lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Agrobazar Buka Peluang Pasarkan Produk Usahawan Tempatan
Agrobazar Buka Peluang Pasarkan Produk Usahawan Tempatan
BESUT, 22 Februari – Kewujudan Agrobazar sebagai hab pemasaran dan jualan produk tempatan berpotensi meraih pendapatan lebih buat usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia juga dilihat mampu memenuhi keperluan barangan harian dengan harga lebih murah. "Agrobazar pertama di Besut menyasarkan hasil jualan sebanyak RM5,000 sehari dan akan meningkat dari semasa ke semasa. "Sasaran utama juga supaya Agrobazaar ini menjadi pusat pemasaran produk tempatan sama ada dalam bentuk IKS atau produk lain. Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, pihak kami mencadangkan sebuah ‘database’ bagi mengumpul maklumat pengusaha tempatan melalui pelbagai jabatan berkenaan, merangkumi produk lokal dan asas tani dari kawasan tepi pantai hingga ke pedalaman. “Tujuannya supaya Agrobazaar menjadi pusat pemasaran utama dan teratur, menarik pengunjung dan menyokong IKS di sekitar kawasan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Mybest Buy Agrobazar di PTK Nyiur Tujuh, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan dan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh. Tambah Dr Azman, Agrobazar tersebut kini membekalkan 30 peratus produk IKS dan bumiputera terdiri daripada sejuk beku, sayur-sayuran segar dan produk buatan tempatan dengan harga rendah berbanding di pasaran luaran. “Insya-Allah dengan ‘pilot project’ yang diterajui FAMA ini adalah langkah pertama membuka ruang kemudahan pasaran dan serta peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar,” jelasnya. “Sebelumnya, bangunan Pasar Tani Kekal Nyiur Tujuh telah siap dibina tiga tahun lepas namun tidak dimanfaatkan secara optimum, hasilnya kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjadikan tapak ini sebagai Agrobazaar pertama di Besut. Untuk rekod, Agrobazaar Nyiur Tujuh telah dibuka pada 1 Februari 2021 kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM52,364.37 sehingga 12 Februari tahun tersebut.  
21 Feb 21
1012
Nasi Kandar Hotel Permai 'Laku Keras'
Nasi Kandar Hotel Permai 'Laku Keras'
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Tidak sampai empat jam, lebih 600 set nasi kandar RM5 habis terjual melalui Jom Singgah Beli di Hotel Permai pada hari pertama dilancarkan semalam. Antara pelanggan yang ditemui, Noraina Mahmud, 29, berkata, dia tidak melepaskan peluang mendapatkan set nasi kandar dengan harga RM5 selepas promosi itu tular di media sosial. "Dalam tempoh pandemik ni, susah nak cari makanan yang sedap dengan kos mampu milik.Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk beli makanan tengah hari di sini. “Ini hari kedua saya datang untuk beli nasi kandar ni.Dengan harga RM5, saya boleh dapat ayam goreng, sayur kobis mamak, bendi, papadom dan air sirap yang diberikan percuma sahaja. "Oklah macam ini. Saya dapat makan kenyang dengan menu yang sedap dari chef hotel dan harganya mampu milik untuk waktu ekonomi yang tidak berapa stabil ini,"ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui hari ini di tapak jualan Sik Kandar, hadapan Hotel Permai. Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata,  pihaknya hanya memperuntukan 100 set nasi kandar pada hari pertama untuk percubaan namun tidak menyangka permintaan cukup luar biasa. "Jualan bermula jam 11.30 sehingga 2.30 petang tetapi tak sampai setengah jam dah terjual 150 set dan pelanggan masih ramai termasuk tempahan. "Pihak kami terpaksa menyediakan tambahan nasi kandar sehinggakan terjual lebih 600 pek dalam masa yang agak singkat,"ujarnya. Menurut beliau, orang ramai juga boleh membuat tempahan lebih awal jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak. "Tempahan juga dibuka sama ada pelanggan datang ambil sendiri atau pihak hotel buat penghantaran secara terus. "Kami juga sediakan sembilan jenis lauk seperti kari kambing, kari telur sotong, kari ikan dan baby crab dengan harga RM1.50 hingga RM5 bergantung dengan selera pelanggan," tambahnya. Bagi Chef Mat Andri Abas, 49, idea nasi kandar ini tercetus apabila beliau rasakan sukar untuk menikmati menu utara ini di Terengganu. "Jadi lahirlah resepi nasi kandar  dengan penggunaan rempah ratus tempatan tetapi masih mengekalkan keaslian rasa mamak yang unik. "Rasa puas hati apabila pelanggan memberikan komen yang positif dengan rasa dan harga yang ditawarkan, Insha Allah akan pelbagaikan lagi lauk selepas ini,"katanya.  
18 Feb 21
2205
Bakar Tong Sampah, PBT Beri Peringatan
Bakar Tong Sampah, PBT Beri Peringatan
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Sikap segelintir masyarakat membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan kemudahan tersebut rosak dan tidak boleh digunakan mengundang amaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed berkata, lebih 30 tong sampah yang diletakkan di bahu jalan untuk kemudahan orang awam di daerah ini rosak terbakar kerana sikap tidak bertanggungjawab tersebut. "Tong sampah antara barangan yang sering rosak kerana penggunaan yang salah. Antara punca kerosakan itu disebabkan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan plastik tong sampah cair dan tidak boleh digunakan lagi. "Masalah tong sampah terbakar ini adalah antara kerosakan yang sering dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sehingga memaksa PBT berkenaan meninggalkan notis supaya perbuatan serupa tidak berulang," katanya. Selain itu, katanya, terdapat juga kes tong sampah terbakar berpunca daripada tindakan segelintir pengguna yang membuang puntung rokok masih menyala ke dalamnya. "Perbuatan-perbuatan begini perlu dihentikan supaya harta benda awam ini terus terjaga dan boleh dimanfaatkan bersama. "Selain tong sampah, kerosakan cermin cembung dan lampu isyarat juga antara perbuatan vandalisme yang dikesan berlaku," katanya.
18 Feb 21
1207
MSNT Mulakan Proses Sanitasi Kawasan Kemudahan Sukan
MSNT Mulakan Proses Sanitasi Kawasan Kemudahan Sukan
KUALA NERUS, 18 Februari - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini memulakan kerja-kerja sanitasi di semua kemudahan sukan seluruh negeri Terengganu berikutan pembukaan sektor sukan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula di negeri ini, esok. Penolong Pengarah (Pengurusan Kompleks Sukan) MSNT, A. Zulkefli Mohammad memaklumkan, tugasan itu dimulakan di lapan kemudahan sukan utama di bawah pengurusan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak iaitu Stadium Sultan Mizan, Stadium Tertutup, Arena Lawnbowls padang latihan bola sepak dan ragbi, padang hoki, mini stadium serta litar permotoran. "Proses sanitasi yang kita lakukan pada hari ini melibatkan anggota seramai 10 orang terdiri daripada kakitangan yang telah mahir dan mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu. "Bahan yang digunakan juga merupakan bahan yang disyorkan Bomba serta menepati spesifikasi diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program sanitasi di kemudahan sukan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini. Jelasnya, program sanitasi itu merupakan proses kali keempat dilakukakn MSNT sejak pandemik Covid-19 lalu. "Kita masih lagi berhati-hati menguruskan kemudahan sukan di Terengganu ini terutama di sini kerana ia menjadi tumpuan ahli-ahli sukan terutama pemain bola sepak dan atlet yang melakukan persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) nanti. "Jadi, kawasan-kawasan yang kita jangka didekati atlet secara menyeluruh kita akan sanitasi. Selepas program hari ini, kita akan bergerak ke daerah-daerah contohnya asrama atlet, pusat latihan tinju di Besut dan dewan gimnastik di Marang. Kami berharap dengan adanya program sanitasi ini, kita dapat mengawal penularan di semua pusat sukan di negeri Terengganu," katanya. Tambah A. Zulkefli lagi, usaha tersebut sebagai menyambut baik pembukaan semula sektor sukan dengan norma baharu yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini. "Proses ini akan berjalan secara berkala, manakala bagi kemudahan yang bersaiz kecil, kita buat setiap hari contohnya kawasan gim akan dilakukan setiap sebelum dan selepas digunakan. "Kalau pertandingan bola sepak pula, sehari sebelum pasukan bola sepak masuk stadium kita telah buat sanitasi dan selepas mereka keluar, keesokan harinya kita akan buat lagi sanitasi lokasi tersebut," katanya.  
18 Feb 21
500
PKM Permaisuri Sumbang Katil Kepada Pesakit Strok
PKM Permaisuri Sumbang Katil Kepada Pesakit Strok
SETIU, 18 Februari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permaisuri menyumbangkan sebuah katil hospital bagi kegunaan seorang pesakit strok di Kampung Putera Jaya, semalam. Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, Foo Chek Eng, 62, adalah penerima pertama katil tersebut pada tahun ini melalui sistem wakaf. "Bantuan ini bagi memudahkan kehidupan mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Chek Eng yang mengalami masalah kesihatan akibat serangan strok sejak lima tahun lalu tidak mampu melakukan tugasan harian seperti biasa dan tanggungjawab itu dipikul suaminya, Wang Kiat Wang, 66. Menurut suaminya yang bekerja kampung dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), anak lelakinya juga turut membantu menguruskan kehidupan mereka. "Dia banyak membantu kami, menguruskan apa yang patut terutamanya membabitkan hal-hal dalam rumah ini. "Terima kasih banyak kepada PKM dengan sumbangan yang bermakna ini," jelasnya.
18 Feb 21
217
'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - "Kalau ada sekelumit atau sedikit kelemahan dalam apa-apa jua subjek ataupun keputusan peperiksaan, jangan jadikan itu sebagai suatu titik noktah, sebalikanya ia koma sahaja. "Kita berdiri dan akan bangkit kembali. Kalau orang main tinju, tak salah kena tumbuk, itu normal, yang salah bila jatuh tak bangun-bangun. "Walaupun kamu jatuh berkali-kali, kamu tetap perlu berdiri, percayakan diri kamu melebihi segala-galanya," ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi laman facebooknya hari ini. Dalam persiapan menghadapi ujian tersebut, Menteri Besar Terengganu menyifatkan bidang menuntut ilmu dan menghadapi peperiksaan seperti SPM sebagai satu perjalanan tidak boleh dijangka. "Walaupun dalam 10 minit lagi, kita tidak akan tahu masa depan kita, banyak kejutan bakal berlaku. "Contohnya seperti membawa kereta ke Kuala Lumpur, seperti di lebuh raya, pelbagai halangan kita akan hadapi tanpa disangka seperti lubang atau haiwan melintas. Ada masa kita atau ayah masing-masing 'drive' elok-elok, tiba-tiba ada kereta keluar, kita tidak akan tahu. "Maknanya kita perlu bersedia dan waspada sepanjang masa, sama seperti anak-anak yang bakal menghadapi SPM tahun ini," katanya. Beliau turut menasihati para pelajar supaya menjadi lebih tegas dan menguatkan azam serta menyesuaikan diri kepada cabaran akan datang. "Percaya bahawa ekspidisi kehidupan akan datang juga tidak akan ceria dan menyenangkan sepanjang masa. Kehidupan dan perancangan tidak akan selalu terjadi seperti yang kita inginkan. "Dah fikir macam-macam, buat macam-macam, kadangkala tak dapat apa yang kita nak kerana itu adalah kehidupan dan itu sifat manusia. "Bukan hitam atau putih semata-mata tetapi penuh dengan warna-warnil, tetapi peperiksaan ini tidak bukan penghujungnya, ia hanyala satu koma dan bukan titik noktah," katanya lagi. Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), seramai 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di Terengganu, merangkumi 837 calon persendirian, pada minggu hadapan. - Gambar fail - Hishamuddin Abdullah.
18 Feb 21
1102
25 Bom Asap Ditemukan Di Felda Kertih 3
25 Bom Asap Ditemukan Di Felda Kertih 3
DUNGUN, 18 Februari – Situasi cemas dilalui seorang pemandu lori apabila menemui satu kotak berisi 25 bom asap yang masih aktif di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, baru-baru ini. Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, objek menyerupai bom tangan tersebut dijumpai oleh pemandu tersebut kira-kira jam 4 petang pada 15 Februari. "Susulan itu pemandu lori berkenaan telah memanggil beberapa rakan sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam, hari sama. "Sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, beserta arahan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.  “Hasil pemeriksaan menemukan 24 bom asap bertulis DK manakala sebutir lagi bertulis 518 Riot CS dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditutupi dua beg galas kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media. Tambahnya, semakan oleh pihaknya mendapati bom tersebut tidak mempunyai sebarang nombor siri dan dipercayai buatan Korea Selatan. “Bom seumpama itu lazimnya digunakan ketika latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan bahan terlarang yang tidak boleh disimpan mana-mana individu. “Kesemua barangan tersebut akan dilupuskan Unit Persenjataan (AMRA) IPD Dungun di Lapang Sasar Lembah Bidong dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” jelasnya.
18 Feb 21
673
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
HSNZ Terima 300 PPE Rakan 1.0
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - 300 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka sumbangan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu keperluan barisan hadapan menghadapi penularan pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghantaran pertama tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah 2,000 set PPE yang dibuat UBSNT dalam program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), baru-baru ini. "Pertama sekali, material PPE ini diproses setiap hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berkerjasama dengan UBSNT dan apabila siap satu peringkat ia akan dihantar terus ke HSNZ. "Setakat ini, target kita adalah 2,000 set, namun sekiranya situasi belanjutan, bantuan demi bantuan akan cuba kita salurkan dari masa ke masa," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, dan pengerusi IMAN CARE, Mohd Nasrun Abdullah. Jelasnya, UBSNT menggerakkan usaha membantu barisan hadapan bersama Iman Care iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), TESDEC dan beberapa agensi lain. “UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial," katanya. Sumbangan tersebut disampaikan Wan Sukairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan diterima oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HSNZ, Dr. Mazila Mat Zin di lobi hospital berkenaan, hari ini.    
17 Feb 21
277
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan Terengganu optimis tiada hotel di negeri ini gulung tikar walaupun sedang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, berbanding dengan negeri sebelah barat bisnes penginapan itu telah banyak ditutup. “Di Terengganu hotel bajet hingga bertaraf tiga dan empat bintang, tiada yang tutup operasi atau dijual, ia adalah suatu tanda baik dalam menghadapi kemelesetan akibat pandemik. “Ada juga pengusaha hotel kini mengambil inisiatif mengadakan jualan makanan pandu lalu, penghantaran makanan, hidangan bajet seperti diceburi oleh Duyong Marina & Resort, Grand Continental, Taman Tamadun Islam dan lain-lain lagi,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI. Menjawab persoalan tentang langkah menjual makanan pandu lalu dan berkonsep nasi bajet bakal merugikan peniaga kecil, Ariffin berkata, ia tidak berbangkit. "Ini kerana ia tidak menjurus kepada keuntungan tetapi memberi semangat kepada sektor perhotelan walaupun tidak mampu liputi kos tahunan. “Contohnya seperti Primula Beach Hotel melalui Primula Barakah dengan menerima bantuan dana daripada sesiapa sahaja untuk pengagihan makanan bagi mereka yang memerlukan," katanya lagi. Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut memainkan peranan melalui insentif khas buat pengusaha hotel melalui Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu yang menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020 yang terjejas akibat PKP. “Buat masa sekarang, kita sedang dalam proses kajian bagi menyelesaikan beberapa isu dalam melancarkan pelaksanaan kerana ia tidak melibatkan keseluruhan sektor perhotelan dan penginapan dalam negeri. “Setiap hotel juga berbeza dalam kiraan bayaran cukainya, ada yang RM10,000 dan ada sehingga RM1,000,000,” jelasnya.
17 Feb 21
621
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
50,000 Pelitup Muka, Al-Quran Belayar Ke Sabah
KUALA TERENGGANU,17 Februari - Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) hari ini menghantar sebanyak 50 ribu pelitup muka dan 10 ribu naskhah al-Quran ke Sabah dalam usaha membantu negeri tersebut menghadapi penularan COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, Program Bayu Kasih 2021 itu merupakan kerjasama UBSNT bersama Iman Care sebagai penaja utama akan menyerahkan sumbangan tersebut kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa NGO terlibat di sana untuk diagihkan. "Barangan ini akan dihantar dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) menggunakan KD Mahawangsa yang mana rombongan ini akan bergerak ke Kota Bharu mengambil baki barangan yang bakal dibawa dan seterusnya ke Lumut untuk dinaikkan ke kapal yang terus ke Sabah. "Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha ini. Mudah-mudahan segala seumbangan ini akan memberikan kelegaan dan membantu sedikit sebanyak situasi di sana yang kita sedia maklum menghadapi situasi yang agak luar biasa selain amat memerlukan keperluan ini," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu menyempurnakan pelepasan delegasi tersebut di pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor serta wakil-wakil dari NGO terlibat.  
17 Feb 21
454