Artikel "Utama" Terkini
Hotel Primula Tawar Promosi Menarik Sempena Bulan Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Sempena sambutan bulan Kemerdekaan Ke-64 pada tahun ini, Primula Beach Hotel tampil dengan program dan tawaran menarik.
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pelbagai promosi dengan harga yang amat berpatutan ditawarkan kepada orang ramai sehingga penghujung bulan September ini.
"Antaranya promosi jualan bersempena sambutan bulan Kemerdekaan Ke-64 iaitu ‘Mantou with Sambal Udang’, ‘Primula Merdeka Cake’, dan ‘Merdeka Laundry Promotion’, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, penjualan promosi tersebut adalah cara terbaik dan selamat dengan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia untuk meraikan bulan Kemerdekaan pada tahun ini memandangkan keadaan semasa yang masih lagi tidak stabil dengan penularan wabak pandemik COVID-19.
Sementara itu Suaibah berkata, pihaknya juga akan mengadakan program agihan Jalur Gemilang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu, Dewan Utama Majlis Daerah Marang.
"Ini merupakan kali ketiga program ini diadakan dimana yang pertama kalinya diadakan di premis Primula Beach Hotel dan yang keduanya di Jambatan Angkat Terengganu.
"Golongan yang dituju dalam program agihan Jalur Gemilang kali ini adalah mereka yang menerima suntikan vaksin sama ada dos pertama mahupun dos kedua secara pandu lalu di PPV tersebut.
Katanya, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan semangat patriotik dan kemerdekaan di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di negeri Terengganu.
Beliau berharap semangat cintakan tanah air akan terus membakar dalam diri seluruh rakyat Malaysia walaupun sambutan pada tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.
"Dengan program agihan Jalur Gemilang ini diharap Primula Beach Hotel dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan dan terus berjuang melawan COVID-19.
"Cara yang paling mudah untuk memerangi wabak pandemik ini adalah dengan menerima suntikan vaksin secara menyeluruh," ujarnya.
25 Aug 21
678
COVID-19: 1,124 Penduduk Pulau Perhentian Jalani Saringan
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos -- Seramai 1,124 penduduk penduduk, pengusaha chalet serta pemilik resort di Pulau Perhentian menjalani ujian saringan besar-besaran, susulan 75 kes positif COVID-19 dikesan, baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dato' Dr Kasemani Embong berkata proses ujian saringan itu yang melibatkan hampir 70 peratus penduduk pulau dijangka selesai sepenuhnya petang ini.
Katanya, mereka telah menjalani ujian calitan COVID-19 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lepas untuk mencegah penularan di pulau peranginan terkenal itu.
"Ujian calitan terpaksa dilakukan kerana terdapat 75 kes positif COVID-19 dikesan setakat hari ini. Sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas.
"Punca penularan COVID-19 bukanlah jangkitan dari pelancong sebaliknya disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam perkembangan yang sama , kesemua penduduk pulau yang positif COVID-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKR) di Kem Wawasan serta Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.
"Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat diberikan arahan untuk kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguatkuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia," ujarnya.
25 Aug 21
834
113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
KUALA NERUS, 25 Ogos - Sebanyak 113 tangki statik air bersih disediakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bagi mengelakkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tindakan semasa tersebut dilakukan pihaknya dalam menghadapi ketiadaan air kerana kerosakan paip sejak 23 Ogos, baru-baru ini.
“Tangki yang sediakan kadang-kadang jaraknya terlalu jauh dengan rumah penduduk, susulan itu kita tambah lagi jumlahnya supaya ia memudahkan urusan rakyat yang ingin mengambil bekalan asas ini.
“Dengan cara itu, tidaklah terlalu membebankan penduduk ketika ini,” ulas beliau ketika meninjau proses perbekalan air dengan kerjasama BOMBA di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading.
Beliau juga memaklumkan, tambahan tangki juga dibuat di tempat-tempat pengambilan sumber air agar tempoh masa mengisi air ke dalam lori transit tidak memakan masa terlalu lama.
“Buat masa sekarang, tenaga sepenuh masa agak berkurangan kerana masing-masing bekerja.
“Semasa krisis yang dulu, kawasan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD), jadi tenaga kerja agak ramai kerana masing-masing tidak bekerja,” ujar beliau lagi.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mengambil inisiatif membantu mengangkut air ke kampung masing-masing untuk diagihkan kepada pemduduk yang dikenakan perintah kuarantin, warga emas yang ketiadaan anak di rumah dan juga pesakit kronik.
“Sebanyak 19 JPKK yang terlibat dalam krisis air pada kali ini,” katanya lagi.
25 Aug 21
245
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
KUALA NERUS, 24 Ogos - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melancarkan program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak buat penduduk di daerah ini.
Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, ia dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas serta tidak mempunyai sejarah alergi teruk.
Katanya, inisiatif tersebut diadakan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’ bermula hari ini sehingga 26 Ogos (khamis) ini dan beroperasi pada waktu 9 pagi sehingga 3 petang.
“Syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut.
“Ini tertakluk kepada bekalan vaksin yang kita dapat, nasihat saya bagi komuniti di daerah Kuala Nerus yang ingin disuntik agar membawa pen dan kad pengenalan atau pasport masing-masing," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan sejak 13 Jun bagi membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
24 Aug 21
864
Bantuan Air Bersih Mula Disalurkan Di Dua Daerah Terjejas
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sudah mula menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada 28,700 pengguna yang terjejas susulan gangguan bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air secukupnya, sebanyak 19 lori tangki yang beroperasi 24 jam sehari telah digerakkan, termasuk ke beberapa premis penting seperti pusat hemodialisis dan pusat kuarantin untuk pesakit COVID-19.
"Pembaikian paip pecah kali ini akan mengambil masa lebih kurang 20 hari dengan mengambil kira pelbagai faktor.
"Bagi memastikan orang awam mendapat bekalan air bersih sehingga proses selesai, SATU telah mula agihkan air bersih termasuk penghantaran lori tangki bergerak untuk mengisi air di tangki-tangki statik," ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabat SATU, hari ini.
Selain itu,katanya bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih, 200 tangki statik dan 86 pili paip telah disediakan di seluruh kawasan terlibat.
Terdahulu, SATU telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.
24 Aug 21
543
Bekalan Air Terputus Dijangka Pulih 12 September
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hari lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata setelah pengesanan dilakukan di dasar sungai pihaknya mendapati kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) kali ini lebih teruk berbanding yang terdahulu.
Katanya, disebabkan itu ia memerlukan masa dan kepakaran tinggi untuk membaikinya.
"Kalau sebelum ini, paipnya dalam keadaan senget sahaja tapi kali ini paip dalam jajaran yang sama tapi lokasi berlainan dikesan telah patah.
"Kerosakan dipercayai berpunca daripada kejadian luar jangka selepas kerja baikpulih siap pada 12 Ogos lalu dan lokasi paip pecah baharu ini adalah sejauh 24 meter dari lokasi paip pecah asal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di sini hari ini.
Tambah beliau, SATU sedang meneliti satu kaedah terbaik dengan mengambil kira pelbagai faktor berkaitan supaya paip yang dibaiki lebih kukuh dan tahan lama.
Justeru itu katanya, kerja-kerja untuk mengaktifkan Loji Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta meter padu yang dijangka dapat beroperasi pada bulan depan berbanding tarikh sebenar pada Mei 2022.
24 Aug 21
3743
Paip Pecah Di Lokasi Berlainan Punca Gangguan Air
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.
Menurut kenyataan rasmi pengurusannya, kerosakan luar jangkaan tersebut berlaku paip bersaiz 1,200mm yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan dari Loji Kepong menyebabkan 28,700 terjejas bekalan.
“Antara 25 lokasi terlibat di daerah Kuala Nerus adalah keseluruhan Gong Badak, Perindustrian Gong Badak. Alur Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus dan Pagar Ubi.
“Manakala di Kuala Terengganu melibatkan 11 lokasi iaitu Buluh Gading, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, Kampung Manir, Sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara,” katanya menerusi kenyataan media, petang tadi.
Dalam memastikan bekalan asas tidak terputus, pihak SATU telah mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bermula hari ini pada jam 12 tengahari ke kawasan yang terjejas.
“Tujuh buah lori tangki digerakkan segera dan akan ditambah dari masa ke semasa. Kedudukan tangki statik dan pengisian air adalah mengikut penjadualan sebelum ini,” katanya lagi.
Terdahulu, setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas telah dikerah bagi memasang 150 tangki statik bagi meneruskan bekalan air bersih buat penduduk.
Kerajaan negeri turut memperkemaskan langkah susulan dan menambah baik beberapa aspek penyelenggaraan Syarikat Air Terengganu (SATU) antaranya tumpuan utama dalam memastikan pembinaan Loji Bukit Berapit dengan jangkaan paling awal Loji Bukit Berapit siap beroperasi pada 31 Ogos 2021 berkeupayaan 60mld.
24 Aug 21
1294
Dr. Kasemani Dilantik Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong dilantik menjadi pengarah kesihatan negeri yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan, pelantikan Dr Kasemani adalah bagi menggantikan Dato' Dr. Nor Azimi Yunus yang ditukar ke Pahang sebagai Pengarah Kesihatan negeri itu pada 23 Julai lalu.
Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, beliau berkata, Dr Kasemani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan.
"Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan," katanya.
Sebelum ini, Dr. Kasemani pernah berkhidmat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
23 Aug 21
1442
Lebih 90 Peratus Guru Di Terengganu Sudah Divaksin
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Lebih 90 peratus warga pendidik di negeri ini selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah sekiranya diumumkan kelak.
Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abd Ghani berkata hampir semua guru menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, Terengganu mempunyai 21,921 guru terdiri daripada 10,175 guru sekolah menengah manakala seramai 11,746 bagj sekolah rendah.
"Namun, saya tidak menafikan ada juga di kalangan guru-guru tersebut yang menolak untuk divaksin namun jumlahnya kecil.
"Pihak jabatan akan mengenalpasti guru guru berkenaan yang berkemungkinan bertindak demikian kerana mempunyai masalah kesihatan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, Salim berkata, kesemua guru tingkatan lima dan enam di negeri ini termasuk kakitangan sokongan akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula Oktober depan.
23 Aug 21
749
Enam Juruselam Siasat Paip Rosak Di Dasar Sungai
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Enam juruselam dikerah bagi mengenalpasti punca pengoperasian tidak stabil yang berlaku pada paip di dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan bekalan air di Daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal pada hari ini.
“Pasukan Teknikal SATU sedang giat menjalankan langkah-langkah pengesanan di dasar sungai untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip tersebut.
“Sebarang penemuan atau perincian kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kami memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat di ibu Pejabat SATU, sebentar tadi.
Susulan itu, beliau melaporkan bantuan bekalan air melalui lapan lori tangki telah digerakkan hari ini mengikut penjadualan sebelum ini.
“Selain itu, kita telah memohon setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas bagi mengenalpasti lokasi 150 tangki statik yang ditempatkan bagi memastikan bekalan asas tersebut tidak terputus.
Tambahnya, bantuan bekalan air bersih juga akan disalurkan di peringkat DUN dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).
23 Aug 21
13401