lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi. “Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan. “Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin. Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah. “Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu. “Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya. Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.
01 Jun 21
258
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Anak kelahiran Terengganu, Wan Arif Wan Junaidi berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia selepas menjuarai acara beregu lelaki kejohanan Badminton Terbuka Austria, Ahad lalu. Wan Arif yang bergandingan dengan atket Kelantan, Mohd Haikal Nazri berjaya membuat kejutan apabila pengalahkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee dan Ronan Labar secara ‘straight set’ 21-17, 21-15 pada aksi final. Menurut Wan Arif yang berasal dari Kemaman berkata, kemenangan tersebut diraih hasil perbincangan dan penambahbaikan bersama pasangan regunya selepas kekalahan semasa perlawanan suku akhir di Slovenia. “Kita akan cuba buktikan kebolehan kami dan menunjukkan prestasi terbaik di Austria dan Alhamdullilah hasilnya kami berjaya,” katanya yang juga daripada Akademi Badminton Malaysia menerusi panggilan video. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan kejayaan Wan Arif sebagai tanda potensi badminton sebagai sukan teras dikuasai Terengganu seperti basikal, hoki dan lain-lain lagi. “Sebelumnya, pencapaian tertinggi negeri dalam sukan ini adalah semasa acara SUKMA 2018 Perak dengan atlet Terengganu meraih pingat gangsa. “Kita juga berhasrat untuk kuasai bidang permainan ini dan sedang giat merangka pelan bagi memperkasakan penguasaan dan memasukinya dalam senarai sukan teras di negeri,” katanya menerusi panggilan video bersama Wan Arif, baru-baru ini. Wan Sukairi turut mengucapkan tahniah ke atas pasangan beregu tersebut dalam menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu. “Tahniah juga saya ucapkan juga buat ibubapa saudara Wan Arif, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Akademi Badminton Malaysia dan para jurulatih yang telah berjaya melahirkan seorang atlet yang mempunyai pencapaian sebegini,” katanya lagi.
01 Jun 21
2470
Pemandu Bas, Teksi Dan Kereta Sewa Terima 'One-Off' RM500
Pemandu Bas, Teksi Dan Kereta Sewa Terima 'One-Off' RM500
PUTRAJAYA, 31 Mei - Kerajaan memperuntukan RM67 juta untuk bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif itu akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai. "Bantuan ini akan disalurkan kepada penerima berdaftar yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan Julai," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) hari ini. Sementara itu, beliau berkata Geran Khas Prihatin (GKP) akan ditambah kepada RM1,500. "Ini bermakna, hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai ini," ujarnya.
31 May 21
734
Moratorium Untuk Pengusaha Bas, Teksi
Moratorium Untuk Pengusaha Bas, Teksi
PUTRAJAYA, 31 Mei - Kerajaan pusat akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion selewat-lewatnyanya minggu ini melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui skim itu pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan. Katanya, kerajaan menyarankan agar agensi dan syarikat menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.  "Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021. "Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.  "Manakala usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai  2021," ujarnya. Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini. Sementara itu, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan. Jelas Muhyiddin, kerajaan akan menanggung kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan yang memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan. "Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021.  "Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran," tambah beliau.  
31 May 21
177
Penerima BPR Dapat Bayaran Tunai Tambahan
Penerima BPR Dapat Bayaran Tunai Tambahan
PUTRAJAYA, 31 Mei - Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan mendapat bantuan tunai tambahan selepas kerajaan pusat memperuntukkan RM 2.1 bilion untuk inisiatif itu dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan yang paling terkesan susulan penguatkuasaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang bermula esok sehingga 14 Jun. Katanya, bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima RM300.  "Golongan bujang pula akan menerima RM100. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. "Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion," ujarnya. Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini. Tambahnya lagi, beliau juga  mendengar permintaan rakyat supaya Kerajaan menimbang semula pemberian moratorium. Justeru itu katanya, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.  "Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan. "Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan," tambah beliau. Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
31 May 21
1153
11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam
11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sepanjang lima hari pelaksanaan operasi had dua jam (Op Had 2J) seramai 11,975 individu di 1,257 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara.  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, operasi berkenaan bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan. Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah baik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada 25 Mei lalu. Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Op Had 2J kini ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan 'total lockdown' (yang bermula esok) bagi mengelakkan situasi pembelian panik di kalangan orang awam. “Kita sangat gembira dengan pematuhan orang ramai terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkaitan had masa dua jam di sesebuah premis seperti pusat beli-belah dan pasar raya. “Ini menunjukkan masyarakat sebenarnya memahami dan mendengar kata mengenai usaha kerajaan melawan penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini, hari ini. Sementara itu Rosol berkata, seramai 160 peruncit dan pemborong terpilih di negeri ini diberikan kebenaran menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown'. Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan. “Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa, jadi bekalan barangan mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.
31 May 21
1047
‘Lockdown’ : Hanya Dua Orang Dibenar Dalam Satu Kenderaan
‘Lockdown’ : Hanya Dua Orang Dibenar Dalam Satu Kenderaan
PUTRAJAYA, 30 Mei – Kerajaan hanya membenarkan dua orang dalam satu kenderaan bagi tujuan mendapatkan keperluan asas dan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula Selasa ini. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, bagi tujuan perubatan dan kesihatan pihaknya memberi kelonggaran sebanyak tiga orang termasuk pesakit dalam satu-satu masa.  “Pergerakan yang dibenarkan adalah dalam radius 10 kilometer dari kediaman, namun jika perkhidmatan perubatan dan kesihatan tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenar ke kawasan lain tetapi mesti paling hampir dengan tempat tinggal,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh hari ini. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, taman asuhan kanak-kanak (Taska) turut diberikan kebenaran beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja. “Begitu juga dengan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, hanya dibenarkan untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja,” katanya. Jelas Ismail Sabri, turut dibenarkan ialah aktiviti solat di surau dan masjid yang terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan. “Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan,” katanya. Tambah beliau lagi, semua premis makanan, termasuk gerai dibenarkan beroperasi tetapi hanya untuk pembungkusan dan penghantaran seperti yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) sejak 12 Mei lalu.
30 May 21
870
'Lockdown' : Pasar Raya Ditutup Kecuali Premis Jual Keperluan Asas
'Lockdown' : Pasar Raya Ditutup Kecuali Premis Jual Keperluan Asas
PUTRAJAYA, 30 Mei - Kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya jualan makanan dan  keperluan asas sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, bermula Selasa depan. Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan premis yang dibenarkan melibatkan bahagian makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart' dan restoran untuk bawa pulang serta penghantaran ke rumah. Katanya, pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart', kedai runcit dan 'departmental store' boleh dibuka dengan terhad kepada seksyen makanan, minuman serta keperluan asas saja. "Antara sektor lain yang dibenarkan beroperasi adalah restoran, gerai makan, kedai dobi, kedai cermin mata termasuk aktiviti e-dagang membabitkan semua kategori produk, serta pemborongan dan pengedaran untuk semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja. "Semua sektor perniagaan itu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika memperincikan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan, hari ini. Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan.             
30 May 21
456
PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu
PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di daerah dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Jun. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya juga melaksanakan 10 sekatan di beberapa laluan alternatif melibatkan sempadan daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu. “Dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), sekatan penghadang plastik dan batu dikenakan di laluan tersebut," katanya kepada pemberita selepas memantau SJR di Jambatan Sultan Mahmud, hari ini. Beliau turut memberi amaran keras kepada sesiapa yang bertindak mengalih atau mengubah penghalang yang diletakkan di jalan-jalan berkenaan. “Pihak PDRM tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas jika penduduk di sekitar SJR berbuat kesalahan sedemikian," katanya lagi. Abdul Rahim turut mengingatkan masyarakat khususnya di kawasan PKPD di 21 mukim Kuala Terengganu supaya duduk di rumah dan hanya keluar atas urusan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. “Sekiranya ingin membeli barangan keperluan, hanya seorang wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar membeli kemudian terus pulang ke rumah,” jelasnya.  
30 May 21
2706
'Jangan Buat Pembelian Panik' - Exco Terengganu
'Jangan Buat Pembelian Panik' - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Susulan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, barangan harian masih boleh dibeli di kedai runcit terpilih dan pasar raya semasa 'lockdown' dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu. "Sehubungan dengan penularan gambar orang ramai berpusu-pusu membeli barangan di beberapa pasar raya besar di sekitar Kuala Terengganu, saya nasihat elaklah pembelian panik kerana kuantiti barang keperluan harian tetap boleh dibeli dan mencukupi. “Jika berlaku, ia akan menimbulkan keadaan yang sesak dan kerisauan terhadap kemungkinan penyebaran wabak COVID-19 adalah tinggi, terutamanya pada masa kini. “Oleh itu, kurangkan bersesak-sesak dan patuhi (SOP) kerana situasi stok barangan masih terkawal,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim turut menyuarakan peringatan sama. "Ini adalah bahaya kepada diri sendiri, orang ramai bila terlalu ramai berada berdekatan antara satu sama lain dengan kemungkinan penularan virus boleh berlaku. "Saya mohon supaya rancang dengan baik keperluan kita. Pilih kedai yang tak terlalu sesak serta hindar daripada membeli pada kuantiti berlebihan," katanya menerusi laman rasminya di Facebook, hari ini. Hari ini tular gambar orang ramai bersesak-sesak di beberapa pasar raya di negeri ini.
29 May 21
698