DUNGUN, 17 Julai - Kisa-kira sebanyak 64,130 ekor benih ikan air tawar pelbagai spesis termasuk udang galah telah dilepaskan di Sungai Dungun, Kampung Jongok Batu, pagi tadi.
Menariknya, pelepasan benih dengan peruntukan berjumlah RM 36,300.00 pada kali ini turut menyaksikan 130 ekor benih ikan Kelah di kawasan perairan tersebut.
Benih lain juga termasuk 6000 ekor baung, 12,000 ekor lampam sungai, 5000 ekor terbul, 1000 ekor sebarau serta 40,000 ekor udang galah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, pemilihan spesis yang juga dijolok sebagai 'raja sungai' itu merupakan sesuatu kelainan dalam program itu.
"Saya rasa di sini yang paling istimewa, sebab ada kelah. Tempat lain tiada kelah. Jadi biar dia membiak.
"Alhamdulillah, hasil daripada pelbagai program pelepasan pelepasan benih ikan yang kita buat dan masyarakat di sini pula pakat jaga, itu yang paling penting," katanya.
Beliau menegaskan kepentingan dalam menjaga kelestarian sumber rezeki, khususnya bagi para nelayan untuk menggunakan kaedah yang betul apabila melakukan penangkapan.
"Ikan ini tidak akan habis. Kalau kita setakat memukat, tahan taut, mengail,menyelam, (ikan) tidak akan habis. Yang habisnya bila kita pergi racun dia. Pergi tuba, bom, 'karan' (menggunakan elektrik) lagi dan macam-macam, maka, habislah anak cucu dia. Jadi bila habis, sampai setakat itu sahajalah.
"Kalau kita tuba, kita ambik setakat yang kita nak. Selepas itu kita tinggal, lihat ke belakang yang terapung itu siapa yang nak kutip?, " soalnya.

Menurutnya lagi, kajian inventori yang telah dijalankan oleh Pejabat Perikanan Negeri menggunakan kaedah menjala mendapati spesimen yang diperolehi telah mencapai saiz yang memuaskan, menjadi indikasi yang baik bagi usaha memperkaya sumber air tawar yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya.
"Mereka jalalah nak tengok spesis apa yang ada, ikan lampan itu besar-besar daripada tapak tangan lagi. Maknanya ia membiak dengan baik," ujarnya dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Yukang serta Pegawai Khas (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda.

Mengulas lebih lanjut, saiz benih yang dilepaskan kali ini juga lebih besar dengan tujuan untuk meningkatkan kelangsungan hidup benih.
"Saiz ikan yang kita lepas di Jongok Batu ini besar sedikit daripada yang kita lepas di tempat lain. Jadi maknanya, ikan kelah itu memang nampak besar, ikan baung pun besar, bila besar itu dari segi kadar hidup kita harap akan menjadi lebih tinggi.
"Kalau kita lepas anak kecil itu kemungkinan yang hidup kalau 10 peratus pun kita dah Alhamdulillah.
"Tapi bila lepas yang besar semoga dia hidup dengan lebih tinggi dan membiak. sebab spesis yang kita lepas ini spesis yang jenis membiak dan spesis tempatan," jelasnya.