BESUT, 9 Julai – Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk merebut sebarang jawatan tambahan dalam parti menjelang Muktamar Tahunan PAS yang akan datang.
Sebaliknya, beliau yang juga Naib Presiden PAS lebih selesa memberi tumpuan penuh kepada amanah yang sedang diamanahkan kepadanya ketika ini.
“Saya telah nyatakan sebelum ini, jawatan yang saya pegang sekarang pun sudah cukup berat untuk saya pikul. Jadi tidak timbul soal saya hendak jawatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi Projek ECRL di Stesen Jerteh, hari ini.
Mengulas mengenai spekulasi kemungkinan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang, Ahmad Samsuri berkata perkara itu terpulang sepenuhnya kepada keputusan individu terbabit.
“Sebagaimana disebut oleh beliau sendiri, dia nak tengok ‘anak bulan’ dahulu, kan?
“Jadi, biarlah beliau tengok anak bulan dulu. Keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak itu ‘truly 100 percent’ bergantung kepada pertimbangan beliau,” ujar Ahmad Samsuri.
Tambah beliau, isu pemilihan adalah perkara biasa dalam PAS dan parti itu telah melalui pelbagai fasa serta muktamar sebelum ini.
“Insya-Allah, PAS mempunyai sistem yang kukuh dan bersedia menghadapi apa sahaja yang berlaku dalam parti.
“Parti akan terus bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan,” katanya.