lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah
KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah
DUNGUN, 28 Mac – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyerahkan suratan hak milik (geran) kepada 120 orang pemilik rumah kos rendah melibatkan kos berjumlah RM3,000,000. Pengerusinya, Dato’ Razali Idris  berkata penyerahan melibatkan penghuni yang telah melangsaikan bayaran harga rumah iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) 37 orang, Bukit Besi (14), Ketengah Jaya (14), Seri Bandi (27) dan Ceneh Baharu serta Kampung tradisi lima orang. Katanya, sebanyak 737 buah sahaja lagi yang masih dalam proses pemberian hak milik dan dalam proses penyediaan geran dari semasa ke semasa dari jumlah keseluruhan rumah  iaitu 3940 buah di seluruh wilayah ketengah. “Ketengah terus berusaha dari semasa ke semasa dalam memastikan sebarang isu berkaitan hak milik dapat diselesaikan dengan segera. “Dalam penelitian kami, dijangka sehingga akhir September tahun ini, jumlah mereka yang akan memperolehi suratan hak milik ini dijangka akan mencapai 81 peratus, manakala pada tahun 2024 Ketengah dijangka mampu menyelesaikan 90 peratus urusan pemberian hak milik. InsyaAllah,”katanya. Beliau berkata demikian di Program Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik (Geran) Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa (Pkd) Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini hari ini. Tambah Razali lagi, kerajaan negeri dan jabatan yang berkaitan juga sentiasa berusaha untuk memastikan urusan hak milik diselesaikan dengan kaedah yang terbaik demi kebaikan bersama. “Ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara.  “Adalah diharapkan usaha yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membantu penduduk luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan taraf hidup yang merupakan salah satu keutamaan dalam agenda pembangunan Wilayah KETENGAH,” ujarnya.
28 Mar 21
723
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Petuang, Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 28 Mac – Seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Rumah Rakit Cik Na, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata mangsa, Ami Azzizol  Abu Bakri, 22, berasal dari Dungun dikatakan sedang bercuti bersama-sama isteri dan ahli keluarganya di rumah rakit berkenaan. “Pihak Polis menerima maklumat pada pukul 6.20 petang semalam mengenai kejadian tersebut. “Ketika kejadian, mangsa dikatakan  berenang dari rumah rakit Cik Na ke dalam sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan. “Tidak lama kemudian beberapa saksi termasuk isteri mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Salah seorang saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mohd Adli berkata seramai  46 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam menyertai operasi mencari mangsa yang sehingga kini masih belum ditemui.  
28 Mar 21
1575
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal
KEMAMAN, 27 Mac- Pencemaran sungai di Terengganu tidak begitu serius jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan seluruh sungai di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal. "Kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan di bawah Jabatan Alam Sekitar sentiasa terjalin. "Kami dari semasa ke semasa berunding dan berbincang bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan tiada pencemaran air yang berlaku ke atas sungai di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas isu pencemaran sungai selepas menyempurnakan  Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Sungai Sekilir, Kemasik, hari ini. Turut hadir, Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,  Utiliti Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (KASA) dan agensi-agensi dibawahnya telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana yang melibatkan sungai-sungai di seluruh negara pada hari ini.  "Bagi Negeri Terengganu, selain Sungai Sekilir (Kemaman) program gotong- royong ini juga berlangsung serentak di enam lagi lokasi di seluruh Terengganu iaitu di Sungai Mercang (Marang), Sungai Tenang (Besut), Sungai Tersat (Hulu Terengganu). "Juga melibatkan Sungai Hiliran (Kuala Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Setiu (Setiu), " ujarnya  Menurut beliau, program gotong-royong ini secara khususnya bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air. Tambah beliau, sambutan Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993.  "Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.  "Sambutan Hari Air Sedunia ini adalah bertujuan untuk memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), yang dilancarkan pada 2015 oleh PBB, iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030, menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar," jelasnya.
27 Mar 21
443
Enam Pemancing Hilang Ditemui Selamat
Enam Pemancing Hilang Ditemui Selamat
KEMAMAN, 27 Mac - Enam pemancing yang dikhuatiri telah hilang sejak Selasa lalu ditemui selamat di perairan Pahang, semalam. Komander Zon Maritim Malaysia Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot pemancing tersebut telah ditunda oleh bot nelayan Pahang yang menjumpainya. "Berdasarkan maklumat awal, pemancing tersebut turut memberitahu bot mengalami kerosakan pada kipas enjin bot yang tercabut dan menyebabkan bot mereka hanyut," ujarnya ketika ditemui pemberita. Dalam pada itu, kepulangan enam pemancing tersebut yang selamat tiba di Balai Polis Chukai lewat petang semalam turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Hanafiah memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas penemuan semula enam pemancing itu. "Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak sama ada daripada agensi kerajaan, Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman, Nelayan Pahang dan lain-lain yang turut sama membantu urusan dalam pencarian mangsa hilang ini.  "Terima kasih juga buat jemaah masjid dan surau yang telah mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kepulangan enam orang pemancing ini," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai. Hanafiah dalam pertemuan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai buat semua pemancing itu.
27 Mar 21
680
Cuaca Buruk, Lima Pemancing Tidak Pulang
Cuaca Buruk, Lima Pemancing Tidak Pulang
KEMAMAN, 24 Mac - Sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan lima orang pemancing tidak dapat dihubungi sejak semalam, selepas keluar ke laut pada 22 Mac dan sepatutnya pulang pada hari ini. Dikhuatiri bot mereka mengalami kerosakan berikutan cuaca perubahan monsun. Keenam-enam mangsa yang berusia antara 19 hingga 29 tahun tinggal di Kampung Paya Berenjut dan Kampung Gong Pauh. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa semalam, sekitar jam 8.50 malam. Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi carilamat (CARILAMAT) di laut dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset Maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan. Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Raya Kuala Kemaman dan bertemu dengan keluarga mangsa yang terlibat, hari ini. "Saya mengharapkan agar seluruh keluarga mangsa dapat bersabar dan minta semua untuk mengadakan solat hajat. Saya juga akan meminta beberapa masjid dan surau untuk mengadakan solat hajat. "Semoga pihak maritim dapat menemui kesemua mangsa dengan selamat dan membawa pulang seberapa segera," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.      
24 Mar 21
3485
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
Skim Hafaz Al-Quran : Peruntukan RM3.9 Juta Sejak 2018
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih RM3.9 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melaksanakan program Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka sejak 2018. Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman berkata, skim itu melibatkan 713 peserta yang melalui ujian tertentu dan sabit hafaz. Katanya, masing-masing 275 orang peserta pada tahun 2018, 302 pada tahun 2019 dan 136 orang pada tahun lepas, sekali gus menafikan fitnah bahawa skim itu dihapuskan. “Mereka yang menyertai skim ini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Permohonan untuk menyertai skim ini adalah berdasarkan juzuk yang dipohon oleh peserta, iaitu 7 hingga 30 juzuk. “Jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,543,548 melibatkan RM814,260 pada penggal pertama dan RM729,288 pada penggal kedua, manakala tahun 2019 adalah sebanyak RM1,677,228 membabitkan RM881,068 pada penggal pertama dan RM796,160 pada penggal kedua. “Pada tahun 2020, ujian bagi skim ini telah dijadualkan pada bulan April tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan COVID-19 di seluruh negara. "Oleh yang demikian, ujian hanya dapat dilaksanakan bagi satu penggal sahaja dan ujian ini telah diadakan pada bulan September 2020, melibatkan pembayaran sebanyak RM766,180”, katanya ketika ditemui UPDI di pejabat JHEAT pagi tadi. Tambah Zulkefli, peserta akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing. "Contohnya, peserta yang sabit hafaz (lulus) bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000.    “Sumbangan yang dimaksudkan adalah para hafiz dan hafizah hendaklah memberi sumbangan dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan," katanya lagi. Mengulas tentang pelaksanaan skim pada tahun ini, Zulkefli berkata, permohonan akan dibuka selepas Majlis Tilawah Al-Quran Tahun 1442H/2021M berakhir. Katanya, JHEAT akan mengeluarkan iklan/hebahan bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing. "Kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama di daerah masing-masing untuk penggal pertama. "Insya-Allah, Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka pada tahun ini akan laksanakan dua penggal seperti biasa, penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur tidak kurang dari 18 tahun," tambahnya lagi.
24 Mar 21
663
Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
Muaz, Rozilah Dinobat Qari Dan Qariah Setiu
SETIU, 24 Mac - Muhammad Muaz Mokhtar dan Rozilah Yaacob masing-masing dinobatkan sebagai Qari dan Qariah bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 2021 yang berlangsung malam tadi. Seramai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang menyaksikan penyertaan empat lelaki dan dua wanita pada majlis tilawah tahun ini yang diadakan di Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Setiu, Bandar Permaisuri. Muaz yang mengalunkan bacaan Surah Al An'am yang membawa lagu wajib Soba dan Rast itu berkata, penyertaan tahun ini merupakan kali yang kedua selepas 2019. Katanya, ketika itu beliau hanya mendapat saguhati dan penyertaan tahun ini sangat berbaloi selepas diangkat sebagai johan. "Saya mendapat latihan terus melalui ayah mertua yang juga imam di masjid Kampung Ladang Bari dan membentuk jiwa Al-Quran dalam diri saya lebih-lebih lagi dalam bidang fasohah, tajwid dan taranum," katany ketika ditemui UPDI semalam. Sementara itu, Rozilah pula yang membacakan Surah Ali Imran berkata, pada mulanya beliau tidak mahu menyertai tilawah pada kali ini tetapi atas saranan dan nasihat kawan-kawan beliau membuat penilaian dan diterima masuk. "Saya berlatih dalam masa dua hari selepas mendapat surah apa yang nak dibaca dan saya kena buat latihan lagi bagi peningkatan bacaan selepas ini". Pada majlis itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada pemenang. Masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, plat penghargaan dan piala pusingan. Terdahulu majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim. Hadir sama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri dan Langkap serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
24 Mar 21
1240
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
Pengadil Perlawanan Terengganu Menentang Sabah Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pengadil Liga Super, Khirulazuan Kidam yang mengadili perlawanan Terengganu FC menentang Sabah FC baru-baru ini digantung tugas selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta. Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' S. Sivasundaram memaklumkan, pengadil terbabit didapati menunjukkan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu. “Tindakan ini berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut. “Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta. “Khirulazuan juga akan mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah merujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Khairulazuan akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan. Terdaahulu, mutu pengadilannya dikritik ramai selepas dia membatalkan jaringan pertama Jordan Mintah atas alasan penyerang import itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan. Dalam perlawanan itu, Terengganu FC tewas 1-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama sebelum Mintah meledak jaringan pertama TFC. Selepas perlawanan itu juga, TFC difahamkan telah menghantar bantahan rasmi kepada FAM. Berdasarkan rekod pada 2016, Khirulazuan pernah digantung tiga bulan oleh FAM kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara pasukan kelab T-Team (Terengganu) dengan FELDA United yang diakhiri dengan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
23 Mar 21
6830
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai. Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga. Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup. Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini. Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu. Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.   “Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada. “Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya. Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut. “Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga. “Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.
22 Mar 21
1835
Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global
Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global
Oleh: Rohayati Ripin   KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Para mahasiswa diingatkan agar berusaha memelihara dan menjaga warisan seni kebudayaan bangsa yang berteraskan agama Islam terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat serta komunikasi di zaman era global pada masa kini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apa yang dilakukan ini adalah sangat penting agar budaya, warisan dan seni dalam Islam mesti selari dengan zaman digital dan ia tidak hilang ditelan zaman. “Sama-sama kita beri kefahaman kepada masyarakat bahawa warisan kebudayaan dan seni itu sangat bernilai terutamanya dalam menonjolkan identiti bangsa dan agama kita. “Tak salah untuk bersaing dalam era globalisasi digital namun sejarah dan warisan budaya kita yang berteraskan islam jangan sesekali kita tinggalkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network SDN.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di UniSZA, semalam. Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor, dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman. Yahaya menambah, pelaksanaan Galeri Digital Sanggar Seni merupakan inisiatif yang baik kerana ia dapat mempamerkan kepelbagaian bentuk kesenian dan warisan yang wujud di negeri Terengganu serta bermanfaat sebagai rujukan untuk generasi akan datang. Menurutnya lagi, galeri digital berkenaan turut mempamerkan koleksi foto bidikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu koleksi hasil karya tradisional Terengganu yang mana baginda telah merakamkan peristiwa bersejarah pemerintahannya bagi mengekalkan tradisi. “Saya yakin sekiranya usaha-usaha seumpama ini dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain, kita akan dapat mengumpulkan satu warisan yang lebih kuat. “Kerana warisan budaya ini merupakan budaya dan kesenian yang sangat penting, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang,” ujarnya. Justeru itu, beliau berharap dengan pelancaran pusat itu semua pihak dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan ia bergerak semakin jauh ke hadapan dan dapat membina kekuatan dengan mengumpulkan segala maklumat serta apa sahaja kesenian, kebudayaan terutama mempunyai nilai teras kepada agama Islam. “Mudah-mudahan pusat kesenian di UniSZA ini akan menjadi institusi yang dibanggakan oleh semua pihak,” tambah Yahaya lagi.
22 Mar 21
171