Artikel "Utama" Terkini
Belanjawan 2025, Lima Fokus Jadi Sasaran Utama
Sebanyak lima fokus utama Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan yang diterima melalui Belanjawan 2025.
18 Nov 24
161
Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion
Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan.
18 Nov 24
174
196 Vessel Nelayan Asing Dijadikan Tukun Tiruan
Sebanyak 196 vessel serta bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu sejak 2018 sehingga 2024 telah dijadikan tukun tiruan.
18 Nov 24
96
YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
KUALA TERENGGANU, 18 November – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut akan meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan.
Katanya, ia juga bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital.
“YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dalam itu katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif.
"Ia bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing," ujarnya.
18 Nov 24
155
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 18 November - Penyakit mental di Terengganu masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat peningkatan sesi rawatan yang telah diberikan kepada pesakit berkait masalah mental di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menjelaskan bahawa peningkatan itu adalah normal dan tidak menunjukkan trend yang membimbangkan.
“Berdasarkan data terkini, jumlah sesi rawatan mental yang berdaftar meningkat daripada 24,562 kes pada 2018 kepada 34,540 kes pada 2023, namun angka ini tidak menggambarkan keadaan yang membimbangkan.
"Penyakit mental ini bukanlah perkara yang perlu ditakuti. Ramai yang mungkin menganggapnya sebagai 'gila', padahal pesakit masih boleh sembuh dengan rawatan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.
Wan Sukairi menegaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes, pesakit yang mendapatkan rawatan mental di Terengganu masih boleh menjalani kehidupan yang normal.
"Rawatan yang diberikan sangat berkesan dan banyak pesakit yang saya temui kelihatan seperti orang biasa. Ini menunjukkan bahawa mereka boleh sembuh dengan rawatan yang betul," jelasnya.
Menurut ADUN Wakaf Mempelam itu, hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri menyediakan perkhidmatan rawatan mental yang lengkap.
“Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mempunyai kepakaran psikiatri, serta hospital-hospital di daerah seperti Dungun, Kemaman, Besut, dan Hulu Terengganu, juga menawarkan perkhidmatan yang sama.
“Selain itu, dua Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di negeri ini, di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan HSNZ, membantu mempercepatkan proses rawatan mental kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah Wan Sukairi, Antara penyakit mental yang paling banyak dirawat adalah kemurungan dan keresahan, masing-masing menyumbang 33 dan 16 peratus daripada keseluruhan kes.
“Penyakit-penyakit ini, walaupun sering dianggap berat, sebenarnya boleh dirawat dengan psikoterapi, ubat antidepresan, dan bagi kes yang lebih serius, terapi elektrokonvulsif (ECT),” jelasnya.
Wan Sukairi juga menekankan bahawa sokongan agama memainkan peranan penting dalam membantu pesakit yang menghidap keresahan.
"Kaedah agama sangat berkesan, terutamanya bagi pesakit anxiety," katanya.
Dalam usaha menangani isu kesihatan mental ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merangka pelbagai langkah strategik.
"Antaranya adalah dengan menjalankan program pendidikan kesihatan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kesihatan mental dan cara menguruskan stres.
“Kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak pusat MENTARI di seluruh negeri ini, serta memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk memperluaskan akses kepada rawatan mental.
"Kami ingin rakyat tahu bahawa kesihatan mental adalah keutamaan kami. Dengan rawatan yang tepat, pesakit boleh sembuh dan hidup dengan normal. Jadi, tiada sebab untuk bimbang.
“Dengan usaha yang berterusan dan kemudahan rawatan yang semakin meluas, Terengganu memastikan penyakit mental dapat ditangani dengan baik, tanpa perlu menimbulkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
18 Nov 24
197
Terengganu 'Ajak' Bakat Muda Sertai Sektor Agromakanan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Terengganu mengajak anak muda untuk menceburi sektor agromakanan sekali gus mengangkat negeri terbabit sebagai pelopor utama pengeluar makanan.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan pelbagai usaha terkini akan dilaksanakan seiring dengan era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dunia hari ini.
Katanya, antara perkara yang bakal dilakukan kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali.
"Serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur (dan) di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC juga mengerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur.
"Untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ketika membentangkan belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri ini kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi memperluaskan lagi kawasan untuk bertanam.
"Melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh program pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi.
"Bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras," katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Ahmad Samsuri berkata, sektor pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4 peratus berbanding pengucupan 3.3 peratus pada tahun 2022.
"Didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor perikanan.
"Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023," jelasnya.
18 Nov 24
515
196 Vessel Nelayan Asing Dijadikan Tukun Tiruan
BESUT, 18 November - Sebanyak 196 vessel serta bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu sejak 2018 sehingga 2024 telah dijadikan tukun tiruan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selain itu tindakan akan dikenakan terhadap pemilik bot jika disabitkan tekong boleh didenda tidak melebihi RM6 juta.
Manakala katanya, 'awak-awak' akan dikenankan denda RM600 ribu.
"Bot akan dirampas atau dilucutkan hak serta akan melalui mahkamah maka apabila selesai ia akan melalui proses untuk dijadikan tukun.
"Enjin dan peralatan-peralatan lain dikeluarkan kemudian, kita tenggelamkan sebagai tukun tiruan dan ini merupakan sebahagian program memperkayakan sumber perikanan negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Melabuh Bot Lucut Hak Jabatan Perikanan Malaysia Sebagai Tukun Tiruan, di Beting Lintang Besut, di sini, semalam.
Dr Azman berkata, sebanyak dua buah bot nelayan asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan telah dijadikan tukun tiruan.
"Alhamdulillah, sejak dilabuhkan turun tiruan dari bot yang ditenggelamkan di sekitar perairan hasilnya sangat baik, maknanya ia merupakan salah satu dari tukun berjaya menarik hidupan laut untuk bersarang.
"Justeru, kita akan teruskan kerana banyak lagi bot-bot nelayan asing yang sedang melalui proses mahkamah dan dila ia selesai kita akan tenggelamkan bagi dijadikan tukun tiruan.
"Ini sebagai satu amaran keras kerapa penceroboh yang menceroboh perairan kita khususnya negeri Terengganu.
"Masih banyak lagi bot (akan ditenggelamkan) sama ada yang dirampak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu ataupun yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan maritim Malaysia," katanya.
18 Nov 24
119
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
17 Nov 24
139
KMI Kuantan Sedia Tawarkan Rawatan Untuk Pesakit Kanser Mulai Januari Depan
KUALA TERENGGANU, 17 November – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melalui anak syarikatnya KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) terus mengembangkan sayap perniagaannya dengan menawarkan rawatan bagi pesakit kanser (Onkologi) bermula Januari tahun hadapan.
Pengerusi KMI Kuantan, Dato’ Satiful Bahari Mamat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KMI Kuantan berkata, rawatan kemoterapi adalah salah satu rawatan yang boleh diberikan mulai tahun depan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan perubatan nuklear.
“Selain itu, mulai pertengahan tahun depan juga, KMI Kuantan akan memulakan projek bangunan baharu untuk menampung operasi bangunan sedia ada.
“Sebanyak 80 bilik persendirian, 30 klinik tambahan, dan tiga pusat kecemerlangan perubatan meliputi jantung, mata, dan tulang dijangka siap menjelang 2028 yang akan menjadi mercu tanda baharu di Kuantan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Sambutan Sedekad KMI Kuantan di Indera Mahkota, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penyerahan zakat oleh KMI Kuantan, Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu berkata, hampir RM800,000 sumbangan zakat diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi tahun kewangan 2023.
Katanya, dana tersebut bagi menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah seliaan PKZ Pahang dan MAIDAM, khususnya dalam membantu komuniti yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kepentingan zakat bukan sahaja sebagai salah satu rukun Islam tetapi juga sebagai alat untuk memupuk keharmonian sosial dan peranan KMI Healthcare adalah memastikan dana ini sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sejak penubuhannya pada tahun 1997, KMI Kuantan telah menunjukkan kejayaan yang konsisten, dibuktikan dengan peningkatan hasil yang didorong oleh pertambahan jumlah pesakit dalam, kadar penghunian katil yang tinggi, dan peningkatan purata hasil pesakit dalam.
“Pada September lalu, KMI Kuantan telah diberi penghormatan sebagai salah satu Syarikat Berprestasi Terbaik dan Syarikat Paling Berpotensi dalam Program Pengarah Korporat Terengganu Inc.
“Dengan kekuatan 30 orang perunding tetap yang terdiri daripada pelbagai disiplin perubatan serta 10 perunding lawatan, KMI Kuantan kini menjadi lebih agresif dalam mengembangkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pesakit,” jelasnya.
17 Nov 24
247
Terengganu Terima Sumbangan 1,000 Pakej Prihatin Petronas
KUALA TERENGGANU, 17 November – Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan pakej prihatin mengandungi barang kelengkapan asas bernilai RM300 kepada 1,000 keluarga mangsa banjir di Terengganu.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata peruntukan melalui Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024 itu sebagai salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas yang prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur saban tahun.
“Sumbangan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa terbabit.
“Ia mengandungi keperluan asas seperti air mineral, selimut, peralatan mandian, makanan dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, Petronas sentiasa peka dengan amaran episod hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh METMalaysia ekoran Monsun Timur Laut.
Justeru itu beliau berharap sumbangan pakej prihatin mampu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Dalam masa sama, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebanyak RM4,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas.
“Petronas berterima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini.
“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi-agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,”katanya.
17 Nov 24
211