Artikel "Utama" Terkini
'Terima Kasih Kerana Menegur'
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Kerajaan negeri Terengganu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang nasihat, teguran dan kritikan daripada semua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyifatkan, sesiapa sahaja berhak untuk membuat teguran dan nasihat dalam menambah baik kepimpinan kerajaan negeri.
"Di samping itu, kami juga bersedia untuk bersemuka dan bertemu untuk mendengar penjelasan tentang satu-satu teguran.
"Namun, kami juga mengharap sesiapa yang memberi teguran atau nasihat supaya menemui mana-mana pimpinan Kerajaan serta bersedia dan berlapang dada untuk mendengar pencerahan dan penerangan daripada kami," jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu, keterbukaan pihak kerajaan negeri juga perlu diraikan oleh masyarakat di mana mereka juga perlu terbuka dalam mendengar penjelasan terhadap sesuatu isu.
"Ini kerana, tidak semestinya orang yang memberi teguran sentiasa betul dan tidak semestinya orang yang ditegur memang benar-benar salah. Tidakkah Allah SWT menyebut dalam surah al-Asr : "Berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran," katanya.
31 Mar 21
2283
Rakyat Perolehi Maklumat Tepat Tidak Musuhi Agenda Kebaikan
Penyebaran maklumat tepat secara konsisten daripada kerajaan persekutuan dan negeri berupaya membawa kebaikan menyeluruh buat rakyat sekali gus menafikan permusuhan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.
30 Mar 21
41
Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
KUALA BERANG, 30 Mac- Transaksi aktiviti jual beli dalam talian melonjak ketara sehingga RM2.5 billion tahun lalu, berbanding RM1.7 billion pada 2019, selaras peralihan kepada trend perdagangan dalam talian kesan pandemik COVID-19.
Malah, jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan peningkatan sehingga 240,000 tahun lalu berbanding 40,000 setahun sebelum ini, menjadikan keseluruhan 489,958 perniagaan dalam talian yang mendaftar sehingga 2020.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melonjak ketara berbanding hanya 243,560 perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM sehingga 2019.
"Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sejak tahun lalu membuatkan peniaga dan pengguna beralih kepada aktiviti jual beli dalam talian.
"Ia satu perkembangan yang sangat baik dalam pada kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan terhadap digitalisasi dalam sektor peruncitan selaras hasrat kementerian," katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil, di sini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Selain itu Rosol berkata, rekod juga menunjukkan transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2019 kepada RM600 juta tahun lalu.
Mengulas mengenai kecenderungan baharu masyarakat pengguna itu, Rosol berkata, penawaran harga yang lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal merupakan antara faktor perniagaan dalam talian semakin mendapat tempat di hati pengguna.
Katanya ramai peniaga terutama daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal juga semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka.
Sementara itu mengulas mengenai Program Malaysia Prihatin, Rosol berkata, ia adalah platform untuk menjelaskan dan memberi maklumat tepat kepada masyarakat mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19.
"Di Terengganu, saya bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim akan menjelajah ke lapan kawasan Parlimen di Terengganu untuk bertemu masyarakat dan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai usaha kerajaan menangani COVID-19 kepada masyarakat, " katanya.
30 Mar 21
187
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November.
“Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan.
“Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri.
“Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak.
Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan.
Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring.
“Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.
30 Mar 21
905
238 RMM Bakal Dibina Di Bukit Gasing
MARANG, 30 Mac - Sebanyak 238 Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di atas tanah seluas 7.36 hektar di Kampung Bukit Gasing di sini dalam masa terdekat.
Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, PBH Trading & Contraction Sdn. Bhd merupakan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek dengan harga kontrak RM34 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Katanya, RMM Bukit Gasing II merupakan projek perintis kerajaan negeri yang menawarkan dua kategori rumah teres iaitu RMM jenis A sebanyak 173 unit dan RMM jenis B melibatkan 65 unit.
“Rumah jenis A berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air mendapat pembiayaan sewa beli daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan dijual dengan harga RM80,000 untuk golongan B40 yang berpendapatan isi rumah RM3,500 ke bawah.
“Manakala RMM jenis B yang yang berkeluasan bersih 900 kaki persegi akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Terengganu berpendapatan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah sehingga RM 7,000 untuk memiliki rumah sendiri pada kadar harga jualan ditetapkan RM185,000 melalui bank komersial,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, hari ini.
Katanya, projek pembangunan perumahan mampu milik di Bukit Gasing ini juga akan dibina berdasarkan ciri-ciri dan spesifikasi untuk konsep perumahan patuh syariah yang dinamakan sebagai Rumah Darul Iman (RAHMAN).
30 Mar 21
1477
Pasar Baharu Gong Parit Beroperasi 1 April
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Pasar baharu di Kampung Gong Parit akan beroperasi bermula 1 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pasar baharu itu bakal memuatkan 57 tapak perniagaan berbanding 19 tapak di pasar sedia ada.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat khususnya para peniaga untuk terus berdikari dalam menjana pendapatan.
“Saya berharap dengan pembinaan tapak baharu yang lebih selesa ini akan dapat memajukan lagi perniagaan semua yang berniaga di sini,” katanya dalam ucapan perasmian majlis perasmian tapak itu di lokasi berkenaan, baru-baru ini.
Jelasnya, pembukaan pasar baharu tersebut memastikan keselesaan peniaga serta pembeli terjaga selain menggantikan tapak lama yang lebih kecil bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk berniaga.
"Konsep yang sebenar dalam memberikan kebajikan kepada rakyat ialah dengan memberikan kail dan bukannya memberikan ikan.
“Sekiranya kita berikan ikan kepada rakyat, ikan tersebut akan habis dimakan, namun sekiranya kita memberikan kail, maka rakyat akan berdikari dalam mendapatkan mata pencarian," katanya.
Tapak pasar lama yang sempit dan mengancam keselamatan pengguna
29 Mar 21
2483
Satiful Lega Peserta Terkilan RTB Di Paka Terima Geran
DUNGUN, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat menarik nafas lega melihat 81 peserta tanah terkilan di kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan menerima geran tanah masing-masing, baru-baru ini.
“Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera.
"Mereka ini sudah menunggu sekian lama dan telah keluarkan banyak duit sepanjang proses mengusahakannya, sekarang baru mereka dapat geran. Jadi, saya pun selesa dengan keputusan ini.
"Walaupun kerajaan negeri tidak dapat memberikan semula semua kerugian yang dialami pada 20 tahun lalu, namun para peserta dapat semula tanah mereka dan premium yang mereka perlu bayar dikekalkan pada kadar lama iaitu sekitar RM1,100 bagi satu lot, ini merupakan bantuan secara tidak langsung daripada kerajaan atas kesabaran mereka menunggu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah bagi DUN Paka di Dewan Sivik Paka.
Jelas Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, penyerahan geran tanah itu melibatkan 41 orang peserta dari RTB Terkilan Cherong Melintang dan 40 peserta dari RTB Terkilan Beril yang telah menjadi isu panas sejak 20 tahun lalu.
“Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta.
“Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999-2004, maka proses tidak begitu panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan agar peserta yang telah menerima geran dapat bekerjasama membersih kawasan, melaksanakan ukur batu lot dan sebagainya.
“Kita tidak mahu orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali. Sebab itu, kita sarankan agar mereka menubuhkan jawatankuasa pelaksana dan berpakat sesama mereka bagi mengurangkan kos dalam mengusahakan tanah masing-masing,” tambahnya lagi.
29 Mar 21
1080
ADUN Batu Buruk Ziarah Ahmad Izz
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isterinya, Dr Farhaana Husainy Hasbullah hadir menziarahi kanak-kanak berusia 4 tahun, Ahmad Izz Danish Abdul Muhaimin yang menderita kanser saraf tahap empat dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.
Pertemuan dengan kanak-kanak berkenaan dan ibunya Noraisah Abdul Aziz, 36, sekadar bertanya khabar di samping menghulurkan sumbangan dari pihaknya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan permohonan bantuan daripada Tabung Darul Iman bagi adik Ahmad Izz telah diluluskan.
“Kita harap semoga bantuan ini dapat menampung kos rawatannya serta kos perbelanjaan harian Puan Noraisah dan keluarga," katanya.
Menurut ibunya, penyakit kanser tersebut disedarinya setelah di'diagnose' oleh doktor pada November 2020 yang lalu.
"Ahmad Izz Danish kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi di HSNZ setelah menjalani pembedahan membuang ibu kanser yang berada di belakang perutnya," jelas Noraisah yang turut memaklumkan, anaknya itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan pemindahan sumsum tulang, pada Mei nanti.
Noraisah merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai, kini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya sepenuh masa di hospital.
29 Mar 21
737
Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS sempena program PETRONAS Back To School 2021 semalam.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, penerusan program yang dilancarkan sejak tahun 2003 itu menunjukkan pihaknya terus komited membantu golongan miskin dalam bidang pendidikan di negeri ini.
"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sejumlah sumbangan diagihkan kepada 250 murid terpilih di daerah Kuala Terengganu, 250 di Besut, 220 di Dungun, 220 di Hulu Terengganu, 213 di Kemaman, 185 di Setiu, 132 di Marang dan 130 murid di Kuala Nerus.
“Seiring dengan perkembangan pandemik semasa, kami juga turut menerapkan kepentingan penjagaan kebersihan diri. Kami berharap agar ianya dapat membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan pelajar sekolah," tambah Che Ahmad Tarmizi.
Dalam majlis tersebut, sumbangan simbolik diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Shariff Abdul Latif di pejabat JPNT.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Mengulas lanjut, Che Ahmad Tarmizi memaklumkan, PETRONAS juga sentiasa berusaha memupuk minat pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Sehubungan itu, setiap murid penerima turut dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan," jelasnya.
Bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Kemaman, Amal Dayana Ahmad Sufian, 12, dia berterima kasih tas sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS tersebut.
"Sumbangan yang diterima saya membantu meringankan beban bapanya yang merupakan seorang pesara," ujarnya.
Dayana ialah salah seorang daripada 21,000 penerima bantuan PETRONAS Back To School 2021 yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS di lima belas negeri seluruh negara.
Setiap murid tersebut menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah, sebuah topi, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis dan buku nota.
Setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas.
29 Mar 21
1281
12 Penyelidik Terima Geran Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Seramai 12 kumpulan penyelidik dari tujuh Universiti Awam (UA) di negara ini terpilih untuk menerima Geran Penyelidikan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 2021 dalam majlis yang diadakan pada hari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Mohd Nor Hamzah berkata, Kerajaan Terengganu menyediakan dana berjumlah RM274,100 bertujuan untuk penghasilan penyelidikan dan pembangunan dasar awam yang strategik dan berimpak tinggi.
Mohd Nor Hamzah.
“Tahniah kepada 12 kumpulan penyelidik yang terpilih. Mewakili kerajaan negeri, saya berterima kasih kepada penyelidik dan universiti yang terlibat dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kemajuan negeri ini.
“Saya juga mengharapkan agar usaha murni daripada penyelidikan ini akan dapat diperkembangkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, dalam kekangan kewangan yang ada, kita berusaha semaksima mungkin memanfaatkan dana yang diperuntukkan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan TSIS 2021 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman, Ahli Lembaga Pengarah TSIS, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan wakil-wakil daripada 12 kumpulan penyelidik.
Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, harapannya adalah agar penyelidikan dan penghasilan yang dibuat dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya.
“Kita akan menilai kertas-kertas cadangan lain yang dihantar mengikut keutamaan kerajaan negeri dari masa ke masa. Ia demi memastikan kesejahteraan rakyat dan visi negeri "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera" benar-benar direalisasikan.
“Di samping semua perhatian tertumpu kepada membantu pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan moto Terengganu Maju, Berkat Sejahtera,” jelasnya.
Tambah beliau, penyelidikan jangka pendek dalam tempoh enam bulan ini akan bermula seawal April dan berakhir selewat-lewatnya pada November nanti.
Laporan akhir bagi kajian-kajian ini akan diserahkan berserta dengan cadangan dasar (policy recommendation) kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Saya harap pelaksanaan semua kajian ini berjalan lancar dalam tempoh yang ditetapkan dan berjaya mencapai objektifnya,” ujarnya.
28 Mar 21
2018