Artikel "Perikanan" Terkini
38 Ribu Benih Ikan Dilepaskan Di Sungai Setiu
SETIU, 25 September – Sebanyak 38,000 benih ikan dilepaskan ke Sungai Setiu dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dijalankan secara tahunan dan setiap daerah menerima sejumlah benih ikan bagi tujuan memperkayakan sumber.
"Jangan ada aktiviti tuba, bom dan karen ikan yang semua ini menyebabkan kerosakan kepada sumber dan ekosistem.
"Sumber yang ada ini penting kepada generasi dan sebolehnya biarlah anak cucu kita merasai hasilnya nanti," beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur di Pengkalan Nyatoh, Kampung Beris Tok Ku.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Hasniah Othman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Terdahulu sebanyak 38,000 anak benih ikan dilepaskan termasuklah spesis ikan baung 6,000, ikan lampam sungai 2,000 dan udang galah 30,000 ekor.
Program ini dilihat mampu memberi impak positif kepada kelestarian ekosistem sungai selain membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan sungai.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 31 penerima, yang melibatkan 16 nelayan dari daerah Besut dan 15 nelayan dari daerah Setiu dan penyerahan insentif input akuakultur.
25 Sep 25
74
Raja Muda Terengganu Cemar Duli Labuh Tukun Tiruan
KUALA NERUS, 18 September – Perairan Tanjung Gelam pagi ini mencatat sejarah apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melabuh 18 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (rekreasi), sebagai ikhtiar memperkasa kelestarian laut negeri.
Keberangkatan tiba baginda di jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, Pulau Kambing tepat jam 9.00 pagi disambut penuh hormat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim.
Tuanku berkenan menaiki bot menuju ke lokasi pelabuhan tukun, dan sebaik tiba di perairan Tanjung Gelam, Yang di-Pertuan Muda Terengganu berangkat menaiki tongkang yang telah sedia menanti.
Majlis bertambah bermakna apabila baginda berkenan menekan buzzer sebagai gimik pergerakan kren mengangkat tukun, sebelum menekan air horn yang menandakan pelepasan rasmi ke permukaan air.
Baginda turut berkenan menyaksikan proses melabuh tiga unit tukun pertama, simbol harapan agar usaha pemeliharaan laut ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan nelayan tempatan.
Usai majlis, baginda berangkat ke bot dan kembali ke jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, sebelum berangkat pulang dengan penuh istiadat.
18 Sep 25
1001
20 Unjam Dilabuhkan di Perairan Sura
DUNGUN, 7 Ogos – Sebanyak 20 unjam berjaya dilabuhkan di perairan DUN Sura, kira-kira lapan batu nautika dari daratan.
Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan serta memelihara ekosistem marin secara mampan.
Sebanyak 40 unit kerek simen digunakan sebagai struktur alternatif kepada tukun tiruan, sekali gus memperkaya ekosistem marin dan menjamin kelangsungan rezeki nelayan melalui penglibatan aktif komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kebajikan nelayan dijaga, termasuk melalui usaha memperkasa sumber laut secara berterusan.
“Laut kita luas, tapi ikan tetap perlukan tempat tinggal. Unjam ini ibarat rumah ikan. Kita bukan sekadar tabur benih, tetapi kita jaga habitatnya.
"Ini bukti bahawa Kerajaan Negeri bukan hanya janji atas kertas, tapi turun lapangan realisasikannya,” katanya selepas meninjau operasi pelabuhan unjam itu, baru-baru ini.
Jelasnya, penggunaan kerek simen merupakan pendekatan dengan kos efektif yang tetap berfungsi baik dalam membantu pertumbuhan populasi ikan, terutamanya di kawasan pantai yang aktif menjadi lokasi tangkapan.
"Walaupun kosnya lebih rendah, hasilnya sangat memberangsangkan. Ikan cepat berkumpul dan kawasan ini jadi lebih subur dan ikan tetap datang, malah cepat membiak.
"Apa yang penting, nelayan dapat manfaat cepat dan untuk jangka panjang," tambahnya.
Turut terlibat dalam program tersebut ialah kakitangan teknikal JPM, sukarelawan tempatan serta wakil nelayan dari beberapa kampung di sekitar Dungun.
07 Aug 25
77
64,130 Benih Ikan Air Tawar Dilepaskan Di Kampung Jongok Batu
DUNGUN, 17 Julai - Kisa-kira sebanyak 64,130 ekor benih ikan air tawar pelbagai spesis termasuk udang galah telah dilepaskan di Sungai Dungun, Kampung Jongok Batu, pagi tadi.
Menariknya, pelepasan benih dengan peruntukan berjumlah RM 36,300.00 pada kali ini turut menyaksikan 130 ekor benih ikan Kelah di kawasan perairan tersebut.
Benih lain juga termasuk 6000 ekor baung, 12,000 ekor lampam sungai, 5000 ekor terbul, 1000 ekor sebarau serta 40,000 ekor udang galah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, pemilihan spesis yang juga dijolok sebagai 'raja sungai' itu merupakan sesuatu kelainan dalam program itu.
"Saya rasa di sini yang paling istimewa, sebab ada kelah. Tempat lain tiada kelah. Jadi biar dia membiak.
"Alhamdulillah, hasil daripada pelbagai program pelepasan pelepasan benih ikan yang kita buat dan masyarakat di sini pula pakat jaga, itu yang paling penting," katanya.
Beliau menegaskan kepentingan dalam menjaga kelestarian sumber rezeki, khususnya bagi para nelayan untuk menggunakan kaedah yang betul apabila melakukan penangkapan.
"Ikan ini tidak akan habis. Kalau kita setakat memukat, tahan taut, mengail,menyelam, (ikan) tidak akan habis. Yang habisnya bila kita pergi racun dia. Pergi tuba, bom, 'karan' (menggunakan elektrik) lagi dan macam-macam, maka, habislah anak cucu dia. Jadi bila habis, sampai setakat itu sahajalah.
"Kalau kita tuba, kita ambik setakat yang kita nak. Selepas itu kita tinggal, lihat ke belakang yang terapung itu siapa yang nak kutip?, " soalnya.
Menurutnya lagi, kajian inventori yang telah dijalankan oleh Pejabat Perikanan Negeri menggunakan kaedah menjala mendapati spesimen yang diperolehi telah mencapai saiz yang memuaskan, menjadi indikasi yang baik bagi usaha memperkaya sumber air tawar yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya.
"Mereka jalalah nak tengok spesis apa yang ada, ikan lampan itu besar-besar daripada tapak tangan lagi. Maknanya ia membiak dengan baik," ujarnya dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Yukang serta Pegawai Khas (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda.
Mengulas lebih lanjut, saiz benih yang dilepaskan kali ini juga lebih besar dengan tujuan untuk meningkatkan kelangsungan hidup benih.
"Saiz ikan yang kita lepas di Jongok Batu ini besar sedikit daripada yang kita lepas di tempat lain. Jadi maknanya, ikan kelah itu memang nampak besar, ikan baung pun besar, bila besar itu dari segi kadar hidup kita harap akan menjadi lebih tinggi.
"Kalau kita lepas anak kecil itu kemungkinan yang hidup kalau 10 peratus pun kita dah Alhamdulillah.
"Tapi bila lepas yang besar semoga dia hidup dengan lebih tinggi dan membiak. sebab spesis yang kita lepas ini spesis yang jenis membiak dan spesis tempatan," jelasnya.
17 Jul 25
112
Tuba, Renjatan Elektrik Gugat Ekosistem Sungai
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Sungai-sungai di Terengganu terus berdepan kerosakan ekosistem akibat kegiatan haram seperti menuba ikan dan penggunaan renjatan elektrik, meskipun data terkini menunjukkan insiden ini semakin berkurang hasil peningkatan kesedaran masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kegiatan menuba yang menggunakan akar tuba (Derris elliptica) serta teknik kejutan arus elektrik masih berlaku dan memberi kesan langsung kepada sumber akuatik negeri.
"Aktiviti tuba ikan, yang menggunakan akar tuba dan renjatan elektrik pada ikan masih ada.
"Tapi pada akhir-akhir ini, mengikut data yang kita perolehi, angka itu sudah menurun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, pelaku kegiatan ini bukan hanya penduduk tempatan, malah terdapat laporan bahawa ia turut dipelopori oleh warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor dan menggunakan masa lapang mereka dengan cara merosakkan sumber.
"Kita dapat laporan di kampung-kampung, aktiviti terlarang ini dipelopori oleh warga asing.
"Pekerja asing yang datang bekerja di sini, antara kegiatan masa lapang dia ialah menangkap ikan dengan cara melanggar kaedah dan merosakkan sumber," jelasnya.
Azman menyeru agar masyarakat menjadi barisan hadapan dalam memantau sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti haram demi menyelamatkan ekosistem air negeri.
"Kalau di laut, biar kita rasa laut itu milik kita, kalau di sungai, biar kita rasa sungai itu sungai kita.
"Cubalah jadi mata dan telinga untuk kita peka kepada kegiatan yang guna kaedah tangkapan yang merosakkan sumber seperti tuba, bom atau renjatan elektrik," tambahnya.
Beliau menegaskan, dengan lebih 1,000 batang sungai dan perairan seluas 87,000 meter persegi, adalah mustahil untuk semua kawasan dipantau secara berkesan tanpa penglibatan komuniti setempat.
"Jabatan tentu sekali tidak sempat nak letak kakitangan sepanjang aliran sungai.
"Jadi orang kampunglah yang diminta perhatikan," ujarnya.
Sebagai maklumat tambahan, menurut Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), penggunaan racun, bom atau arus elektrik dalam penangkapan ikan adalah dilarang sepenuhnya kerana boleh menyebabkan kepupusan spesies akuatik.
Individu yang didapati bersalah boleh dikompaun sehingga RM500, didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, pejabat perikanan berhampiran, atau hotline Fishcom di 03-88885019 / 03-88704058.
24 Jun 25
41
Terengganu Salur RM40,000 Bangun Sistem Tanda Alat Nelayan
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM40,000 bagi melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat, langkah proaktif yang dijangka memperkukuh pengurusan sumber dan penguatkuasaan perikanan di perairan darat negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kajian tersebut akan menjadi asas penting kepada pembangunan sistem penandaan yang jelas, sah dan tersusun bagi peralatan yang digunakan oleh nelayan darat.
"Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 pada tahun 2025 untuk melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat.
"Kajian ini akan membolehkan jabatan menentukan kaedah penandaan yang menunjukkan pemilikan peralatan yang digunakan oleh nelayan darat," katanya dalam Program Pelepasan benih ikan, penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, kajian itu melibatkan 20 orang nelayan di dua lokasi utama iaitu Sungai Dungun dan Tasik Kenyir, dengan setiap kawasan melibatkan 10 orang peserta. Antara peralatan yang terlibat ialah pukat tahan, rawai, taut dan jala.
"Kajian ini akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh, Perak (FRIKA).
"Ia merangkumi penandaan empat jenis peralatan utama yang digunakan oleh nelayan darat di Terengganu," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kajian ini bukan sekadar mencatat data, tetapi bertujuan membangunkan sistem pengurusan perikanan darat yang lebih tersusun serta memperkemas urusan lesen dan penguatkuasaan.
"Objektif kajian adalah membangunkan sistem penandaan yang sesuai untuk peralatan perikanan darat.
"Selain menyatakan hak milik, ia juga membantu dalam kawalan eksploitasi sumber dan memudahkan urusan penguatkuasaan di lapangan," tambah beliau.
Katanya lagi, hasil kajian ini disasarkan untuk membentuk satu sistem rujukan rasmi yang akan mengiktiraf peralatan bertanda milik nelayan tulen, dan menjadi asas kepada sebarang pindaan fi lesen pada masa akan datang.
"Dijangka sekurang-kurangnya nelayan tulen akan mempunyai peralatan yang bertanda rasmi.
"Pihak jabatan juga boleh menjadikan sistem ini sebagai rujukan bagi sebarang pindaan fi lesen peralatan nelayan darat," ujarnya.
24 Jun 25
356
Ikan Pemangsa Asing Ancam Sungai Terengganu
HULU TERENGGANU, 23 Jun – Sungai-sungai utama di Terengganu kini berdepan ancaman senyap daripada spesies ikan pemangsa asing yang mampu menggugat kestabilan ekosistem perairan negeri, khususnya apabila ikan seperti baung ekor merah dan peacock bass semakin banyak ditangkap oleh nelayan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun kehadiran ikan pemangsa ini belum sampai ke tahap membimbangkan, potensi ancamannya tidak boleh dipandang ringan.
"Masalah ikan pemangsa masih ada di Terengganu, tapi tak terlalu ketara.
"Kita terima laporan daripada nelayan tentang tangkapan ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides), ikan 'peacock bass' dan beberapa spesies asing lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, beberapa sungai utama termasuk Sungai Terengganu telah dikesan menjadi lokasi kewujudan baung ekor merah yang boleh membesar sehingga puluhan kilogram seekor.
"Tidak seperti di negeri lain yang berdepan ledakan saiz luar biasa, di Terengganu keadaannya masih terkawal.
"Namun kita perlu lebih berwaspada agar sungai-sungai kita tidak menjadi kolam gergasi untuk pemangsa asing," tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa spesies-spesies seperti ikan talapia, lampam jawa dan baung ekor merah sememangnya diluluskan untuk akuakultur, namun haram untuk dilepaskan ke perairan awam.
"Kita memang nasihatkan kepada penternak akuakultur, sebab beberapa spesies ini memang diluluskan untuk penternakan.
"Tapi tak diluluskan untuk dilepaskan ke perairan umum, seperti ikan talapia, ikan lampam jawa, ini adalah spesies asing,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyelar sikap segelintir individu yang melepaskan ikan hobi seperti 'peacock bass' dan 'flower horn' ke sungai apabila sudah tidak mahu memeliharanya.
"Ini adalah ikan hobi pada asalnya, termasuk ikan 'flower horn'.
"Bila dah tak nak bela, orang lepas ke perairan umum dan menjadi ikan pemangsa yang mengancam ekosistem di perairan kita," ujarnya.
Dr. Azman menyeru semua pihak lebih bertanggungjawab agar keseimbangan sungai warisan terus terpelihara daripada kerakusan spesies asing yang tidak diundang.
23 Jun 25
859