lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
Foto: Media HANEES KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), lebih 600 kit makanan telah diagihkan kepada rakyat Terengganu yang dikenakan arahan kuarantin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kit makanan tersebut diagihkan secara berperingkat meliputi pesakit yang dikuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang menjalani arahan kuarantin wajib di kediaman masing-masing. Zuraida mengangkut kit makanan untuk diagihkan. Menurutnya lagi, di samping kit makanan, beberapa makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain keperluan asas turut diagihkan kepada keluarga yang teruk terjejas kerana arahan kuarantin. “Ada dalam kalangan rakyat kita yang bekerja dengan gaji harian, jadi bila tidak dapat keluar bekerja kerana mematuhi arahan kuarantin, mereka terputus sumber pendapatan untuk membeli makanan asas, maka kita bantu mereka dengan menghantar bantuan sebegini. “Beberapa tempat yang telah kami agihkan ialah di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu dan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, selain pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail (IPG), Batu Rakit. “Bantuan kit makanan ini juga turut dihantar ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kuala Terengganu dan juga ke kediaman-kediaman penduduk yang dikuarantin, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Zuraida turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 dan mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan kesembuhan. “Saya berharap agar rakyat dapat menghadapi ujian wabak ni dengan positif, insya-Allah yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita. “Sebenarnya apa yang saya sedang lakukan ini adalah sebahagian daripada cara untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada mereka agar mereka terus kuat. “Saya juga menyeru kepada masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Cakna Covid-19, sebagai bukti kebersamaan kita untuk melawan virus ini,"tambahnya lagi. Beliau yang juga merupakan penaung Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) telah mengembleng usaha bersama-sama beberapa pertubuhan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas. Agihan kit makanan kepada guru MTT.  
31 Jan 21
257
COVID-19 : SMK Bukit Besar Ditutup 14 Hari
COVID-19 : SMK Bukit Besar Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berikutan penularan pandemik Covid-19. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sekolah berkenaan ditutup selama 14 hari bermula Khamis lalu bagi pelaksanaan kawalan perebakan penyakit berjangkit. Katanya, penutupan dilakukan setelah seorang guru dan pelajar sekolah itu telah disahkan dijangkiti Covid-19. "Penutupan sekolah itu dilakukan mengikut Seksyen 18 (1), (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342). "Kerja-kerja pembasmian kuman perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, proses sanitasi dan ujian saringan Covid-19 terhadap calon SPM dan guru telah  dilakukan.  Semua calon SPM yang tinggal di asrama serta guru turut dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan tidak keluar daripada kawasan sekolah dalam tempoh ditetapkan. Untuk rekod, sehingga kini, 16 sekolah yang kebanyakannya terletak di bandar raya ini telah diarahkan ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan penularan Covid-19 sejak 22 Januari lalu.
30 Jan 21
1760
COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif
COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan terdapat 48 orang petugas kesihatan yang telah dijangkiti COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata,  mereka yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan. "Manakala siasatan untuk mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat bagi kes telah disaring dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan. Namun begitu, Dr Nor Azimi menegaskan, pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal. Tambahnya, Perkhidmatan rawatan rapi (ICU), Dewan Bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan. "Namun bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma HSNZ ditutup sementara bermula 29 Januari 2021. "Pihak JKN Terengganu menasihati orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) masih boleh mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,"ujarnya lagi. Sementara itu, beliau turut menasihati orang awam agar diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.  
30 Jan 21
5675
Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi
Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan kerajaan Jumaat lalu, sebanyak enam masjid di negeri ini terpaksa ditutup untuk proses sanitasi.  Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, penutupan masjid antara tiga dan lima hari itu hanya untuk disanitasi susulan rumah ibadat itu dikunjungi jemaah disyaki kontak rapat kepada individu dijangkiti virus COVID-19. Katanya, bagi mengelakkan lebih banyak masjid ditutup untuk disanitasi, masyarakat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jelasnya, arahan mengehadkan jumlah jemaah ke masjid untuk solat Jumaat dan surau antara kaedah terpaksa dilakukan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan komuniti. "Tindakan mengehadkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat jumaat dan solat fardhu di semua surau bukan bertujuan menghalang mereka ke masjid dan surau, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kluster masjid. "Kita dimaklumkan, jumlah jangkitan tempatan COVID-19, sejak pelaksanaan PKP 2.0 dikuatkuasakan kerajaan adalah berjumlah 480 kes. "Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dimaklumkan sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19, kalangan tempatan, enam masjid diarahkan untuk proses sanitasi," katanya. M Rozi berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini. Penyampaian replika cek daripada MAIDAM itu disampaikan kepada Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamed. M Rozi berkata, masyarakat Islam di negeri ini digesa supaya mengutamakan pemantuhan SOP untuk bersama membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan dan menghalang perebakan COVID-19 dalam komuniti.
29 Jan 21
1540
PKP 2.0:Terengganu Inc Laksana Hari Intergriti Secara Maya
PKP 2.0:Terengganu Inc Laksana Hari Intergriti Secara Maya
KUALA TERENGGANU, 29 Januari– Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) melancarkan Hari Integriti 2021 diperingkat kumpulan secara maya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif mengadakan program ini bertepatan dengan usaha kerajaan membendung wabak COVID-19 yang masih membelenggu seluruh rakyat diseluruh negara.  "Rasuah merupakan isu kritikal yang merupakan bukan sahaja merupakan kesalahan undang-undang, malah ia juga merupakan kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej negara dimata umum” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Terengganu Inc berkata demikian ketika berucap pada sesi siaran langsung yang dipancarkan menerusi FB Live Terengganu Incorporated, semalam. Majlis yang  bertemakan ‘Integriti Budaya Kita’ disempurnakan dengan penyerahan buku COBE dan kalendar bertemakan Integriti bagi tahun 2021 oleh wakil Jabatan Pematuhan dan Integriti kepada Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc. Program yang julung kali diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, turut disertai oleh warga kerja Terengganu Inc melalui aplikasi zoom. Sementara itu, Presiden dan Pengarah Ekesutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed berkata, pihaknya sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan integriti dan membanteras rasuah, salah guna kuasa, ketirisan perbelanjaan dan kebocoran maklumat sulit dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.  "Polisi-polisi yang dibangunkan oleh Jabatan Pematuhan dan Integriti Kumpulan seperti ‘NO Gift Policy’, ‘Code of Business Ethics(COBE)’, ‘Whistle Blowing Policy’, ‘Anti Bribery & Corruption Policy’ dan ‘Sponsorship & Donation Policy’ akan  memantapkan pembudayaan amalan integriti di kalangan anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc," ujarnya. Dalam pada itu, Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Ruslan  Che Amad turut  berkata, usaha yang dibuat oleh Terengganu Inc melalui program pada hari ini dilihat sebagai satu langkah yang baik untuk membendung rasuah dan memantapkan integriti dalam organisasi ke satu aras yang lebih tinggi.     
29 Jan 21
478
10 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga, Disyaki Naikkan Harga Peranti Elektronik
10 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga, Disyaki Naikkan Harga Peranti Elektronik
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Sebanyak 10 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik kerana disyaki menaikkan harga jualan. Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, notis tersebut dikeluarkan kepada dua peniaga di bandar raya ini, Kemaman dan Besut masing-masing tiga serta Dungun (dua). Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 melibatkan peniaga di seluruh negeri yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit. "Notis yang dikeluarkan mewajibkan peniaga untuk memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut, sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya. "Peniaga berkenaan diberi tempoh masa selama dua hari untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan mulai 26 Januari sehingga 8 Februari 2021 bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  "Peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan.  "Peniaga yang ingkar dalam perkara ini akan berhadapan dengan tindakan tegas di bawah Sekyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," ujarnya. Katanya, jika sabit kesalahan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda  sehingga RM500,000. "Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
28 Jan 21
486
Senator Dato' Husain Pulih Sepenuhnya Daripada Covid-19
Senator Dato' Husain Pulih Sepenuhnya Daripada Covid-19
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Dato' Husain Awang telah dibenarkan keluar dari hospital setelah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19 pada Khamis baru-baru ini. Pesuruhjaya PAS Terengganu itu disahkan positif Covid-19 pada 23 Januari lalu telah menjalani rawatan di Hospital Setiu. Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah kesihatan atau sebarang gejala sejak kali pertama melakukan ujian calitan Covid-19 pada 18 Januari lalu. "Alhamdulillah, saya dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas dibenarkan keluar hospital hari ini. "Tahap kesihatan saya seperti biasa, saya tiada alami sebarang gejala seperti selesema atau batuk atau gangguan pada deria rasa dan bau," katanya ketika dihubungi. Tambah Husain lagi, selera makannya juga tidak terganggu sepanjang berada di hospital. "Selera makan macam biasa sebab sejak awal saya tidak mempunyai sebarang gejala melainkan hanya disahkan positif Covid-19," katanya.
28 Jan 21
421
Sektor Perikanan, Benih Ikan Terengganu Teratas Di Malaysia
Sektor Perikanan, Benih Ikan Terengganu Teratas Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 Januari –Terengganu adalah antara negeri yang berada di kedudukan teratas dari segi pengeluaran benih ikan kerapu hibrid dan ikan siakap dengan keseluruhan pengeluaran hampir satu billion ekor sehingga November 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran benih daripada pusat-pusat pembenihan adalah sebanyak hampir satu billion ekor atau 902,219 juta ekor. Gambar Arkib Sebelum PKP “Manakala sektor perikanan mencatatkan kenaikan pengeluaran hasil ikan sebanyak 5,133 metrik tan dengan nilai kira-kira RM80 juta. “Peningkatan ini mencecah 13 peratus berbanding pada tahun 2019 iaitu 4,468 metrik tan,” katanya ketika berucap dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Tambahnya, dalam usaha memperkayakan sumber perikanan, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyumbang dana tersendiri digabung jalin dengan peruntukan kerajaan pusat sejak tahun 2019. Gambar Arkib Sebelum PKP “Pada 2019 kerajaan telah memperuntukkan RM300 ribu untuk program pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam. “Manakala RM200 ribu lagi diperuntukkan kerajaan persekutuan menjadikan keseluruhannya dalam RM500 ribu, tahun 2021, RM1.21 juta atau 4 gali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat. “Jumlah tersebut akan memfokuskan projek pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam dan program pelepasan benih perairan umum,” ucapnya.
28 Jan 21
1817
Berita Baik Buat Nelayan, Penggiat Pertanian
Berita Baik Buat Nelayan, Penggiat Pertanian
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Berita gembira dikongsi oleh Menteri Besar Terengganu apabila 602 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan sempena Pelancaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan tersebut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). “Tambah lagi, sebanyak RM300 ribu insentif telah diperuntukkan kepada 173 peserta program Sijil Amalan Pertanian Baik (MYGAP), Insya-Allah melalui insentif ini akan melahirkan beras MYGAP Terengganu. “Sebanyak RM330 ribu diperuntukkan dalam projek lembu sado berkelompok di mana projek kandang berkelompok akan melibatkan seramai 10 peserta dan 13 peserta lagi dalam projek induk pengganda. “283 orang penggiat dalam sektor pertanian telah menerima bantuan sebanyak RM 5.7 juta daripada Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana pinjaman tersebut adalah tanpa faedah,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim. Mengulas lanjut berkenaan tahun pertanian negeri 2021, Dr Samsuri memaklumkan, tiga sasaran ditetapkan bagi kempen tersebut dalam meningkatkan ekonomi sektor pendidikan. “Pertama, kita akan sasarkan peningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah. “Kedua, sumbangan sektor pertanian juga akan ditingkatkan kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri serta jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian disasar peningkatan daripada 42,900 kepada 44,000 orang,” ujarnya.
28 Jan 21
2045
30 Kenderaan Diarah Patah Balik, Alasan Ingin Ke Pasar Raya
30 Kenderaan Diarah Patah Balik, Alasan Ingin Ke Pasar Raya
HULU TERENGGANU, 28 Januari - Hampir 30  kenderaan diarahkan berpatah balik setiap hari selepas gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan dalam beberapa sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) sehingga semalam. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mereka didapati cuba masuk ke daerah itu atas pelbagai alasan dan urusan. "Kita arahkan mereka untuk berpatah balik selepas memberikan alasan tidak munasabah untuk merentas daerah termasuk ingin membeli barang tetapi daripada daerah lain. “Orang ramai perlu memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu membeli bekalan makanan dan keperluan harian di dalam kawasan penempatan pada jarak tidak melebihi radius 10 kilometer,” katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan tinjauan di SJR Batu 18, Ajil, hari ini. Menurut Mohd Adli, pihaknya melaksanakan tiga SJR termasuk dua secara ‘mobile’ dengan kekuatan anggota hampir 100 orang dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sejak PKP 2.0 dilaksanakan di Hulu Terengganu. Tambahnya lagi, bagi memastikan daerah itu bebas dari zon merah, pihaknya turut membuat pemantauan secara bersepadu bersama agensi-agensi lain seperti Pejabat Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam tempoh 24 jam setiap hari . “Pasukan pemantauan ini membuat pemeriksaan di premis-premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi di mana kita akan membuat semakan terhadap pelanggan pelanggan serta pekerja-pekerja di premis bagi memastikan mereka mematuhi sop seperti pemakaian, penutup muka, pendaftaran masuk dengan menggunakan Mysejahtera ataupun secara manual serta langkah-langkah pencegahan penjarakan fizikal yang ditetapkan,” ujar Mohd Adli. Beliau juga berkata, bermula PKP 2.0 sehingga semalam, tidak ada lagi tindakan saman atau kompaun dikenakan kerana tahap pematuhan adalah sangat tinggi dan memuaskan hati. “Hasil pemantauan di semua premis-premis yang kita buat pemeriksaan didapati masyarakat di daerah ini sentiasa beri kerjasama dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi masalah COVID-19 di  Hulu Terengganu ini,”jelas beliau.  
28 Jan 21
4237