Artikel "Utama" Terkini
COVID-19 : Kluster Raya Terbesar Badai Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Daerah Hulu Terengganu kini berisiko tinggi dalam penularan COVID-19 jika penduduk di kawasan itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah yang sebelum ini berstatus hijau bertukar ke status merah dalam sekelip mata angkara kluster raya yang telah membuahkan hasilnya.
Katanya, sehingga kini terdapat 124 kes Covid-19 aktif daripada lima kluster di daerah berkenaan berpunca daripada pelanggaran SOP dengan melakukan ziarah raya.
"Gara gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya maka mereka rentas negeri masa raya dan ziarah raya..Hulu Terengganu tidak boleh lagi dianggap daerah selamat.
" Akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan PKPD bagi membendung penularan yang besar.
" Sekarang bukan mukim Kuala Berang saja yang ada kluster. mukim Hulu Telemong dan mukim Tanggol juga sudah dilanda badai Covid-19. Jika perlanggaran SOP berterusan maka bersedialah rakyat Hulu Terengganu menghadapi kluster yang lebih besar,"katanya menerusi hantaran di laman facebooknya pada Sabtu.
Tambah Nor Azimi, terdapat kes indeks dari Johor yang pulang beraya dan berlaku ziarah raya antara ahli keluarga terdekat.
"Akhirnya seramai 24 orang disahkan positif dan merebak ke pasar pula di mana empat pekerja am di pasar itu telah disahkan positif.
"Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ. Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar," ujarnya lagi.
Tambahnya, ia termasuk dengan kluster di sebuah taman perumahan yang pulang beraya di Bentong dan balik beraya pula dengan jiran jiran.
" Akhirnya enam disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang," ujar beliau.
Selain itu katanya, kluster di mukim Hulu Telemong berpunca daripada sejarah balik beraya dari Melaka yang sudah kembali semula ke negeri terbabit.
"Kes tersebut balik dalam keadaan bergejala dan telah menular ke sebuah pejabat. Akhirnya 10 pekerja pejabat disahkan positif dan kontak rapat sedang dikesan,"katanya.
Jelas beliau lagi, walaupun nasihat telah diberikan supaya menangguh rentas negeri, majlis raya atau ziarah raya namun gagal dipatuhi menyebabkan musibah melanda.
"Sekarang musibah telah berlaku angkara tangan sendiri bukan tangan orang lain dan tak perlu tuding jari kepada sesiapa kerana kita yang salah.
"Jangan sampai katil wad kecemasan (ICU) di Terengganu sudah tidak berbaki kerana impak Kluster Raya sedang aktif maka kes dijangka terus meningkat," tambahnya.
29 May 21
1792
Lockdown Terengganu, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera RM420,000
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown', kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan bersasar di Mukim Kuala Berang dan Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM420,000 akan disalur bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan penguatkuasaan PKPD.
"Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan bantuan bersasar buat 15 mukim di daerah Besut yang turut dikenakan PKPD sebanyak RM400,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh masyarakat Terengganu untuk kekal bertenang dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' yang akan bermula pada 1 hingga 14 Jun.
Beliau menasihati rakyat supaya berganding bahu dan bersatu dalam memutuskan rantaian COVID-19.
"Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa," jelasnya.
Untuk rekod, keputusan 'lockdown' diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes dalam negara.
29 May 21
4028
PKPD : KPDNHEP Jamin Barang Keperluan Utama Mencukupi
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan barang keperluan untuk penduduk Mukim Kuala Berang yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) cukup untuk menampung apa yang mereka perlukan dalam tempoh pelaksanaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya telah membuat pemantauan malah KPDNHEP negeri sudah mengeluarkan kelulusan kepada Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan barangan kawalan.
"Sebanyak 20 DDR dan satu DDW di daerah Hulu Terengganu termasuk di kawasan Mukim Kuala Berang yang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok dibenarkan membuat simpanan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu ketika dihubungi, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Rosol berkata KPDNHEP juga membenarkan semua pasaraya di kawasan beroperasi bermula daripada jam 8 pagi hingga 8 malam.
Justeru itu katanya, dakwaan yang tular di media sosial bahawa semua pasar raya di kawasan PKPD hanya dibenarkan beroperasi separuh hari adalah palsu.
Jelasnya, berita palsu yang viral sejak semalam telah menyebabkan berlakunya pembelian barangan keperluan utama secara panik dikalangan penduduk yang terlibat dengan pelaksanaan tersebut
"Kita sudah membuat semakan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka menafikan mengeluar notis tempoh operasi pasaraya hanya sehingga jam 2 petang.
"Walaupun kerajaan mengumumkan PKPD di Mukim Kuala Berang berkuat kuasa esok, tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar membeli belah barangan keperluan utama termasuk di pasaraya," ujarnya.
Terdahulu dalam satu tinjauan, pengunjung di pasaraya di Bandar Kuala Berang sanggup beratur panjang dan didapati membeli pelbagai barangan secara panik susulan dakwaan pasaraya hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 petang.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Kuala Berang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan susulan berlaku peningkatan kes COVID-19 amat ketara dalam masa yang singkat.
28 May 21
392
COVID-19 : Penggunaan Katil Hospital Terengganu Hampiri Maksimum
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Terengganu dilaporkan antara beberapa negeri dengan kadar penggunaan katil hospital kerajaan bagi rawatan COVID-19 yang telah mencapai penggunaan maksimum.
Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sehingga hari ini peratusan penggunaan katil semasa berbanding kapasiti sebenar di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dalam negeri kini mencecah 76 peratus.
Jelasnya, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kuala Terengganu mempunyai kapasiti 162 katil dengan 88 daripadanya dipenuhi, diikuti Kem Wawasan di besut dengan 132 buah katil dipenuhi daripada jumlahnya iaitu 200 buah katil.
“Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering 999 buah katil diisi pesakit daripada 1,128 katil dan PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, dengan 150 katil dipenuhi daripada jumlah 305 katil,” katanya menerusi laman rasmi twitter NADMA.
Kerisauan tersebut turut dibangkitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyenaraikan Terengganu bersama negeri lain seperti Johor, Kelantan, dan Sarawak yang katilnya mencapai had maksimum
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan kaedah ‘repurpose’ serta mempertingkat kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti bagi memastikan jumlah katil untuk rawatan kes COVID-19 mencukupi,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam.
Terbaharu, PKRC kelima telah dibuka semalam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus yang menempatkan sebanyak 484 katil bagi menampung peningkatan pesakit virus.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, melihat trend peningkatan kes dalam negeri berkemungkinan memberi petanda katil PKRC sedia ada masih tidak mencukupi.
“Oleh itu, saya pohon semua rakyat Terengganu kekalkan kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita bukan menjadi salah seorang penghuni katil di PKRC itu,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.
28 May 21
1292
17 Ribu Penduduk Terlibat PKPD Mukim Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Hampir 17 ribu penduduk Mukim Kuala Berang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula 29 Mei hingga 11 Jun sebagaimana pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ia melibatkan 3,500 buah rumah meliputi kawsan seluas 7,000 hektar persegi.
Katanya, pihak polis akan mengadakan sekatan-sekatan dan aktiviti pemantauan di kawasan PKPD bagi memastikan semua keluarga dan penduduk terlibat di kesemua 23 lokaliti mematuhi SOP yang ditetapkan.
Justeru itu, seramai 80 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah mengaturkan perancangan untuk melaksanakan sekatan-sekatan jalan raya (SJR) di laluan-laluan utama, jalan kampung dan jalan tikus.
" Bagi jalan utama yang merupakan laluan utama keluar masuk ke mukim Kuala Berang, kita laksanakan lima SJR secara 24 jam.
"Ini termasuk empat jalan kampung dan jalan tikus yang telah dikenalpasti untuk kita adakan sekatan secara kekal," ujarnya ketika membuat tinjauan pemasangan SJR di Bandar Kuala Berang, hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Adli berkata sekiranya ada penduduk luar mukim yang ingin memasuki ke kawasan PKPD atas urusan 'essential' seperti kesihatan, farmasi dan lain-lain, mereka perlu mendaftar di sekatan SJR laluan pintu masuk yang berkaitan.
"Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menulis nama, nombor kad pengenalan dan tujuan ke mana.
"Semasa hendak keluar, kena kemukakan bukti contohnya My Sejahtera jika ke bank, farmasi dan resit-resit pembelian yang berkaitan dengan aktiviti yang telah dilakukan," jelas beliau.
Tambahnya lagi, jika mereka gagal menunjukkan bukti, ia bermakna telah berlaku penipuan dan telah melanggar syarat PKPD.
"Maka tindakan saman atau kompaun akan diambil terhadap mereka yang lakukan kesalahan tersebut," ujarnya.
28 May 21
1378
PKPD Di Mukim Kuala Berang 29 Mei Hingga 11 Jun
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Mukim Kuala Berang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 29 Mei hingga 11 Jun ini susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 amat ketara dalam masa yang singkat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi kes Covid-19 di kawasan berkenaan.
Katanya dalam satu kenyataan, keputusan ini diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya lagi, pelaksanaan PKPD untuk menyekat pergerakan dan jangkitan COVID- 19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.
Sehingga hari ini KKM melaporkan sebanyak 37 kes positif telah direkodkan hasil daripada 213 ujian saringan dengan kadar positiviti 17.4 peratus.
Pada masa sama, telah berlaku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
27 May 21
1961
COVID -19 : Pasar Besar Kuala Berang Ditutup 7 Hari
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Pasar Besar Kuala Berang ditutup sementara selama 7 hari bermula tengahari hari ini hingga 2 Jun depan.
Penutupan pasar utama di daerah ini tersebut diarahkan Jabatan Kesihatan Terengganu mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ia susulan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas beberapa pekerja am di premis itu dilaporkan telah dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Pejabat RELA Hulu Terengganu yang berda di dalam Pasar Besar berkenaan juga diarahkan tutup sementara mulai 27 Mei hingga 3 Jun.
Sehubungan dengan itu semua pegawai dan kakitangan Pejabat RELA akan Bekerja Dirumah( BDR) selama tempoh tersebut dan sebarang urusan boleh berhubung melalui telefon peribadi masing-masing.
27 May 21
1124
Polis Nafi Laksana PKPD Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Roslee Chik tampil membetulkan fakta radio yang tular berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pagi tadi.
Jelasnya, audio yang mengesahkan bandar raya Kuala Terengganu akan dikenakan PKPD sebenarnya tidak betul.
"Setakat ini, belum ada lagi perintah PKPD diputuskan. Apa yang berlaku ialah kita hendak mengurangkan jumlah kenderaan masuk ke bandar yang masih banyak, disebabkan itu banyak sekatan jalan raya yang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Beliau turut menambah, larangan keluar selepas jam lapan malam perlu difahami dengan jelas oleh rakyat.
"Sebenarnya, larangan tersebut adalah bagi sebarang bentuk perniagaan kecuali farmasi dan stesen minyak di laluan utama.
"Tiada sekatan untuk keluar selepas jam lapan malam dan ke atas, tetapi kita galakkan masyarakat duduk di rumah sekiranya tiada apa-apa keperluan bagi mengelakkan penularan pandemik ini semakin parah," katanya.
27 May 21
4155
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Oleh: Faizal Ghani Al Medaniey
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Masyarakat digesa untuk sama-sama berganding bahu membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merayu agar rakyat negeri ini dapat mengikuti kempen yang disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
"Saya menyeru dan merayu agar kita semua rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk di dalam kawasan DUN Batu Buruk agar melakukan "Lockdown Diri Sendiri" sebagaimana pesanan dari JKNT bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri kita," katanya dalam satu status Facebook miliknya, semalam.
Tambahnya lagi, melihat keadaan kes harian yang makin meningkat, amat wajar pada waktu ini rakyat menyahut seruan JKNT untuk menyekat penularan virus tersebut.
Beliau juga mengingatkan bahawa ini bukan masa untuk masyarakat bertelingkah sebaliknya semua pihak perlu bersatu bagi menghadapi musuh COVID-19.
"Bukan masanya kita menuding jari dan berbalah menuduh kepada sesiapa sebaliknya kita tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, perlu bersatu memerangi musuh yang tidak kelihatan ini," jelasnya.
27 May 21
194
Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ kelihatan di sekitar bandar persisir pantai Kuala Terengganu bermula pada 4.47 petang tadi dan berakhir malam ini.
Menurut laman rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu mempunyai nama unik berdasarkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh.
Katanya, fenomena gerhana itu akan berlaku selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee) dengan jarak 357,309 km.
“Sekitar jam 7.19 malam kemuncak gerhana maksimum boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur,” jelasnya.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di kawasan Drawbridge mendapati peristiwa astrologi yang terakhir berlaku pada tahun 2018 itu kelihatan terang walaupun dikaburi dengan cuaca mendung.
Fenomena Bulan Berdarah di langit Drawbridge Kuala Terengganu
Berdasarkan kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), masyarakat diseru melakukan solat sunat gerhana bulan antara pukul 7.13 malam sehingga 8.52 malam bagi memenuhi tuntutan sunat muakkadah.
Selain solat sunat, antara sunnah ketika fenomena gerhana termasuk beristighfar memohon keampunan Allah, takbir, tasbih, tahmid, sedekah dan memperbanyakkan amalan sunat.
26 May 21
897