KUALA NERUS, 6 Oktober – Kerajaan Negeri melancarkan Pusat Cari Kerja (PCK) Terengganu, sebuah pusat sehenti pekerjaan yang menghimpunkan semua fungsi dan aktiviti berkaitan pembangunan sumber manusia serta penempatan pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, penubuhan pusat tersebut memberi ruang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat kerja secara terus, pelajar merancang laluan kerjaya mereka, dan majikan mengakses pangkalan data calon serta melaksanakan temuduga di satu lokasi strategik.
“Pusat ini menawarkan pelbagai perkhidmatan penting seperti klinik resume, bimbingan kerjaya, sesi temuduga terbuka dan libat urus industri untuk memperkukuh peluang penempatan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Karnival Kesejahteraan Pekerjaan & Keusahawanan Negeri Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di PCK Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, semalam.
Tambah Ariffin, sejak mula beroperasi pada 2023, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah PCK termasuk sesi libat urus bersama industri, temuduga terbuka dan program pembangunan kemahiran.
Dalam karnival berkenaan, enam majikan mengambil bahagian dengan menawarkan lebih 500 kekosongan jawatan, termasuk 213 jawatan dalam Negeri Terengganu.
Sebanyak 10 reruai pameran agensi dan industri turut dibuka, termasuk tiga pemain utama sektor penerbangan dan aeroangkasa yang berkongsi maklumat tentang peluang kerjaya dalam industri tersebut.
Program ini turut dimeriahkan dengan slot inspirasi kerjaya, perkongsian keusahawanan dan pelbagai aktiviti interaktif bagi menarik minat golongan muda.