lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kami Akur Keputusan MFL- Terengganu FC
Kami Akur Keputusan MFL- Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 28 Januari- Berhubung penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia yang diumumkan Malaysian Football League (MFL), Ketua Pegawai Eksekutif (TFC) Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan tersebut. "Tetapi, apabila mendapat perkhabaran pembatalan Piala FA, kita sendiri merasa terkesan kerana kehilangan saingan untuk satu lagi piala bagi tahun 2021. Perkara ini  berulang seperti tahun lepas apabila MFL turut membatalkan saingan piala FA 2020. Ia akan memberi kesan kepada pemain-pemain yang ada, apabila jumlah perlawanan menjadi berkurangan terutamanya pemain muda," katanya melalui satu kenyataan yang diberikan kepada media-media Terengganu. Jelasnya, ini kerana dalam bola sepak setiap perlawanan menjana pendapatan hasil daripada jualan tiket dan akan dikongsi dengan pemain. Namun, menurut Ab Rasid, keputusan berkenaan tidak menjadi masalah besar setelah Terengganu FC berjaya memasuki saingan piala AFC tahun ini. "Ini mungkin menjadi kelebihan kepada kita yang dapat bersaing pada peringkat Asia," katanya. Nafuzi (berbaju hitam) ketika sesi latihan pasukannya pada PKPP lalu.  Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, menyifatkan tindakan MFL melakukan penundaan liga Malaysia ini adalah tindakan tepat. "Pasukan dapat melakukan persediaan yang lebih lagi serta memberi fokus untuk liga. Ini kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain tidak dapat turun sepenuhnya untuk melakukan latihan dan pada masa sama kami masih lagi mencari keserasian apabila hari ini Terengganu FC mengesahkan kehadiran Makan Konate, pemain yang berasal daripada Mali yang melengkapkan kuota pemain import kelima," katanya.    
28 Jan 21
476
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Buka Peluang Kongsi Rezeki
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Buka Peluang Kongsi Rezeki
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Khidmat Malaysia Kuala Terengganu membuka peluang masyarakat untuk saling menjaga dan berkongsi rezeki melalui Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan untuk  golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula semalam. Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Batu Buruk, Nik Rosdi Nik Jusoh memaklumkan, pusat pengumpulan tersebut diadakan berhadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan dibuka sepanjang hari bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.  “Kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada mereka yang terkesan ini boleh menghantar sumbangan di Pusat Pengumpulan Sumbangan ini. "Antara barangan yang boleh disumbangkan ialah beras, minyak masak, gula, gandum, susu, lampin bayi, kicap dan lain-lain lagi," katanya. Jelasnya, barang sumbangan terkumpul akan diagihkan pada minggu hadapan sekiranya jumlah sumbangan dianggarkan mencukupi.  Sementara itu, wakil NGO Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Tuan Ngah Tuan Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan. Menurutnya, selain di Batu Buruk, Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan ini juga dibuka di seluruh DUN dalam Kuala Terengganu iaitu di hadapan Surau Baru Gong Pauh bagi DUN Wakaf Mempelam, Pasar Cabang Tiga bagi DUN Bandar dan Futsal Berek bagi DUN Ladang. Manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula di hadapan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu. Sumbangan juga dibuka secara atas talian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun berikut : BANK ISLAM BADAN KEBAJIKAN PAS KAWASAN KUALA TERENGGANU 13017010044705  
27 Jan 21
702
UniSZA Tubuh Pasukan Covid Buster Tangani COVID-19
UniSZA Tubuh Pasukan Covid Buster Tangani COVID-19
KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menubuhkan satu pasukan khas yang dikenali sebagai Pasukan Covid Buster UniSZA dalam usaha membendung penularan Covid-19. Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, inisiatif itu dilaksanakan Jawatankuasa Task Force Covid-19 UniSZA bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan  dan kesediaan universiti berkenaan dalam menangani Pandemik COVID-19 dengan pantas dan berkesan. Katanya, pasukan itu telah ditubuhkan sejak Julai tahun lalu itu selepas terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan. "Bermula daripada gelombang pertama hingga gelombang ketiga hari ini, terdapat beberapa kes positif dalam kalangan kakitangan UniSZA. "Apabila ada kes, kita akan tutup kawasan atau pejabat untuk proses sanitasi yang mana pada peringkat awal, kita mendapatkan latihan daripada pihak bomba termasuk segi bancuhan”, katanya ketika ditemui. Katanya lagi, seramai 20 kakitangan UniSZA telah menyertai pasukan itu yang diketuai oleh Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dengan kerjasama Jawatankuasa Task-Force Covid-19 UniSZA, Pusat Pengurusan Harta Benda (PPHB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). “Pasukan ini akan turut bekerjasama membantu komuniti luar dengan memberi tunjuk ajar dalam melakukan sanitasi selain menyediakan bekalan cecair disinfeksi kepada mereka. “Kita juga akan melakukan sanitasi bukan sahaja di tiga buah kampus UniSZA, tetapi juga di kawasan tumpuan ramai seperti masjid, balai raya dan sekolah di sekitar kawasan Kuala Nerus”, katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Task Force Covid-19 UniSZA. Menurutnya lagi, bahan yang digunakan untuk disinfeksi juga adalah hasil kepakaran dari ahli Fakulti Farmasi dan CLMC UniSZA yang menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri. 
26 Jan 21
1949
Terengganu Catat Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
Terengganu Catat Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
KUALA LUMPUR, 26 Januari- Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu 1.36 setakat semalam. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Melaka merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.28, diikuti Sarawak (1.25), Putrajaya (1.19), Perak (1.17), Kedah (1.15), Perlis (1.15), Kuala Lumpur (1.12), Labuan (1.11) Pahang (1.1), Selangor (1.1) dan Kelantan (1.09) . "Manakala Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula merekodkan Rt paling rendah, masing-masing pada 1.04, 1.03, 1.01 dan 1.0,"r katanya berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Sementara itu, Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.04.  
26 Jan 21
5942
Tiga Lagi Sekolah Rendah Di Terengganu Ditutup Akibat COVID-19
Tiga Lagi Sekolah Rendah Di Terengganu Ditutup Akibat COVID-19
KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tiga lagi sekolah rendah di negeri ini masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di  Hulu Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam, hingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang disahkan positif COVID-19. Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik di semua sekolah terbabit. Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit. “Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342. “Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19.
26 Jan 21
8098
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kuantiti pengeluaran hasil pertanian untuk tempoh Januari sehingga November tahun lepas mencatatkan sebanyak 54,391 metrik tan. “Nilai keluaran tersebut kira-kira RM1.05 juta berbanding dengan tahun 2019 sebanyak 43,486 metrik tan sahaja. “Selain itu, statisktik sektor perikanan sehingga November 2020 turut menunjukkan peningkatan daripada 4,468 metrik tan pada tahun 2019 kepada 5,133 metrik tan, peningkatan sebanyak 13 peratus. “Dari segi ternakan, kuantiti hasil pengeluaran seperti lembu, ayam, kambing dan biri-biri amat membanggakan dengan catatan 25,537 metrik tan bernilai RM153.8 juta berbanding 7,585.5 metrik tan pada tahun 2019,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap secara atas talian dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, pagi tadi. Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepentingan sektor pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi supaya kesejahteraan sesebuah rakyat terjamin. “Oleh yang demikian, kita sasarkan peningkatan tahap sara diri atau ‘self-sufficient level’ padi sebagai makanan ruji di Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus menjelang tahun 2021,” ulasnya. Tambah beliau, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi ketika ini terutamanya golongan belia dan B40.
25 Jan 21
591
Terengganu Catat Kes COVID-19 Tiga Digit Berturut-turut
Terengganu Catat Kes COVID-19 Tiga Digit Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Terengganu merekodkan kes baharu COVID-19 tiga digit untuk tiga hari berturut-turut. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus berkata, berlakunya penularan yang sangat besar di Terengganu ketika ini disebabkan oleh beberapa kluster dengan bilangan kes yang sangat ramai.  "Antaranya, Kluster Kebor Air, bayangkan jumlah kes kluster ini seramai 91 orang. Masih ada pertambahan kes nanti. Bayangkan kontak rapat untuk bilangan kes seramai ini. Tentulah ia mengambil masa sedikit untuk reda. "Kluster Kampung Bukit Biah Hulu Terengganu. Kluster ini datang jauh dari Wilayah Persekutuan. Mereka naik bas bersama- sama. Bayangkan dari seramai 29 penumpang bas, seramai 21 positif. Akhirnya menjangkiti ahli keluarga yang lain. Total kes kluster ini seramai 59 orang. Virus dalam bas ini masih lagi bergerak. "Kluster Guntung Luar juga masuk daripada sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur. Akhirnya balik sekali ke Terengganu. Seramai 15 orang telah dijangkiti," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini. Sementara itu katanya, Kluster OKT yang dikesan di penjara dan merupakan 'closed community', justeru risiko menular dalam komuniti adalah rendah. "Ada lagi beberapa kluster yang masih aktif yang melibatkan sekolah dan lain-lain," ujarnya. Nor Azimi berkata, sekiranya pergerakan dikawal, berkumpulan ditangguhkan dan semua patuh SOP, kluster- kluster begini boleh dielakkan. Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Kluster Kebor Air didaftarkan atas alamat kes pertama kluster tersebut dan ia bukan berpusat di kampung itu. "Sebaliknya ia melibatkan kluster tempat kerja. Sudah menjadi satu syarat semua kluster akan didaftar mengikut alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja kes indeks.  "Setakat ini tiada kes lain dikesan di Kampung Kebor Air kecuali kes indeks. Justeru sangat tidak wajar penduduk Kampung Kebor Air dipulaukan atau dinafikan hak untuk memasuki mana-mana premis," jelasnya.
25 Jan 21
3031
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
72 Program Rancakkan Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – 72 program diatur sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 bagi merancakkan lagi sektor pertanian sekali gus membela ekonomi rakyat dalam negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan. “Antaranya 18 program melibatkan Jabatan Pertanian, 15 program tersebut melibatkan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dan 9 program melibatkan penternakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri. “Tambah lagi 10 program dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) serta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN). “IADA Ketara dan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing akan menganjurkan dua program manakala empat lagi program akan diusahakan agensi-agensi lain,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 secara atas talian di Wisma Darul Iman, pagi tadi. Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Tambah Dr Azman, bagi memastikan program tersebut berjalan lancar, kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dengan mewujudkan Sekretariat Khas Tahun Pertanian Terengganu. “Peranan pasukan khas ini sebagai urusetia kepada program dan projek yang dijalankan dan memantau serta menilai keberkesanan 72 program dan 13 projek yang akan dilaksanakan sepanjang tahun. “Mereka juga bertanggungjawab dalam mengemukakan laporan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri,” katanya lagi.
25 Jan 21
398
COVID-19 : 10 Sekolah Rendah Ditutup Di Terengganu
COVID-19 : 10 Sekolah Rendah Ditutup Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini mengesahkan 10 lagi sekolah rendah ditutup bermula Ahad bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan susulan terdapat kes positif COVID-19. Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman dan SK Gong Tok Nasek di daerah Kuala Terengganu. Penutupan sekolah itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi. Kesemua sekolah berkenaan diarahkan tutup selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Januari bagi proses sanitasi. Terdahulu, dua buah sekolah iaitu SK Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) dan SK Paloh di sini ditutup selama 14 hari bagi proses sanitasi ekoran terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan. Kesemua aktiviti dan pengurusan dalam kawasan sekolah ditangguhkan bermula 22 Januari hingga 5 Februari depan. Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (b) Akta 342 dan apabila disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
24 Jan 21
5670
Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
Pesuruhjaya Pas Terengganu Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang telah disahkan positif COVID-19 pada hari semalam. Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid memaklumkan, walau bagaimanapun kondisi beliau masih sihat tanpa sebarang gejala dan kini sedang ditempatkan di Hospital Setiu untuk rawatan lebih lanjut. "Dukacita dimaklumkan, Senator Dato' Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah disahkan positif Covid-19 hari ini.  "Marilah bersama kita berdoa agar beliau dilindungi Allah serta dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
24 Jan 21
1360