lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

OP PATUH Secara Besar-Besaran Bermula Khamis
OP PATUH Secara Besar-Besaran Bermula Khamis
OP PATUH yang berlangsung sejak Jumaat lalu akan dilaksanakan secara besar-besaran (Nationwide Crackdown), bermula minggu ini.  
01 Jul 21
273
Menara Telekomunikasi Baharu Selesai Masalah Capaian Internet Rakyat
Menara Telekomunikasi Baharu Selesai Masalah Capaian Internet Rakyat
Oleh : Mawaddah Mohd HULU TERENGGANU, 1 Julai – Menara telekomunikasi baharu di Kawasan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) telah siap dibina dan telah mendapat maklum balas positif daripada penduduk sekitar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata ia merupakan penyelesaian terhadap rangkaian telekomunikasi yang perlahan di kawasan penduduk yang semakin padat. "Rentetan daripada itu, usaha membina menara telekomunikasi telah dijalankan dengan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Hulu Terengganu,"ujarnya ketika ditemui di tapak menara telekomunikasi, semalam. Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Terengganu, Mohd Fairus Muhammad. Sementara itu, rata-rata penghuni kawasan tersebut meluahkan rasa bersyukur atas inisiatif yang telah dijalankan oleh SKMM dalam menangani masalah tersebut. Salah seorang penduduk yang ditemui, Nuri Haiza A Razak, 40, berkata, penggunaan internet bertambah lancar dengan adanya pencawang telekomukasi baharu di kawasan itu. “Sebelum ini talian internet rumah saya tidak memuaskan, nak buka gambar pun ambil masa yang lama. "Alhamdulillah dengan kerjasama daripada pihak SKMM, penduduk dapat menggunakan internet tanpa gangguan,” tambahnya.  
01 Jul 21
658
Halo Delivery Sedia Khidmat Penghantaran Mudah Dan Pantas
Halo Delivery Sedia Khidmat Penghantaran Mudah Dan Pantas
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Halo Delivery yang menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih mudah dan pantas, kini boleh diakses oleh semua orang di daerah ini. Menerusi Applikasi Halo Delivery, perkhidmatan penghantaran amat mudah kerana harga yang ditawarkan merangkumi segala yang diperlukan, termasuklah pengambilan, pengangkutan dan penghantaran. Pengurusnya, Firdaus Adinan berkata, Halo Delivery adalah sebuah syarikat bumiputera yang memberikan perkhidmatan penghantaran dalam daerah Hulu Terengganu, berteraskan kualiti perkhidmatan yang sistematik dan cepat. Katanya, servis penghantaran yang ada dalam aplikasi Halo Delivery merangkumi penghantaran makanan panas, produk sejuk beku, farmasi, penghantaran barang runcit, pengambilan barangan dan penghantaran barangan sekitar Hulu Terengganu. "Bermula hari ini, kami telah melancarkan perkhidmatan ini ke tempat sasaran dalam daerah ini. "Pada peringkat permulaan, servis penghantaran bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 7.00 petang,"ujarnya.   Tambahnya lagi, selain membantu membuka peluang pekerjaan, dia juga mahu membantu para peniaga melariskan jualan mereka, khususnya peniaga yang terkesan dengan pandemik. "Peluang pekerjaan sebegini sangat menguntungkan khususnya untuk golongan belia di Hulu Terengganu ini. “Bermula pada beberapa hari yang lalu dalam Group Facebook Kuala Berang, saya telah menawarkan peluang pekerjaan kepada yang berminat untuk menjadi rider Halo Delivery, dan membuka peluang kepada peniaga makanan, runcit, farmasi dan sebagainya untuk bersama dengan Halo Delivery," katanya. Menurut Firdaus, tanpa mengira jumlah penghantaran, peniaga akan menikmati kemudahan yang ada dan perkhidmatan penghantaran yang lancar. "Masyarakat masa kini kebanyakkan menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk memudahkan urusan mereka dengan membuat pelbagai citarasa pilihan dalam aplikasi sebegini. “Permulaan ini, kekuatan rider bermotosikal seramai lima orang dan satu rider berkereta memulakan perkhidmatan penghantaran. insyaAllah kekuatan rider akan bertambah dari masa ke semasa,"jelasnya.
01 Jul 21
2958
COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin
COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin memberangsangkan dengan 61 peratus populasi telah didaftar berdasarkan statistik perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Menurut maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sejumlah 494,627 pendaftaran telah diterima sehingga 29 Jun, baru-baru ini. “Manakala jumlah vaksinasi dos pertama dalam negeri ini mencatatkan 12 peratus daripada jumlah populasi atau seramai 151,650 orang penerima dengan 21 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri,” kata JKJAV menerusi laman web rasminya. Sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melaporkan individu lengkap dua dos dalam negeri masih di bawah 10 peratus (sehingga 28 Jun) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jelasnya, oleh sebab itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria tersebut. Sementara itu, situasi terkini Covid-19 dalam negeri sehingga semalam terus merekodkan kes baharu positif di bawah tiga angka dengan yang terkini sebanyak 20 kes sahaja, dengan daerah Dungun menunjukkan jumlah baharu tertinggi (10 kes). “Ia melibatkan 15 kes daripada penularan tempatan manakala 5 kes lagi dikategorikan sebagai import, tiada kluster baharu juga dilaporkan,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Facebook rasminya.
30 Jun 21
496
8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela
8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Lapan penutupan jalan dan satu sekatan jalan raya dikenakan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir bermula hari ini sehingga 14 Julai. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, satu-satunya SJR dilaksanakan terletak di Jalan Kelantan (Hadapan Klinik Kesihatan Manir). “Sementara itu, antara lokasi jalan ditutup di Lorong 1 dan 2 ke Kampung Banggol Donas, Lampu Isyarat Kubang Jela ke Batu 6 dan Lampu Isyarat Batu 6 ke Kubang Jela. “Laluan lain termasuk Jalan Sekolah ke Teluk Pasu, Lorong Tali Air ke Teluk Pasu, Sempadan Jalan ke Taman Teluk Pasu dan Lorong Sentosa (Bengkel Kenderaan Mazlin),” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam. Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu akan menempatkan pusat kawalan di hadapan Klinik Kesihatan Lama Manir bagi memudahkan penduduk kawasan PKPD untuk mendapatkan kebenaran keluar atas sebab yang dibenarkan. “Ini termasuk untuk mendapatkan bantuan hal-hal kecemasan semasa tempoh itu dilaksanakan. “Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk kawasan. “Penduduk di sini juga dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebarang cubaan atau tindakan untuk mengalih / mengubah / melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya. Abdul Rahim turut menyarankan penduduk di kawasan Kampung Kubang Jambu, Manir agar menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Baloh dan Jalan Belakang Klinik Kesihatan Baru Manir. “Sebarang pertanyaan atau aduan boleh berhubung dengan pusat kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala terengganu di talian 09-6322377," katanya.
30 Jun 21
3489
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - ‘Food Bank’ masjid merupakan salah satu inisiatif untuk membantu rakyat yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Setiausaha Masjid Kg. Gong Tok Nasek, Mohd Shahrul Affendy Omar, 27, ketika ditemu bual oleh pemberita. “Bermula ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek pada awal tahun lalu di mana setakat ini kira-kira seramai 50 orang yang telah datang ke masjid ini untuk mendapatkan sumbangan. “Manakala sebanyak 95 pek bantuan makanan asas telah kita keluarkan daripada ‘food bank’ ini dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui 2 fasa sepanjang tempoh PKP ini. “Alhamdulillah, setakat ini sambutan orang ramai untuk menderma juga sangat menggalakkan di mana ada yang menghantar barang-barang secara terus dan ada juga yang ‘bank in’ ke akaun bank masjid,” kata Mohd Shahrul. Menurut beliau lagi, ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi jam 12.00 tengah hari.  “Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyalurkan segala maklumat dan menjadi pusat komuniti dalam menjaga perihal kebajikan masyarakat setempat,” tambahnya lagi. Beliau juga turut berharap agar mereka yang memerlukan bantuan tidak berasa segan untuk mendapatkan sumbangan ini kerana pihak masjid akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan. Selain Masjid Kg. Gong Tok Nasek, terdapat beberapa buah masjid lagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang menyediakan khidmat ‘food bank’ seperti berikut : 1. Masjid Tengku Tengah Zaharah 2. Masjid Taman Permin Jaya 3. Masjid Kg. Kubang Ikan 4. Masjid Al-Furqan Chendering  
30 Jun 21
546
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
SETIU, 29 Jun - Program derma darah peringkat daerah mencatatkan seramai 73 orang penderma pada hari pertama program itu berlangsung. Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Suhaimi Yusof berkata, seramai 89 orang mendaftar diri pada hari ini tetapi yang lulus serta dibenar untuk menderma darah adalah seramai 73 orang sahaja. "Kita berkampung selama dua hari di Setiu hari ini dan esok (Rabu) dan selepas ini kita akan ke Besut, "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama pada program kali ini dan selepas ini kita akan aturkan jadual lagi ke Setiu memandang Setiu ramai penderma tetap," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Hadir sama meninjau perjalanan program Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman. Program anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bermula 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu. Sementara itu, Mohd Hafizi Hashim, 33 salah seorang penderma ditemui berkata, dia yang sudah menderma sebanyak 22 kali mengakui sudah biasa dan tidak berasa takut. Penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
29 Jun 21
235
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat langkah untuk meneruskan usahawan kecil iaitu meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai. "Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital. "Ketiga, menggalakkan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. "Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), semalam. Tambah muhyiddin, usaha keempat iaitu memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. "Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya lagi. Sebelumnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.        
29 Jun 21
323
PEMULIH : Cukai Pelancongan, Perkhidmatan Dikecualikan
PEMULIH : Cukai Pelancongan, Perkhidmatan Dikecualikan
PUTRAJAYA, 29 Jun - Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai pendorong kepada sektor pelancongan apabila negara mula beralih kepada Fasa Ketiga Program Pemulihan Negara (PPN) kelak. "Apabila negara beralih ke Fasa Empat PPN, kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiat semula aktiviti pelancongan," katanya dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini. Tambah beliau, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan. Muhyiddin juga berkata, oleh kerana sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, kerajaan juga menyediakan bantuan intensif secara 'one off'. "Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar," tambahnya.
29 Jun 21
261
Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul
Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Sentuhan jari-jemari ajaib menerusi teknik tiga dimensi (3D) menjadikan lukisan Mohd Rozaimil Yatim seakan-akan wujud. Mohd Rozaimil, 36, kembali berkarya selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.  Kini dia sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan karya 3D menggunakan teknik ‘air brush’ dan melakukan transformasi terhadap sebuah rumah simen menjadi rumah kayu berlatar belakang suasana kampung sekitar 1980-an. Hasil lakaran itu dapat dilihat pada struktur rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini.  Karya tersebut menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial Facebook, Khamis lalu sekaligus mengundang rasa kagum netizen dengan lukisan yang ‘hidup’. Berkongsi cerita di sebalik ‘pembikinan’ karya terbaharunya itu, dia mendapat idea untuk mengubah pemandangan pada bentuk asal kediaman itu sejak Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. "Idea ini datang sejak PKP kali ini memandangkan saya tidak boleh melakukan kerja seperti biasa. Saya terfikir untuk mengisi waktu lapang dengan menghasilkan sebuah kediaman yang dapat mengimbau kembali nostalgia dan pemandangan lama.  “Pada mulanya saya hanya bercadang untuk melukis pada bahagian tertentu rumah, namun mendapat sokongan ramai supaya melengkapkan lukisan meliputi keluasan  9 meter lebar x 3 meter tinggi rumah berkenaan,”ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini. Menurut Mohd Rozamil, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan tersebut dengan kos RM100 dengan manfaatkan sepenuhnya barangan yang sedia ada kerana tidak banyak kedai boleh beroperasi ketika itu. "Warna asas lukisan ini ialah hitam, putih, coklat dan hijau bagi melakar tema-tema seperti tandas di luar rumah, kain batik, selipar jepun 'tat sing', bacaan meter elektrik lama, beranda rumah, haiwan peliharaan dan beberapa lagi elemen lain  yang dijangka mampu bertahan dalam tempoh lima tahun,”katanya yang menggunakan nama pena Zameer Pentbrush pada laman Facebooknya.  Menurut Mohd Rozamil, hasil karya itu adalah percubaan pertama bagi seni lukisan dinding yang sudah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu kerana memberi fokus kepada seni dan rekabentuk serta lakaran halus bagi barangan seperti topi keledar, motosikal dan lain-lain. "Suasana rumah kampung begini sudah tentu menggamit kenangan bagi mereka yang memandangnya, terutama mereka yang membesar dalam suasana kampung suatu ketika dahulu," katanya. Antara cabaran yang dihadapi Mohd Rozamil ketika menyiapkan karya tersebut adalah cuaca yang tidak menentu ketika ini. "Acapkali juga sedang asyik melukis, tiba-tiba hujan turun menyebabkan cat rosak. "Terpaksa mengecat balik tapi walaupun penat tapi saya rasa gembira apabila melihat hasilnya dan ramai yang memuji bahawa lukisan ni nampak 'real',” ujar pelukis yang berpangkalan di Terengganu ini. Tambahnya lagi, setelah tular di Facebook, 'rumah kampung' ciptaannya itu sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin bergambar sambil mengimbau kenangan lama. Sebelum ini, hasil karya bapa kepada dua cahaya mata itu pernah tular selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.  Antara wajah yang diabadikan pada lukisan  ialah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hasil karyanya. Lebih membanggakan apabila sentuhan 'magis' Mohd Rozamil mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menempah lukisan pada helmet baginda untuk sukan berkuda.
29 Jun 21
2263