Artikel "Agama" Terkini
Kreativiti, Inovasi' Agenda Utama Pendidikan Madrasah DAR
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Sekolah Rendah Islam (DAR) menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai agenda utama dalam perancangan strategik memperkasakan institusi berkenaan agar terus menjadi pilihan utama rakyat negeri ini.
Pengarah Jabatan Persekolahan dan Tarbiah DAR Terengganu, Ibrahim Tahir berkata usaha berkenaan berupaya menyumbang kepada perubahan amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi menjamin kemenjadian murid selari dengan matlamat mencari keredaan Allah.
Ujarnya, bagi memastikan ia dapat direalisasikan pihaknya akan meningkatkan penyelidikan dalam pendidikan bagi memenuhi matlamat dan dasar kurikulum Madrasah Dar Terengganu agar terus relevan pada masa sekarang.
"Bagi memastikan keberhasilan kemenjadian murid dimaksimumkan, Madrasah DAR Terengganu berperanan memastikan murid dididik secara holistik melalui pengurusan sekolah yang cekap, berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran.
"Serta berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupyaan mencapai kesejahteraan diri, pendidikan al-Qur'an yang menjadi asas kekuatan pendidikan Madrasah DAR Terengganu perlu diperkasakan dengan bijaksana.
"Cabaran pendidikan semasa perlu ditangani dengan sebaiknya melalui pendekatan holistik agar harapan membentuk murid yang bijak melalui al-Quran dan mengamalkannya sebagai sumber 'dustur kehidupan' berjaya direalisasikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Resolusi Simposium Penyelidikan Madrasah DAR negeri Terengganu (SiPDAR) , di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang Dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Tererengganu, Ismail Osman.
Mengulas lanjut Ibrahim berkata selain menekankan bahasa Arab di insititusi berkenaan ke arah melahirkan pelajar yang memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan, pembelajaran dalam bidang akademik juga turut diberikan perhatian.
"Bagi menghasilkan pelajar yang seimbang dan mampu menterjemahkan wajah muslim sejati seperti hasrat kerajaan negeri, dalam merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya lagi.
07 Mar 23
322
Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
MARANG, 3 Mac – Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, 30 dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di sini.
Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 32 yang berasal daripada daerah Setiu.
Pada majlis yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu, Abdul Hadi memperoleh markah 89.2 peratus manakala Nor Hidayah meraih 88.6 peratus.
Sekali gus, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan sijil penyertaan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini semalam.
Turut berkenan berangkat, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan tiga kali dan naib johan tiga kali.
"Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya," katanya.
Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini.
Selain itu, tidak malu untuk membaca Al-Quran dengan berlagu sepertimana di Mesir yang menjadikan tilawah itu sebagai hiburan di setiap tempat dan menjadikan budaya mereka.
“Penganjuran Tilawah ini sangat baik kerana dapat menarik minat orang ramai terhadap kesenian tilawah sekali gus dapat mendekatkan diri masyarakat dengan Al-Quran serta menjadi ikutan," ujarnya.
03 Mar 23
1566
Tilawah dan Hafazan Subur Kecintaan Pada Al-Quran
MARANG, 28 Februari - Usaha kerajaan negeri menganjurkan majlis tilawah dan hafazan al-Quran diharap mampu menyuburkan kecintaan masyarakat untuk lebih menghayati kitab suci umat Islam itu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, setiap individu Muslim perlu mendampingi al-Quran bagi memperbaiki jalan hidupnya.
"Al-Quran adalah sehebat-hebat mukzijat kerana padanya ada kebenaran yang abadi lagi hakiki.
"Al-Quran menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan setiap zaman mahupun generasi.
"Perbahasan isi kandungan al-Quran sangat lengkap mencakupi segala aspek kehidupan baik dari sudut akidah, ibadah, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan bahasa, budaya dan pelbagai lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, hari ini.
Hadir mengiringinya ialah isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah dan isteri.
Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Dr. Samsuri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana dan pihak terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
"Dengan objektif mengangkat syiar Islam di Negeri Terengganu Darul Iman, kerajaan negeri meneruskan penganjuran majlis ini pada tahun ini.
Mudah-mudahan, dengan tradisi penganjuran ini mampu menghasilkan sebuah kejayaan yang lebih baik dari masa ke masa serta mampu mengekalkan budaya mencintai dan mengambil berat urusan Al-Quran sekaligus memartabatkan syiar Islam di bumi ini," katanya.
Majlis tilawah tahun ini disertai 16 qari daripada seluruh daerah dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
28 Feb 23
347
Isu Pedang Kayu Sengaja Ditimbulkan Pencetus Islamofobia
MARANG, 25 Februari - Polemik penggunaan replika senjata dan kostum ala tentera Islam ketika perarakan program tahunan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 baru-baru ini disifatkan sengaja ditimbulkan pihak yang jahil dan terpengaruh dengan Islamofobia.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, berkata jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab.
"Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.
"Orang Islam yang membawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tidak apa pula", katanya.
Beliau turut mendakwa hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.
Katanya umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain.
"Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.
"Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam.
"Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara.
"Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri", tambahnya lagi dalam sebuah siri artikel Minda Presiden di laman Facebook rasminya.
Penggunaan barangan replika pedang yang hanya diperbuatkan daripada kayu 'playwood' dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 tempoh hari tular di laman media sosial sama ada Facebook, TikTok dan sebagainya sehingga menjadi trending dan 'Popular Now'.
Rata-rata warga maya menyokong sepenuhnya perarakan di himpunan tersebut yang menghidupkan semangat roh perjuangan dan syiar Islam.
25 Feb 23
225
Guna Duit 'Gift' TikTok Beli Tudung Untuk Masyarakat
MARANG, 23 Februari - Seorang Tiktokers muda dari Marang dikenali sebagai Ratu Penyu tular apabila dia secara solo melakukan dakwah jalanan dengan mengagihkan tudung secara percuma yang dibeli menggunakan duit (gift) hasil video di TikTok.
Usaha itu yang disunting menjadi video berjaya menambat hati juri pertandingan video pendek Terengganu Hijab Day (THD) dan membolehkan dia terpilih sebagai johan pertandingan terbabit.
Ratu Penyu atau nama sebenarnya Hanim Sophia Mohd Sohor berkata, tudung yang dibelinya itu dibungkus cantik dengan menampalkan kata-kata hikmah berunsur dakwah dengan harapan agar mesej mengenai kepentingan berhijab dengan sempurna sampai kepada penerima.
"Sempena THD 2023, saya menjalankankan kempen sendiri antaranya kerana ingin gemakan lagi THD sepanjang Februari dengan insiatif diri saya sendiri. Walaupun THD merupakan program kerajaan negeri, saya sebagai rakyat juga turut tidak mahu ketinggalan untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan ini.
"Saya mengambil kesempatan untuk menggunakan semua duit 'gift' hasil sepanjang saya berkreativiti di laman TikTok dengan mudah-mudahan saya mendapat ganjaran pahala yang berterusan termasuk follower saya. Ini juga tanda sokongan penuh saya terhadap program THD," katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima hadiah di Sambutan THD 2023 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Gadis yang baru berusia 25 tahun dan menetap di Kampung Kijing ini turut meluahkan perasaan terujanya dapat memenangi tempat pertama dalam penyertaannya sulung di Pertandingan Video Pendek THD sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500.
"Doakan saya agar lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meneruskan dakwah terutama perihal aurat dan wanita. Jika memakai hijab menutupi dada membuat saya tidak hebat, maka daripada itu saya memilih untuk tidak hebat," katanya.
23 Feb 23
625
Ustaz Azhar Sokong Kerajaan Terengganu Sekat Filem Pulau
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu yang mengharamkan tayangan filem pulau di negeri terbabit.
Ujar Ustaz Azhar, kerajaan negeri membuat keputusan tepat demi menjaga kepentingan awam termasuk menggelakkan rakyat terpengaruh dengan perkara mungkar yang ada dalam filem terbabit.
“Kalau saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya tak akan benar (ditayangkan) kerana kita akan menanggung kemurkaan Allah.
“Selagi mana kita ada kuasa untuk menyekat perkara mungkar kita perlu sekat, jadi tahniah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam program Terengganu Hijab Day (THD) di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus kelmarin.
Menurut Ustaz Azhar, pihak penerbit juga tiada hak untuk memarahi kerajaan Terengganu atas tindakan ‘mengharamkan’ filem itu di pawagam negeri terbabit.
“Mereka mahu menayangkan filem yang melanggar peraturan kerajaan negeri (tak wajar), nak masuk rumah orang kena ikut peraturan tuan rumah.
“Jadi saya nasihatkan kepada pengarah-pengarah filem supaya menghasilkan filem yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu membuat keputusan menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
“Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa.
“Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.
22 Feb 23
876
'Rakyat Terengganu Perlu Sokong BPIS Sepenuhnya'
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru rakyat di negeri Terengganu supaya menyokong penganjuran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang dianjurkan kerajaan negeri.
"Bagi saya, kedua-duanya betul. Ia (solat) berunsur peribadi disamping itu, merupakan peri pentingnya sebuah negara yang bersolat, sebab itu pemimpin yang bersolat adalah pemimpin yang utama dan teladan kepimpinan tersebut diturunkan kepada kakitangan, pelajar-pelajar, dan rakyat jelata di seluruh negeri.
Pengarah Institut Modal Insan Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah menyerahkan baju Jom Solat Berjemaah sebagai simbolik BIPS kepada Dr. Zulkifli.
"Saya menyokong penuh usaha menghidupkan BPIS, bahkan kita perlu menghayati dan menunaikannya. Kedua-duanya dilaksanakan kerana ini bukan bersifat peribadi lagi sebab kita disuruh berjemaah, disuruh mengimarahkan masjid dan surau yang mana ia sangat bertepatan dengan slogan serta misi-misi yang ingin dicapai oleh negeri Terengganu," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program BPIS di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, BPIS bukanlah semata-mata program yang perlu dihadiri dan habis begitu sahaja.
"Untuk kita ia bukan sekadar program, tetapi kita menghidupkannya sepanjang masa sebab solat ini bersifat harian. Cuma, momentumnya kita ambil dari bulan ini sebagai melonjakkan lagi semangat dan pengimarahan kita kepada masjid serta penghayatan bulan solat ini.
"Program dan kempen BPIS amat baik, dan perlu diberi sokongan sepenuhnya. Semoga negeri ini akan makmur dengan ibadah solat sebanyak-banyaknya," katanya.
21 Feb 23
614
Keagungan Israk Mikraj di Luar Batasan Sains
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan luar bisa yang tidak boleh diukur oleh akal manusia dan melebihi batasan Ilmu Sains.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kisah itu adalah peristiwa penting yang dilalui Rasulullah S.A.W pada 27 Rejab.
Katanya, Baginda dibawa dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis (Israk) seterusnya ke Sidratul Muntaha (langit) bertemu Allah S.W.T (Mikraj).
“Ia berlaku dalam tempoh sebahagian malam sahaja dan Rasulullah S.A.W kembali semula ke Masjidil Haram.
“Peristiwa ini juga bersangkutan dengan kelajuan (masa) dan jarak kerana perjalanan Rasulullah S.A.W melalui suasana itu dalam masa yang amat singkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai teori dikaitkan dengan perjalanan ini sebagai contoh Teori Kerelatifan oleh Albert Einstein, Teori Roger Penrose dan kewujudan lubang cacing atau wormhole oleh Dr. Stephen Hawking.
“Manusia juga sentiasa berfikir cara untuk keluar dari bumi ke angkasa lepas melalui perlumbaan keupayaan teknologi.
“Kapal terbang dan helikopter tidak boleh keluar dari bumi kerana tiada udara dan keupayaan untuk terbang lebih tinggi,” katanya.
Justeru, untuk keluar dari bumi, manusia memerlukan kekuatan penciptaan roket ataupun kapal angkasa lepas.
Jelasnya menurut al-Quran, terdapat tujuh lapis petala langit, tapi keupayaan kajian saintis hanya di bawah lapisan langit pertama.
Beliau berkata, jika difikir logik akal semakin jauh kedudukan, maka faktor masa itu makin lama.
Oleh sebab itu, di syurga atau neraka tidak ada relatif masa sebagaimana yang dikaji oleh ahli fizik seperti Albert Einstein.
"Semakin kita tengok jauh lebih luas daripada itu, maka rasa kecil sangatlah kita ini berbanding dengan kekuasaan Allah S.W.T," ujarnya.
18 Feb 23
365
Pendidikan, Pelaksanaan Syariah Islam Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Pendidikan dan Pelaksanaan Syariah Islam menjadi keutamaan dalam masyarakat di negeri ini.
Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh pimpinan Terengganu dalam mencorakkan pendidikan ke arah lebih baik.
Katanya, pelaksanaan syariah Islam juga perlu diberikan pujian yang lebih kerana telah berjaya menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mementingkan Islam dalam semua perkara.
“Bahkan, dalam bidang sukan juga turut menitikberatkan kaedah dan etika Islam apabila pihak Mufti juga turut terlibat menjadi ahli Jawatankuasa Sukan di negeri ini.
“Inisiatif ini merupakan langkah terbaik, bagi membimbing cara berfikir atlet Terengganu supaya menjaga adab dan tingkah laku terutamanya dari sudut pemakaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Di Tingkat 1, Pejabat Jabatan Mufti Terengganu, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.
Tambah Prof Sabri, dari sudut keagamaan, kerajaan negeri juga sangat mengambil perhatian yang serius.
“Dengan mengadakan Multaqa Ulama di peringkat nusantara yang merupakan salah satu mekanisme dalam memperkukuhkan akidah Islam dalam masyarakat.
“Pemimpin negeri juga memainkan peranan yang baik dari segi pembahagian tugas masing-masing seperti dakwah, pertanian dan sebagainya," ujarnya.
15 Feb 23
202
BPIS: Komitmen Pemerintah Dalam Urusan Ibadah
KUALA NERUS, 18 Februari - Kerajaan Negeri menyatakan komitmen bagi terus menambah baik usaha terhadap kesedaran rakyat dalam solat berjemaah bersempena sambutan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) sepanjang bulan Rejab.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata umat Islam perlu cermat dalam urusan ibadah wajib ini termasuklah mengejar kelebihan solat berjemaah di masjid atau surau.
"Penekanan yang dilakukan di peringkat kerajaan bukan sahaja terhadap kewajipan solat fardu bahkan usaha mencapai kesempurnaan solat itu sendiri.
“Melalui program seumpama ini, kita mengharapkan satu kesedaran dalam masyarakat khususnya anak-anak muda tentang kepentingan dan kedudukan solat itu sendiri yang terlalu tinggi nilainya di sisi Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Daurah Solat bersempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Buluh Gading di Masjid Kg Jeram, Manir baru-baru ini.
Daurah tersebut disampaikan oleh Ahli Panel Klinik Hukum Terengganh, Mohd Hanafiah Hussin yang memfokuskan kepada kepada kesalahan-kesalahan yang sering berlaku dalam solat dan solusi untuk memperbaiki ibadah solat.
15 Feb 23
272