Artikel "Agama" Terkini
                                            
                            Johan Qari Mahu Kekalkan Legasi Keluarga Haji Ali
                        
                        
                            DUNGUN, 25 Januari - Legasi keluarga Haji Ali terus menguasai persada Majlis Tilawah Peringkat Daerah Dungun 1445/2024 dan kali ini anak - anak Almarhum pula telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah, baru-baru ini.
Dalam majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Kerteh, Felda Kerteh 2, Mohamad Mustafa Ali, 34, telah diumumkan sebagai johan Qari, manakala adiknya, Siti Nasuha Ali, 30, muncul johan Qariah dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala iringan, plak cenderahati dan sijil penyertaan. 
Mustafa yang bertugas sebagai imam dan guru al-Quran menyifatkan, didikan yang diberikan almarhum ayah kepada adik-beradiknya merupakan suatu pusaka berharga buat seluruh keluarganya.
"Kami belajar taranum dari ayah sejak kecil. Bahkan, ketika beliau sudah berumur dan tidak larat lagi bertanding, beliau yang bersungguh-sungguh suruh kami menyertai Majlis Tilawah malah, tolong ambil dan isikan borang penyertaan.
"Mengenang hal itu, saya juga berhasrat mengikut jejak ayah untuk meneruskan legasi ini dengan mewariskan minat dan kemahiran kepada anak-anak di kemudian hari nanti," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Beliau yang kini sedang menanti kehadiran cahaya mata pertamanya, sempat menyelitkan nasihat hasil pengalaman didikan almarhum ayahnya suatu ketika dahulu.
"Kepada ibu bapa yang ingin anak-anak menguasai ilmu-ilmu al-Quran, tanamkan minat anak-anak dari kecil. Itu yang ayah lakukan kepada kami dahulu dengan melazimkan untuk mendengar bacaan daripada qari-qari terkemuka.
"Setelah ada minat, insya-Allah apabila sudah besar mereka akan belajar dan mencari ilmu-ilmu untuk mengukuhkan apa yang dipelajari seperti menyertai kelas, berguru dan sebagainya," katanya.
Mustafa dan Siti Nasuha berharap dapat mewakili daerah Dungun pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus Terengganu pada 27 hingga 29 Februari depan.
 
 
 
                        
                        
                                24 Jan 24
            
                    
                                477
            
            
                                            
                            Jangan Cuba Jadikan Pulau di Terengganu Sarang Persundalan
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Kerajaan memandang serius dan tidak akan membiarkan sebarang aktiviti tidak bermoral dilakukan sindiket persundalan di pulau peranginan di negeri ini sebagaimana didedahkan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Kerajaan Negeri sangat menghargai kejayaan pasukan polis Terengganu mengesan dan mencegah aktiviti maksiat itu yang disyaki baru mula bertapak.
Ujarnya, operasi dilakukan sindiket berkenaan dikesan berjalan secara atas talian menggunakan beberapa hotel bajet.
"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan panggil semua pengusaha hotel untuk berbincang dan memberikan amaran bagi memastikan segala perkhidmatan yang disediakan hanyalah yang halal di sisi agama sekali gus mematahkan sebarang cubaan untuk membuka pintu ke aktiviti haram.
"Saya menyeru kepada mana-mana pemegang taruh (pelancongan) sama ada hotel ataupun 'travel agency' untuk merancakkan kempen melancong ke negeri Terengganu dengan kita menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong sama ada domestik ataupun asing.
"Justeru jangan cuba hendak mengambil kesempatan dengan kehadiran ramai (dalam) kerancakan ekonomi pelancongan negeri Terengganu ada pihak cuba membawa perkara maksiat ke negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas  melakukan sesi kunjungan hormat Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Pengurusan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Jusoh.
Mengenai lawatan diadakan itu, Razali berkata pihaknya telah mendapat penjelasan terperinci daripada PDRM dan JHEAT.
Katanya, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi operasi pencegahan bagi memastikan aktiviti tidak bermoral itu tidak bertapak di negeri ini.
Sementara itu, Rozi berkata, JHEAT akan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk memastikan Terengganu bebas daripada apa-apa kesalahan jenayah syariah yang bercanggah dengan moral dan tatasusila.
"Perancangan kita untuk diadakan hebahan kepada semua bagi memastikan mereka patuh kepada garis panduan dan juga apa-apa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang telah dikuatkuasakan agar negeri ini bebas daripada maksiat dan perkara yang tidak bermoral," tegasnya.
Dalam pada itu, Mazli berkata PDRM akan terus melakukan operasi berterusan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman negeri supaya mendatangkan kebaikan kepada Kerajaan Negeri sekali gus untuk negara.
Untuk rekod, sebelum ini pihak polis telah menumpaskan sindiket persundalan dengan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada empat warganegara Thailand, Indonesia (2) dan Laos (1).
Kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.
 
 
 
                        
                        
                                18 Jan 24
            
                    
                                2149
            
            
                                            
                            Johan Tilawah Al-Quran Marang Tidak Lupa Jasa Nenek
                        
                        
                            Oleh : Abay Cik / Mohd Fauzi Mat Adam
MARANG, 18 Januari - Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Marang, Wan Amirul Shamnie Wan Rosli tidak lupa jasa nenek dan ibu bapa yang gigih membimbingnya mendalami al-Quran sejak kecil sehingga timbul minat yang mendalam bagi menguasai bacaan kitab suci itu.
Amirul yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Agama di Masjid Khalifah Kuala Terengganu berkata, usaha gigih sejak kecil itu telah membuahkan hasil apabila muncul johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat daerah sekali gus melayakkan diri ke peringkat negeri.
"Alhamudlillah, kemenangan ini amat bermakna dan ini adalah usaha gigih sejak kecil lagi apabila didedahkan oleh nenak serta kedua-dua orang tua saya sehingga timbul minat yang begitu mendalam.
"Di peringkat seterusnya nanti, saya ingin melakukan yang terbaik untuk terus mengharumkan nama Daerah Marang," ujarnya ketika ditemui pemberita, selepas dinobatkan sebagai juara dalam majlis tilawah al-Quran tersebut, di Masjid Kampung Sentul Patah, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.
Dengan kemenangan itu, Amirul telah berjaya membawa pulang piala pusingan beserta piala iringan, serta wang tunai RM2,000 bersama sijil penyertaan.
Sementara itu bagi kategori Qariah pula, Nur Afifah Zaki dari Kampung Rawai telah menewaskan peserta-peserta lain.
Beliau yang merupakan guru Sekolah Rendah di Lembah Klang juga bertekad mahu melakukan kejutan di peringkat negeri pada tahun ini dan tidak mahu hanya sekadar menjadi johan daerah.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata sudah menjadi tradisi setiap tahun bagi kerajaan negeri memilih Qari dan Qariah terbaik.
"Bukan sahaja yang menang tetapi boleh menguasai al-Quran secara keseluruhannya selain itu program ini juga bertujuan untuk menanam kecintaan kepada masyarakat dengan al-Quran daripada kalangan anak kecil sehingga ke peringkat yang tua demi melahirkan masyarakat yang terbaik," ujarnya,
 
                        
                        
                                18 Jan 24
            
                    
                                503
            
            
                                            
                            'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Melalui slogan 'Indahnya Hidup Bersyariat' memberikan penjelasan mengenai usaha untuk memacu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera secara konsisten.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memberikan pendedahkan kepada seluruh rakyat mengenai betapa pentingnya melaksanakan syariat Islam.
"Kalau kita hendak maju, hendak ada keberkatan, hendakkan kesejahteraan mestilah melaksanakan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi kita (Muhammad) SAW.
"Maka di situlah kita hendak memberikan gambaran kepada rakyat bahawa segala yang dilakukan dalam kehidupan daripada kita makan dan minum, tidur, di pejabat, ketika di rumah, berada di pasar, bermain semuanya ada kaitan dengan syariah.
"Kita akan menyedari betapa indahnya syariah Islam ini yang memberikan kebaikan kepada kita (rakyat) dan menolak (menghindari) keburukan berlaku ke atas diri kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui video pendek yang dimuat turun di facebook rasminya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata dua unit tubuh berada di bawah portfolionya iaitu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah membincangkan kerangka umum mengenai program yang akan dijalankan pada tahun ini selari dengan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' .
"Antara yang menariknya ialah sempena dengan israk dan mikraj kita akan buat program kesedaran tentang isu al-Quds melalui minggu al-Quds, Madinah Ramadan.
"Kemudian kita akan teruskan program yang telah diadakan pada tahun lepas iaitu Terengganu International Summit yang akan membincangkan topik tertentu.
"Kemudian program-program rutin yang lain seperti 'Badar Qubra', Nuzul Quran, hari Wukuf Arafah, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan lain-lain lagi di samping itu (mengekalkan program sedia ada) kita juga akan mengenegahkan beberapa pembaharuan daripada penggal yang lepas untuk kita kita ketengahkan kepada rakyat," jelasnya.
 
                        
                        
                                11 Jan 24
            
                    
                                214
            
            
                                            
                            Sentuh Sensitiviti Umat Islam, Pemuda PAS Lapor Polis
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Saranan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham untuk melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri bagi menggubal Undang-Undang Islam dilihat sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Iryad Syafiq Burhanuddin berkata, kenyataan pemimpin DAP itu berkenaan dilihat sengaja mencabar undang-undang perlembagaan serta bersikap biadap.
"Ia juga turut menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), saya kira ia satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu.
"Sebagai pemimpinan dalam mana-mana parti poltik dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan (sebarang) ucapan (Kenyataan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mewakili DPPNT membuat laporan berkait isu berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, isu tersebut juga telah mendapat respons daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkait hal ehwal Islam di negara ini.
"Sebagaimana kita semua tahu bahawa agama Islam merupakan agama rasmi dalam perlembagaan, sepatutnya ia tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak," katanya.
Sehubungan dengan itu juga beliau mengharapkan agar pihak polis serta pihak yang berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut kerana ia merupakan perkara yang serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, kena buat sesuatu termasuk mengambil tindakan tegas supaya perkara ini tidak dipandang ringan oleh mana-mana pemimpin," tegasnya.
                        
                        
                                01 Jan 24
            
                    
                                260
            
            
                                            
                            Menyerbak Harum Indahnya Hidup Bersyariat di Bumi Terengganu
                        
                        
                            KUALA NERUS, 1 Januari- Kerajaan Terengganu menyeru rakyat negeri itu supaya bersama-sama menyebarkan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi memulakan Tahun Baharu 2024 ini sebagai satu peningkatan diri dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menjelaskan, tema tersebut diangkat bertujuan memberi kefahaman dalam menjalin tabiat beramal berlandaskan syariat Allah SWT.
"Slogan ini kita angkat supaya kita sebagai rakyat Terengganu memperbanyak rasa syukur kepada Allah SWT.
"700 tahun yang lampau, negeri Terengganu dengan penemuan batu bersurat sudah menggambarkan bagaimana Islam dipraktikkan di negeri ini. Alhamdulillah selepas 700 tahun, 96 peratus rakyat terengganu masih lagi bergelar Muslim dan insya-Allah sebagai umat yang akan terus berpegang dengan Islam.
"Sebagai iktibar dengan pengajaran buat kita, bagaimana (jangka masa) 700 tahun yang sama di Andalusia, kita melihat umat Islam di Andalusia, Portugal, Sepanyol seolah-olah terpaksa 'bangkit kembali' menjalani kehidupan sebagai Muslim.
"Kita merupakan umat yang beruntung hasil peninggalan serta kerja keras nenek moyang kita, para ulama dan sebagainya, hari ini kita mengharapkan negeri Terengganu akan terus istiqamah pada masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi merasmikan ambang Tahun Baharu 2024 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, lewat malam tadi.
Tambahnya, usaha sebegini dilaksanakan supaya rakyat Terengganu memahami bahawa kita sebagai manusia, sebenarnya yang berhajat dan memerlukan syariat Allah SWT.
"Sebagaimana Allah SWT menciptakan bumi, menurunkan hujan daripada langit, tanah yang subur, bukit-bukau, gunung-ganang untuk keperluan manfaat manusia supaya kita bersyukur kepada Allah SWT.
"Islam yang diturunkan sebagai panduan kepada kita dan jika sekiranya kita beramal dengan syariat Allah SWT, kita akan selamat di dunia mahupun di Akhirat," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berharap, hasrat kerajaan negeri disokong dalam usaha menyempurnakan pelaksanaan syariat di negeri itu.
"Aceh pernah mengadakan memorandum kepada rakyatnya dengan persoalan adakah rakyat mahu melaksanakan hukum Islam di negeri itu? 70 peratus menyokong pelaksanaannya. Inilah gambaran apabila rakyat sendiri menerima dan memahaminya.
"Kita mahu dengan tema ini, seluruh rakyat Terengganu sentiasa berada di bawah naungan syariat dan mereka gembira melaksanakan syariat serta redha dengan apa yang ditentukan kerana ini bukan penyeksaan sebaliknya, ini merupakan pendekatan taubat kepada mereka yang beriman bagi mendapat keredhaan di dunia dan Akhirat.
"Sekiranya undang-undang Islam ini terkena kepada kita tanpa ada kesedaran atau kefahaman, satu hari nanti mungkin kita akan mencela, memaki dan menolak undang-undang Islam yang dikenakan.
"Disebabkan itu, kita mahu suburkan dalam kehidupan bahawa betapa kita sebenarnya memerlukan syariat Islam," jelasnya lagi.
Beliau juga menyeru agar hasrat kerajaan negeri itu dapat diuar-uarkan dengan bahasa yang lunak dalam memberi kefahaman kepada umum.
"Kami mewakili kerajaan negeri merakamkan rasa terima kasih kerana diberi kepercayaan memerintah sepenggal lagi dan kami sentiasa terbuka menerima teguran serta kritikan membina kerana kami memikul amanah rakyat Terengganu yang telah memberi kepercayaan mereka.
"Doakanlah, supaya negeri ini menjadi negeri yang maju, berkat di dunia dan Akhirat serta sejahtera dengan semua rakyat dapat memasuki syurga Allah SWT," katanya.
 
 
                        
                        
                                01 Jan 24
            
                    
                                484
            
            
                                            
                            Terengganu Terus Semarak Kempen Indahnya Hidup Bersyariat
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kerajaan negeri mahu terus menyemarakkan slogan 'Indahnya Hidup Besyariat' sebagai moto bagi meninggikan agenda pemerkasaan syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu menjadi matlamat kerajaan negeri sebagai usaha berterusan menyebarkan dakwah dan mengajak rakyat ke arah kebaikan.
"Fokus utama pelaksanaannya adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat.
"Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islami bernula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat, Bicara Daie Ummah Nusantara (Bersempena Ambang Tahun Baharu 2024), di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata semua pihak perlu mengalas amanah dalam usaha memperkasakan syariah.
"Memberikan penekanan yang lebih agar kita semua berganding bahu bersama pihak berwajib dalam memastikan pelaksanaan kehidupan bersyariat dalam rutin setiap rakyat Darul Iman sehingga terbitnya dari sanubari mereka betapa indahnya Islam.
"Ketahuilahh, hidup bersyariat merupakan identiti dan jati diri sebenar orang Terengganu, sejarah juga membuktikan  Terengganu sudah terkenal sebagai sebuah negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak lebih 700 tahun dahulu," ujarnya.
 
                        
                        
                                30 Dec 23
            
                    
                                452
            
            
                                            
                            80,000 Rakyat Meriahkan Program Indahnya Hidup Bersyariat
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kemuncak acara Program Indahnya Hidup Bersyariat telah dihadiri kira-kira 80,000 rakyat Terengganu sekali gus mencipta fenomenanya yang tersendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program mega berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.
"Sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi mencapai visi PITAS itu sendiri iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.
"Konklusinya, saya mengharapkan Program Indahnya Hidup Bersyariat : Bicara Daie Ummah bersama Prof Dr. Ustaz Abdul Somad memberi 1,001 manfaat kepada kita semua sejajar dengan kerajaan yang menggerakan agenda dakwah di tangga tertinggi pemerintahan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program tersebut yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'Mohd Nor Hamzah di Dataran Shah Bandar di sini, semalam.
Terdahulu, program berkenaan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Ahzar Idrus bagi mengisi program santai Maghrib sebaik sahaja selesai Solat Maghrib berjemaah.
Selepas Isyak diadakan diadakan solat hajat pertahankan syariat dan solidariti untuk rakyat Palestin.
Dalam pada itu, kerajaan negeri telah memberikan Anugerah Ikon Murabbi Ummah kepada Ustaz Azhar Idrus serta Anugerah Ikon Daie Nusantara kepada Ustaz Abdul Somad.
 
 
                        
                        
                                29 Dec 23
            
                    
                                482
            
            
                                            
                            Terengganu Optimis Pelihara Pembangunan Islam
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Kerajaan Terengganu cukup optimis dan prihatin dalam memelihara pembangunan Islam di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar demi kegemilangan Islam di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesungguhan kerajaan itu turut dipamerkan dalam mewujudkan pembangunan seimbang diantara pembangunan material dan pembangunan kerohanian.
Antaranya ialah dengan penganjuran program Indahnya Hidup Bersyariat: Bicara Daie Ummah Nusantara yang diadakan sempena ambang Tahun Baharu 2024, yang berlangsung hari ini.
"Beberapa siri program telah diatur bermula dari pagi tadi dengan pelbagai aktiviti seperti konvoi, bicara santai bersama ikon anak muda dan kemuncaknya menampilkan pendakwah Nusantara, Profesor Dr Abdul Somad Batubara yang lebih dikenali sebagai Ustaz Abdul Somad.
"Atas kapasiti rasmi majoriti kita sebagai kerajaan negeri, tiada kalimah yang dapat menzahirkan rasa bertuah dan berbangga atas kesudian Ustaz Abdul Somad ke bumi bertuah, negeri Terengganu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan Ustaz Abdul Somad bersama pimpinan negeri di Paya Bunga Hotel, hari ini. 
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah serta sebahagian ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato' Husain Awang.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
                        
                        
                                29 Dec 23
            
                    
                                168
            
            
                                            
                            Ustaz Abdul Somad Kembali Gegarkan Bumi Terengganu Malam Esok
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Pendakwah terkenal, Ustaz Abdul Somad akan kembali mengegarkan bumi Terengganu melalui program 'Indahnya Hidup Bersyariat': Bicara Daie Ummah Nusantara.
Program berkenaan dijangka akan mengulangi semula kejayaan program Himpunan Daie Ummah Nusantara Sejahtera yang turut menampilkan tokoh agamawan dari negera seberang itu dengan mencatatkan kehadiran lebih 50,000 pada waktu itu.
"Dijemput semua warga negeri Terengganu untuk hadir ke program tersebut sempena ambang tahun baru 2024 pada 29 Disember (esok), jam 9 malam di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.
"Semoga malam yang bermakna ini akan terlaksana dan menjadi sejarah bagi menyatakan rasa cinta dan' 'support' kepada majlis ini dan (menunjukkan) solidariti kepada saudara (Islam) kita yang ada di Palestin, pakat maghi ramai-ramai," ujar Ustaz Abdul Somad.
Beliau berkata demikian melalui video ringkasnya yang dimuat naik, di platform media sosila, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, program berkenaan akan turut diserikan dengan 'Santai Maghrib Bersama Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus'.
Selain itu pelbagai acara yang akan diadakan bagi memeriahkan program tersebut bermula dari pagi sehingga ke malam.
Antaranya ialah, Deklamasi Sajak Sempena Solidariti Palestine yang akan disampaikan oleh Ustaz Abu Bakar Home Dakwah, Karnival Makanan Halal, Solat Hajat Solidariti Palestine dan Pertahankan Syariat.
Pada sebelah petang akan turut menampilkan Ikon Anak Muda Terengganu yang akan menampilkan pelumba cilik yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Qabil Irfan Azlan dan Pemain Pasukan Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penampilan isterime, Ustaz Hanafiah Abdul.
Selain itu, akan turut diselittkan dengan acara yang sering dinanti-nantikan oleh anak muda di negeri ini iaitu Konvoi Daie bersama Ikon permotoran dimana Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) menjadi lokasi peserta berhimpun dan menunaikan solat Asar secara berjemaah.
Di samping itu, t-shirt percuma yang terhad 300 helai akan diberikan kepada peserta konvoi serta pelbagai cabutan bertuah yang menarik menanti.
                        
                        
                                28 Dec 23
            
                    
                                1036