lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Program Imunisasi Menyeluruh Pastikan Pandemik COVID-19 Tamat - Muhyiddin
Program Imunisasi Menyeluruh Pastikan Pandemik COVID-19 Tamat - Muhyiddin
PUTRAJAYA, 16 Februari - Semua sektor ekonomi termasuk pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini serta aktiviti sosial akan dibuka sepenuhnya, sebaik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menjelaskan, program imunisasi menyeluruh itu untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik tersebut. "Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. "Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu. "Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. "Pastinya, satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini," katanya ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my pada majlis ringkas itu.
16 Feb 21
244
Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19
Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Di saat negara berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, Primula Beach Hotel tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan melalui Primula Barakah kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, berkata saat sekarang bukan masanya untuk mengira keuntungan, mengambil kesempatan daripada suasana gawat untuk meraih pendapatan tetapi ia perlu ditumpukan bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan sejak penularan wabak berbahaya COVID-19 Katanya, cetusan idea Primula Barakah ini bermula  sejak bulan Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP pertama oleh kerajaan pusat. "Ramai yang ingin menderma tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk sampai kepada mereka yang berhak jadi kami menawarkan diri untuk membantu. "Primula Barakah ini beroperasi dengan menerima sejumlah dana dalam bentuk wang ringgit  daripada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan sedekah tanpa had. "Seterusnya, pihak kami akan  menyediakan makanan mengikut sumbangan yang dihulurkan oleh penderma dan mengagihkan makanan tersebut kepada mereka yang berkenaan pada waktu yang tertentu,"katanya kepada pemberita ketika ditemui, baru-baru ini. Tambah beliau, sasaran utama penerima sumbangan  adalah pekerja barisan hadapan, anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah orang tua, asnaf dan lain-lain yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Menurut Suaibah, sehingga hari ini, pihaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mereka yang prihatin. "Sejak bermulanya program ini, kami mendapat sambutan yang cukup memuaskan dengan kadar purata RM2,500 sehari untuk disedekahkan oleh penderma-penderma yang prihatin. "Selain daripada sumbangan kepada golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup, ia juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mampu untuk merasai hidangan yang disediakan oleh hotel bertaraf empat bintang ini," ujarnya.     
16 Feb 21
285
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
PKPD : Penduduk Felda Tersat Terima Sumbangan Pek Makanan
HULU TERENGGANU, 16 Februari – Lebih 220 sumbangan pek makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 583 orang penduduk di 198 buah rumah di Felda Tersat, Ajil yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil menyalurkan bekalan sumbangan kepada penduduk kampung Felda Tersat. Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan dan parti pemerintah tidak akan meminggirkan rakyat mahupun penduduk yang dikenakan PKPD khususnya dalam kawasan Hulu Terengganu ini. “Bantuan bekalan keperluan dan makanan yang disalurkan ketika PKPD dilakukan atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab kepada rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat,"jelasnya. Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan bantuan bekalan tersebut, baru-baru ini. Turut hadir dalam penyampaian sumbangan bekalan tersebut ialah Yang Berhormat Adun Ajil, Maliaman Kassim, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu, Naraza Muda, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan dua lokaliti di daerah Hulu Terengganu ini, iaitu  Felda Tersat, Ajil dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD yang bermula pada 14 Februari sehingga 17 Februari 2021. Tambah Muhyidin, sumbangan yang diserahkan itu, telah diwakili oleh Pengerusi JPKK Felda Tersat untuk diagihkan bekalan makanan untuk keluarga yang dikuarantin di penempatan tersebut. “Ia bagi memastikan semua sumbangan-sumbangan ini dapat sampai ke setiap keluarga penduduk yang merupakan sebahagiannya adalah peneroka Felda bagi kawasan ini. “Saya berharap, dengan penyaluran bantuan sumbangan yang sedikit sebanyak ini, dapat membantu meringankan sedikit bebanan penduduk yang mana mereka ini tidak dapat keluar masuk untuk mencari bekalan ataupun keperluan yang lebih di luar sana, akibat daripada PKPD yang masih berkuatkuasa sehingga hari ini,"ujarnya lagi. Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa, supaya kebajikan rakyat dan masyarakat setempat terus terjaga dan terbela.     ​​​
16 Feb 21
472
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi. Perkara tersebut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anaknya melalui ciapan di laman facebook. “Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat. “Mohon doa daripada semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya. Terdahulu, Presiden PAS itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor mengalami sesak nafas. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
16 Feb 21
917
Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP
Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang seorang tukang gunting, Baharin Jaafar, 26, bagi mencari pendapatan lain sebagai seorang saudagar mainan melalui' Facebook live'. Baharin atau lebih dikenali sebagai Pok Ren di laman sosial tersebut berkata, dia telah mula berkecimpung dalam perniagaan atas talian sejak penguatkuasaan PKP pada bulan Mac tahun lepas ekoran pelaksanaan kawalan tersebut menghalangnya meneruskan kerja asal di kedai gunting rambut. “Ideanya datang daripada melihat trend peniaga lain menjual barangan seperti jam, baju dan sebagainya dalam ‘FB Live’, jadi saya mengambil peluang itu bagi menyara keluarga saya ketika waktu pandemik. “Antara mainan dijual adalah barangan ‘second-hand’ berjenama dari Jepun, Amerika Syarikat dan China seperti Kamen Rider, Dragonball, Star Wars, Ultraman dan lain-lain lagi, stok barangan ini dibeli daripada pengedar di Terengganu sehingga dari China dan Jepun. “Cara menjual saya kira siapa cepat kunci (lock) barangan dengan harga ditetapkan atau secara bidaan, contohnya seperti mainan ‘GI Joe’ ini saya lock dengan harga RM80, jadi siapa cepat dia dapat,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya yang menetap di Kuala Terengganu, harga mainan dijualnya antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada kos dan harga pasaran barangan, tetapi murah kerana kebanyakannya adalah barangan terpakai. “Pendapatan bulanan dengan lima hingga enam sesi siaran langsung boleh meraih daripada RM2,000 hingga RM4,000, dengan penonton boleh mencecah bermula dengan 20 hingga 200 orang,” katanya lagi. Mengulas tentang kebaikan berniaga atas talian, Pok Ren menyifatkan ia sebagai platform yang baik terutamanya apabila pergerakan fizikal membataskan perniagaan fizikal. “Kos perniagaan juga jimat dan mempunyai capaian luas dari segi potensi pelanggan, kebanyakan pembeli adalah penonton luar Terengganu dan ada juga dari Sabah dan Sarawak. "Jadi sementara menunggu PKP habis, saya boleh menyara isteri dan anak kecil saya dengan menjadi saudagar mainan 'online' sepenuh masa," tambahnya. Untuk maklumat lebih lanjut, Pok Ren bersiaran live di Facebook ‘Kedai Mainan Pok Ren’ setiap Rabu dan Jumaat pada pukul 9.00 malam sehingga 3.00 pagi.
14 Feb 21
1087
Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara
Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara
KUALA NERUS, 13 Februari - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memperluaskan penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara. Menterinya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, pihaknya telah berbincang dengan The Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk memperluaskan penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB) bagi laluan baru sepanjang 20 kilometer (km) yang akan dikembangkan IRDA. "Kerjasama ini bagi memperluaskan penggunaan getah beku yang merupakan bahan komoditi utama tempatan sekaligus meningkatkan pengeluaran getah serta harganya di pasaran. "Walaupun penggunaannya untuk peringkat awal lebih mahal iaitu sekali ganda kos asal, tetapi ia memberi keuntungan jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan kerana lebih tahan. Itu hasrat kita," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menyantuni beberapa keluarga berbangsa Tionghua di Taman Wakaf Tembesu, hari ini. Mohd Khairuddin berkata, teknologi tersebut telah diperkenalkan sebelum ini, namun perlu diperluaskan lagi. "Sebelum ini, teknologi CMA dan CMB sudah berjaya digunakan bagi jalan selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 200 km. "Kita berhasrat melaksanakannya bersama kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri bagi pembangunan jalan-jalan kampung," katanya. Jelasnya lagi, usaha itu akan membantu dari sudut pembelian harga getah dan melonjakkan pendapatan pekebun kecil. "Sekarang kita bergantung kepada harga dunia yang tidak boleh dikawal. "Tetapi untuk pembelian dalam negara oleh syarikat yang membekalkan CMA dan CMB, kita mahu mereka membeli dengan harga tinggi daripada pengusaha kecil dan ini akan meningkatkan pengeluaran getah beku kita," katanya.
13 Feb 21
662
Bot Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
Bot Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM/Maritim) berikutan dikesan menceroboh perairan negara, semalam. Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Suffi Mohd Ramli memaklumkan, bot nelayan asing itu ditahan Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan OP KUDA LAUT di sekitar perairan Terengganu sekitar jam 10 pagi, semalam. "Bersama-sama kru, kita turut merampas 500 minyak diesel dan hasil laut terdiri daripada ikan dan sotong sebanyak 90 kilogram.  "Bot nelayan Vietnam itu dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu, pagi ini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Antara bot-bot Vietnam yang telah ditahan oleh APMM Terengganu. Jelasnya, Maritim Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika peralihan monsun timur laut. Suffi menyatakan, tindakan tangkapan yang dilaksanakan adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan datang dari warga asing yang menceroboh perairan negara. "Selaku pihak bertanggungjawab, kita ingin meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan yang lebih pantas," katanya. Tambahnya, usaha keras Maritim selaras tema Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia iaitu 'Kami Serius Melaksanakannya'. "Orang awam boleh melayari laman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai sambutan yang pertama kali diadakan secara maya ini," katanya.  
12 Feb 21
1120
Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dengan gabungan NGO lain mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa 2,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka kepada barisan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, NGO memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menyelesaikan isu terkini seperti masalah kebajikan dan sosial. “Oleh itu, UBSNT menggerakkan usaha ini bersama IMAN CARE iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), TESDEC dan agensi lain yang terlibat. “UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi. Tambah Sukairi, Kerajaan Negeri melalui UBSNT turut merancang untuk program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah dalam masa terdekat, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia serta agensi lain. Sementara itu, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak memaklumkan, pihaknya turut berjaya menubuhkan tabung kecemasan COVID-19 hasil kerjasama pelbagai badan terlibat diselaraskan Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT). “Melalui tabung tersebut, ia sedikit sebanyak akan lancarkan pergerakan NGO mengutip dana ketika menghadapi cabaran wabak semasa. “Manakala objektif sumbangan hari ini menyasarkan 2,000 set diselesaikan mulai hari ini sehingga akhir bulan Februari, dengan hantaran pertama pada minggu hadapan dan hantaran kedua selewatnya pada Mac. “YPK, TESDEC dan HANEES akan bertindak menyusun dan menyiapkan kelengkapan PPE yang dihasilkan sendiri oleh mereka,” katanya.
12 Feb 21
681
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik. "Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain, "Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang, "Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya. Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud. Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu. "Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih. "Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.
11 Feb 21
353
MAIDAM Sumbang 4,000 Topeng Muka Untuk Calon SPM
MAIDAM Sumbang 4,000 Topeng Muka Untuk Calon SPM
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Seramai 120 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar menerima 4,000 topeng hidung dan mulut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, topeng hidung dan mulut itu amat diperlukan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada Isnin depan selepas seorang guru dan dua pelajar sekolah tersebut disahkan positif COVID-19 akhir bulan lalu. "Melalui semakan dilakukan, hampir 95 peratus ibu bapa calon SPM didapati berkerja sendiri dan pendapatan mereka terjejas susulan pelaksanaan PKP. "Antara barangan amat diperlukan calon SPM adalah topeng hidung dan mulut untuk menduduki peperiksaan selama tiga hari mulai Isnin depan," katanya Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan bantuan, termasuk makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000  kepada pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali, di sini, hari ini. Berikutan arahan penutupan sekolah itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) terpaksa ditangguhkan, manakala 18 calon terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah selama 14 hari berakhir Isnin lalu. Menurut beliau, pihaknya amat prihatin dengan nasib semua calon peperiksaan SPM, terutama 18 calon yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah. Justeru itu katanya, selain topeng hidung dan mulut untuk 120 calon SPM serta pengurusan sekolah, pelbagai makanan dan minuman ringan turut diberikan untuk keperluan 18 pelajar yang terpaksa tinggal di asrama.
11 Feb 21
335