lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
Penyu Agar 60Kg Ditemui Terdampar
KUALA NERUS, 5 Januari - Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam. Bangkai penyu yang hampir reput itu telah dijumpai oleh seorang peserta yang terlibat dalam program pembersihan pantai di Pantai Seberang Takir. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tragedi itu membawa peringatan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai dan berusaha melindungi hidupan laut itu yang menjadi ikonik pelancongan negeri. Jelasnya, pencemaran plastik di laut adalah faktor kepada kematian reptilia berkenaan selain disebabkan oleh pukat tunda serta perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mendapatkan telur. "Kita akan bendung dan mencari langkah bagi memastikan 'ikonik' negeri Terengganu ini terus terpelihara tambahan pula penyu yang ada skearang ini adalah dari jenis penyu agar setelah penyu belimbing telah tiada akibat telah pupus. "Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk buat 'enforcement' kepada pukat-pukat nelayan yang mematikan penyu. "Ini memberi  mesej serta gambaran yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta serius bagi memastikan penyu di negeri ini akan terus terpelihara," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa ditemui pihak media, semasa menghadiri Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai agar bertanggungjawab memelihara kebersihan laut dan pantai. "Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuang sampah ke laut, menghormati habitat semula jadi kehidupan marin dan menyokong usaha konservasi. "Bersama-sama kita mampu memastikan keindahan alam sekitar ini kekal untuk generasi akan datang," tegasnya.
05 Jan 25
861
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
KUALA NERUS, 4 Januari - Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam Program Bersih Pantai Monsun Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri membabitkan Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha melalui program yang dijalankan itu bermatlamat bagi mengembalikan keindahan pesisir pantai terbabit. "Ini bagi memastikan ia menjadi petunjuk kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan pantai ini sangat penting kerana ia merupakan produk pelancongan negeri Terengganu. "Kita akan perluaskan lagi program ini di seluruh daerah, dan usaha pembersiahan pantai ini akan diteruskan lagi melalui program 'Terengganu Bersih' yang akan dilaksanakan pada April," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir ke program berkenaan, yang diadakan di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diadakan itu, katanya ia melibatkan 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak syarikat kerajaan negeri, agensi swasta serta komuniti setempat. Juga mendapat kerjasama antaranya dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selain itu turut terlibat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. , Petronas Pantai Timur dan NGO Geng Plastik Ija. Sementara itu Razali berkata pihaknya kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan program Bersih Sampah Monsun itu sebagai aktiviti tahunan.  "Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong pembangunan yang lestari. "Ia bukan sahaja menjadi platform kebersihan tetapi juga simbol kerjasama komuniti dalam menjaga warisan semula jadi negeri,"katanya.
04 Jan 25
180
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. "Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak. "Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat. "Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. "Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.  
03 Jan 25
165
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Syarikat Berkaitan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), melalui anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), berjaya meraih kontrak selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali). Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan, dan Pengubahsuaian (Maintenance, Commissioning, and Modification-MCM) dan Penyambungan dan Pentauliahan (Hook-Up and Commissioning-HUC) Pan Malaysia bagi Pakej A2– (Aset Semenanjung Malaysia (Peninsular Malaysia Asset-PMA)–Gas). Katanya, kontrak berkenaan memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi PETRONAS Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa hadapan. “Ia akan berkuat kuasa sehingga September 2029, dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun, diikuti dua tahun tambahan, sekali gus meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan mampan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara. “Pihak syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada PETRONAS Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi dalam sektor minyak dan gas. “Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara,” jelasnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, EOGSB memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.  “Syarikat sebelum ini telah dianugerahkan kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan, dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI). Bernilai RM500 juta, kontrak enam tahun termasuk satu tahun lanjutan tersebut telah bermula pada 17 Julai 2018 dan tamat pada 31 Disember 2024. “Selain kontrak besar dan utama tersebut, EOGSB baru-baru ini juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran PETRONAS bagi kerja-kerja Pembinaan dan Pengubahsuaian (Construction and Modifications Works - CMW),” ujarnya. Katanya, kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi ini meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.  “Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah. “Dengan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama, EPIC Berhad berada dalam haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara,” katanya.
02 Jan 25
2725
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
02 Jan 25
94
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk mewujudkan Lampu Isyarat pintar bagi mengawal kesesakan lalu lintas yang makin kerap berlaku pada akhir-akhir ini apabila Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong.
01 Jan 25
132
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
01 Jan 25
233
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
KUALA NERUS, 1 Januari - Si cilik, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al-Hakim dari Kuala Terengganu berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kepetahan berpidato dengan intonasi serta gaya yang cukup menyakinkan di Malam Munajat Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri . Anak kecil yang baru berusia enam tahun menceritakan perjalanan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW tanpa rasa gentar di pentas utama dengan lebih 15 ribu penonton di hadapannya. Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)  Al-Furqan itu sangat teruja dan gembira kerana menyampaikan pidato di khalayak umum seumpama itu merupakan pengalaman pertama dan sangat berharga tanpa rasa takut. "Saya rasa bangga dan sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyampaikan pidato di pentas seumpama ini di hadapan orang dewasa. "Saya tidak gementar kerana telah menerima bimbingan yang cukup baik oleh guru PASTI serta ibu dan bapa saya sendiri yang bersungguh-sungguh melatih saya untuk memastikan perjalanan saya hari ini berjalan lancar. "Sebelum ini saya muncul Johan Pidato pada program Alam Ria PASTI peringkat Malaysia,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam. Tambah Hamidah, dia berazam untuk melangkah jauh ke hadapan bagi terus mengharumkan nama Terengganu dan akan membawa nama baik PASTI. Sementara itu, ayahnya, Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Radzi, 32, berkata, bakat yang ada pada diri Hamidah telah dikesan oleh Guru PASTI sejak berusia lima tahun. "Di PASTI penguasaannya terhadap ilmu menulis, membaca, menghafal al-Quran begitu cepat, Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana berikan kepadanya ingatan yang kuat. "Ketika berusia lima tahun, dia pernah menyertai pertandingan Hafazan Terbuka Anjuran Alam Ria PASTi peringkat negeri namun tidak muncul sebagai juara pada ketika itu kerana lelah, dan kemudiannya sekali lagi menyertai Hafazan Terbukan Anjuran Sri Showme dan telah muncul sebagai juara," ujarnya. Setelah mengetahui bakatnya dalam pidato, dia dan isteri, Hasmah Darwis, 31, bekerjasama dengan gurunya membimbing Hamidah dengan memastikan Hamidah sentiasa berlatih dan menghafal teks dari sudut gaya serta intonasi. "Pada bulan Januari ini, dia akan menyertai pertandingan antarabangsa untuk kategori sajak yang dianjurkan oleh 'Global Arts, Sports And Culture Association',"katanya. Dalam pada itu, Muhammad Lukman menasihatkan mana-mana ibu bapa yang melihat kebolehan serta bakat yang ada pada anak mereka agar memberikan dorongan serta galakan. "Dengan mengesan bakat yang ada pada diri mereka, kita cuba bantu dan dorong anak-anak agar mereka dapat pergi jauh dengan bakat yang mereka miliki,"katanya.  
01 Jan 25
2156
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
KUALA NERUS, 1 Januari - Hampir 15,000 orang ramai menyambut ketibaan tahun baru 2025 di Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian yang sarat program keagamaan. Yang Dipertua Dun, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bagi memastikan perjalanan dalam menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat. "Malam ini, kita adakan munajat sempena memasuki tahun baharu 2025, kita sama-sama berdoa semoga pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan. "Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu,"ujarnya ketika berucap merasmikan program Malam Munajat "Indahnya Hidup Bersyariat" di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau  juga berkata, ia menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 ini, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini. "Kita juga berhajat agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya, insya-Allah," ujarnya.  
01 Jan 25
532
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut  bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan. "Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'. "Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam. Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama. "Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja. "Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama. "Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya. Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa. "Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.  
01 Jan 25
211