Artikel "Utama" Terkini
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
SETIU, 20 Mei - Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak.
Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’.
"Dua arena utama iaitu 'warm-up' dan 'competition' dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa.
"Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004.
"Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017.
"TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,"ujarnya.
Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin.
Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
20 May 25
169
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin.
Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana.
Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.
"Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu.
Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.
"Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu.
"Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya.
Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
"Saya minat baiki motor sejak sekolah.
"OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya.
Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.
20 May 25
340
Pulangan Berganda: Anak Syarikat Untung, Rakyat Senang
Oleh: Daing Siti Norbaity Abd Latif
MARANG, 20 Mei – Pencapaian anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu kini berada di tahap terbaik sekali gus mampu memberi pulangan semula kepada rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika dibandingkan lima tahun sebelum ini, prestasi anak syarikat negeri menunjukkan peningkatan ketara termasuk TDM Berhad yang sangat aktif membantu rakyat melalui program kebajikan.
“Kalau syarikat rugi, tidak dapat bantu rakyat. Sebab itu kita tekankan anak-anak syarikat capai keuntungan maksimum, supaya hasilnya boleh dikongsi semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program TDM Bersama Masyarakat Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Marang, semalam.
Program tersebut menyaksikan sumbangan disalurkan kepada penerima asnaf sekitar kawasan DUN Rhu Rendang hasil daripada wakalah zakat TDM Berhad.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada TDM atas usaha turun padang membantu masyarakat di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut merupakan sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Katanya, kejayaan syarikat bukan sekadar diukur dari segi keuntungan, tetapi juga sejauh mana manfaat yang boleh dikongsi bersama rakyat.
“Kami mahu terus memartabatkan kesejahteraan komuniti, selari dengan status syarikat Patuh Syariah dan misi TDM sebagai ‘corporate citizen’,” ujarnya.
Menurut beliau, program di Rhu Rendang merupakan lokasi keenam siri TDM Bersama Masyarakat, selepas DUN Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut dan Bukit Besi.
"Antara bentuk bantuan yang disalurkan termasuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada asnaf yang layak," ujarnya.
20 May 25
595
Belia Terengganu Diseru Kuasai IR 4.0, AI dan Data Raya
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Belia Terengganu tidak boleh terus berada di zon selesa sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta perubahan dalam era Industri Revolusi 4.0 (IR4.0)
Yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyeru agar generasi muda menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan data raya sebagai alat mencorak masa depan negara.
"Dengan semangat generasi hebat, kita tampil sebagai generasi yang celik teknologi, progresif dan dinamik.
"Dalam mendepani cabaran industri revolusi (IR) 4.0, kita sebagai wakil generasi Z, Alpha dan bakal Beta tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi.
"Kita mesti menjadi pencipta perubahan dengan AI, robotik dan data raya di hujung jari," katanya melalui satu ucapan dalam Persidangan Ahli Dewan Belia Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Siri ke-3, semalam.
Tambah beliau, masa depan memerlukan keberanian dan kebijaksanaan yang mesti digilap bermula hari ini, dengan sidang ADUN Belia menjadi platform latihan untuk membina pemimpin muda yang mampu bersaing di peringkat global.
Dalam ucapan tersebut, Fadhli turut menekankan kepentingan membentuk generasi belia rabbani, iaitu anak muda yang bukan sahaja celik teknologi dan progresif, tetapi juga berakar dengan nilai dan jati diri.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia , Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukanlah ruang untuk mencari kedudukan, sebaliknya perlu berteraskan khidmat kepada masyarakat.
"Dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Hibban, Rasulullah S.A.W. bersabda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
"Inilah prinsip utama kepimpinan dalam Islam bahawa setiap kuasa, kedudukan atau amanah mesti dikaitkan dengan khidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi," jelasnya.
Sidang ADUN Belia Terengganu yang berlangsung hari ini menghimpunkan wakil-wakil belia dari seluruh daerah, bertujuan membina wacana idea, mencetus solusi dan menyampaikan aspirasi generasi muda kepada kerajaan negeri.
"Sidang ini bukan sahaja menjadi simbol demokrasi kepada belia tetapi medan latihan sebenar untuk kita belajar memimpin, berdiskusi dan berbeza pandangan dengan penuh adab dan tanggungjawab.
"Inilah dewan anak muda iaitu dewan idea, dewan solusi dan dewan harapan.
"Saya mendoakan agar segala idea dan cadangan dari sidang ini dapat dijadikan rujukan dasar oleh kerajaan negeri dan dipertimbangkan dalam pelaksanaan pembangunan belia," ujarnya.
Fadhli turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan pelbagai program belia oleh ADUN Belia Terengganu yang telah memberi manfaat langsung kepada ribuan anak muda di negeri itu.
20 May 25
169
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM.
"Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya.
OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan.
"Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas.
"Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya.
Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas.
Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif.
Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
942
Jemaah Haji Perlu Bawa Ubat Secukupnya Ke Tanah Suci
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Jemaah haji dinasihatkan untuk membawa ubat penyakit kronik dalam jumlah mencukupi bagi keseluruhan tempoh berada di Tanah Suci kerana bekalan ubat tidak akan disambung di Mekah kecuali dalam keadaan sangat terdesak.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof, ramai jemaah masih kurang faham mengenai polisi ubat kronik semasa mengerjakan Haji.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof
"Panggilan untuk menunaikan Haji itu adalah selama 48 hari dan mungkin masa perjalanan serta transit akan memakan tempoh lebih lama. Masa yang perlu diambil kira bermula dari mula penerbangan di Terengganu sehinggalah penerbangan pulang ke Terengganu.
"Rawatan memang ada disediakan di sana – hospital medan, klinik maktab – tetapi ubat kronik tidak akan disambung kecuali kes sangat mendesak kerana dos, jenama atau kandungan mungkin tidak sama.
"Ini boleh menjejaskan keberkesanan rawatan," katanya dalam program Bicara Jabatan Kerajaan terbitan TV Darul Iman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, jemaah yang mempunyai alergi terhadap ubat-ubatan seperti penicillin digesa membawa kad alahan ubat berwarna kuning yang dibekalkan oleh Tabung Haji.
"Alergi ubat bukan perkara kecil. Ada jemaah yang hanya batuk ringan tetapi diberi ubat yang menyebabkan reaksi alahan kerana doktor tak tahu sejarah perubatan mereka.
"Ini boleh membawa kepada komplikasi yang serius maka kad ini penting untuk memaklumkan kepada doktor di Tanah Suci mengenai jenis ubat yang tidak boleh diambil oleh jemaah," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, saranan untuk menyediakan ubat-ubatan asas lebih awal di tanah air sebelum berangkat ke Tanah Suci turut disebabkan kos ubat yang tinggi di Arab Saudi.
Katanya, walaupun farmasi mudah diakses di sekitar Masjidilharam, harganya sangat membebankan jemaah lebih-lebih lagi dalam keadaan ringgit yang lemah.
Antara ubat yang digalakkan untuk dibawa termasuk paracetamol, ubat selsema, tahan muntah, batuk, dan lozenges untuk melegakan tekak yang sering terganggu akibat cuaca panas dan kering di Tanah Suci.
"Bila kita pergi ke negara Arab Saudi ini, cuacanya panas dan kering. Kita tidak dapat lari daripada perubahan cuaca dan berkemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan.
"Sebagai contoh biasanya kita akan mengalami batuk-batuk oleh itu, ubat sakit tekak untuk melegakan tekak supaya batuk itu tidak berlarutan kerana jika dibiarkan ia mungkin berlarut dan boleh terkena jangkitan kuman," ujarnya.
Dalam pada itu, Syafiq juga menyarankan agar para jemaah membawa ubat sapu atau krim pelembap kaki sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kaki merekah atau luka akibat perjalanan jauh dalam cuaca panas di Tanah Suci.
19 May 25
79
Penjawat Awam Perlu Ada Sikap ‘Sense Of Urgency’
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Penjawat awam di negeri ini khususnya warga kerja Wisma Darul Iman perlu mempunyai sikap ‘sense of urgency’ atau sikap yang mempunyai tindakan segera bagi memastikan setiap perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan efektif.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, penjawat awam juga seharusnya berusaha untuk membuat pembaharuan agar sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan serta harapan rakyat.
“Kita juga hendaklah sentiasa berusaha untuk berubah antaranya berkaitan dengan sikap ketulaan iaitu suka bertangguh.
“Jangan suka bertangguh dalam menyelesaikan kerja harian kita. Kalau ada masalah segera berbincang sesama rakan sekerja mahupun dengan pihak atasan agar setiap permasalahan terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua warga kerja Wisma Darul Iman agar menjaga imej serta etika berpakaian sebagai penjawat awam.
19 May 25
136
Terengganu Sertai Misi Pasaran Global di Singapura
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Kerajaan Terengganu terus memperkasa usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Malaysia Fest Singapore 2025 yang akan berlangsung 31 Julai hingga 3 Ogos ini di Singapore Expo, Changi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, festival empat hari bertemakan 'Explore the Unique Taste of Malaysia' itu bakal membuka 321 booth pameran dengan sasaran lebih 160,000 pengunjung.
Menurut Ariffin, penyertaan tersebut merupakan peluang keemasan buat usahawan Terengganu memperluas jaringan eksport serta mengembangkan produk ke peringkat global.
“Saya amat yakin, penyertaan dalam festival ini akan membuka pintu kerjasama strategik antara usahawan Terengganu dan pengimport luar negara.
"Ia menjadi platform penting bagi memasarkan produk makanan, pertanian dan kraftangan Terengganu kepada pasaran luar negara, khususnya Singapura.
"Ini merupakan satu lonjakan besar ke arah menjadikan produk tempatan berkualiti global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi membincangkan strategi penyertaan negeri dalam festival berprestij itu di Pejabat YPU, baru-baru ini.
Katanya, YPU dan FAMA Terengganu menjadi agensi pemudah cara dalam mempersiapkan penyertaan usahawan ke festival berkenaan dengan penyaringan produk, latihan dan sokongan logistik.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri menerusi portfolio yang diterajuinya sentiasa memberikan komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan negeri melalui pelbagai program.
"Ia termasuk bimbingan, padanan perniagaan, pengiktirafan halal, pensijilan dan bantuan promosi luar negara," ujarnya.
18 May 25
277
Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Keputusan Amerika Syarikat untuk membatalkan sekatan ekonomi terhadap Syria selepas lebih tiga dekad menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju geopolitik baharu di Asia Barat, khususnya terhadap dunia Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri. Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, langkah yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika lawatan ke Arab Saudi itu, tidak berlaku secara percuma.
Sebaliknya kata beliau, ia diyakini sebagai sebahagian daripada pelan strategik yang memberi manfaat besar kepada pihak Barat dan Zionis Israel.
Muhammad Khalil menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga syarat yang menjadi sebahagian daripada 'pakej' penghapusan sekatan itu
"Keputusan ini bukanlah kosong dan sudah tentu mempunyai timbang balas yang mesti dibayar dengan harga yang mahal.
"Sekurang-kurangnya tiga habuan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat: pertama pemerintah Syria menerima 'Abraham Accord' dengan erti kata lain adalah keterbukaan untuk normalisasi dengan Zionis Israel.
"Kedua, "kumpulan pengganas Palestin" hendaklah dihalau keluar dari Syria dan ketiga, pembangunan infrastruktur Syria yang hancur akibat perang akan dibangunkan oleh Barat dan sekutunya," jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, ketiga-tiga syarat ini menzahirkan bahawa keputusan Washington lebih bersifat strategik, bukan kemanusiaan, dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap politik serta prinsip umat Islam di rantau itu.
Jelas beliau, Presiden Syria, Ahmad Al-Shara’a dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa kerajaan kini mahu memberi tumpuan kepada pemulihan negara selepas perang saudara yang bermula sejak 2012 dan meragut ribuan nyawa.
Namun, Dr. Muhammad Khalil memberi peringatan bahawa cabaran yang lebih besar sedang menanti Syria, termasuk usaha menyatukan semula pelbagai kumpulan berkepentingan yang sebelum ini bertelagah serta isu penerimaan rakyat terhadap normalisasi dengan Israel.
"Cabaran dalaman ialah mengembalikan kestabilan politik dengan menyatukan pelbagai kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing.
"Tidak mudah untuk rakyat Syria menerima suasana baharu khususnya normalisasi dengan Zionis Israel yang merupakan musuh tradisi sejak zaman berzaman," ulasnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Zionis Israel akan bersetuju untuk berundur dari kawasan yang dirampas di Syria, termasuk Bukit Golan dan wilayah selatan, jika benar terdapat rundingan antara AS dan Syria ke arah itu.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil menyeru seluruh umat Islam agar terus mendoakan keselamatan bumi Syria dan sentiasa berwaspada terhadap permainan kuasa besar yang sering tampil dengan janji pembangunan tetapi hakikatnya membawa agenda terselindung.
Sekatan ekonomi ke atas Syria mula dikuatkuasakan sejak awal 1990-an dan diperketat semasa konflik bersenjata bermula tahun 2012.
Ia melibatkan larangan import dan eksport, sekatan ke atas institusi kewangan, serta larangan pelaburan asing.
17 May 25
132
Tragedi FRU: 'Amaran Akhir' Buat Kementerian Pengangkutan
SETIU, 15 Mei – Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akibat nahas melibatkan lori muatan batu perlu dilihat sebagai 'amaran terakhir' kepada Kementerian Pengangkutan untuk segera bertindak sebelum lebih banyak nyawa melayang tanpa pembelaan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata beliau merakamkan takziah dan rasa dukacita atas insiden itu, menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.
"Saya merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas kehilangan 10 anggota FRU dalam nahas yang membabitkan sebuah lori membawa muatan batu, semalam.
"Mereka adalah wira negara yang amat berharga," katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal polis pada 13 Mei 2025 mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori, sekali gus menyerlahkan kelemahan penguatkuasaan keselamatan jalan raya yang masih belum ditangani secara menyeluruh.
"Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat yang sehingga kini masih belum ditangani secara menyeluruh," tegasnya, sambil mengingatkan bahawa hanya beberapa bulan lalu, tujuh nyawa turut terkorban dalam insiden hampir serupa.
Beliau turut menegaskan bahawa isu keselamatan lori berat bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan dalam Parlimen, namun kerajaan masih belum menunjukkan komitmen yang jelas.
"Isu kemalangan membabitkan lori ini telah saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen, khususnya berkaitan pemanduan berbahaya oleh pemandu lori serta isu muatan berlebihan yang tidak dikawal dengan tegas.
"Namun, usaha kerajaan dalam menangani isu ini masih belum benar-benar menunjukkan komitmen yang tuntas," kata beliau.
Shaharizukirnain mengakui bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk cadangan penubuhan pasukan khas bersama agensi seperti JPJ, namun menganggap usaha itu sekadar pengulangan dasar lama tanpa pelaksanaan yang berkesan.
"Ironinya, ‘task force’ yang sama telah ditubuhkan sejak 2024 di bawah penguatkuasaan JPJ.
"Meskipun pelbagai ‘task force’ ditubuhkan, masih lagi tiada penyelarasan dasar dan penguatkuasaan yang berkesan menyebabkan tragedi terus berlaku," ujarnya.
Ahli Parlimen Setiu itu turut menggesa agar Kementerian mengambil tindakan serius dan menyeluruh dengan memastikan pasukan khas itu benar-benar berfungsi serta memperketat pemantauan teknikal ke atas lori berat, termasuk mewajibkan penyelenggaraan berkala dan penggunaan sistem telemetri.
"Selain mengkoordinasikan ‘task force’ tersebut dengan baik, aspek pengurusan dan pemantauan teknikal ke atas kenderaan berat juga perlu diberi perhatian.
"Ini termasuk memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan secara konsisten serta mewajibkan penggunaan teknologi pemantauan seperti sistem telemetri bagi kenderaan berat berisiko tinggi," tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi telemetri boleh mengesan kelajuan, gaya pemanduan dan penggunaan brek secara langsung serta telah digunakan secara berkesan di negara maju seperti Jepun.
"Telemetri ialah sistem pemantauan berasaskan teknologi yang membolehkan data seperti kelajuan, penggunaan brek, dan gaya pemanduan direkod serta dihantar secara langsung (real-time) ke pusat kawalan.
"Teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Jepun bagi mengesan dan mencegah pemanduan berbahaya sebelum kemalangan berlaku," jelasnya.
Akhirnya, beliau menegaskan bahawa tragedi yang meragut nyawa anggota FRU ini perlu menjadi ‘wake-up call’ yang sebenar, bukan sekadar satu lagi angka dalam statistik kematian jalan raya.
"Pelaksanaan menyeluruh, penyelarasan antara agensi, serta penguatkuasaan yang benar-benar tegas serta berkesan diperlukan dengan kadar segera,” ujarnya.
15 May 25
195