Artikel "Agama" Terkini
Mudah Terlibat Rasuah Kerana Lupa Agama
ALOR SETAR, 4 September - Ideologi seperti Islam Liberal, Islam Plural, pragmatism telah menjadikan sebahagian orang Islam hilang identiti beragama, pecah amanah, rasuah dan khianat.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri' Abdul Hadi Awang berkata, oleh kerana itu ulama perlu beri fokus utama kepada perkara berkenaan dari sibuk membahaskan perkara cabang agama.
"Para ulama di Malaysia jangan sibuk 'mengangkat pasir menjadi kubah' (kerana) dengan mengangkat perkara kecil menjadi besar akhirnya akan hanya menghabiskan masa semata-mata.
"Maka saya menasihatkan agar ulama memberikan tumpuan kepada perkara yang jauh lebih mustahak, kritikal dan utama seperti bahaya serangan pemikiran yang (boleh) merosakkan hati diri seorang muslim," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan 'Ucapan Dasar Presiden PAS', di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68, Kompleks PAS Kedah, di sini, semalam.
Tegasnya, perpecahan yang sedang dihadapi umat Islam pada masa kini diakibatkan kerana ulama terlalu menekankan kepada perkara cabang agama dan kejahilan umat terpengaruh dengan pelbagai ideologi asing daripada Islam.
"Bahkan, tindakan yang menjadikan Islam tidak berkuasa dalam negara adalah suatu kemungkaran besar yang akan diikuti dengan kemungkaran dalam segala lapangan yang lain
"(Sehinggakan) akhir-akhir ini terdapat dalam kalangan yang bernama Islam merobek kan agama Islam ini secara terbuka, sehingga merendah-rendahkan kedudukannya.
"Tindakan yang dilakukan itu sebenarnya (telah) menghina Islam, penganutnya dan raja-raja yang diberikan kewajipan untuk memeliharanya.
"Sebarang usaha yang cuba untuk menghakis kuasa politik Islam merupakan suatu kemungkaran besar yang wajib dicegah," tegasnya lagi.
04 Sep 22
477
Penyatuan Ummah Tugas Semua Termasuk Guru Quran
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Pengajar di seluruh peringkat diseru menjadi daie penyatuan masyarakat setempat dalam mencapai kemakmuran kehidupan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata guru Al-Quran menjadi individu penting dalam membawa kandungan pengajaran terhadap pelajar mereka.
“Inisiatif yang disusun dalam usaha mengembalikan kegemilangan Al-Quran di negeri Terengganu di samping melahirkan figura dan pengajar yang mampan dan professional.
“Kita bukan sekadar menjadi pengajar namun turut menjadi penyampai akan isi Kitab Agung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Kursus Pembangunan Professional Daie Al-Quran Terengganu (Siri 1.0) anjuran Akademi Didik Ulama’ Amilin Terengganu (DUAT) di Hotel Primula, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah DUAT, Ramlan Mahmood dan timbalannya, Wan Zuki Wan Ismail.
Program dua hari tersebut disertai hampir 200 orang pengajar Al-Quran seluruh negeri sama ada bernaung bawah Yayasan Islam, Sekolah DAR serta persendirian.
29 Aug 22
261
Pensyarah Dedah Pelajar IPT Rakam, Jual Video Zina
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Pensyarah sebuah universiti tempatan mendedahkan ramai anak muda yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dalam aktiviti zina dengan merakam kegiatan itu dan menjualnya di portal tertentu.
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dato’ Dr Izhar Ariff berkata, perkara itu perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi menarik semula belia kembali ke pangkal jalan.
“Saya secara peribadi sedih dengan anak bangsa kita, hingga ada yang terlibat dengan masalah sosial. Lagi teruk sampai tahap rakam video lucah dan sebarkan.
"Ada yang menjualnya di pasaran gelap atau laman web privasi yang hanya boleh diakses oleh orang tertentu dan pembeli, perkara ini sangat serius,” katanya dalam Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Bandar di Dataran Shahbandar, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, solusi ampuh perlu dicari sebelum ia terus membarah dan merosakkan anak bangsa.
Katanya, antara usaha yang boleh dibuat ialah memasukkan elemen dakwah dalam seluruh program yang dilaksanakan.
"Dakwah yang dilakukan tidak boleh lagi dibuat secara formal (keras) atau terlalu 'straight', perlu ada cara kreatif untuk membuat minat mereka terhadap agama meningkat.
"Cara santai mampu menarik anak muda kembali beramal dengan syariat Islam. Terengganu sebuah negeri yang bagus, mereka (kerajaan) buat program mesti ada forum agama secara santai untuk tarik anak muda dekat dengan agama," jelasnya.
Terdahulu, program anjuran kerajaan negeri mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran luar jangka.
Kemunculan Ustaz Azhar Idrus bersama selebriti, Zizan Razak selepas kali terakhir pada 2012 di Selangor dipuji rakyat kerana mampu menarik anak muda mendengar perkongsian dakwah santai.
29 Aug 22
2770
Kerajaan Fokus Dakwah di Kawasan Pedalaman, Pulau
BESUT, 29 Ogos - Kerajaan tidak meminggirkan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau dalam semua bidang termasuk segmen dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya selama ini menjadikan agenda dakwah itu sebagai suatu keutamaan dalam membangunkan masyarakat di negeri ini untuk menghayati ajaran Islam yang syumul.
Selain itu katanya, tumpuan yang diberikan ke kawasan pedalaman dan pulau-pulau juga adalah untuk memastikan aktiviti dakwah di lokasi terbabit berkembang.
"Antara tujuan kita gerakkan kerja dakwah ini bertemu dan berjumpa dan mendampingi penduduk-penduduk di pulau ini untuk mengingatkan mereka akan memakmurkan rumah Allah dan menghidupkan (masjid), supaya mereka berminat untuk menghadiri majlis ilmu dan ambil cakna tentang agama itu sendiri.
"Melalui 'street dakwah' yang dijadikan antara pengisian program pada hari ini juga untuk bersatu dalam penyatuan ummah dari pelbagai lapisan masyarakat kita satukan pada hari ini.
"Di samping itu juga tujuan kita adalah untuk memperkukuhkan maklumat mereka mengenai pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan pada hari ini melalui aktiviti 'Chit Chat' (sembang santai) pada malam ini, dengan melalui program yang telah disusun ini kita dapat turun terus ke kampung untuk memberi ruang kepada masyarakat untuk bertanya apa sahaja yang berkait dengan agenda serta perancangan kerajaan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir pada Program Jelajah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), di sini, kelmarin.
Katanya, melalui program berkenaan juga menjadi platform bagi menyampaikan mesej kerajaan negeri selama ini dalam menjaga kepentingan rakyat.
"Pada program ini juga kita telah menghimpukan 40 orang ustaz-ustaz kita untuk turun menyantuni komuniti dan program seumpama ini akan terus dilakukan dimana selepas ini tumpuan kita akan beralih pula ke kawasan yang berada jauh di pedalaman, kemaman.
"Selama ini kita melihat di kawasan bandar telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan meningkatnya majlis ilmu, jadi bagi memastikan ia seiring maka kita fokuskan juga di kawasan pedalaman,"ujarnya lagi.
27 Aug 22
288
Sultan Mizan Seru Pentadbir Masjid Jaga Amanah, Integriti
BESUT, 19 Ogos- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya pengurusan masjid seluruh negeri agar melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam mentadbir 'rumah Allah' itu.
Baginda bertitah bahawa tanggungjawab itu merupakan satu amanah dan perlu diuruskan secara profesional dengan penuh integriti terutama dalam pengurusan kewangan mengikut tatacara selaras Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Terengganu serta arahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Beta dimaklumkan terdapat segelintir jawatankuasa masjid yang tidak mematuhi dan sengaja ingkar arahan yang telah dikeluarkan serta ada yang membelanjakan kewangan masjid dengan tidak mengikut tatacara yang betul.
"Beta mengharapkan perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang. Sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam sebarang tindakan, hendaklah dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) terlebih dahulu," titah baginda.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Alor Lintah, di Jertih, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Baginda, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda ke masjid berkenaan turut diiringi yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; DTYM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu serta ahli qariah setempat.
Dalam titah ucapan tersebut, baginda turut berkenan menyeru pegawai, ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim masjid untuk berperanan secara bersama bagi memastikan masjid berfungsi sebagaimana sepatutnya sehingga menjadi institusi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat setempat dalam mendepani kehidupan dunia hari ini yang penuh mencabar.
"Masjid yang benar-benar berfungsi bukan sahaja memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat sekitarnya dari aspek kerohanian dan keilmuan bahkan menjadi pusat menyumbang apa-apa keperluan yang bersesuaian kehendak masyarakat terutama qariah setempat," titah baginda.
19 Aug 22
812
540 Masjid Sertai Kursus Pengurusan Kewangan
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Sebanyak 540 buah masjid seluruh negeri menghantar wakil bagi menyertai kursus pengurusan kewangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, kursus tersebut turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada bagi memastikan kesemua peraturan dalam pengurusan kewangan dipatuhi.
“Kita (JHEAT) mengambil inisiatif memberikan kursus seumpama ini bagi menerapkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan kewangan secara betul termasuk yang didermakan orang awam.
"Ia diadakan bagi memastikan perjalanan pengurusan terutamanya dari sudut kewangan masjid berjalan mengikut peraturan dan kaedah-kaedah kewangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat skuad #RasuahBusters di pejabat JHEAT, di sini semalam.
Menurut M Rozi, berdasarkan peraturan, sebarang perbelanjaan wang masjid melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya JHEAT.
"Setiap perbelanjaan melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan, namun sekiranya jumlah RM1,000 ke bawah ia tidak perlu, tetapi maklumat berkaitan perbelanjaan masih perlu dikemukakan supaya setiap sen yang dikeluarkan direkodkan," ujarnya.
Dalam pada itu, M Rozi berkata, JHEAT menyokong penuh usaha #RasuahBusters dan sedia untuk bekerjasama bagi melaksanakan aktiviti melibatkan pihak jabatan atau sekolah-sekolah di bawah jabatan itu.
"Kita amat-amat mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan daripada pihak #RasuahBusters untuk menambah baik lagi perkhidmatan sekaligus mengekang kegiatan jenayah rasuah," katanya.
Skuad #RasuahBusters memulakan siri konvoi di Terengganu sejak 6 Ogos lalu bagi melengkapkan jelajah Pantai Timur bersama golongan pemimpin, pihak berkuasa, pelajar dan pemegang taruh terlibat.
09 Aug 22
313
Maal Hijrah Waktu Terbaik Perbaiki Diri - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengajak umat Islam agar memanfaatkan detik tahun baharu hijrah sebagai pemangkin untuk kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian melanda kehidupan.
Baginda bertitah, ia selaras dengan perintah Allah agar manusia melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah yang memacu kemakmuran bumi secara kolektif baik secara moral dan material.
“Kita merasa cukup bertuah kerana peranan dimainkan oleh setiap rakyat di negeri ini memberi seribu makna dalam mengekalkan nilai kemakmuran dipupuk hasil toleransi, kerjasama dan muafakat generasi terdahulu.
“Sikap tolong menolong atas prinsip perpaduan umat manusia sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, suku, bangsa dan agama menjadi asas penting kemakmuran negara,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian sewaktu merasmikan sambutan Maal Hijrah 1444 Hijri peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Sultan Mizan turut mengajak umat Islam agar menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dalam membangkitkan kesedaran memenuhi tanggungjawab selaku khalifah Allah dengan lebih baik.
Titah baginda lagi, detik tahun baharu hijrah perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian melanda kehidupan.
30 Jul 22
381
Mohd Zuki Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu hari ini.
Mohd Zuki yang juga merupakan anak jati Kampung Bukit Bayas menganggap bahawa anugerah tersebut merupakan pengiktirafan dan penghormatan terbesar terhadap penjawat awam.
“Saya melahirkan rasa syukur kepada Allah dan merakam junjungan tinggi terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di atas penganugerahan ini.
“Apa yang penting, kita perlu menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan kurnia berupa wang tunai RM20,000, plak, dan sijil penghargaan kepada Mohd Zuki yang dipilih menjadi Tokoh Maal Hijrah negeri.
Sementara itu, Mohd Zuki menyeru orang ramai termasuk agar menghayati konsep tasamuh atau berlapang dada yang merupakan antara teras Keluarga Malaysia.
Jelasnya, sikap bertoleransi merupakan kunci perpaduan yang amat mustahak dalam kehidupan masyarakat majmuk rakyat Malaysia.
30 Jul 22
1381
Pelitup Muka di Masjid Masih 'Wajib'
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Rakyat negeri ini diberi peringatan agar mematuhi garis panduan pemakaian pelitup muka ketika berada di masjid dan surau kerana arahan itu masih berkuat kuasa.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M.Rozi Bidin berkata, pemantauan yang dijalankan oleh pihak jabatannya mendapati segelintir ahli jemaah gagal mematuhi garis panduan berkenaan.
"Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta kerjasama semua jawatankuasa masjid dan surau dapat memastikan ahli jemaah yang hadir dapat mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ini yang masih berkuat kuasa selaras dengan kenyataan media oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Sebagaimana yang dinyatakan pada 20 Mac yang menetapkan di para 2(i)(a) Pemakain Pelitup Muka adalah diwajibkan,"ujarnya melalui satu kenyataan.
Sehubungan itu arahan telah disampaikan kepada pegawai agama di setiap daerah.
"Kerjasama dan perhatian semua pihak berhubung perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih," katanya.
27 Jul 22
386
Kahwin Bawah Umur : Terengganu Larang, Bukan Halang
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu terus mengekalkan peruntukan sedia ada dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2017, yang membenarkan perkahwinan pada had usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki untuk memastikan kesejahteraan keluarga yang dibina.
Namun, keputusan tersebut bukanlah halangan untuk pasangan berusia bawah umur itu berkahwin.
Menurut Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin, seramai 61 pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun dibenarkan berkahwin di negeri Terengganu sejak 2016.
Jelasnya, perkahwinan melibatkan pasangan itu diberi kebenaran secara bertulis oleh hakim Syarie atas beberapa sebab.
"JHEAT hanya akan melakukan akad nikah pasangan lelaki berusia bawah 18 tahun dan perempuan berusia bawah 16 tahun setelah mendapat kebenaran dari hakim syarie.
"Seramai 17 pasangan diakad nikah pada 2016. Manakala 2017 (16), 2018 (18) dan seramai 18 pasangan pada 2019.
"Bagi tahun 2020 dan 2021 pula masing-masing seramai lima pasangan," katanya.
Difahamkan, terdapat 320 permohonan untuk berkahwin dikemukakan perempuan berusia bawah 16 tahun dan 284 permohonan dari lelaki berusia bawah 18 tahun bermula dari 2016 sehingga tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya 61 pasangan diberikan kebenaran di bawah enakmen tersebut oleh mahkamah syariah.
25 Jul 22
1115