Artikel "Utama" Terkini
Sultan Mizan Berangkat ke Santapan Malam Sempena Dua Dekad YDSM
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mencemar duli Majlis Santapan Malam Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan baginda.
Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka anakanda-anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato' Mohd Fadzli Yusof bagi melengkapkan majlis yang telah berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Mohd Fadzli berkata, matlamat utama YDSM ditubuhkan oleh tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertingkat dan memperkasakan tahap sosioekonomi rakyat, khususnya di Terengganu.
"Pelbagai program yang telah dijalankan dan kini terdapat empat inisiatif baru dimana dua daripadanya telah berjalan akhir tahun lalu dan dua lagi akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Yang telah dilancarkan ialah kursus penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Terengganu Skill Development Center (TESDEC), Yayasan Terengganu (YT), Motordata Research Consortium Sdn Bhd," katanya.
Selain itu, YDSM telah dipajakkan satu kawasan di Setiu dengan keluasan sebanyak 70 ekar bagi tujuan pembangunan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Pantai Timur.
"Pembangunan pusat rehabilitasi ini telah pun berjalan dan dijangka akan siap dalam masa dua tahun. Kita doakan dengan pembukaannya nanti, banyak manfaat ekonomi dapat diluahkan kepada masyarakat setempat.
"Seterusnya, seni anyaman kercut yang baru sahaja dilaksanakan awal tahun ini dengan dana daripada Hisbiscus Petroleum Berhad. Program latih seni ini bertujuan supaya anyaman warisan yang unik ini dapat dipelihara dan dipulihara.
"Kursus anyaman kercut ini disertai oleh 16 orang pelajar dan graduan di UniSZA Besut, juga dengan kerjasama daripada lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia," jelasnya.
Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Dua Dekad YDSM itu,turut diadakan pelancaran program tajaan biasiswa penuh oleh kerajaan Arab Saudi, khusus buat anak-anak Terengganu dengan sebanyak 50 tajaan secara keseluruhan.
Bagi memperingati peristiwa bersejarah sejak awal penubuhannya pada tahun 2005 yang kini telah mencapai usia dua dekad, tiga buah buku YDSM; 'Terengganu - Wajah-wajah Kehidupan', 'HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah - Life As A Pioneer Photographer King' serta 'Terengganu Islands and State Park' telah dilancarkan.
Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tetamu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu turut menyaksikan pelancaran 'Gold Bar' Edisi Khas Dua Dekad YDSM.
27 May 25
100
170 Kakitangan WDI Sertai Tanggathon, Zumba
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Seramai 170 kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) hari ini menyertai aktiviti tanggathon dan zumba anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Daripada jumlah itu, 70 kakitangan lelaki mengambil bahagian dalam aktiviti Relay-Tanggathon Darul Iman dan 100 penjawat awam wanita pula menyertai aktiviti Zumba.
Program yang diadakan serentak di laluan tangga hadapan dan Dewan Jamuan, Tingkat 18, WDI adalah bersempena Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam Di Negeri Terengganu 2025.
Bertemakan ‘Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tak Sah’, karnival tersebut berlangsung bermula hari ini sehingga 28 Mei ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
26 May 25
114
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
KEMAMAN, 26 Mei - University College TATI (UC TATI) telah memeterai lapan perjanjian bersama rakan strategik bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Dewan Cancelor UC TATI, di sini, semalam.
Perjanjian tersebut melibatkan dua Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Sekolah Tinggi Teknologi Warga Surakarta (STTW).
Manakala enam Memorandum Persefahaman (MoU) pula melibatkan Bank Islam, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), DreamEdge Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), DH Borneo Training Services Sdn Bhd dan Hal FinTech Sdn Bhd.
Rektor UC TATI, Prof Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, kerjasama tersebut akan memberikan pelajar UC TATI akses luas kepada latihan industri, bimbingan profesional, penyelidikan dan pemindahan teknologi.
“Ia juga akan memperkukuh hubungan UC TATI dengan pihak industri dan memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Canselor UC TATI di sini.
26 May 25
142
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
DUNGUN, 25 Mei – Dalam menghadapi cabaran iklim dan tekanan terhadap sumber air, Kerajaan Negeri Terengganu komited melaksanakan dasar berimpak tinggi melalui pelaburan infrastruktur, pengurusan kawasan tadahan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Terengganu tidak hanya bergantung kepada retorik, sebaliknya telah menggerakkan pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pengurusan sumber air, termasuk pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, pengurusan kawasan tadahan, pemuliharaan sungai serta peningkatan kecekapan sistem bekalan dan saliran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua inisiatif tersebut digerakkan secara strategik melalui Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Terengganu, yang menekankan pendekatan lestari dan saintifik.
"Pelan ini antara lainnya memberi penekanan kepada pengurusan air secara lestari, pemantauan kualiti air dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar," jelasnya.
Menurutnya, pendekatan ini memerlukan kolaborasi antara agensi teknikal, institusi pendidikan dan masyarakat awam bagi memastikan semua usaha berjalan secara menyeluruh dan berkesan.
Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap pencemaran dan penyalahgunaan air, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan tindakan di lapangan.
"Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan penggunaan air secara haram," ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan pengurusan air satu agenda bersama yang merentas politik, sektor dan sempadan.
25 May 25
201
70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
DUNGUN, 25 Mei – Ketika dunia bergelut dengan krisis perubahan iklim, Negeri Terengganu tampil menyahut cabaran global untuk melindungi glasier, simpanan semula jadi yang menyimpan 70 peratus air tawar dunia, demi memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pencairan glasier akibat pemanasan global memberi kesan langsung kepada kitaran air dunia dan bakal mengancam bekalan air bersih secara keseluruhan.
"Glasier merupakan bongkah ais semula jadi hasil pemampatan salji yang menyimpan kira-kira 70 peratus air tawar dunia.
"Kesan perubahan iklim menyebabkan kadar pencairan glasier semakin meningkat, dan ini memberi impak besar kepada kitaran hidrologi serta bekalan air global," katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Beliau menyifatkan tema sambutan tahun ini, 'Glacier Preservation', sebagai amat signifikan dan perlu dilihat bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan mendesak untuk seluruh dunia bertindak.
"Tema ini amat relevan kepada usaha kita untuk mengekalkan kelestarian sumber air dan memperkukuhkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim," ujarnya dengan penuh harapan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan memberi contoh pengalaman getir yang hampir melumpuhkan sistem bekalan air bandar Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2018.
"Lihat sahaja kepada pengalaman Cape Town yang hampir berhadapan dengan 'Hari Sifar' apabila bandar tersebut hampir kehabisan air akibat kemarau dan pengurusan sumber air yang lemah.
"Namun, hasil tindakan pantas kerajaan serta penyertaan aktif rakyat, mereka berjaya mengelakkan krisis tersebut melalui sistem penggunaan semula air, pembaikan infrastruktur dan kempen penjimatan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengajaran itu seharusnya menjadi pemangkin untuk Terengganu kekal proaktif dan tidak menunggu sehingga krisis berlaku.
25 May 25
150
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Foto : Ghazali Kori
SETIU, 25 Mei - Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM90 juta bagi projek Pengawalan Hakisan Pantai di kawasan Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit.
Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek telah mula dilaksanakan pada Julai 2023 dan status kemajuan fizikal projek terkini adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.
Ujarnya, projek-projek yang dijalankan meliputi kerja-kerja 'beach nourishment' sepanjang dua kilometer (KM) dan pembinaan 16 'breakwater' bagi memulihara semula kawasan pantai itu.
"Saya difahamkan tadi (semalam) ada pemecah ombak yang berjaya siap hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan yang kemajuannya mencapai 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit.
"Alhamdulillah, diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek untuk lapan pemecah ombak yang telah dirancang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, jumlah keseluruhan untuk pelbagai projek air di Terengganu membabitkan peruntukan RM287.8 juta di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, ia melibatkan 27 projek yang turut merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembentungan.
25 May 25
431
LAMANITA Marang Cipta Peluang Baharu Wanita Dalam Bidang Pertanian
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
MARANG, 22 Mei – Program LAMANITA peringkat daerah Marang membuka lembaran baharu dalam keusahawanan wanita apabila ibu tunggal dan suri rumah di daerah ini mula diterapkan dengan kemahiran pertanian secara praktikal di halaman rumah sendiri.
Pengerusi KHAIRUNNISA’ Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, LAMANITA yang membawa maksud ‘Laman Wanita’, memberi fokus kepada konsep pertanian skala kecil di sekitar kediaman sebagai sumber makanan dan pendapatan isi rumah secara lestari.
Beliau menyifatkan usaha tersebut selari dengan aspirasi wanita berdikari dan produktif.
“Program LAMANITA ini bukan sahaja medan mencipta peluang baharu, malah langkah untuk memperkasa wanita agar tidak hanya bergantung kepada pendapatan orang lain, sebaliknya mampu jana rezeki dari laman sendiri.
“Pertanian kini adalah industri moden. Dengan ilmu dan teknologi yang betul, wanita mampu mengubah halaman rumah menjadi ladang yang menjana pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program LAMANITA Daerah Marang di Masjid Paya Resak, Bukit Payong di sini, semalam.
Justeru, beliau menyeru agar peserta tidak takut gagal, sebaliknya menjadikan setiap langkah sebagai ruang belajar yang akhirnya akan membuahkan hasil.
“Wanita berjaya ialah mereka yang tidak pernah berhenti mencuba. Rebut peluang ini dengan semangat dan keyakinan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Muhamad Haizul Nik Sufian berkata, Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk menjadi penasihat teknikal dan rakan strategik kepada peserta program.
“Kami alu-alukan jika peserta nak panggil kami turun tengok sendiri masalah di lapangan. Setiap tahun, kami anjurkan pelbagai kursus seperti baja organik yang boleh dijalankan secara ‘hands-on’ bersama komuniti,” jelasnya.
Tegas beliau, pertanian memerlukan pengalaman sebenar di lapangan untuk memahami cabaran serta kenikmatan hasil tuaian sendiri.
“Sayur yang ditanam sendiri bukan sahaja lebih sihat kerana bebas sisa racun, tapi beri kepuasan kepada keluarga yang menikmatinya,”katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program LAMANITA adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui PITAS2030 bagi meningkatkan kesejahteraan wanita.
“Program ini menyasarkan wanita luar bandar, khususnya suri rumah dan ibu tunggal yang ingin meningkatkan pendapatan melalui pertanian bandar dan agro-produk,” katanya.
22 May 25
108
Sultan Mizan Titah Jenama Semula Tabung Khairat Zainal Abidin
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar Tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula sebagai langkah memperkukuh sumber kewangan institusi pendidikan Islam di bawah naungan baginda.
"Beta akan memberikan perhatian khusus agar kemudahan infrastruktur asas dan teknologi terkini di madrasah ini sesuai dengan legasi keprihatinan Sultan Zainal Abidin ke-3 kepada ilmu dan pendidikan.
"Beta ingin mencadangkan agar khairat Zainal Abidin dijenamakan semula menggabungkan instrumen wakaf, endowmen dan sedekah bagi memastikan institusi-institusi agama dibawah kerajaan beta terus berkembang maju," titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan kesinambungan permuafakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam memastikan pembangunan institusi pendidikan agama terus berkembang dan selari dengan keperluan zaman.
"Pada tahun 1933, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkenan merasmikan bangunan baharu madrasah ini di Kampung Ladang. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan pada tahun 1958, madrasah ini dipecahkan kepada dua iaitu sekolah menengah agama Sultan Zainal Abidin Ladang bagi peringkat menengah rendah dan sekolah menengah agama atas Sultan Zainal Abidin bagi peringkat thanawi yang berpindah ke Batu Buruk.
"Meneruskan kesinambungan ini pada tahun 1980, lahirlah sebuah lagi institusi pendidikan Islam untuk peringkat diploma berpayungkan nama Sultan Zainal Abidin ke-3 iaitu, KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin).
"Diploma pengajian Islam menjadi mata rantai yang meneruskan tradisi madrasah Sultan Zainal Abidin Al-Arabiah, sekaligus menjadi umbi dan teras kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
"Semua institusi pendidikan dibawah nama Sultan Zainal Abidin ke-3 ini harus bekerjasama erat. Mereka ibarat akar, pohon dan ranting yang tumbuh daripada benih yang sama, berkembang bersama di daerah Kuala Terengganu.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, semalam.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta paduka-paduka anakanda lain.
Tabung Khairat Zainal Abidin yang ditubuhkan sejak tahun 1932 hasil muafakat antara istana, kerajaan dan rakyat, telah menjadi asas penting dalam membiayai perkembangan institusi pendidikan Islam di Terengganu termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, KUSZA, serta UniSZA.
22 May 25
137
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri.
Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP.
“Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu.
“Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
“Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan.
“Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan.
“Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.
21 May 25
151
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, hari ini.
Berlangsung di sekolah berkenaan, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni Pelajar-pelajar SMAASZA, Tan Sri Dato' Dr. Mohd Yusoff Md Nor.
Mengenang perjalanan penubuhan SMAASZA oleh al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3, baginda bertitah agar kedaulatan negeri Terengganu sebagai negeri 'islamiyyah' (islamik) terus berkembang sebagai negeri yang yang dihormati.
"100 tahun perjalanan ini menuntut kita untuk bermuhasabah dan merangkakan wawasan yang lebih cemerlang demi masa hadapan. Pendidikan agama dan bahasa Arab adalah tunjang jati diri rakyat ini dari generasi ke generasi .
"Beta amat terharu mengenang keperibadian dan jasa besar moyang beta, al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3. Baginda bukan sekadar pemerintah tetapi juga pelita ilmu yang menyinari negeri ini dengan kebijaksaan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat jelata.
"Menjadi legasi tauladan yang menyatukan kepimpinan ulama dan umarah sepanjang zaman, beta amat mencemburui tangkai kebajikan yang mengiringi tradisi ilmu alam melayu Islam nusantara di negeri beta ini.
"Moga ia terus berkembang demi kesejahteraan dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman," titah baginda sebelum menyempurnakan gimik perasmian buku 'Permata Darul Iman', pagi tadi.
Sultan Mizan berkenan meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat jelata yang hadir dan meninjau pameran sejarah penubuhan sekolah itu di Dewan Fikri SMAASZA.
Majlis yang berlangsung di perkarangan SMAASZA sebentar tadi juga dimeriahkan dengan kehadiran daripada kalangan penjawat awam serta warga SMAASZA termasuk alumni lepasan sekolah agama tersebut.
Buku 'Permata Darul Iman' merupakan sebuah penerbitan istimewa yang merakamkan sejarah penubuhan, pencapaian dan peranan besar SMAASZA dalam pembangunan pendidikan agama dan sosial khususnya di negeri Terengganu.
Penulisan memperincikan salasilah institusi pengajian tahap menengah rendah dan atas tersebut merupakan hasil kajian, dokumentasi dan penghargaan kepada sumbangan institusi itu sepanjang satu abad yang lalu.
20 May 25
724