceramah agama di masjid, surau, perkarangan premis kerajaan dan sebagainya yang seringkali dianjurkan merupakan suatu usaha yang sangat baik dan mesti diteruskan dari semasa ke semasa, bagi saya banyak perubahan yang telah dilakukan bertepatan dengan moto Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pasaraya Mydin Mall Kuala Terengganu, sebagai mengulas kempen BPIS yang diadakan Mydin Mall Kuala Terengganu, semalam.
Dalam program berkenaan, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) dan UPDI itu telah turun mendekati orang ramai di pasar raya bagi menghebahkan mengenai kepentingan solat.
Sementara itu, seorang peniaga di tapak jualan pasar raya Mydin, Noraini Othman, 45, berpandangan usaha dilakukan kerajaan itu merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan rakyat di negeri ini tidak memandang ringan akan kewajipan mendirikan tiang agama itu.
"Jadi ia sangat baik untuk rakyat negeri ini apabila berkunjung ke mana-mana pasar raya sekalipun jangan sampai leka sehingga mengabaikan tanggungjawab penting ini, contohnya di Mydin ini apabila masuknya azan, segala aktiviti akan dihentikan untuk beroperasi.
"Berhenti apabila kedengaran azan, adalah lebih baik apabila diberi kesempatan seperti itu maka setiap orang ambil kesempatan untuk segera menunaikan solat, saya rasa dengan dakwah secara berterusan daripada pihak kerajaan ini maka rakyat akan terdidik untuk mengamalkan solat awal waktu secara berjemaah tambahan pula ada kemudahan surau disediakan.
"Perkara ini sudah pasti akan dapat dilaksanakan apabila timbulnya kesedaran dalam diri setiap rakyat, agar di mana sahaja berada, walau sibuk melakukan pelbagai aktiviti, apabila masuknya waktu solat maka perlu diutamakannnya, jadi saya melihat ini suatu usaha yang sangat baik," ujarnya lagi.
22 Feb 22
574