lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Damar Hitam Ditemui Semula Di Lata Tembakah
Damar Hitam Ditemui Semula Di Lata Tembakah
  Oleh : Suriati Ali BESUT, 24 Ogos - Shorea kuantanensis atau Damar hitam merupakan spesies endemik di semenanjung yang kebanyakkannya boleh ditemui di kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah kini dijumpai semula di Lata Tembakah di sini. Ketua Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Mohd Ridza Awang berkata, pada asalnya spesies Shorea kuantanensis telah direkodkan hanya ditemui di hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan Pahang pada tahun 1936. “Jurnal berkaitan spesies tersebut telah dihasilkan oleh Profesor Peter Ashton pada tahun 1978 di dalam Garden Bulletin Singapore Volume 31, Part 1:41. “Spesies berkenaan telah dilaporkan pupus pada tahun 2010 menerusi Research Pamphlet No.129, Malaysia Plant Red List Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae akibat pertukaran status guna tanah kawasan Hutan Simpan Bukit Goh kepada ladang sawit. “Namun, pada tahun 2014 spesies tersebut ditemui semula di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut oleh Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut yang merupakan pegawai yang bertugas di JPSM,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media penemuan semula pokok Shorea kuantanensis yang dianggap pupus di Malaysia di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, hari ini. Mohd Ridza (berbaju biru). Mohd Ridza berkata, penemuan semula itu telah dipanjangkan kepada Profesor Peter Ashton dan beliau mengesahkan spesimen yang ditemui di Taman Eko Romba berkenaan sama dengan Damar hitam yang dilaporkan pupus di Hutan Simpan Bukit Goh. “Penemuan semula pokok Shorea kuantanensis juga telah mendapat pengesahan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia menerusi artikel dalam A Bulletin Supporting Plant and Animal Conservation in Malaysia, Issue No 31 (2020). “Terkini, hasil bancian terhadap tiga batang pokok tersebut telah merekodkan saiz ukuran diameter paras dada diantara 28.0 cm hingga 75.6 cm,” ujarnya. Katanya, susulan penemuan itu JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies Damar hitam ini secara in-situ dan ex-situ dengan penubuhan petak hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi atau 'High Conservation Value Forest' (HCVF) di Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut. “Penubuhan petak HCVF ini akan dapat memastikan Shorea kuantanensis dapat diurus dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan kepupusannya,” ujar beliau. Selain itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menerusi pengagihan anak benih Damar hitam untuk ditanam di kawasan bersesuaian sekitar daerah Kuantan.
24 Aug 20
7464
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
KEMAMAN, 24 Ogos - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak melupakan pengorbanan pejuang terdahulu yang memerdekakan Malaysia. "Kita jangan lupa pengorbanan nyawa dan darah yang telah dicurahkan oleh pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini. "Antara mereka adalah Tuan Guru Haji Hasan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong, Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dol Said, Dato' Maharaja Lela dan lain lag. "Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar, maka kitalah generasi yang mengisi kemerdekaan dan kita jangan lupa dan leka dengan anugerah ini," ujarnya dalam program Konvoi Merdeka anjuran Pejabat daerah Kemaman di Bukit Kuang kelmarin. Ustaz Hazri (paling kanan) dan Mohamad A. Rahman (dua dari kanan) Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman, wakil Pejabat Penerangan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Kemaman. Dalam program berkenaan, pihak Pejabat Daerah Kemaman juga turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kijal dalam usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan di setiap kampung menjelang 31 Ogos nanti.    
24 Aug 20
580
Kedatangan Pelancong Ke Terengganu Meningkat 165 Peratus
Kedatangan Pelancong Ke Terengganu Meningkat 165 Peratus
Oleh : Suhaimi Taib KUALA LUMPUR,  24 Ogos - Kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat sebanyak 165 peratus dan paling tinggi  berbanding dua negeri di Pantai Timur, Pahang dan Kelantan.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun kemungkinan kedatangan pelancong ke negeri Pahang agak ramai namun peratusan kehadiran mereka lebih tinggi ke Terengganu.  Katanya,limpahan pelancong ke Pantai Timur ini sudah dijangka berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia pada bulan April lalu. "Dalam keadaan biasa kita percaya kita boleh mendapat 5.5 juta pelancong tahun ini walaupun tiga bulan kekurangan kehadiran pelancong bermula Jun lalu dengan trend kehadiran pelancong yang sangat tinggi ke Terengganu sejak akhir-akhir ini," jelasnya.  Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Wisma Berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini. Katanya, kerajaan Terengganu mengadakan promosi pelancongan secara berterusan melalui pelbagai medium termasuk Rancangan Selamat Pagi Malaysia RTM. "Di samping itu akibat viral dalam sosial media,  ramai pelancong datang mencari destinasi popular pelancongan Terengganu termasuk Restoran Nasi Dagang Atas Tol, Kuala Terengganu, Jambatan Angkat Muara Sungai Terengganu,  Sentuari Kelah Tasik Kenyir Hulu Terengganu,  Pulau Redang,  Pulau Perhentian dan lain-lain," tambahnya.  Katanya,  kerajaan negeri juga akan menganjurkan Festival Kebudayaan Terengganu mulai 27 Ogos hingga 6 September ini sebagai cetusan baharu untuk menghimpunkan semua seni budaya warisan rakyat negeri itu.  Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat,  Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, Jabatan Pelancongan Malaysia memuji langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Terengganu kerana menganjurkan festival Kebudayaan Terengganu. Katanya, festival itu dapat menunaikan permintaan rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara.  "Sebab kita sedia maklum selepas bulah Jun lepas, ramai rakyat Malaysia mencari tempat untuk melancong di hujung minggu. "Setidak-tidaknya dengan penganjuran seperti ini dapat memenuhi permintaan bukan sahaja menghidupkan budaya rakyat negeri Terengganu tetapi terhadap produk-produk pelancongan lain," ujarnya.   
24 Aug 20
3874
Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu
Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu
Terengganu melaksanakan tiga gerak kerja pemerintahan termasuk membaiki kelemahan pentadbiran kerajaan, memastikan kestabilan pentadbiran dan melaksanakan manifesto pilihan raya ke 14 (PRU14) yang lalu.
23 Aug 20
192
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Para peniaga tidak digalakkan membeli alat timbang dan sukat melalui jualan secara atas talian kerana ia tidak di tentu sahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP). Timbalan Menterinya , Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya memandang serius perkara ini bagi mengelak pengguna tertipu.  Katanya, penggunaan alat penimbang yang tidak di tentu sahkan juga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. "Ramai peniaga-peniaga yang menggunakan ataupun membeli alat timbang sukat ini  melalui platform atas talian kerana harganya murah tapi kita nak maklum walaupun murah tapi ia tak di tentu sahkan.  "Itu satu kesalahan jadi kita berharap peniaga di luar sana yang ingin mendapatkan timbang sukat ni carilah daripada pengedar yang telah dilantik dan disahkan oleh KPDNHEP, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengagihkan Alat Timbang dan Sukat kepada 46 peniaga buah buahan di Pasar Buah Ajil dan di Kampung Gaung, hari ini. Turut hadir pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam program tersebut, sebanyak 30 Alat Timbang Sukat Digital dan 16 Alat Timbang Neraca Spring disumbangkan kepada peniaga.  Rosol juga berkata, KPDNHEP turut merampas alat timbangan yang bernilai RM349,600 melibatkan 2,729 peniaga kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972.  "Jumlah rampasan yang melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500 itu dibuat hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara bermula Januari sehingga kini," ujarnya
23 Aug 20
1105
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Dakwaan penduduk di sekitar Sungai Pueh yang menyangka sungai tersebut tercemar akibat operasi Kilang Sawit Vila Sutera, Bukit Kapah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak. Dr Alias Razak. Beliau turun sendiri ke kilang itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan penguatkuasa bagi meninjau keadaan sebenar yang berlaku. Dakwaan itu turut mengaitkan pencemaran sungai mengakibatkan kematian ikan sangkar yang diternak oleh penduduk di sini. Hasil tinjauan pihaknya mendapati tiada pencemaran air sungai yang berlaku seperti yang disangka. Daripada pemerhatian yang telah dilakukan serta dibantu dengan penerangan oleh pihak JAS dan pihak kilang, didapati air Sungai Pueh masih selamat untuk didiami hidupan. "Hari ini kita melawat kilang sawit di Bukit Kapah kerana beberapa kali kita terima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengatakan air Sungai Pueh tercemar kerana operasi kilang dan disyaki air itu menyebabkan ikan dalam sangkar yang diternak mati. "Bagaimanapun itu hanya sangkaan orang kampung, JAS yang mengambil perhatian isu ini telah beberapa kali turun dan mengambil sampel air sungai ini. Setelah mendapat taklimat, siasatan telah dibuat dan tinjauan ke lokasi mendapati air Sungai Pueh memenuhi kriteria JAS. "Kita juga telah melakukan penilaian oksigen dan sebagainya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa pelepasan efluen terolah ke dalam alur air (Sungai Pueh) adalah mematuhi had piawai yang telah ditetapkan oleh pihak JAS sekalipun warna air yang dilepaskan daripada takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen berwarna agak gelap.  "Dapat disimpulkan bahawa dengan cuaca panas dan kering pada masa sekarang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan warna air sungai kesan dari pelepasan efluen terolah kilang sawit berkenaan adalah tampak ketara gelapnya. "Justeru bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu dan pihak JAS Terengganu atas tindakan pantas yang diambil," jelasnya kepada pemberita selepas tinjauannya ke lokasi di sini baru-baru ini. Untuk rekod, sebanyak tiga kali pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak JAS ke atas premis tersebut pada tahun ini dan dua daripadanya merupakan pemeriksaan secara mengejut.  Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah JAS Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.
23 Aug 20
12923
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
    HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Masalah jenayah dadah di kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020, hanya terdapat 188 orang penagih dadah wanita di negeri ini. Katanya, remaja wanita seawal usia 14 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun. "Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat. "Sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu pihak polis mengurangkan gejala penagihan dadah di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Penutup 'Community Policing' Jihad Dadah sempena penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63 di Sungai Kuala Menjing, hari ini. Dalam pada itu, sebanyak 12 tangkapan telah berjaya dibuat melalui serbuan yang dilakukan kepada 16 rumah dan enam sarang penagih dadah dalam kawasan zon operasi. Menurut Rosli, ia merupakan hasil fasa pertama projek " Jihad Dadah" yang telah dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos baru-baru ini sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke 63.
23 Aug 20
2369
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain.  "Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.  "Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai. "Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit. Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung. Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti. "Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera. "Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.
21 Aug 20
10200
Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM
Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dianugerahkan pangkat Kolonel Kehormat (PA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelmarin. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, beliau berbesar hati atas penganugerahan itu dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuknya terus membantu masyarakat. "Terima kasih Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan APM yang telah mengiktiraf diri saya untuk menerima anugerah ini. "Lebih 30 tahun saya berkecimpung dengan rakyat atau masyarakat di negeri ini. Susah senang bersama mereka samada ketika banjir, tanah runtuh, ribut dan seumpamanya," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ahli Tetap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu juga pernah melakukan misi bantuan sehingga ke luar negara seperti Sudan dan Kemboja. "Semoga kita semua akan terus sama-sama berganding bahu bagi melindungi masyarakat awam daripada kesusahan dan sebarang bencana samada bencana alam atau bencana buatan manusia," katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika selesai Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camelia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, kelmarin. Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA). Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
21 Aug 20
5684
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
  HULU TERENGGANU, 21 Ogos - Bersempena Bulan Kemerdekaan 2020,TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) julung kali menganjurkan Program Gateh Jejak Sejarah dengan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Kuala Berang. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff, berkata cetusan idea bagi meningkatkan budaya intelektual dan kesedaran sejarah sebelum kemerdekaan di kalangan kakitangan Kumpulan TDM disamping dapat meningkatkan jati diri dengan memahami sejarah dan warisan.  "Saya difahamkan bahawa Kuala Berang ni adalah satu tempat yang banyak unsur-unsur bersejarah seperti Batu bersurat telah ditemukan di sini dan juga kalau kita lihat daripada asal sejarah kerajaan Kesultanan Terengganu ni pun berpusat di Kuala Berang. "Di samping itu kerajaan Kesultanan dan sebagainya termasuk ulama-ulama yang merupakan waris-waris daripada Nabi dan sebagainya yang diceritakan bertapak di sini. "Ia satu perkara yang wajar kepada generasi muda untuk lihat semula bagaimana kita pada satu waktu dulu adalah satu bangsa yang gagah berpandukan agama Islam dan ulama,"ujarnya. Zainal berkata demikian kepada pemberita di pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah sempena bulan Kemerdekaan di Dataran Kuala Berang, semalam. Antara tempat-tempat bersejarah yang  dilawati sempena program Gateh Jejak Sejarah Siri 1 ini ialah Tapak Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buluh , Telaga Tok Abdul Rashid,  Kubur Tok Abdul Rashid, Tanah Batu (tempat Asal Batu Bersurat) dan Memorial Batu Bersurat. Tanah Batu Pada masa yang sama, turut menziarahi Makam Tuk Raja Ri, Kubur Tuk Gajah (Imam Perang Rasu bin Shahrum), Makam Syeikh Abdul Qahar, Masjid Kampung Dusun, Makam Shariff Muhamad Al Baghdadi, Makam Tok Kawah dan Makam Syeikh Abdullah (Tuk Pauh). Geduk di Masjid Kampung Dusun   Tambah beliau, program jelajah siri seterusnya masih dalam perancangan dan akan dikembangkan ke setiap daerah dengan penyertaan yang lebih meluas. "Saya dapat maklumat sebenarnya permintaan lebih daripada apa yang kami mampu sediakan pada hari ini jadi atas dasar itu saya berhasrat untuk mengadakan ulangan dan buka kepada rakan-rakan seterusnya kepada umum jika terus mendapat sambutan," katanya.  
21 Aug 20
2807