lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

400 Anak Muda Berkonvoi Semarak Hari Arafah
400 Anak Muda Berkonvoi Semarak Hari Arafah
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Lebih 400 anak muda berkonvoi menyemarakkan Sambutan Penghayatan Hari Arafah peringkat negeri Terengganu, hari ini. Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah berkata, aktiviti berkonvoi itu merupakan julung kalinya diadakan untuk menarik minat anak muda. "Ini gimik sahaja, tetapi dengannya kita dapat mengumpulkan ramai anak muda untuk berhimpun mendengar pengisian utama yang dijadualkan. "Selain itu, kita ingin memberikan 'gema' isyarat kepada orang ramai bahawa ini hari Arafah yang perlu diraikan dengan memperbanyakkan ibadah menerusi cara anak-anak muda," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ketibaan konvoi sempena Sambutan Penghayatan Hari Arafah anjuran kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Dakwah dan Penerangan negeri, di Dataran Shahbandar, di sini hari ini. Dalam program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi melakukan 'flag off' bagi aktiviti konvoi bermotosikal dari Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) ke Dataran Shahbandar. Program diteruskan dengan ceramah penghayatan Hari Arafah oleh Mantan Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifli Muda.  Kemuncak program, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim turut hadir merasmikan penutupan acara dan disudahi dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.              
09 Jul 22
567
Hari Arafah Bangkitkan Kekuatan Umat Islam
Hari Arafah Bangkitkan Kekuatan Umat Islam
KUALA NERUS, 7 Julai – Sambutan Hari Arafah  mengembalikan semula kekuatan dan kegemilangan umat Islam pada masa kini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, golongan Orientalis mengkaji bahawa kekuatan umat Islam itu adalah dalam ibadah haji yang berpusat di Arafah kerana perhimpunan di Arafah itu adalah sebuah perhimpunan terbesar umat manusia. “Umat Islam berkumpul pada hari tersebut daripada pelbagai peringkat dan latar belakang dari seluruh pelusuk dunia yang terdiri daripada kalangan pemimpin-pemimpin politik, gerakan Islam, golongan professional dan sebagainya. “Mereka bertemu dan bertukar fikiran tentang bagaimana untuk memperjuangkan nasib umat Islam pada masa kini,” jelasnya semasa merasmikan Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Dewan Perdana, Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Tambah Yahaya, perhimpunan umat Islam di Arafah juga mengingatkan kita akan satu perhimpunan perdana yang akan kita tempuhi suatu hari nanti iaitu perhimpunan seluruh umat manusia di padang mahsyar. “Seharusnya pada hari Arafah ini memberikan keinsafan kepada kita semua untuk bermuhasabah diri sebelum kita dipanggil oleh Allah S.W.T kelak,” ujarnya.
07 Jul 22
420
Hantar Al-Quran Rosak Ke JHEAT Untuk Dilupuskan
Hantar Al-Quran Rosak Ke JHEAT Untuk Dilupuskan
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Masyarakat Islam dinashatkan agar menghantar Al-Quran yang rosak kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memelihara kesuciannya terutamanya dalam proses pelupusan dengan penuh tertib. Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin berkata, rakyat Terengganu boleh menghantar Al-Quran serta kitab ke mana-mana pejabat JHEAT bagi tujuan pelupusan. “Sekiranya ada masyarakat yang rasa Al-Quran yang sudah tidak digunakan dan ingin dilupuskan, boleh hantar ke Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan kita akan laksanakan proses pembakaran di jabatan (JHEAT).  “Jangan kita biarkan tanpa terjaga kerana kemuliaan Al-Quran ini perlu diurus sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita dalam Program Pelupusan Kiub Abu Al-Quran Ke Laut Kali Ke 1/2022 bertempat di Jeti Kargo, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini. Dalam program tersebut, sebanyak dua tan (2,000 kilogram) kiub abu Al-Quran dilupuskan menjadikan jumlah abu Al-Quran yang dilupuskan JHEAT sejak tahun 2012 adalah 29.4 tan dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur. Terdahulu, JHEAT turut melupuskan abu Al-Quran dengan cara penanaman di kawasan yang tidak berpenduduk sewaktu pandemik namun kembali melakukan pelupusan ke laut.  “Kita tidak lagi menggunakan kaedah menanam abu Al-Quran kerana fatwa menggalakkan kita buang abu Al-Quran ini ke laut,” ujarnyanya. Turut hadir Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Abd. Majid Rais serta Timbalan Pengarah (Penerangan) Operasi Urus Setia Penerangan Darul Iman, Sazali Mohd Noor.  
06 Jul 22
793
‘Tiada Kompromi Terhadap Aktiviti Tidak Bermoral’
‘Tiada Kompromi Terhadap Aktiviti Tidak Bermoral’
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Pihak berkuasa negeri tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan kurang sopan dan tidak bermoral di Terengganu. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelaku yang terlibat dalam video tular dua pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita di sebuah kedai makan di Setiu. Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. "Premis (kedai makan) ini memang dalam pemantauan pihak kami sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian itu tak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan. "Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada,” katanya. Jelasnya, hukuman diambil kerana hanya mencemarkan agama Islam tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memperlihatkan dua pelanggan tanpa segan silu bergambar dengan pekerja wanita di kedai berkenaan. Video berkenaan menimbulkan kecaman warganet sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
04 Jul 22
1702
Para Huffaz Berperanan Sebar Ajaran Al-Quran
Para Huffaz Berperanan Sebar Ajaran Al-Quran
KUALA NERUS, 28 Jun – Para huffaz dinasihat supaya menjaga serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam diri dan menyampaikannya kepada masyarakat. Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata huffaz perlu memahami serta menyebarkannya kepada setiap penjuru negeri. “Kalau hari ini kita melahirkan seribu huffaz kemungkinan sepuluh tahun akan datang kita akan melahirkan 10 ribu penghafaz lagi tapi sudah tentu kita mahukan angka yang lebih lagi bahkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada rakyat negeri ini menjadi huffaz al-Quran yang berjaya,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutup Program Himpunan Huffaz Negeri Terengganu yang bertempat di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Gong badak di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Kamaruzaman Abdullah dan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail. Tambah Mohd Nor Hamzah, kerajaan negeri  bercadang untuk menjadikan program seumpama itu sebagai program tahunan. “Di samping itu juga saya mengharapkan agar program sebegini akan memberikan kekuatan dalam kita melaksanakan Tahun Semarak Dakwah tahunan," katanya.  
28 Jun 22
368
DUAT Pergiat Program Asah Bakat Pendakwah
DUAT Pergiat Program Asah Bakat Pendakwah
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) membuat pembaharuan dalam menggilap kemahiran pendakwah dengan menganjurkan Kursus Pembangunan Daie Profesional - Kemahiran Komunikasi Dakwah Efektif selama dua hari satu malam, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, kursus itu diadakan bagi menambahbaik kualiti para daie dan asatizah sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan seiring dengan peredaran semasa yang penuh cabaran. “Saya optimis Kursus Pembangunan Daie Profesional dapat mempertingkatkan nilai dan kualiti dalam penyampaian dakwah Islamiyyah agar terus membangun secara lebih mampan, barakah dan inklusif ke arah menyebarluaskan kefahaman Islam yang tulen dalam masyarakat negeri Darul Iman.  “Tidak dilupakan, tugas daie bukan sahaja di lapangan, malah jua di alam maya. Kalian mesti proaktif dalam memberi komen-komen kebaikan berunsurkan dakwah di mana-mana platform media sosial bagi menangkis kemungkaran yang berleluasa,” beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian kursus tersebut yang diadakan di Hotel Grand Continental.  Turut hadir, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu - DUAT, Muhammad Ramlan Hj Mahmood. Tambah beliau, Kursus Pembangunan Daie kali ini yang memasuki siri ke-2 adalah kesinambungan di mana siri sebelum ini ialah Bengkel Pembangunan Kreatif Daie Celik IT seiring dengan belanjawan Terengganu 2022 juga memberi penekanan berkenaan pengembangan dakwah di negeri ini.   Seramai 200 para daie yang terdiri daripada pelabagai latar belakang.     
28 Jun 22
394
Belia Seimbang, Berdaya Saing Perkasa Hasrat Kerajaan Negeri
Belia Seimbang, Berdaya Saing Perkasa Hasrat Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Belia Terengganu menjadi salah satu segmen penting bagi kerajaan dalam pengukuhan pembangunan insan yang lebih holistik dan berdaya saing selaras Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030). Dai Nusantara Musim Ke-5, Ilhami Nadhrah Hamzah menyokong usaha kerajaan negeri menitikberatkan pembangunan belia negeri dengan pelancaran modul Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM). “Jika diperhatikan anak muda kini kurang berminat dengan program-program yang baik, jadi pelaksanaan KIAM diharap membawa belia dekat dengan majlis ilmu. “Mudah-mudahan kita kita sebagai belia menjadi contoh yang baik kepada keluarga serta kawan-kawan sekeliling kita. “Suri teladan dengan beramal dengan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar,” katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai Ikon KIAM dalam Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Al-Fateh dan KIAM. Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tamadun Islam, di sini baru-baru ini. Beliau yang berasal dari Marang berharap agar pelantikannya sebagai Ikon KIAM bakal menjadi motivasi buatnya dalam menyebarkan dakwah. Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan modul KIAM bagi belia dan beliawanis yang berumur 18 hingga 25 tahun dalam usaha menerapkan keseimbangan dan kematangan anak muda seiring pelaksanaan Undi 18.  
19 Jun 22
633
Tanggungjawab Anak Pastikan Ibu bapa Solat
Tanggungjawab Anak Pastikan Ibu bapa Solat
DUNGUN, 21 Jun - Anak-anak yang menjaga ibu atau bapa sakit dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap solat lima waktu kedua-dua orang tua terbabit.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata dalam keadaan yang lemah, ibu atau mereka yang sakit kadang kala tidak perasan waktu solat. Katanya, oleh kerana itu orang di sekitar perlu mengingatkannya akan kewajipan tersebut. "Sembahyang perlu dititiberatkan, walaupun mak ayah sakit, bukan bermakna tak payah sembahyang, sekarang ini banyak kemudahan," ujarnya. Nasihat itu beliau sampaikan ketika menghantar katil wakaf boleh laras untuk kegunaan warga emas, Fatimah Majid, 54 yang menghidap kencing manis kronik di Kampung Paya, Balai Besar di sini baru-baru ini. Jelas Alias, katil wakaf tersebut dibekalkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Rantau Abang. "Katil tersebut akan digunakan oleh pesakit lain pula, kepada yang berhajat untuk menggunakannya boleh berjumpa dengan JPKK setempat, insya-Allah JPKK akan panjangkan kepada pejabat PKM untuk mendapatkannya jika ada bekalan," katanya lagi. 
19 Jun 22
500
Ambil Iktibar Pelaksanaan Haji Untuk Terus Bersatu Hati- Sultan Mizan
Ambil Iktibar Pelaksanaan Haji Untuk Terus Bersatu Hati- Sultan Mizan
KUALA NERUS, 13 Jun- Jemaah haji dari Terengganu dinasihatkan supaya menjaga nama baik  dengan menjaga akhlak dan tidak melakukan anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mereka perlu mengambil iktibar sepanjang menjalani ibadat berkenaan di tanah suci itu nanti untuk terus bersatu hati tanpa melihat sebarang perbezaan. "Beta juga meminta bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan jauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Terengganu. "Semua jemaah harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin," titah baginda yang disampaikan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ketika menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengurus Besar (Bahagian Syariah) Lembaga Tabung Haji Malaysia, Imran Mohammad Khayat Seramai 804 jemaah haji dari Terengganu berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini. Penerbangan pertama yang membawa 142 bakal jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.45 malam pada Isnin. Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan berkenan memuji komitmen Tabung Haji (TH), agensi kerajaan dan swasta dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji walaupun sudah dua tahun tertangguh. "Beta berharap TH akan meneruskan usaha-usaha memantapkan sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia," titah baginda.    
13 Jun 22
335
Tindakan Tegas Bagi Yang Terlibat Amalan Khurafat
Tindakan Tegas Bagi Yang Terlibat Amalan Khurafat
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sentiasa memantau dan mengawal ketat isu-isu yang berkaitan dengan amalan khurafat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan setakat ini tiada laporan berkaitan amalan khurafat yang direkodkan di Terengganu. "Amalan khurafat seperti menyembah kubur tidak lagi berlaku pada masa kini, sekiranya ada sekalipun masyarakat awam pasti akan sedar dan maklum berkenaan hal itu. “Kita akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya timbul juga isu-isu berkait dengan amalan khurafat yang berada di dalam negeri ini," katanya kepada media selepas merasmikan Program Hari Terbuka NGO Islam Terengganu 2022 di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu di sini hari ini. Mengulas lanjut berkenaan isu segelintir remaja dikatakan mempersenda agama, Mohd Nor berkata semua masyarakat berperanan menjadi penyebar dakwah. Sementara itu, Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Azhar Yahya berkata program tersebut mengumpulkan sebanyak 58 buah NGO dakwah itu bagi menyemarakkan usaha dakwah secara holistik. “YADIM yang berperanan sebagai agensi dakwah akan membantu dalam membendung pelbagai masalah khususnya masalah yang berkait dengan agama.   “Perkara yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang pula akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," ujarnya.
31 May 22
506