Artikel "Agama" Terkini
Kempen 'Masjid Merindui Anda' Bangkitkan Rasa Cinta Solat Berjemaah
KEMAMAN, 9 Februari – Kempen 'Masjid Merindui Anda' sempena sambutan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) sepanjang bulan Rejab berjaya membangkitkan rasa cinta terhadap solat berjemaah dalam kalangan masyarakat
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga solat dan menyemarakkan rasa cinta untuk solat berjemaah di masjid berupaya menarik anak-anak muda.
“Kempen ini penting bagi menyemai rasa cinta dengan solat berjemaah. Anak-anak muda mesti berada di saf hadapan. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyemai semangat cintakan masjid sejak dari usia kecil lagi.
“Didiklah hati anak-anak kita sejak kecil lagi agar mereka dekat dengan masjid dan mencintai solat berjemaah. Jangan sampai menginjak di usia tua baru nak berjinak-jinak dengan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siri Jelajah BPIS di sekitar Kerteh di sini semalam.
Turut serta sepanjang jelajah tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Akademi Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Tambah Mohd Nor, pihaknya turut menghadapi beberapa cabaran dalaam mengajak masyarakat memenuhi masjid.
"Jadi saya juga menyeru kepada ahli jawatankuasa masjid menggunakan inisiatif dan kreativiti mengikut sosio-budaya masing-masing dalam usaha penduduk setempat terpaut dengan masjid," jelasnya.
09 Feb 23
413
Terengganu Konsisten Perkasa Agenda Dakwah
KEMAMAN, 9 Februari - Kerajaan Negeri konsisten memperkasakan agenda dakwah kepada masyarakat dalam usaha membina rakyat yang berilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pelbagai program berbentuk dakwah telah dirangka dan dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun daerah sepanjang Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS).
“Antara program yang sedang dijalankan sepanjang bulan Februari ialah Terengganu Hijab Day (THD) dan Street Dakwah.
“Program sebegini bertujuan untuk memberikan kefahaman dan membangkitkan kesedaran tentang kewajipan menutup aurat dan menunaikan ibadat solat fardu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Dialog Jelajah Penerangan Peringkat Dun Kemasik semalam di Dewan Sivik Kerteh.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.
09 Feb 23
261
Masyarakat Sambut Baik Kempen BPIS
Oleh : Aqilah Mohd Jafri
MARANG, 8 Februari – Kempen Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang digerakkan kerajaan negeri di sepanjang bulan Rejab disambut baik oleh masyarakat Terengganu di semua kawasan.
Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Wan Ahmad Zuki berkata, kempen yang beliau sertai bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang dan Pusat Khidmat DUN Bukit Payong di Pasar Pekan Bukit Payong menerima respon positif.
“Kita berharap agar orang ramai sedar bahawa umat Islam pada hari ini tenat dan mereka yang ditemui menyambut baik usaha ini.
“Kempen ini mampu menyedarkan orang ramai untuk memperbaiki tiang agama iaitu solat, kerana ia dapat menjaga kesejahteraan masyarakat kita,” ujarnya lagi.
Dalam program itu, Ustaz Wan Zuki telah menyampaikan penerangan mengenai kepentingan penghayatan ibadah solat di samping sesi 'terjah' dan soal jawab kepada orang ramai mengenai solat.
Untuk rekod, kerajaan Terengganu telah menjadikan bulan Rejab sebagai BPIS bermula 2019 dan diteruskan sehingga kini sebagai rasional memupuk kesedaran kepada umat Islam khususnya mengenai kepentingan menghayati ibadah solat.
Peristiwa Israk Mikraj membuktikan tanda kebesaran kuasa Allah SWT dalam pensyariatan ibadah solat yang menghubungkan seorang hamba dan penciptaNya.
08 Feb 23
357
Amin, Hidayah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
SETIU, 7 Februari - Qari dari Kampung Bukit Mundok, Mohd Amin Ismail dan qariah dari Kampung Ladang Bari, Nor Hidayah Abd Rahman dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1444H/2023M di Masjid Kampung Rahmat, Chalok malam tadi.
Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, selain piala iringan, plak dan sijil penyertaan.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Setiu bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Dewan Majlis Marang pada 28 Februari hingga 2 Mac depan.
Tempat kedua pula dimenangi qari dari Tahfiz Assobur Bukit Kemudu, Rozali Muhammad dan qariah dari Kampung Chalok Kedai Dr. Shayuti Mohamed Adnan.
Mereka membawa pulang hadiah RM 2,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga dimenangi qari dari Kampung Pak Kancil, Md Ayoub Hamzah dan qariah dari Kampung Chalok Kedai, Halimah Ibrahim.
Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Setiu, Encik Ahmad Rizal Mamat diiringi Penyelaras DUN Langkap, Encik Azmi Maarof bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Tuan Zalizan Sulong dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Tuan Mohd Faiz Azuan Marzuki.
Terdahulu Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoniti dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dr. Azman Ibrahim selepas solat Maghrib.
07 Feb 23
548
Bakar Al-Quran : Umat Islam Wajib Cakna
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Orang Islam mesti ada sikap keperihatinan dan mengambil cakna terhadap isu pembakaran al-Quran di Sweden.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata isu ini merupakan sangat penting bagi umat Islam dan seluruh dunia.
“Tindakan membakar al-Quran merupakan kejahatan dan kemungkaran terbesar kerana al-Quran merupakan kalamullah.
“Justeru al-Quran tidak boleh diperlakukan sembarangan atas tanda mengagungkan kalimah Allah S.W.T,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Isu Minggu Ini bertempat di Studio TV Darul Iman pada hari ini.
Tambah Mohd Nor, sikap kecaknaan mengenai isu tersebut hendaklah ada dalam diri individu muslim kerana melibatkan agama Islam yang kita pegang.
“Rasulullah S.A.W bersabda, sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah mencegah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman," jelasnya.
Mengulas lanjut, antara punca tindakan membakar al-Quran boleh berlaku pada zaman sekarang adalah kerana umat Islam lemah dan tidak mempunyai kekuasaan yang besar.
“Selain berlakunya pergaduhan dan pertelingkahan sesama Islam sendiri yang menyebabkan Islam menjadi lemah,” katanya.
Terdahulu, seperti zaman kerajaan Abbasyiah, hanya seorang perempuan sahaja yang dihina, boleh menyebabkan berkumpulnya tentera dan berperang dengan kuasa Rom ketika itu.
“Para pendakwah hendaklah menerangkan kepada umat Islam terhadap isu ini supaya mereka bangkit dalam membina kekuatan demi Islam yang tercinta.
“Orang Islam hendaklah bersatu dalam menyatakan kebencian terhadap perbuatan pembakaran al-Quran itu melalui demontrasi, ucapan dan sebagainya,” ujarnya.
02 Feb 23
330
Hayati Peristiwa Agung Israk Mikraj Dalam Kehidupan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Bulan Rejab membawa umat Islam untuk menyelami peristiwa agung Israk dan Mikraj dalam kehidupan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan peristiwa besar dan membawa mesej yang penting ertinya kepada umat Islam.
Katanya, iaitu apabila berlaku pensyariatan ibadah solat kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.
“Kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat Peringkat Negeri Terengganu yang dilaksanakan secara tahunan sejak beberapa tahun yang lepas.
“Melalui bulan penghayatan ini, kerajaan negeri ingin mewujudkan kesedaran dan keperihatinan kepada seluruh anggota masyarakat untuk terus menjaga solat terutamanya secara berjemaah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri bertempat di Masjid Kubang Ikan, Chendering di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali, dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Seri Bijaya Raja.
Tambah Dr Samsuri, solat juga berupaya mencegah kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat.
Di samping, solat juga menjadi penghalang kepada kerosakan akhlak dalam individu rakyat.
“Keadaan ini sekaligus dapat mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni, berkat dan sejahtera.
Sementara itu, pelbagai aktiviti yang dirangka seperti Wacana Solat dan sains, Kursus Tahsin Solat dan Santuni pesakit di hospital sepanjang bulan Rejab ini.
“Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan sempena Program Penghayatan Ibadah Solat peringkat negeri ini,” katanya.
26 Jan 23
347
Bulan Rejab Dihiasi Program Keagamaan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Bulan Rejab dihiasi dengan program serta aktiviti keagamaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata rakyat Terengganu dijemput melibatkan diri dengan program keagamaan yang disediakan sepanjang bulan Rejab ini.
Katanya, program penghayatan ibadah solat ini telah dilaksanakan setiap tahun dan merupakan program lanjutan daripada hasil cetusan idea daripada beberapa ulama’ terdahulu.
“Program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa Jawatankuasa Masjid yang terlibat.
“Dalam menghayati bulan Rejab iaitu sebagai satu bulan yang besar dan penuh dengan peristiwa penting di dalamnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri bertempat di Masjid Kubang Ikan, Chendering di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Mohd Nor, Israk dan mikraj merupakan satu peristiwa yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran.
Di samping, peristiwa tersebut diceritakan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis-hadisnya.
“Salah satu peristiwa besar yang berlaku di dalam Israk dan mikraj iaitu pensyariatan ibadah solat.
“Maka diingatkan kepada semua masyarakat supaya mengingati ibadah yang menjadi tiang agama iaitu solat,” katanya.
26 Jan 23
428
90 Peserta Sertai Bengkel Pemantapan Asas Ilmu Faraid
HULU TERENGGANU, 24 Januari – Seramai 90 orang peserta tidak melepaskan peluang menyertai bengkel pemantapan ilmu faraid peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.
Pegawai Didik Ulama’ Amilin Terengganu DUAT DUN Ajil, Mohd Zaharuddin Sudin berkata program tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil dan Didik Ulama’ Amilin Terengganu DUAT DUN Ajil dengan Kerjasama 3R Dynamic Training & Consultancy menyasarkan peserta dalam kalangan masyarakat setempat.
“DUN Ajil merupakan Siri jelajah ke-18 dalam negeri Terengganu yang diuruskan oleh pihak 3R Dynamic Training & Consultancy.
"Oleh kerana masih ramai dikalangan umat Islam yang masih tidak mengetahui ilmu faraid atau kurang kefahaman mengenainya maka DUAT DUN Ajil mengambil inisiatif dengan menganjurkan bengkel sehari berkenaan ilmu faraid,"ujarnya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, dalam bengkel ini peserta akan diberikan pendedahan tentang apa itu faraid atau pusaka, mengenal secara asas tentang waris, proses pengurusan harta dan soal jawab.
“Alhamdulillah masyarakat akan terus dibantu dalam mendapatkan pendedahan melalui siri-siri jelajah dan ceramah sebegini, serta sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman yang jelas tentang ilmu faraid walaupun pembelajaran secara asas sahaja,"ujar beliau
Bagi salah seorang peserta, Muhamad Aizat Aizami Azman berkata, generasi muda masakini perlu mengetahui dan memahami berkaitan ilmu faraid kerana kelalaian dan kealpaan umat Islam mempelajari ilmu faraid akan menyebabkan ilmu ini hilang selepas kematian para ulama, guru agama, asatizah yang pakar dan mahir dengannya.
Beliau yang juga Imam Masjid Kampung Machang berharap, program sebegini perlu diteruskan dari masa ke semasa supaya masyarakat terus memahami berkaitan ilmu tersebut.
Bagi guru Kelas Al-Quran & Fardhu Ain, Wan Mohd Aiman Arif Wan Musa pula berkata, keyakinan dalam dirinya dapat dipertingkatkan lagi dengan adanya program sebegitu yang menjadi amali dan latihan dalam kehidupan seharian.
“Pendidikan ini tidak mengira usia, mahu atau tidak, kita perlu mengetahui tentang ilmu faraid kerana kita semua akan meninggalkan dunia ini dan tidak boleh bawa masuk harta yang disimpan selama ini ke dalam liang lahad,"katanya.
24 Jan 23
370
Islam Mesti Memimpin Demi Perpaduan Yang Adil
MARANG, 23 Januari - Agama Islam hendaklah menjadi tonggak dan memimpin bagi mewujudkan perpaduan yang adil bagi seluruh rakyat lebih-lebih lagi masyarakat majmuk di Malaysia ini.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam mesti memimpin kerana dalam Islam terdapat perhitungan dosa dan pahala bagi setiap perkara.
"Bukan sahaja dalam masalah amalan-amalan ibadah sahaja malah termasuk dalam bidang pentadbiran juga terdapat pembahagian dosa dan pahala.
"Kita lihat bagaimana keluarga Cina boleh hidup dengan aman dan harmoni di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tidak berlaku masalah-masalah perkauman di negeri-negeri ini," katanya pada program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional, di sini, baru-baru ini.
Justeru beliau mengharapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti-parti gabungan seperti GERAKAN dapat memainkan peranan untuk mengubah pemikiran pengundi-pengundi bukan Islam.
"Apa yang penting kita manfaatkan gelombang perubahan PRU15 untuk kita tawan kesemua 6 negeri dalam PRN akan datang," katanya.
Sementara itu, dalam majlis berlainan keesokannya Presiden PAS itu bersama pimpinan utama Perikatan Nasional menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perikatan Nasional di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam.
Beliau tidak terkecuali turut sama merasai tradisi masyarakat Cina yang menarik iaitu tradisi makanan Yee Sang yang disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.
Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) iaitu Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Ho Chai dan Setiausaha Agung PN YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Setiausaha Agung Pas YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta sayap pemuda dan wanita parti komponen PN.
23 Jan 23
311
Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Disambut Baik Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu diterima dan disambut baik oleh rakyat di negeri ini.
Penolong Kanan Pesuruhjaya, (Akidah, Syariah dan Tamadun Islam) Bahagian Penyelidikan, JHEAT, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi membendung masalah jenayah syariah terus berlaku dalam kalangan rakyat.
Katanya, sebenarnya penguatkuasaan undang-undang tersebut sudah pun bermula seawal tahun 1303 Masihi setelah penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang.
“Ia adalah satu tanda bahawa masyarakat Terengganu telah melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang Islam.
“Penubuhan Mahkamah Syariah Terengganu pula ditubuhkan pada 29 Jun 1900 bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang Islam di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 2, Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini.
Tambah Ahmad Azhar, beberapa undang-undang telah dikuatkuasakan dan diperkasakan oleh pihak kerajaan seperti Seksyen 16 iaitu perkara berkaitan tidak menunaikan solat Jumaat.
Terdahulu, Undang Isytihar Kerajaan bilangan 22/1345 pada 1926, menetapkan pelaku didakwa di mahkamah kadi dan dihukum denda sebanyak RM0.50.
Kini, menurut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 mana-mana orang lelaki mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukimnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie tanpa sebab yang munasabah.
"Ia merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.
10 Jan 23
634