lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Bilal Masjid Putih Pertahan Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
Bilal Masjid Putih Pertahan Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
KUALA NERUS, 1 Mac - Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, berjaya mempertahankan kejuaraan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah di sini. Terdahulu, Abdul Hadi, 31, dari daerah Kuala Terengganu telah memenangi kejuaraan tersebut pada tahun lepas. Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Jannah Abd Rahman, 33, dari Setiu. Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan. Mereka akan mewakili Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini yang dijadual berlangsung pada 23 Mei depan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA). Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini. Turut mengiringi Baginda, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Terdahulu ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan empat kali dan naib johan tiga kali. "Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya. "Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini," ujarnya.            
01 Mar 24
3165
Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara
Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara
KUALA NERUS, 28 Februari -Gerakan mencabar Undang-Undang Syariah boleh mendatangkan ancaman yang serius kepada akidah dan syariah umat Islam di negara ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fahaman kumpulan aliran pemikiran yang menolak dan meragukan keabsahan undang-undang Islam itu perlu diberi perhatian dan ditangani dengan sewajarnya. "Mereka ini berusaha untuk mencabar Undang-Undang Syariah dengan pelbagai cara, antaranya menganjurkan fahaman pluralisme agama yang menganggap semua adalah sama dan benar. "Golongan ini juga cuba mengubah metodologi ijtihad dengan menolak atau mengabaikan sumber-sumber syariah seperti ijmak, qiyas, dan maqasid Syariah. "Seterusnya mereka menentang hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan moral, keluarga dan jenayah seperti aurat, poligami, hudud dan qisas  dengan alasan hukum-hukum ini melanggar hak asasi manusia, kesamarataan gender dan kebebasan agama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata dalam menghadapi cabaran yang melanda, umat Islam perlu mengukuhkan diri dengan mengamalkan Islam yang sebenar dan bersih dari sebarang penyelewengan berasaskan kefahaman yang tepat berpandukan al-Quran. "Menyedari potensi kekuatan al-Quran dalam sanubari hati umat Islam (menyebabkan) musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan dengan mencari keraguan untuk melihat umat ini meninggalkan kitab suci itu dan terumbang ambing dalam jahiliah tanpa pedoman dan petunjuk. "Kewujudan gerakan kristianisasi, Islam Liberal, ajaran-ajaran sesat, sekularisme dan pelbagai ideologi yang bercanggah dengan syariat Islam bakal memerangkap manusia-manusia yang tiada pedoman dan sumber pegangan," katanya.      
28 Feb 24
381
Akademi Alfateh Tekad Perkukuh Jati Diri Belia Terengganu
Akademi Alfateh Tekad Perkukuh Jati Diri Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Februari -Akademi Kepimpinan Al Fateh sedia meneruskan Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi memperkukuhkan jati diri anak Terengganu mengikut acuan Islam setiap tahun. Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, program yang telah dimulakan sejak tahun 2022 itu telah disertai lebih 1500 orang yang mengikuti program melalui intipati modul yang berkesan serta pelbagai aktiviti lasak yang menarik telah menjadi sebutan dan mendapat sambutan ramai. "Bagi tirai 2024 yang sudah dibuka, pihak kami sekali lagi akan menganjurkan program yang berimpak tinggi ini kepada semua belia-beliawanis di Terengganu sepanjang tahun. "Pengisiannya adalah meliputi 'tarbiyyah Islamiyyah, kenegaraan dan lain-lain bakal bertandang dan nantikan pengumuman terdekat dari Akademi kepimpinan Al-Fateh," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Mengulas mengenai Akademi Kepimpinan Al-Fateh , Mukrim berkata ia merupakan organisasi yang menjadi salah satu mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang mendokong misi dan visi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri. "Diasaskan melalui hasrat Menteri Besar Terengganu dan ditubuhkan sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Terengganu (Incorporated). "Penubuhannya adalah menekankan kepada lima tonggak utama belia iaitu pembenteng agama, menjadi pemimpin masyarakat, pembimbing, pemikir dan peduli ummah. "Cetusan nama Sultan Muhammad Alfateh diabadikan dalam akademi ini merupakan semangat kerajaan Terengganu bagi melahirkan belia dan beliawanis yang berkualiti," ujarnya.  
20 Feb 24
534
Buruh Dihukum Sebat di Bawah Enakmen Syariah Kerana Berkhalwat
Buruh Dihukum Sebat di Bawah Enakmen Syariah Kerana Berkhalwat
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini mengenakan empat sebatan ke atas seorang buruh binaan yang telah melakukan kesalahan khalwat. Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 turut dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda atas kesalahan tersebut. Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat. Walau bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan manakala hukuman sebatan akan dilaksanakan dipenjara selepas tamat tempoh rayuan. Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan kedua tertuduh. Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023. Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Januari lalu. Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  
19 Feb 24
630
Lapor PBT Jika Premis Jual Arak Secara Terbuka
Lapor PBT Jika Premis Jual Arak Secara Terbuka
DUNGUN, 19 Februari - Anggota masyarakat diseru supaya melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika mempunyai maklumat premis perniagaan atau mana-mana entiti yang menjual arak secara terbuka. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata semua pihak sewajarnya sedia maklum dengan ketegasan kerajaan negeri melarang jualan arak secara terbuka lebih-lebih lagi di kawasan majoriti muslim. Katanya, sekiranya masih ada premis perniagaan berdegil walaupun dimiliki oleh bukan Islam, tindakan tegas akan diambil. "Peraturan dan undang-undang kita jelas sekiranya masih ada, kerajaan negeri ingin meminta bantuan kepada orang ramai yang melihat ataupun mengetahui perkara ini sila makum kepada PBT setempat. "Kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya berdasarkan kepada laporan yang dibuat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI, selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini semalam. Tegas Wan Sukairi, adalah diharapkan orang ramai tidak mendiamkan perkara berkenaan bagi memastikan rakyat di negeri ini terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni berlandaskan syariat. "Selama ini pihak kita juga telah mengadakan lawatan ataupun peperiksaan secara berkala, namun jika ada terlepas pandang adalah menjadi tanggungjawab orang ramai melaporkan perkara ini agar penjualan arak secara terbuka di negeri ini tidak berlaku," ujarnya.
19 Feb 24
242
Dun Bandar, Yayasan Islam Jalin Kerjasama Martabat Syiar Islam
Dun Bandar, Yayasan Islam Jalin Kerjasama Martabat Syiar Islam
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bakal menjalin kerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi perancangan memartabatkan syiar Islam pada tahun ini. Pegawai Yayasan Islam Terengganu Daerah kuala terengganu, Ahmad Solahuddin Al Ayubi Ahmad berkata melalui pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed sebentar tadi, banyak buah fikiran dibincangkan berasama. Katanya, pelbagai perancangan juga telah mendapat persetujuan khususnya program berkaitan kerohanian dan dakwah. “Pertemuan pada petang ini juga bagi mengeratkan lagi kerjasama hubungan erat terutamanya jalinan kerja kerajaan negeri bersama pihak YIT. YIT dan pejabat DUN Bandar serius untuk menjalin kerjasama. “Pelbagai perancangan telah dibuat namun perlu diteliti juga kos setiap program memandangkan kewangan negeri semakin merunsingkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di PKM DUN Bandar. Tambah Salahuddin, program kerohanian penting dalam membentuk karakter masyarakat yang lebih berakhlak. “Saya mengharapkan program yang bakal dijalankan nanti mampu memberi manfaat dari sudut ilmu sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita. “Harapan saya agar kerjasama YIT dan kerajaan negeri melalui unit tubuh di setiap DUN semakin bagi memberi manfaat rakyat negeri ini,” ujarnya.
07 Feb 24
316
Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel
Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan Malaysia diharap terus mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf negara haram Israel sejak dahulu sehingga kini walau menghadapi apa jua cabaran dan ancaman. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ketegasan untuk tidak menyokong 'two-state solution' juga perlu teguh dipertahankan. "Kita tidak bercakap tentang nama siapa yang memimpin kerajaan pada hari ini cuma kita bercakap atas asas sebagai rakyat malaysia. "Kita berbangga dengan pendirian negara kita sejak daripada merdeka sehingga ke hari ini, inilah pendirian yang perlu kita (bersama) pertahankan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia baru-baru ini. Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palstein, Dr Ahmad Amir. Dalam pada itu Dr Muhammad Khalil berkata, seluruh dunia pada ketika ini telah sedar akan kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap umat Islam di Palestin ekoran daripada peristiwa 'taufan al-Aqsa'. "Ini satu kejayaan sebenarnya dari segi hukuman mereka boleh lepas kerana di belakang mereka adanya Amerika yang merupakan kuasa besar dunia. "Tetapi dari sudut moral, dari segi politik bukan sahaja orang Islam bukan bahkan orang bukan Islam termasuk di barat sudah nampak kezaliman dilakukan oleh Zionis Israel, sekarang orang sudah nampak ini sebenarnya wajah Amerika yang melindungi rejim tersebut," katanya. Mengenai perkembangan semasa, katanya konflik yang berlaku di Palestin akan berterusan. "Konflik ini akan berpanjangan antaranya kita melihat kenyataan-kenyataan daripada pimpinan zionis sendiri yang menyebut mereka akan mengembangkan operasi mereka ke Utara Israel dan akan berlaku pertembungan dengan Hizbullah di Selatan Lubnan," ujarnya.
05 Feb 24
132
Terengganu Berjaya Lahir 266 PASTI
Terengganu Berjaya Lahir 266 PASTI
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Terengganu berjaya mewujudkan 266 buah Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) yang mempunyai seramai 1,352 orang tenaga pengajar dan 15,575 orang pelajar sehingga tahun 2024. Ahli Jawatankuasa PASTI cawangan Kuala Terengganu, Khairul Ammarnizam Khamaruzaman berkata, PASTI merupakan institusi pendidikan pra sekolah yang telah bergerak hampir 40 tahun dahulu. Katanya, ia dengan Misi untuk melaksanakan program pendidikan yg cekap, berkualiti dan berkesan bagi menjadikan PASTI pilihan utama masyarakat di Malaysia.  “Di kesempatan ini, saya merakamkan ucapan tahniah kepada PASTI cawangan Kuala Terengganu yang telah berjaya mendapat Johan bagi acara Kalam Jamaie peringkat kebangsaan yang berlangsung di Perlis baru-baru ini. Khairul Ammarnizam Khairul Ammarnizam Khamaruzaman sedang berucap ketika majlis berkenaan “Marilah sama-sama kita memastikan anak-anak kita selesa dan mendapat didikan agama seawal usia mereka empat, lima dan enam tahun,” katanya ketika Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Huda dan Fardhu Ain bertempat di cawangan Tanjung di sini semalam. Tambah Khairul, pihaknya berharap agar kerjasama dan semangat persaudaraan di kalangan guru-guru dan ibu bapa, sentiasa erat bagi melahirkan kanak-kanak soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan prasekolah berteraskan islam akan tercapai. “Semoga mereka tumbuh dan membesar dalam suasana Islam agar mereka mampu menjadi pejuang agama Allah SWT suatu masa nanti, InshaAllah,” ujarnya. Ustaz Ahmad Zuhhad Abdul Rahman sedang menyampaikan hadiah.
04 Feb 24
754
Minggu Al-Quds Dilancar Bebaskan Palestin Daripada Penjajah
Minggu Al-Quds Dilancar Bebaskan Palestin Daripada Penjajah
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Kerajaan negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menganjurkan Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024 demi mendokong perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada belenggu penjajahan zionis Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pada tahun ini ia telah memasuki tahun keempat ia dianjurkan dan diadakan secara serentak membabitkan lebih 30 buah negara serta 160 buah organisasi. "Alhamdulillah untuk penganjuran kali ini kita bertuah kerana akan dibawakan delegasi para alim ulama dari luar negara, dari dunia Islam seperti Palestin, Yaman, Algeria, Mesir dan beberapa buah negara lagi yang akan menjayakan program ini dan kita telah susun jadual untuk kita turun ke setiap negeri. "Kita fokuskan kepada beberapa negeri iaitu Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Melaka kita harap supaya seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia menyambut program ini yang akan kita hebahkan di media sosial," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Aid4Palestine. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di Pejabat Khidmat ADUN Batu Buruk di sini, hari ini. Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palestin, Dr Ahmad Amir. Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata program yang diadakan secara tahunan itu melibatkan seluruh segmen lapisan masyarat bersama ulama pada setiap minggu terakhir bulan Rejab bagi menyedarkan umat Islam tentang kepentingan Masjid al-Aqsa yang telah berlakunya peristwa besar Israk dan Mikraj. "Saya telah berbincang dengan Dr Abdullah jadi kita telah mencapai persetujuan supaya ia dilancarkan di Malaysia (Terengganu). "Kemuncak program nanti pada 9 Februari akan diadakan ceramah umum yang akan dihadiri oleh Tan Sri Abdu Hadi Awang dan pemimpin yang lain di perkarangan Masjid Rusila, Dewan Tok Guru," ujarnya. Dalam pada itu katanya, adalah menjadi hasrat penganjuran pada kali ini untuk menggerakkan media massa agar mengambil peduli isu Palestin bagi mengabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan bersinergi. "Mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam menyokong, mempertahankan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestin dan baitulmaqdis," ujarnya.    
01 Feb 24
184
Rakyat Hargai Afrika Selatan Heret Israel ke Mahkamah Antarabangsa
Rakyat Hargai Afrika Selatan Heret Israel ke Mahkamah Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Tindakan berani Afrika Selatan untuk mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa sangat dihargai seluruh rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya bersama dengan delegasi PAS telah mengadakan kunjung hormat ke kedutaan negara terbabit. "Saya bersama dengan delegasi PAS diketuai Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi ke kedutaan negara tersebut membawa surat terima kasih dan penghargaan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mewakili rakyat Malaysia. "Kerana usaha yang dilakukan oleh negara Afrika Selatan mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di sini, hari ini. Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin Dr. Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palestin, Dr Ahmad Amir. Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata, isu Palestin telah menjadi topik utama di Afrika Selatan sejak sekian lama. "Ini kerana titik persamaanya, Afrika Selatan juga pernah berdepan penindasan di zaman Aparteid, maka wujud persamaan," ujarnya, Katanya, negara lain tidak berani mengambil langkah sebagaimana diambil oleh Afrika Selatan kerana menjaga kepentingan dengan barat termasuk dengan Amerika Syarikat. "Kita kena faham sebenarnya sistem yang diwujudkan pada hari ini, politik, ekonomi dan lain-lain sistem yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan dengan barat dan menyelamatkan Israel ini berlaku selepas perang dunia kedua. "Selama ini sepanjang lebih 75 tahun wujudnya negara haram Israel walaupun banyak kes pembunuhan, melanggar hak asasi manusia yang dilakukan oleh Zionis Isrel tidak pernah dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa," ujarnya.
01 Feb 24
135