HULU TERENGGANU, 22 September - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuhkan keupayaan pasukannya dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM, Dato' Sri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya telah memulakan persiapan awal bagi memastikan gerak balas lebih pantas dapat dilaksanakan apabila banjir melanda.
"Persiapan kita untuk MTL ini kita telah memulakan persiapan awal dan yang paling saya nak tekankan di sini ialah pada tahun ini juga kita telah memperkukuhkan keupayaan kita untuk respon (secepat mungkin).
"Kita telah kenal pasti 24,000 keanggotaan untuk kita mobiliti seluruh negara merangkumi bomba sepenuh masa, kaki tangan kita kemudian bomba bantuan sebanyak 2,315 dan juga bomba sukarela sebanyak 8,956," katanya.
Tambahnya, JBPM tahun ini turut memperkukuhkan kerjasama bersama bomba sukarela dan komuniti setempat melalui pengagihan 150 buah bot bomba komuniti untuk ditempatkan di lokasi-lokasi berisiko banjir.
Menurutnya lagi, pengagihan tersebut membolehkan komuniti setempat untuk bertindak di peringkat awal dalam proses pemindahan mangsa banjir.
"Dalam masa yang sama kalau keadaan menjadi lebih teruk, apabila bomba dan juga pasukan 'responder' lain masuk, kita akan terus bekerja secara bersama.
"Jadi, bot komuniti yang kita bekalkan ini menyelesaikan sebahagian pada permasalahan yang kita hadapi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum merasmikan Majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Bersama JBPM di tapak rekreasi Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu di sini, semalam.
Jelas Nor Hisham, bot komuniti bersaiz 14 kaki bernadikan enjin 15 kuasa kuda menjadi pilihan kerana faktor pengendalian yang lebih lincah terutamanya di kawasan terjejas banjir yang cetek dan berhalangan banyak.
"Kalau dulu masalah kita hadapi ialah untuk kita atasi isu 'urban flood' ataupun banjir di kawasan perbandaran sebab air tak dalam, halangan banyak.
"Jadi ia memerlukan bot yang lebih ringan, lebih kecil dan lebih mudah nak 'maneuver'. Jadi, kita telah bekalkan pada tahun ini bot yang sesuai untuk kawasan ini.
"Tetapi dalam masa yang sama yang bot bomba ni kita juga kena bersedia kepada arus yang lebih besar dan juga deras untuk membolehkan kita bergerak. Jadi, dia akan kompensasi ataupun apa memenuhi satu sama lain," ulasnya.
Selain itu, JBPM juga menyediakan kira-kira 450 kenderaan marin, 417 kenderaan angkut roda ringan serta 119 buah kenderaan angkut berat bagi memperkukuh operasi menyelamat.
"Alhamdulillah, untuk makluman semua juga, baru ni kita telah diluluskan tender perolehan sebanyak 200 buah kenderaan penarik bot dan juga kenderaan operasi 'light operation vehicle' yang telah diluluskan dan insya-Allah bekalan itu akan mula pada awal tahun depan," katanya.
Beliau positif persiapan awal itu akan meningkatkan kesiapsiagaan JBPM khususnya berikutan jangkaan fenomena La Nina oleh MetMalaysia yang diramalkan berlaku pada hujung Disember hingga awal Januari ini.