Artikel "Agama" Terkini
MB Minta Imam Doakan Kewangan Negeri Makin Mengukuh
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri memohon agar para imam mendoakan supaya kedudukan kewangan negeri semakin mengukuh dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, perkara itu sangat penting bagi memastikan segala agenda untuk menjaga kebajikan rakyat dan para imam di negeri ini berjaya dilakukan.
"Berdoalah supaya kedudukan kewangan kita mengukuh dan berada dalam keadaan stabil, bertambah dari segi 'cash flownya', insya-Allah.
"Sesungguhnya saya percaya para imam yang ada ini akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited, istiqamah serta berdisiplin sebagai golongan yang paling hampir dengan anggota masyarakat di negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One-off' 2023' kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausa Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Penegerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Khalil turut menharapkan agar para imam mengambil peluang yang ada untuk sentisa berdoa kepada Allah agar dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kerahmatan.
"Kepada negeri kita ini dan ke atas seluruh umat Islam," ujarnya.
03 Jul 24
2364
Imam Ketiga di Terengganu Terima Insentif Khas RM194,400
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 324 orang imam ketiga di Terengganu menerima bantuan khas secara 'one-off' daripada kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan RM194,400.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini imam ketiga di masjid mukim negeri itu tidak menerima bayaran oleh mana-mana entiti yang lain.
"Jadi kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membayar kepada imam ketiga, pembayaran hari ini adalah untuk tahun 2023.
"Agak terlewat sebenarnya kerana kita bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ' One Off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri turut berhasrat bagi meneruskan bayaran bantuan khas kepada imam bagi tahun 2024.
"Insya-Allah sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan kita akan cuba selesai secepat mungkin sebelum berakhir tahun ini," ujarnya.
03 Jul 24
5259
TDM Mahu Perkenal Hospital Mesra Ibadah
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) berhasrat untuk memperkenalkan program baharu di masa akan datang sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) iaitu 'Pengenalan Hospital Mesra Ibadah'.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia akan dilangsungkan di KMI Kuala Terengganu Medical Centre dengan menyasarkan penyertaan seramai 40 pelajar Universiti Zainal Abidin (UniSZA) dalam pengajian perubatan dan kontemporari Islam selain orang awam.
Katanya, pihaknya berkolaborasi dengan HRD Corp mengadakan program NTW bagi memperkasakan kemahiran kalangan dalam rakyat untuk memenuhi keperluan semasa.
"'TDM's Knowledge Sharing Carnival : NTW24's 5 Pillars' merupakan tema yang kami ketengahkan untuk menjayakan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup (Teras 1), Kemahiran Masa Depan (Teras 2), Kreativiti dan Inovasi (Teras 3), Kewangan (Teras 4) dan Pembangunan Mampan (Teras 5).
"Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan industri yang bersama-sama menggembleng tenaga bersama kami dan HRD Corp," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur, di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.
Majlis perasmian karnival berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Husaimi Hussin.
Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia itu, Najman berkata ia diadakan di seluruh negara dengan menawarkan 25,000 kursus dengan sasaran kemasukan 200,000 peserta.
"Hari ini untuk teras 3, TDM telah membawa 150 pelajar-pelajar sekolah rendah bersama guru pengiring dari ladang kami di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman serta jemputan khas dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Ladang.
"Selain itu dua hari lepas kami mengadakan seminar khas ' Intergrated Pest Management in Oil Palm Plantation' bagi teras 5 bertempat di Akademi TDM, Sungai Tong.
"Seminar perkongsian ilmi ini melibatkan penyertaan seramai lebih 50 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pekebun-pekebun kecil dan industri perladangan yang lain sekitar Sungai Tong," ujarnya.
26 Jun 24
340
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata langkah itu diambil setelah menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kemudahan tempat beribadat di kawasan rekreasi terbabit.
Katanya, surau beserta tandas baru itu dijangka boleh digunakan bermula Ogos.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak EPIC kerana telah memperuntukkan belanja untuk satu projek yang sangat bermakna di dalam Parlimen Kuala Terengganu.
"Saya tengok pada pelan pembinaan surau dan tandas ini sangat selesa untuk kegunaan muslimin dan muslimat.
"Juga telah dimaklumkan pihak EPIC turut bermurah hati bagi menanggung sepenuhnya berkait utiliti , penyelengaraan dan sebagainya supaya surau ini boleh berjalan dengan sempurna," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan pengarah EPIC berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini.
Menurut Amzad, bagi memastikan keadaan surau itu terpelihara dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan bersih pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil juga telah bersetuju menjaganya termasuk memastikan ia sentiasa diimarahkan.
"Kita akan menyerahkan kepada pihak yang akan menguruskan surau ini, kita tidak mahu ia akan dijadikan sebagai tempat tidur percuma kepada golongan gelandangan tanpa penjagaan rapi.
"Surau ini boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu-satu masa, yang akan turut dilengkapi penghawa dingin yang lebih baik dari sebelum ini," ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama katanya syarikat EPIC telah membelanjakan sebanyak RM2.3 juta setakat tahun ini bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya antara CSR yang telah dijalankan ialah di Padang Astaka di Jerteh, Sekolah Ittifaqiyah dan Sekolah Seri Budiman serta beberapa sekolah pondok yang telah dibantu bagi melengkapkan keperluan yang dikehendaki.
20 Jun 24
554
Sultan Mizan Solat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
KUALA NERUS, 17 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 7.50 pagi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Turut menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar mengimamkan solat sunat Aidiladha dan menyampaikan khutbah bertajuk Aidiladha: Kemuncak Kejayaan Seorang Hamba.
Sultan Mizan bersama Tengku Muhammad Ismail berkenaan menunaikan solat sunat bersama kira-kira 1,500 rakyat Terengganu.
Selesai menunaikan solat sunat, Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda bersalaman bersama jemaah yang hadir sebelum mencemar duli menziarahi Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Sultan Mizan berangkat pulang sekitar jam 9.00 pagi.
17 Jun 24
314
Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Kerajaan negeri menyeru umat Islam untuk merebut peluang keampunan yang terbuka luas pada Hari Arafah, sambil menegaskan bahawa perhimpunan besar umat Islam di Padang Arafah adalah lambang kekuatan umat Islam di seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah juga mengingatkan manusia tentang perhimpunan besar pada hari kiamat, di mana semua manusia akan dikumpulkan di hadapan Allah untuk dihisab.
“Perhimpunan di padang Arafah adalah gambaran kecil dari perhimpunan besar itu. Marilah kita muhasabah diri dan memperbanyakkan amal soleh agar kita termasuk dalam golongan yang berjaya di akhirat kelak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, pada Khamis.
Tambah Dr Khalil, Hari Arafah adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan.
“Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah’.
“Hadis riwayat Muslim ini menunjukkan betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah pada hari Arafah. Pada hari tersebut, Allah membuka pintu-pintu keampunan seluas-luasnya,” katanya.
Dr Khalil juga menyentuh mengenai ibadat wukuf di padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun haji, di mana para jemaah haji berkumpul untuk berdoa, berzikir, dan memohon keampunan daripada Allah.
“Walaupun tidak semua dapat bersama-sama dengan jemaah haji di sana, umat Islam masih dapat mengambil iktibar dan melaksanakan ibadat sunnah sempena Hari Arafah.
“Saya menyeru kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat di Negeri Terengganu untuk turut sama-sama berpuasa pada 9 Zulhijjah ini, yang merupakan hari wukuf di Arafah," ujarnya.
Beliau berkata, Sabda Nabi SAW, puasa pada hari tersebut, iaitu Hari Arafah, akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Dr Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penganjur dan seluruh jemaah yang hadir memenuhi masjid pada malam tersebut untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Arafah.
16 Jun 24
244
Ibrah Quran Petunjuk Buat Umat Islam
SETIU, 12 Jun - Umat Islam perlu menekuni kupasan dan tafsir Al-Quran bagi memastikan perjalanan kehidupan sentiasa di landasan yang betul.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata ibrah (pengajaran) dari firman Allah s.w.t tidak hanya buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia.
"Al-Quran adalah kitab yang lengkap. Di dalamnya ada peraturan, nasihat, peringatan dan juga memaparkan kisah umat terdahulu sebagai pengajaran kepada kita.
"Semoga muslimin dan muslimat yang hadir pada program hari ini dapat memanfaatkan sebaiknya program hari ini," tambahnya.
Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian penutup Program Menelusuri Ibrah Qurani anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Masjid Chalok Kedai pagi semalam.
Sementara itu, Mohd Fahmi Mohd Fajri, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Agama Setiu (SMAS) berkata program sebegini amat memberi manfaat dan mudah untuk memahami apa yang disampaikan.
"Terima kasih kepada pihak penganjur yang turut menjemput kami. Semoga program keagamaan sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang," tambah beliau.
Program Menelusuri Ibrah Qurani edisi keenam ini menampilkan 3 orang qari yang membaca surah Al-Hajj iaitu Syeikh Dr. Mohamed Abdel Hamid Kulaib Syeikh Ali Rashed Ghanem Al-Musannef dan Ustaz Abdul ‘Alim Zakaria.
Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail pula berperanan sebagai pentadabbur.
11 Jun 24
172
Terengganu Benar Hiburan, Tapi Ada Syarat
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Dakwaan mengatakan bahawa Terengganu tidak membenarkan sebarang hiburan dianjurkan di negeri ini adalah tidak tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif itu sengaja dimainkan setelah kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap satu penganjuran parti oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.
"Islam tidak haramkan hiburan, sebaliknya memberi garis panduan mengenai hiburan yang sesuai.
"Naratif yang dibawa terhadap isu yang terjadi di Terengganu seolah-olah kerajaan negeri Terengganu hendak mengharamkan semua hiburan.
"Naratif yang sebenarnya ialah kita nak bawa (hiburan patuh syariah), kita tidak menghalang tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik ; Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, Islam tidak menghalang apa yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.
"Begitu juga dengan fitrah manusia kasih kepada harta benda, islam tidak melarang manusia mencari harta benda tetapi pada harta benda itu ada kewajipan seperti mengeluarkan zakat.
"Berbeza dengan dunia barat yang ditegak tidak mengikut fitrah menyebabkan jiwa masyarakatnya kosong walaupun maju dan mencipta pelbagai alatan yang canggih, kerana itu banyak berlakunya kes bunuh diri.
"Di sebelah Timur di Korea, Jepun antara negara yang menunjukkan peratusan paling tinggi golongan belia dan anak mudanya terlibat dalam kes bunuh diri, ini kerana tekanan jiwa dengan pelbagai masalah yang dihadapi kerana mereka melihat manusia hanya dari sudut jasad dan fizikal semata-mata, " katanya.
Ujarnya, Islam telah melalui sejarah panjang yang manis dengan dakwah hari ini semakin tersebar luas dan diterima oleh dunia.
"Kini masyarakat mula sedar dengan islam sehingga dapat menerima sistem yang ada dalam islam mencakupi ekonomi, perundangan dan politik tanpa memaksa bukan Islam menganutinya.
"Apabila mereka menerima Islam maka akan dapat melihat sistem Islam yang begitu adil kerana itu ia tersebar dengan begitu cepat," katanya.
03 Jun 24
662
'Two State Solution' Tak Selesai Masalah
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Tidak wajar jika masih ada umat Islam yang berpandangan bahawa pendekatan dua negara merupakan penyelesaian terbaik dalam menamatkan konflik Palestin dan negara haram Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, zionis sendiri menolak idea 'two state solution' tersebut.
Katanya, selama ini perjuangan rejim zionis adalah memperluaskan negara haram yang mereka bina.
"'Two state solution' ini kita kena faham bahawa yang memerintah Israel hari ini adalah gerakan zionis, akidah dan falsafah zionisme ialah strategi memperluaskan negara haram.
"Tidak ada dalam akidah zionisme 'two state solution' satu negara untuk Israel manakala satu negara lagi untuk Palestin.
"Jadi sesiapa yang mengajak kepada pelaksanaan idea berkenaan adalah salah kerana dalam akidah zionisme negara haram Israel bukan sahaja Palestin, tetapi merangkumi sebagai besar negara timur (seluruh Iraq, Jordan, Lubnan, Sebahagian bedar dari Mesir, Arab Saudi, Yaman, Ethiopia termasuk juga Sudan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik : Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas mengenai 145 negara daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB) yang kini mengiktiraf kenegaraan Palestin, Muhammad Khalil berkata itu merupakan satu perkembangan yang menarik
"Perkembangan terbaru ini (menunjukkan) semakin hari semakin pecah benteng yang dibina oleh zionisme (melalui) sistem imperialisme, dengan zionisme yang sebenarnya diusahakan untuk halang kebangkitan islam, benteng ini semakin hari semakin rapuh.
"Hari ini kita dapat melihat rakyat dan juga kalangan mahasiswa di Amerika dan Eropah termasuklah dalam United Nation sendiri bangkit (menyokong Palestin) ini merupakan satu perkembangan positif," ujarnya.
02 Jun 24
360
Johan Qariah Gentar Bertemu Kembar
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Johan qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, mengakui kehadiran adik kembarnya, Nor Jannah, 33, yang turut bersaing menjadi detik manis yang tidak dilupakannya.
Menurutnya, ia merupakan kali kedua selepas kedua-dua mereka bertemu di peringkat negeri sebelum ini. Dalam MTHQK 2024 kali ini, Nor Hidayah bertanding sebagai johan menunggu dan Nor Jannah mewakili negeri Terengganu.
"Sejujurnya, saya agak gentar juga 'bertemu' dengannya sebab dia boleh dikatakan pencabar terdekat yang tahu kemampuan saya. Namun, Alhamdulillah sebagai ahli keluarga, saya rasa bangga dengan apa yang dicapai oleh kami berdua.
"Terima kasih kepada ibu ayah saya yang tidak jemu mendidik terutama dalam bidang al-Quran. Juga kepada suami yang memberi kekuatan dan keluarga mertua yang menyokong ibarat tulang belakang dalam perkara yang saya lakukan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam.
Pada majlis di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, semalam Nor Hidayah dan Nor Jannah membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Dalam pada itu, naib johan qari turut disandang oleh anak Terengganu apabila diraih oleh bilai Masjid Abidin, Abdul Hadi Che Ab Halim.
Seorang lagi anak Terengganu, Tuan Nor Syaidah Azhar meraih tempat kedua dalam kategori hafazan.
30 May 24
2745