lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

COVID-19: Tidur Bangun Atau Tidur Selamanya
COVID-19: Tidur Bangun Atau Tidur Selamanya
KUALA NERUS, 5 Julai – “Bila dah sampai ‘stage’ empat, saya bergantung kepada bantuan oksigen dan bila tiba saat perlu ‘ditidurkan’, doktor ajar saya mengucap, pada masa itu hanya berserah, tidur bangun kembali atau tidur selamanya,” ujar Syahril Hirman Azmi, sebagai bekas pesakit COVID-19. Syahril Hirman yang juga Pegawai Sains di Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) UniSZA telah bertarung nyawa di wad ICU HSNZ selama dua minggu setelah disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei 2021 berkongsi cerita dan pengalaman ketika berada dalam situasi hidup atau mati selama 16 hari di hospital. “Pada saya COVID-19 tu ‘real’, kena lawan sebab sakit tu memang betul-betul bila kena serang bila lebih daripada 50 peratus paru-paru saya telah dijangkiti COVID-19 pada tahap empat, dimasukkan ke wad ICU dan juga ditidurkan untuk proses rawatan. “Sebelum ditidurkan, doktor telefon waris untuk maklum tentang keadaan saya dan saya dapat bercakap dengan mak. Syukur mak sebagai jururawat pencen, dia faham dan minta saya mengucap banyak-banyak, ingat Allah dan Rasul serta redha dengan ketentuanNya. “Doktor yang merawat saya juga hebat dan sangat positif dengan memberikan kata-kata semangat , sentiasa berzikir dan selebihnya serahkan kepada pihak hospital untuk buat yang terbaik,” ujarnya lagi. Katanya, dia ditidurkan selama satu hari setengah sahaja kerana badannya memberi tindak balas yang cepat dan positif. “Saya kat ICU selama tiga hari dan bila perkembangan semakin positif barulah dipindahkan ke wad biasa. “Setiap hari, selama 14 hari berturut-turut kena ambil darah setiap 5.30 pagi dan 11 pagi, ubat-ubatan untuk rawatan saya dan memang rasa sakit sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya. Menurut Syahril Hirman, ketika diserang COVID-19 paru-parunya hampir separuh terjejas, hasil xray ia kabur dan doktor berkata dia sangat  bertuah kerana kerana masih hidup kerana biasanya peluangnya hanya 50/50. “Kesannya masih ada setelah keluar dari hospital, saya rasa cepat mengah, tidak boleh lakukan aktiviti jogging atau senaman yang lasak dan naik tangga pun terasa mengah. “Doktor cakap proses penyembuhan paru-paru saya akan ambil masa lima hingga enam bulan dan saya perlu menjaga pemakanan serta kesihatan,” tambahnya lagi. Beliau juga bersyukur bila diberikan peluang kedua untuk kembali bersama keluarga tersayang. “Bila Allah bagi peluang kedua untuk hidup, rasa bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dan doktor yang merawat.Ada hikmahnya bila saya boleh kongsi pengalaman ketika ditidurkan dan betapa sakitnya COVID-19 serta azab yang ditanggung. “Masa di ICU. saya bangga dengan barisan hadapan. Mereka macam tidak penat dan layan semua pesakit kritikal tanpa mengeluh, sangat professional malah bagi saya mereka adalah hero yang jaga kita dan betapa mulianya mereka,” kata Syahril Hirman. Justeru itu, dia menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan menganggap remeh pandemik COVID-19 dan SOP pencegahan kerana  telah mengalaminya sendiri betapa bahayanya serangan COVID-19.  
05 Jul 21
1052
Cucuk Vaksin Kerana Rindukan Anak Cucu
Cucuk Vaksin Kerana Rindukan Anak Cucu
HULU TERENGGANU, 5 Julai – ”Anak ‘kabo’ kalau nok jupe (jumpa) macam dulu, kena cucuk vaksin, baru selamat,” ujar Rashid Kassim, 76, dari Kampung Jerangau Barat. Dia yang rela hati untuk hadir bagi menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac berkata, ia merupakan satu jalan paling selamat untuk membolehkannya bertemu semula anak-anak serta cucu yang sangat dirindui. “Dalam keadaan sekarang ni, insya-Allah hanya ikhtiar cucuk vaksin mampu menyelamatkan kita, tidak perlu takut bukan sakit pun, lagipun doktor ada sama bagi nasihat. “Dulu memang takut sebab pak cik ni banyak sangat penyakit macam strok, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi, takut la sebab dengar banyak cerita yang tak betul tapi anak-anak kata kalau tak cucuk tak boleh jumpa dan rentas negeri,” katanya yang mempunyai 10 anak dan 28 cucu ketika ditemui di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, baru-baru ini. Lain pula bagi Mohammad A Bakar, 71, ingin mengambil suntikan vaksin Covid 19 sebagai pertahanan dirinya yang sudah berusia dan mempunyai masalah usus dan saraf. “Orang kata kalau ada penyakit dan sudah berumur, Covid-19 mudah dijangkiti sebab badan kita tak kuat jadi pak cik ambil keputusan nak cegah dulu sebelum terjadi apa-apa. “Dah dua bulan sakit tak boleh gerak tapi semangat kuat kerana isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Ini bukan tentang keselamatan kita sahaja tapi semua orang yang kita sayang,” ujarnya yang ditemani isteri tersayang, Aminah Osman, 71.  
05 Jul 21
787
Dua Hari 'Outreach', 7,000 Individu Terima Dos Pertama
Dua Hari 'Outreach', 7,000 Individu Terima Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam negeri, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melaksanakan program khidmat santun masyarakat (outreach) di seluruh wilayahnya. "Usaha kita ialah menubuhkan Skuad Ambil Cakna untuk bersama memastikan capaian 80 peratus vaksinasi berjaya dan selama hampir seminggu pelaksanaannya, kita telah berjaya daftarkan seramai 28 ribu penduduk di wilayah KETENGAH bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada sekitar 70-80 ribu penduduk yang layak. "Manakala, program 'outreach' yang dilancarkan selama dua hari dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan, kita telah berjaya melakukan vaksinasi kepada sekitar 7,000 penduduk. Saya jangka dengan usaha berterusan, kita akan melebih 80 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam tempoh dua minggu ke hadapan," katanya Pengerusi KETENGAH, Dato' Razali Idris. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan saguhati sebagai kepada pengamal media di Terengganu sebagai penghargaan atas usaha menyampaikan maklumat dan laporan yang tepat kepada masyarakat, di sini hari ini. Jelasnya, pihak KETENGAH turut mencadangkan lima lokasi yang sesuai untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melancarkan proses vaksinasi dan memudahkan penduduk setempat. "Sebenarnya, dalam wilayah KETENGAH belum ada PPV dan lokasi yang dicadangkan masih dalam proses. Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus ada menjanjikan Balai Orang Ramai (BALORA) di bandar Al Muktafi Billah akan dijadikan PPV. "Tetapi, apabila melihat kejayaan program 'outreach', maka kita mencadangkan lebih banyak program ini dapat dilaksanakan berbanding mewujudkan PPV," katanya. Sebanyak 17 lagi lokasi dicadangkan untuk pelaksanaan program 'outreach' dan ia diterima baik jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). "Pengarah Kesihatan Negeri juga bersetuju dengan pelaksanaan outreach lebih banyak dan saya jangka, kalau kita hari ini sudah mencecah 30 ribu penerima, dalam dua minggu kita mampu capai lebih daripada 80 ribu penduduk. Cuma, sekarang kita masuk secara berperingkat menggunakan segala aset yang ada. "Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan lihat pelaksanaannya," katanya.  
04 Jul 21
975
Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu
Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Para pengkaji daripada universiti tersohor, Oxford Botanic Gardens telah menamakan bunga ‘fairy lantern’ atau lentera peri sempena nama ibu pelancong yang juga jurufoto daripada Terengganu. Spesimen terbaru itu buat kali pertama ditemukan pada tahun 2019 di Gunung Sarut, Hutan Lindung Hulu Nerus oleh seorang jurugambar bebas, Suzairi Zakaria, 45, atau lebih dikenali dengan nama pena, Dome Nikong. Hasil penemuan itu, ahli botani dari Oxford Botanic Gardens dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menamakan tanaman mistik itu mengikut ibu Dome, Siti Meriam, sebagai penghormatan terhadap sokongan ibunya terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar anak lelakinya. “Hampir bersaiz duit syiling 20 sen, ‘Thismia sitimeriamiae’ adalah tanaman berbunga tumbuh di hutan terpencil di seluruh Asia, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat (AS). Sumber Foto : Facebook Dome Nikong “Tidak seperti tumbuhan biasa, tanglung peri tidak mempunyai daun atau klorofil untuk proses fotosintesis namun tanaman parasit itu bergantung pada hubungan simbiotik dengan kulat dan akar tumbuhan lain untuk hidup. “Para saintis memutuskan tumbuhan itu diklasifikasikan sebagai spesies yang terancam,” sepertimana dilaporkan The Rakyat Post. Terdahulu Dome, 44, yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiu, juga pernah mendapat pengiktirafan melalui penamaan saintifik bagi spesies orkid liar baharu, ‘Chysis Domei Archila’. Ahli botani (orkidologi) dari Guatemala, Fredy Leonel Archila Morales berkata, penghargaan itu dibuat sempena jurufoto itu atas sumbangannya terhadap dunia botani. Untuk pengetahuan, Dome telah dikreditkan dalam lebih daripada 20 penerbitan antaranya buku dihasilnya berjudul Wild Terengganu, memaparkan maklumat berkaitan tumbuhan serta hidupan seperti bunga liar, buah liar serta serangga dalam negeri ini.
04 Jul 21
2186
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
KUALA NERUS, 4 Julai - Sebanyak 350 pek barangan keperluan dapur buat masyarakat terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kubang Jela telah bermula pengagihan semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan, barangan tersebut dihantar dan dikumpulkan di Masjid Kampung Kubang Jela sebelum diagihkan oleh petugas dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat kepada semua penduduk yang terlibat. “Untuk kawasan PKPD, kita hanya mampu menyalurkan di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), selebihnya diuruskan oleh warga komunitit sendiri untuk proses pengagihan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang proses pengagihan sumbangan itu. Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus khususnya Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diatas barangan keperluan harian yang telah disalurkan. “Kepada semua penduduk Kampung Kubang Jela, saya mohon bersabarlah di atas ujian ini, jagalah garis panduan yang ditetapkan dan patuh arahan PBT. "Sekiranya terdapat masalah berbangkit sepanjang tempoh PKPD ini termasuk terputus bekalan keperluan harian, para penduduk boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading ditalian 0169867007 dan 0139303308,” pesan beliau lagi.
04 Jul 21
415
KETENGAH Hargai Media Terengganu
KETENGAH Hargai Media Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menzahirkan rasa terima kasih kepada pengamal media di negeri Terengganu atas usaha mengetengahkan pelbagai isu-isu masyarakat dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung pada pasca pandemik Covid-19. Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, media juga merupakan barisan hadapan yang berusaha dalam memerangi Covid-19 di negara kita. "KETENGAH sangat menghargai sumbangan 'frontliner', tidak terkecuali wartawan. Para pengamal media terdedah dengan risiko jangkitan pandemik kerana mereka berjumpa dengan pelbagai individu di berbagai tempat dalam usaha menjalankan tugas, maka mereka juga dianggap barisan hadapan yang patut dihargai. "Saya menganggap mereka (pengamal media) sebagai penyedar kepada pimpinan yang culas mengambil tahu apa yang berlaku dalam kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabat KETENGAH Holding, di sini hari ini. Dalam pertemuan itu, KETENGAH menyampaikan saguhati kepada pemberita yang hadir sebagai penghargaan kepada penat lelah mereka. Razali turut menyarankan, para pengamal media harus diberi keutamaan mengambil vaksin bagi mengelakkan penularan dikalangan mereka.  Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) perlu mengambil maklum bahawa ada lagi sebahagian pengamal media di negeri itu belum menerima vaksinasi.
04 Jul 21
96
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Kerjasama antara pelbagai pihak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat memberi peranan dalam menjayakan inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid ketiga di Kampung Banggol Karah. ADUN kawasan itu, Ariffin Deraman berkata, antara bentuk kolaborasi adalah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam memenuhi kuota 300 orang untuk disuntik. “Melalui pengerusi JPKK, kita keluar dan cari warga komuniti disini dan membantu proses pendaftaran. “Dari segi pengangkutan, Pusat Khidmat Masyarakat Alor Limbat dan wakil rakyat kampung masing-masing juga bersedia dengan van bagi menolong mereka yang ada temu janji suntikan tapi tiada kenderaan. “Kita turut menyumbang sebanyak 400 beg cenderahati buat penerima dan petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV Masjid di Sekolah Menengah Komuniti Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, beliau mengharapkan agar seluruh masyarakat dalam negeri dan negara untuk memenuhi syarat pemvaksinan dos kedua sebanyak 10 peratus. “Manakala penduduk Alor Limbat yang berumur 18 tahun keatas, sebahagian mereka merupakan petani dan peniaga yang banyak bertemu dengan masyarakat, saya nasihatkan supaya ambil suntikan vaksin untuk keselamatan dan kesihatan semua,” jelasnya.
04 Jul 21
173
Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama
Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Malaysia menduduki ranking ketiga antara negara di rantau Asia Tenggara yang selesai pengambilan vaksin dos pertama COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim. Menurutnya, kadar peratusan dos pertama di dalam negara merekodkan kemajuan sebanyak 18.6 peratus daripada populasi keseluruhan sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu. “Kita hanya dibelakang Kemboja (pertama) dan Singapura (kedua) kerana ia mengambil kira faktor saiz populasi dan tempoh dan kadar pembelian vaksin. “Negara ini turut mendahului Indonesia (11.3 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Thailand (10.2) peratus dan juga New Zealand (14.3 peratus),” katanya semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyifatkan keadaan adalah selesa dari segi bekalan vaksin terutamanya apabila menerima 12 juta dos dalam bulan Julai ini. “Sasaran bulan ini adalah sebanyak hampir 400 ribu suntikan selari dengan jangkaan penerimaan vaksin termasuk sumbangan dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca daripada kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS). “Ekoran peningkatan bekalan ini, kitab oleh memendekkan tempoh menunggu suntikan pertama dan kedua mengikut tempoh ditetapkan pengeluarnya. “Misalnya seperti Astra Zeneca, sebelum ini ditetapkan 12 minggu, sekarang kitab oleh cepatkan sehingga waktu menunggu sembilan minggu sahaja,” katanya lagi. Jelasnya, matlamat seterusnya adalah mencapai 80 peratus komuniti kelompok bagi populasi 18 tahun ke atas pada akhir Oktober ini manakala keseluruhan populasi sebelum hujung tahun ini.
03 Jul 21
473
Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu
Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu
KEMAMAN, 3 Julai – Seramai 735 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam negeri ini telah menerima sumbangan kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet menerusi program CERDIK anjuran Yayasan PETRONAS. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi  penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar. “Kerjasama dan penyaluran gajet tersebut diadakan bersama Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang. “PETRONAS sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti, terutama sekali semasa menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. “Sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). “Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya. Sementara itu, menurut penerima, inisiatif itu sangat membantu dia dan pelajar yang lain untuk belajar. “Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kerana dengan paparan skrin lebih besar dan jelas ini memudahkan saya belajar dan menyelesaikan kerja kursus. "Guna ‘handphone’ memang susah sikit bila sedang belajar,” luah Nasrin Syasya Mazlan Abdul Khabir, 15, apabila ditanya mengenai pengalaman beliau mengikuti kelas PdPR.
03 Jul 21
500
Mudahkan Prosedur Bantuan Mereka Yang Terkesan
Mudahkan Prosedur Bantuan Mereka Yang Terkesan
HULU TERENGGANU, 3 Julai - "Kita terbuka untuk dihubungi 24 jam sehari pada bila-bila masa malah bagi yang terkesan, sila maklum dan insya-Allah bantuan akan sampai," ujar Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid. Beliau berkata, peruntukan RM300 ribu yang disalurkan kepada setiap Ahli Parlimen oleh Perdana Menteri akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat tanpa sebarang syarat. Justeru itu katanya, talian telefon semua pegawainya diaktifkan 24 jam bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan bakul makanan. Katanya lagi, bagi membantu kelancaran bantuan pihaknya juga dibantu oleh pemimpin masyarakat seperti JPKK, imam masjid, bilal dan sebagainya yang menjadi mata serta telinga untuk rakyat yang kini berdepan cabaran luar jangka akibat pandemik COVID-19. "Kita sentiasa terbuka dan kita berada di mana-mana dan mempermudahkan semua cara yang penting rakyat mendapat apa yang mereka perlukan dalam masa sakit ini. "Apa pun parti politik mereka,  sekiranya mereka layak dapat bantuan maka mereka harus diberikan bantuan tanpa mengira pendapatan isi rumah sama ada B40, M40 atau T20," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan dan ziarah pesakit OKU dan penyampaian sumbangan kerusi roda serta sumbangan bakul makanan d Kampung Merbau Pulas, Mukim Tanggol, Ajil, hari ini. Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berkata, pihaknya juga tidak menetapkan sebarang prosedur yang boleh menyebabkan rakyat sukar untuk mendapatkan bantuan tersebut. Di samping itu katanya, penghantaran bekalan makanan keperluan asas bernilai RM1,000 sudah dihantar ke 92 masjid di daerah Hulu Terengganu bagi Gerobok Prihatin yang telah dilancarkan baru-baru. "Kaedah pelaksanaan (agihan/penyampaian) program Gerobok Prihatin adalah tertakluk  kepada tatacara pengurusan dan pentadbiran masjid-masjid  berkenaan. "Syukur Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang baik dengan kerjasama semua pihak," ujarnya.                        
03 Jul 21
186