lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

50,000 Hadir Bina Gelombang Anak Muda Terengganu Cintakan Ulama
50,000 Hadir Bina Gelombang Anak Muda Terengganu Cintakan Ulama
MARANG, 18 Ogos - Lebih 50,000 orang telah membanjiri program Santai Murabbi sekali gus menzahirkan perasaan cinta rakyat Terengganu khususnya anak muda terhadap ulama. Program yang diadakan di Dewan Tuan Guru, Rusila Marang itu telah menampilkan pendakwah selebriti yang mencetuskan fenomena dalam negara iaitu Ustaz Wadi Annuar serta Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus. Program yang bermula pada jam 8 malam itu dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator. Seluruh hadirin yang hadir pada malam itu telah memenuhi segenap ruang dalam dewan serta tidak berganjak dari tempat duduk bermula awal sehingga akhir program. Rata-rata mereka tertarik mendengar pengisian agama melalui soalan-soalan yang diajukan. Terdahulu, pada sebelah petang telah diadakan program bersama Mantan Timbalan Kesatuan Ulama Sedunia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah mengupas dan membicarakan isu terkini mengenai negara Palestin. Sebelumnya, anak muda lapan daerah di negeri ini telah menyertai acara konvoi motosikal bergerak dari kawasan masing-masing menuju ke Rusila dengan membawa bendera Palestin beserta sepanduk Malah ada yang membawa sepanduk menuntut hak royalti Terengganu dikembalikan semula kepada rakyat negeri ini.  
18 Aug 24
3467
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
ALOR SETAR, 6 Ogos - Kerajaan Kedah tidak bersendirian dalam perjuangan mempertahankan prinsip sifar judi di negeri terbabit selepas Terengganu menyatakan sokongan terhadap usaha negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dasar yang menjadi polisi negeri SG4 itu akan dipertahankan bersama.  Ujarnya, walaupun ada pihak yang menentang usaha itu sehingga berlaku semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, pihaknya bersama Kerajaan dan rakyat Kedah. "Ia penting untuk kita terus berpegang kepada prinsip yang telah diputuskan bersama oleh negeri SG4 melalui bidang kuasa kerajaan negeri, kita tidak akan benarkan sama sekali. *Kita hendak memastikan rakyat kita bebas daripada amalan judi yang mempunyai mudarat besar hingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan mewujudkan suasana tidak aman dalam masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa mewakili delegasi Kerajaan Terengganu mengadakan kunjungan hormat Kerajaan Negeri Kedah, di Bilik Gerakan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Rizuan Hashim dan Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato' Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad. Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata Terengganu mengambil langkah persediaan seandainya ada pihak yang akan melakukan perkara sama menentang penutupan pusat judi. "Kita bersedia melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut bidang kuasa kita sendiri, insya-Allah apa yang penting kita mempertahankan prinsip yang diputuskan dengan polisi yang telah kita persetujui bagi menjaga kepentingan rakyat secara umum," ujarnya. Dalam pada itu, Azam berkata kerajaan Kedah kini melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sedang berusaha bagi mempertahankan dasar sifar judi. "Ia disambut oleh pihak PBT yang menegaskan tidak akan meluluskan lesen premis judi di Kedah walaupun telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. "Di peringkat Kerajaan Negeri Kedah akan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya apa yang telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti judi dapat diteruskan dan ini juga merupakan hasrat rakyat Kedah bagu memastikan 'sifar judi' dapat dipertahankan," tegasnya.  
06 Aug 24
362
DAP Perlu Belajar Hormat Hak Majoriti Rakyat
DAP Perlu Belajar Hormat Hak Majoriti Rakyat
KANGAR, 6 Ogos - Naib Presiden DAP, Teresa Kok diingatkan agar tidak hanya lantang bersuara mempertahankan hak minoriti bukan Islam sebaliknya perlu belajar menghormati sensitiviti masyarakat muslim di negeri terbabit dan juga Malaysia.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, tidak wajar isu larangan penyanyi wanita mengadakan persembahan di kuil pada acara keagamaan ditimbulkan kerana garis panduan hiburan di Terengganu telah sedia difahami oleh semua pihak.  Tegasnya, pemimpin DAP itu perlu faham, apabila ia diadakan di tempat umum maka kerajaan negeri tiada kompromi bagi memastikan syariat terjaga. "Bagi orang bukan Islam mereka boleh buat persembahan pada majlis dan upacara keagaaman mereka, sekiranya diadakan di tempat tertutup dan tidak mengganggu orang lain dan itu merupakan hak mereka.  "Namun, jika dibuat di kawasan terbuka dan majlis mereka didapati mengganggu masyarakat, kerajaan negeri tidak boleh berkompromi. "Jika hendak dibuat, buat sesama mereka dalam majlis atau dewan tertutup maka tidak akan ada masalah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Kerajaan Negeri Perlis, di sini, semalam. Tegasnya lagi, dalam ketegasan Teresa Kok bercakap mengenai hak minoriti jangan dilupakan keutamaan untuk turut menjaga sensitivibmasyarakat Islam yang merupakan majoriti di negara dan Terengganu secara khususnya. "Apabila bercakap tentang menjaga hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti.  "Sedangkan masyarakat di Terengganu hidup secara aman dan harmoni walaupun muslim 96 peratus, namun hak bukan Islam tiada masalah selama beratus dan berpuluh tahun, kami hidup harmoni saling bertoleransi.  "Masing-masing menghormati antara satu sama lain," ujarnya. Justeru beliau memberikan peringatan tegas agar hak orang Islam perlu dijaga bagi memastikan keharmonian terus berkekalan.  "DAP selalu menimbulkan dakwaan bahawa kita tidak menjaga hak orang bukan Islam.  "Saya nak sebutkan di sini, hendak beri peringatan bahawa mereka juga perlu menjaga hak orang Islam.  "Kerana Islam adalah agama rasmi dan merupakan majoriti dalam negara," ujarnya.
06 Aug 24
288
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan menurut kajian badan bebas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merupakan salah satu hasil pemerkasaan syariah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pengiktirafan itu memperlihatkan Terengganu benar-benar melaksanakan apa yang disarankan syariah Islam. "Sebagaimana sedia maklum, negeri kita dari segi asasnya sangat teguh dengan dasar dan prinsip Islam, maka kita comelkan lagi apa yang telah dilaksanakan pada penggal lepas. "Apa yang dilaksanakan pada masa lepas terlalu agresif bagi memastikan pelaksanaan syariah di negeri ini berjalan dengan baik dan tersusun. Jadi, pada penggal ini kita memperkenalkan slogan dinamakan Indahnya Hidup Bersyariat. "Kita telah mengadakan banyak program melalui pelbagai jabatan dan agensi samsada dalam bentuk pelaksanaan syariah dalam ruang dan bidang kuasa yang kita ada dan kita juga mengadakan program kesedaran kepada rakyat  "Kita mahu mendidik rakyat bahawa pelaksanaan syariah ini bukan semata-mata undang-undang jenayah syariah, sebaliknya satu konsep yang sangat luas merangkumi setiap sendi kehuidpan kita diantaranya good gorvenance," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi tentang pelaksanaan Indahnya Hidup Bersyariat dalam program-program di negeri Terengganu. Tambah Muhammad Khalil, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan program untuk menyedarkan rakyat, masyarakat dalam negeri yang telah diteruskan daripada penggal lepas seperti program Madinah Ramadan, Seminar Fiqh Korban dan Akikah dan lain-lain. "Dalam masa terdekat ini, kita juga akan menganjurkan satu karnival Indahnya Hidup Bersyariat di peringkat negeri dan turun ke semua DUN," ujarnya sebagai usaha memupuk lebih kefahaman kepada masyarakat.        
30 Jul 24
164
Inisiatif Kawasan Khas Penonton Wanita Pacu Momentum Baru
Inisiatif Kawasan Khas Penonton Wanita Pacu Momentum Baru
KUALA NERUS, 30 Julai - Hari ini, Terengganu FC akan mula melaksanakan kawasan khas buat penonton wanita dan keluarga bagi setiap perlawanan Terengganu FC. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka. “Ia akan dimulakan sempena perlawanan Terengganu FC vs Negeri Sembilan FC pada malam ini. Berkebetulan juga, pihak TFC menganjurkan Matchday x Family Day. “Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk. “Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” katanya melalui satu hantaran di laman rasmi beliau. Jelasnya, perkara berkenaan timbul dan disuarakan penyokong sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit adalah tentang percampuran penonton antara lelaki dan perempuan.   Oleh kerana itu, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri itu dapat menarik lebih ramai sokongan daripada kaum wanita dan keluarga dalam usaha menyemarakkan lagi  tuntutan beragama dan bersyariah dalam segala aspek kehidupan.   “Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak. “Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya.
29 Jul 24
112
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
Azizulhasni Jadikan Al-Quran Pendamping
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang yang juga merupakan anak kelahiran Dungun Terengganu menjadikan al-Quran sebagai pendampingnya termasuk ketika beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa. "Perkara yang paling wajib sekali saya bawa setiap kali saya 'travel' adalah al-Quran kerana sebagai orang Islam adalah penting untuk kita membacanya sekurang-kurangnya dua muka setiap hari. "Ini adalah buku yang paling berkuasa dan penting untuk kita semua baca," ujarnya menerusi satu perkongsian video di facebooknya, baru-baru ini. Pelumba berusia 36 tahun itu juga berkata, beliau turut menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat untuknya dan turut berkongsi di dalam video yang dimuatkan di laman sosialnya, antara buku lain yang dibaca ialah 'Seni Berfikir Yang Hilang' tulisan Ustaz Hasrizal Abu Jamil. "Saya memang suka membaca buku tetapi kalau di rumah sukar sedikit nak membaca sebab anak-anak ramai dan perlu beri perhatian kepada mereka. "Buku 'Seni Berfikir Yang Hilang' ini memang saya bawa kemana-mana sahaja saya pergi kerana maklumat dan perkongsiannya sangat 'brilliant' kadang-kadang saya baca balik untuk ingatkan saya semua mengenai kandungannya. "Kedua, saya bawa buku kawan baik saya Sonny Bill Williams (lagenda ragbi New Zealand), saya rancang nak habiskan baca buku ini semasa kejohanan olimpik," ujarnya.
29 Jul 24
221
100 Keluarga Zahirkan Syiar Puasa Asyura Dalam Potluck Iftar 3.0
100 Keluarga Zahirkan Syiar Puasa Asyura Dalam Potluck Iftar 3.0
DUNGUN, 28 Julai - Seramai 100 keluarga lebih memenuhi kawasan Taman Rekreasi Limbong, Paka bagi menyambut program Potluck Iftar 3.0 DUN Paka sempena seruan berpuasa suna pada 10 Muharram, kali ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, program yang diadakan setiap tahun itu menerima sambutan diluar jangkaan kerana lebih daripada 100 keluarga mendaftar untuk menyertainya "Kita dapat rasai sendiri suasana kemeriahan dan keakraban sesama masyarakat kita apabila masing-masing berpakat beri makanan kepada orang lain secara juadah bawaan (potluck). "Saya sendiri tengok orang ramai 'mari' tadi sampai tidak berasa lapar berpuasa," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ProgramSambutan Potluck Iftar 3.0 di Taman Rekreasi Limbong, Paka baru-baru ini. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada masyrakat setempat yang menyertai program berkenaan dan sudi membawa makanan lebih untuk dikongsi bersama. "Bahkan tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang memberi sumbangan dalam bentuk wang dan makanan. "Walaupun mereka tidak dapat hadir, sumbangan tersebut amat dihargai dan moga Allah meluaskan rezeki mereka," jelasnya lagi. Sehubungan itu, Satiful berkata, amalan berpuasa sunat yang dianjurkan agama Islam itu turut menjadi medan merapatkan ukhuwah selain membina masyarakat yang kukuh jika diketengahkan dalam program sebegitu. "Kalau kita seorang hendak buat puasa sunat ni kadang-kadang berasa malas juga, tetapi apabila ada berbuka puasa ramai-ramai ini terasa lebih semangat sikit untuk melakukan puasa sunat. "Terima kasih semua yang terlibat menjayakan Sambutan Potluck 3.0 ini. Hidup ukhuwah dan teruskan semangat kekeluargaan kita," ujarnya.  
28 Jul 24
100
Tiada Bukti Tiang Surau Tokku Paloh Tempat Bersandar Nabi Khidir
Tiada Bukti Tiang Surau Tokku Paloh Tempat Bersandar Nabi Khidir
KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan tiada bukti sahih yang mengesahkan sebatang tiang di Surau Tokku Paloh sebagai tempat bersandar Nabi Khidir AS. Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan itu setelah tular satu video yang bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu’ yang telah menarik perhatian ramai sejak Ahad lalu. “Sehingga kini tidak terdapat bukti yang sahih untuk menyokong kewujudan tiang tersebut sebagai tempat bersandar Nabi Khidir,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Sementara itu, cicit Tokku Paloh, Syed Khairuldin Syed Mustafa menafikan kesahihan video tersebut. Beliau yang juga merupakan Imam Surau Tokku Paloh itu menyatakan bahawa video itu kemungkinan diambil kira-kira lima hingga enam tahun lalu. "Ini berdasarkan beberapa unsur seperti kertas yang telah lama dibuang dari dinding surau, tetapi masih kelihatan dalam video tersebut, menunjukkan bahawa video itu memang lama," katanya. Tambahnya lagi, beberapa perubahan struktur bangunan seperti wakaf di hadapan surau dan atap kolah yang sekarang sudah ada, tetapi pada masa penggambaran video tersebut, struktur ini belum wujud. “Individu yang membuat kenyataan dalam video tersebut tidak dikenali, menimbulkan keraguan tentang asal usul maklumat yang disampaikan,” ujarnya. M Rozi menambah bahawa JHEAT akan terus menyiasat kes ini secara teliti sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.
10 Jul 24
1895
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1420H/1999, Masnah Awang, 73 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu bagi tahun ini. Lebih mesra dengan panggilan 'Mek Wook', Masnah melibatkan diri dalam bidang taranum al-Quran sejak 1966 dan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dari tahun 1985 hingga 2004. Dengan pengalaman luas yang dimiliki, ibu kepada lapan orang anak ini berkhidmat sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selain berperanan sebagai tenaga pengajar di Pejabat Daerah Marang. Bagi menghargainya, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000. Hasnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 2024 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pagi ini. Selain menerima trofi, Masnah turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000. Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Masnah merakam rasa terharu atas penghargaan yang diterimanya. Beliau turut menyifatkan usahanya kini hanyalah untuk terus menyuntik semangat kepada generasi muda untuk menanam minat mendalami al-Quran.  
07 Jul 24
730
Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah
Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal sejauh 460 kilometer dari Makkah ke Madinah, tetapi juga sebuah perjalanan yang penuh dengan hikmah dan ibrah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bahawa hijrah merupakan perjuangan besar Rasulullah SAW dan para sahabat untuk memastikan kelestarian agama Islam di muka bumi ini. “Sejarah Islam merekodkan bahawa hijrah dilakukan berdasarkan perancangan yang begitu teliti dan rapi dalam menempuh perjalanan sejauh lebih 460 kilometer ini. “Bermula dengan perancangan untuk keluar daripada Makkah tanpa pengetahuan pihak musuh sehinggalah kepada perancangan bagaimana untuk sampai ke Madinah dengan selamat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Dr Khalil turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memastikan individu yang terlibat dalam peristiwa hijrah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan boleh dipercayai. “Peristiwa hijrah menunjukkan kepada kita kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi dalam menempuhi kesukaran untuk melaksanakan perintah Allah SWT. "Hijrah juga membuktikan pergantungan atau tawakal yang amat kuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. kepada Allah SWT. “Pergantungan atau tawakal yang amat kuat ini amat sukar untuk dilestarikan dan dizahirkan oleh sesiapa pun melainkan oleh mereka yang memiliki akidah yang benar dan sahih, yang tidak ternoda dengan sebarang bentuk keraguan atau syak kepada Allah SWT. “Hanya akidah yang lurus dan benar sahaja yang dapat melahirkan kekuatan dalaman yang sedemikian teguh dan kukuh dalam menghadapi ujian-ujian seperti yang dialami oleh Baginda SAW dan para sahabat r.a. dalam peristiwa hijrah,” ujarnya. Beliau berkata, kerajaan negeri mengajak umat Islam untuk menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai tauladan dan ikutan dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang mencabar ini. “Hijrah dalam tradisi Islam memberikan maksud yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam keseluruhannya. “Hal ini kerana peristiwa hijrah yang telah berlaku adalah sarat dengan pelbagai sejarah, hikmah dan ibrah kepada kesemua yang berakal dan terbuka mata hatinya. “Sebagai mengakhiri ucapan saya, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan dan ikutan kita dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang cukup mencabar ini. Selamat menyambut Maal Hijrah 1446,” katanya.  
06 Jul 24
210