Artikel "Utama" Terkini
'Ingat Polis Mari Nak 'Igak' Tapi Rupanya Bagi Bantuan'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - "Semalam semasa lima orang polis datang ke rumah, mati-mati saya ingat nak tangkap saya walaupun saya tak tahu apa salah saya, tetapi rupanya nak bagi bantuan," kata Omar Yusof, 60.
Dia yang tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Gaung Pecung selepas berpisah dengan isterinya kini hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.
"Terima kasih sangat kepada pihak polis sebab bagi bantuan, sungguh tidak sangka mereka pun bantu sama macam orang lain.
"Memang pernah terputus makanan kadang-kadang bekalan barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini, sukar untuk saya bekerja," katanya.
Omar juga merupakan orang kurang upaya kerana mengalami masalah pendengaran kerana cedera di gegendang telinga akibat dihempap pokok ketika bekerja sebagai penebang balak 20 tahun lalu.
Dia merupakan antara 10 penerima bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu dijayakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) serentak di seluruh negara hari ini.
Seorang lagi penerima, Rafeah Ahmad, 76, berkata dia juga terkejut apabila melihat polis datang menghantar bantuan makanan kerana selama ini, berpandangan polis hanya tangkap orang salah.
"Terima kasih sebab ringankan beban kami sekeluarga terutama anak mak cik yang hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ajil.
"Biasa sangat dah dapat bantuan bakul makanan seperti tapi kali ini lain sikit sebab daripada anggota polis, rasa macam istimewa," katanya yang kini tinggal bersama menantunya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata sebanyak 300 bakul makanan seperti beras, teh, gandum, gula dan barangan keperluan lain bernilai RM50 disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
"Setiap bakul makanan bernilai RM50 dengan peruntukan sebanyak RM15,000 setiap daerah yang kita akan agihkan secara berperingkat
"Mereka yang terpilih adalah nama yang dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana kita juga akan lakukan siasatan bagi memastikan penerima-penerima memang memerlukan bantuan," jelasnya lagi.
Op Bantu adalah inisiatif KDN bagi membantu meringankan beban keluarga tidak berkemampuan yang terkesan akibat PKP.
07 Jul 21
1049
Perumahan Padang Setengge Dibadai Ribut Akan Dibaik Pulih
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Perumahan Padang Setengge yang dibadai hujan ribut pada petang semalam akan dibaik pulih dengan bantuan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah.
"Alhamdulillah, semalam agensi dan jabatan kerajaan telah bermesyuarat untuk membantu mereka yang telah terjejas akibat ribut tersebut.
"Kita mencapai beberapa perkara, dari segi rumah yang terlibat akan dibaik pulih keseleruhannya dengan bantuan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau suasana perumahan yang rosak di Padang Setengge.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, setakat maklumat terkini ribut semalam telah menyebabkan 91 buah rumah telah rosak.
"14 buah rumah mengalami kerosakan yang agak serius dimana keseluruhan atap rumah tercabut dan kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," jelasnya.
07 Jul 21
566
Ribut : Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Bantuan segera untuk mangsa ribut di Terengganu akan disalurkan sebaik selesai siasatan dan laporan berhubung kerugian serta jumlah mereka yang terkesan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau telah membentangkan perkara itu di dalam Mesyuarat Mingguan Exco pada hari ini.
"Saya telah maklumkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco tentang kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang untuk tindakan susulan.
"Bagaimanapun, bantuan awal juga akan disalurkan oleh JKM mengikut keperluan mangsa," katanya kepada UPDI hari ini.
Dalam pada itu, katanya, beliau telah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN terlibat supaya memulakan kerja-kerja membaiki kediaman yang terjejas secepat mungkin.
"Saya difahamkan kerja-kerja membaik pulih kediaman yang rosak telah dimulakan sejak pagi tadi dan pihak JKM juga akan menyalurkan bantuan awal mengikut keperluan mangsa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, setakat ini anggaran keseluruhan kerugian melibatkan kawasan yang dilanda bencana itu masih dalam siasatan dan dijangka akan diketahui pada Khamis.
Terdahulu, hujan lebat serta angin kencang yang melanda kira-kira setengah jam pada petang Selasa menyebabkan hampir 500 buah kediaman di lima buah daerah di Terengganu terjejas.
Ia termasuk 81 buah kediaman di Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu membabitkan seramai 268 mangsa.
Selain itu, terdapat juga kediaman terjejas melibatkan daerah Dungun, Kuala Nerus dan Marang serta beberapa kawasan lain di Kuala Terengganu.
07 Jul 21
599
Bantuan Segera Disalur Kepada Mangsa Ribut Padang Setengge
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera melalui peruntukan Tabung Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu lebih 80 penduduk yang terlibat dengan kejadian ribut di Padang Setengge, semalam.
Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, melalui peruntukan tersebut, ia digunakan untuk pembaikian bagi rumah-rumah yang terkesan.
"Hari ini kita mulakan pasca pertama iaitu membersihan kawasan yang terlibat secara bergotong-royong dengan kerjasama pelbagai agensi, jabatan, badan bukan kerajaan dan parti.
"Kemudian membaik pulih kerosakan yang berlaku petang semalam melibatkan kemusnahan kepada atap rumah kebanyakannya," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Setengge, hari ini.
Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Setengge, Sulaiman Ali berkata, kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan berkenaan berlaku dalam sekelip mata.
“Ketika kejadian, saya baru sahaja selesai dalam proses pengagihan bakul makanan untuk mereka yang terkesan sepanjang tempoh 'total lockdown' .
"Masa tu hujan belum turun lagi tapi angin cukup kuat dan menerbangkan beberapa atap rumah dan semakin banyak rumah yang terlibat.
"Dua pokok besar tumbang depan mata dan mengejutkan sebab semua berlaku dalam beberapa minit sahaja," ujarnya ketika ditemui.
Menurut Sulaiman, sebaik sahaja keadaan tenang, beliau terus menghubungi pihak berkaitan untuk memaklumkan kejadian tersebut untuk tindakan seterusnya.
Dalam kejadian petang semalam, puluhan penduduk di perumahan Padang Setengge itu mengalami detik cemas apabila kawasan berkenaan dilanda ribut berserta hujan lebat menyebabkan rumah mereka mengalami kerosakan teruk selain beberapa batang pokok tumbang.
Kejadian ribut itu dikatakan berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh kira-kira sepuluh minit, namun menyebabkan lebih separuh rumah penduduk mengalami kerosakan terutama pada bahagian atap.
07 Jul 21
181
'Hanya Mampu Berpelukan Ketika Atap Diterbangkan Angin'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Hampir 300 penduduk yang menghuni perumahan Padang Setengge di sini berdepan detik mencemaskan apabila berlaku ribut serta angin kencang yang mengakibatkan kerosakkan rumah, pada tengah malam tadi.
Kejadian ribut pada pukul 6 petang itu merupakan bencana terburuk yang pernah melanda kawasan taman perumahan berkenaan sejak beberapa tahun kerana melibatkan hampir 80 rumah.
Salah seorang mangsa, Norliza Abu bakar, 40, berkata, angin kuat menerbangkan lebih 10 keping atap rumahnya, manakala serpihan struktur itu terkena bahagian lain hingga menyebabkan kerosakan lebih banyak.
“Bunyi sangat kuat dan nampak angin berpusar sebelum rangka bumbung bahagian hadapan tercabut dan hempap atap rumah.
"Semasa kejadian saya dan empat lagi ahli keluarga berpelukan antara satu sama lain dan hanya bertawakal sambil berlindung dalam rumah dengan keadaan angin kencang, hujan lebat.
"Selama empat tahun saya duduk di sini, ini pertama kali berlaku. Kami masih lagi trauma dan terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Suaminya, Noor Zihan Yahya, 44, kemudiannya menutup semua punca elektrik bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini demi keselamatan anak-anak.
Seorang lagi mangsa ribut, Nadiah Mohd, 42, pula memberitahu, rumahnya juga paling teruk dipukul ribut apabila hampir semua atap diterbangkan dan menyifatkan kejadian itu paling buruk sejak menetap di situ lebih sembilan tahun lalu.
"Masa kejadian saya keluar tengok angin kuat sangat dan tak senang hati...lepas tu nampak atap rumah bawah tercabut.
"Angin datang dengan laju, sekelip mata je rempuh rumah kami dan atap terbang...anak-anak menangis ketakutan,"katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
07 Jul 21
999
Puluhan Rumah Di Padang Setengge Dibadai Ribut
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Ribut yang merosakkan hampir 50 peratus rumah di perumahan Taman Setengge semalam, disifatkan sebagai yang terburuk berlaku di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku selepas pukul 6 petang dan kebanyakan kediaman yang rosak adalah membabitkan struktur bumbung akibat diterbangkan oleh angin kencang.
Katanya, terdapat 200 rumah teres di kawasan perumahan tersebut dan hampir separuh telah terjejas akibat ribut yang melanda.
"Sembilan daripada kediaman itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dan 32 rumah mengalami kerosakan sehingga 50 peratus.Manakala 50 buah lagi mengalami kerosakan kecil pada bumbung.
"Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di saudara mara masing-masing," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Kejadian Bencana di Surau Padang Setengge, hari ini.
Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini.
Tambah beliau, demi keselamatan penduduk, pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah mengambil langkah awal dengan memotong bekalan elektrik dan akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum membuat penyambungan semula.
Sementara itu, Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) telah mengambil tindakan dengan mengadakan operasi pada malam kejadian untuk membantu mangsa terlibat dan membuat perancangan bagi pasca bencana.
Justeru itu, Mohd Adli menasihatkan agar warga penduduk yang terlibat sentiasa mematuhi arahan mengikuti perancangan yang telah dirancang demi kebaikan semua pihak.
"Gerak kerja seterusnya, kita akan mengadakan kerja membersih serpihan-serpihan bumbung, pokok tumbang dan membuat penilaian dan pembaikan segera bagi memastikan penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera.
"Berdasarkan kepada kerosakan rumah-rumah, kita jangka masa untuk membaikpulih akan mengambil masa satu hingga dua minggu bergantung kepada situasi,"ujarnya.
06 Jul 21
1585
Kuala Terengganu, Marang Dilanda Hujan Ribut
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Hujan ribut lebat melanda di kawasan bandar raya dan beberapa daerah lain telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuk pokok-pokok berhampiran jalan yang tumbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ribut yang berlaku sekitar jam 6 petang tadi menyebabkan beberapa atap rumah kediaman sekitar tercabut akibat angin kuat.
Hasil tinjauan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati antara lokasi pohon pokok tumbang seperti di jalan besar hadapan Istana Badariah menghala ke bandar Kuala Terengganu dan jalan di hadapan Domino's Pizza Kuala Ibai.
"Sekarang ini kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang lalu lintas sedang giat dijalankan.
"Doakan semoga semua selamat dan tiada yang cedera. Petugas Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk sedang turun meninjau keadaan semasa di sini," katanya menerusi Facebook rasminya sebentar tadi.
Sementara itu, ramalan cuaca negeri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di seluruh Terengganu dan dijangka berlarutan sehingga 9 malam ini.
Manakala itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan, pihaknya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk segera memeriksa rumah-rumah yang terkesan dan memberikan bantuan dengan segera.
"Jika rumah saudara-saudari terlibat dalam kejadian ribut petang tadi, boleh berhubung segera kepada pengerusi atau mana mana ahli Jawatankuasa JPKK di kampung anda berada.
"InsyaAllah, saya akan turun melihat rumah-rumah yang terkesan mulai awal pagi esok selepas selesai mesyuarat Exco.
"Semoga semua penduduk dalam keadaan selamat. Insya-Allah seperti biasa, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam akan menyampaikan bantuan sewajarnya," tambahnya menerusi ciapan di halaman Facebook miliknya.
06 Jul 21
1521
'Kami Lega, Terima Kasih MKN'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Rata-rata pemilik kedai gunting rambut menarik nafas lega dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sub sektor itu dibuka semula selepas ditutup sejak 1 Jun lalu.
Pemilik kedai gunting, Mohd Arif Alias, 24, pengumuman yang membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula amat dinantikan selepas mereka tidak bekerja hampir sebulan.
Dia berkata, pihaknya bersedia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelanggan.
"Alhamdulillah....terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.
"Sudah terlalu lama perniagaan ditutup malah ramai yang bertanya, bila kedai hendak dibuka," katanya.
Sementara itu, Mohd Saufi Sulaiman, 37, salah seorang pemilik kedai gunting berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan itu memberi harapan kepada penggiat sektor berkenaan untuk kembali menjana pendapatan.
Katanya, pembukaan semula kedai gunting rambut yang diumumkan kerajaan itu sekaligus membantu usahawan belia bumiputera yang mendominasi perkhidmatan berkenaan di daerah ini.
“Meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan agak ketat berbanding sektor lain, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya seramai dua pekerjanya dapat kembali bekerja.
"Sepanjang tempoh tidak dibenarkan beroperasi, saya terputus punca pendapatan dan terpaksa menggunakan duit simpanan yang ada sepanjang tempoh tersebut bagi meneruskan kehidupan seharian.
Menurutnya, beliau amat berterima kasih di atas keprihatinan pihak kerajaan yang mendengar keluh-kesah pengusaha gunting rambut untuk kembali beroperasi.
"Biarpun kehadiran pelanggan sedikit berkurangan sepanjang tempoh PKP kali ini, namun saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki buatnya dan dua pekerja," kata Mohd Saufi.
06 Jul 21
268
Jambatan Kuala Por Dibina Akhir Julai Ini
Oleh : Mawaddah Mohd
HULU TERENGGANU, 5 Julai - Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering akan terhubung semula dengan pembinaan jambatan baharu yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat bagi menggantikan jalan lama yang telah runtuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan menyelesaikan pembinaan jambatan itu secepat mungkin yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM6 juta dari peruntukan kerajaan negeri.
“Cadangan pembinaan jambatan baharu ini akan diambil alih oleh kontraktor sebelum akhir Julai ini bagi pembinaan tapak dan dijangka siap pada tahun 2023.
“Jalan yang runtuh ini berpunca daripada calvert yang roboh menyebabkan laluan dari Kuala Por ke Pasir Nering dan Kampung Dusun terjejas teruk sehingga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak jambatan baru itu di Kg Kuala Por, semalam.
Menurut beliau yang juga Exco kerajaan negeri, anggaran panjang jambatan tersebut adalah 40 meter manakala tinggi jambatan tersebut pula lebih kurang 20 Meter dari aras air.
“Pihak saya tahu bahawa penduduk sukar bergerak tanpa laluan ini.
"Semoga pembinaan jambatan baharu dapat memudahkan perhubungan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.
06 Jul 21
699
Permint Plywood Terima Kebenaran Beroperasi Dalam PPN Fasa 2
DUNGUN, 6 Julai - Anak syarikat kerajaan negeri, Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB), menarik nafas lega apabila menerima kebenaran untuk beroperasi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bermula hari ini.
PPSB merupakan anak syarikat di bawah Golden Pharos Bhd, dalam pengeluaran venir, satu-satunya di Terengganu.
Dalam satu kenyataan, PPSB mula menghentikan operasi pada 30 Mei yang lalu bagi mematuhi arahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk "total lockdown" berkuatkkuasa pada 1 Jun di seluruh negara.
Pengurus Kanannya, Ahmad Bazli Razali berkata kebenaran untuk beroperasi membolehkan 80 peratus daripada kakitangan operasinya untuk memulakan kerja dan memproses venir.
"Ini memberi satu kelegaan buat syarikat kerana banyak urusniaga yang tergendala akhirnya dapat berjalan dengan kadar segera.
"Melalui kebenaran yang diterima ini dapat juga menjana pendapatan kepada syarikat," tambahnya.
Terdahulu, Terengganu merupakan salah satu daripada lima negeri yang berjaya keluar daripada PPN Fasa 1 setelah berjaya mematuhi segala tiga nilai ambang yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negeri.
06 Jul 21
448