lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kekangan Kerja Antara Alasan Gagal Hadir Temu Janji Dos Penggalak
Kekangan Kerja Antara Alasan Gagal Hadir Temu Janji Dos Penggalak
KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mendapati antara sebab utama kegagalan orang ramai hadir temu janji Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak (Booster) (PICK-B) adalah disebabkan kekangan kerja dan masa. Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata, berdasarkan respons diberi, para penerima tidak hadir bukan disebabkan penolakan untuk disuntik dos penggalak. “Negeri ini menyaksikan kadar tidak hadir temu janji melalui aplikasi MySejahtera lebih 60 peratus, bagi warga emas dan ibu bapa memaklumkan alasan tiada kenderaan. “Ada juga menunggu anak masing-masing untuk teman dan membawa mereka, namun disebabkan halangan kerja ia terpaksa ditangguhkan. “Terdapat juga menyuarakan dengan sebab urusan peribadi lain yang terpaksa didahulukan serta segelintir rakyat juga memberi alasan ‘tunggu dulu’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam. Jelas Dr Kasemani, pihaknya sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi penerima jika ada kekangan masa dan menetapkan tarikh penerimaan 'booster' baharu. “Di samping kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu, kita juga ada senarai nama pengganti, jika ada sebahagian daripada mereka tidak boleh hadir, maka kita telefon nama lain bagi mengisi kekosongan yang ada. Menurutnya lagi, Terengganu kini mempunyai 81 PPV dengan kadar kapasiti sehingga 13,000 suntikan dos penggalak sehari bagi memberi perlindungan optimum kepada lebih 700,000 penerima yang layak.
20 Jan 22
474
Proses Baik Pulih Masjid Kristal Dijangka Siap Menjelang Ramadan
Proses Baik Pulih Masjid Kristal Dijangka Siap Menjelang Ramadan
KUALA TERENGGANU, 20 Januari- Kerja- kerja membaikpulih kerosakan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam di sini dijangka siap menjelang Ramadan. Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, dua kerosakan besar yang berlaku kepada masjid tersebut iaitu kebocoran bumbung serta kerosakan 28 keping kristal yang dikenal pasti sejak tahun 2017, sudah siap sepenuhnya. “Jabatan Kerja Raya telah buat ujian ketahanan untuk memastikan tiada kebocoran berlaku dan PMINT dipertanggungjawabkan menyelia kerja-kerja tersebut. “Sekiranya masih berlaku kebocoran, kita akan pastikan ianya dibaiki semula kerana masih dalam tempoh waranti,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Wan Adnan berkata, terbaru PMINT mendapat peruntukan sebanyak RM700,000 daripada kerajaan negeri untuk kerja-kerja membaiki dinding parapet, siling dan elektrikal. “Kini, kerja-kerja tersebut dalam proses dan dijangka siap sebelum Ramadan tahun ini bagi membolehkan Masjid Kristal digunakan untuk solat tarawih,” katanya. Katanya, setakat ini pihaknya telah berjaya menyelesaikan 40 peratus daripada kerja-kerja baik pulih keseluruhan. Tambah beliau, kerja baik pulih yang sepatutnya siap lebih awal tertangguh disebabkan beberapa masalah termasuk kekangan peruntukan, kontraktor juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masjid Kristal menjadi antara ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain dibina di tebing Sungai Terengganu.
20 Jan 22
2940
Kes Omicron Terengganu Meningkat, Dua Daerah 'Terselamat'
Kes Omicron Terengganu Meningkat, Dua Daerah 'Terselamat'
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan peningkatan kes varian membimbangkan (VOC) Omicron sebanyak 15 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 melibatkan VOC mencecah 108 kes. Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah tersebut 84 daripadanya adalah varian Delta dan sembilan lain melibatkan varian Beta. “Pada masa ini, hanya dua daerah tidak melaporkan kes Omicron iaitu Hulu Terengganu dan Marang, kesemua dilaporkan adalah kes import dalam kalangan Jemaah umrah yang pulang daripada Arab Saudi, baru-baru ini. “Ini bermaksud kes VOC jenis ini masih tidak melibatkan transmisi rakyat dalam negeri walaupun dalam kalangan keluarga. “Masing-masing yang terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri ketat di rumah, bagi mengelakkan penularan tempatan varian ini, pihak kami akan terus membuat pemantauan rapi terutamanya terhadap golongan pengembara daripada luar negara,” katanya. Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung dalam slot Bicara Jabatan Kerajaan di TVDI, pagi tadi. Tegas Dr Kasemani, pihaknya menekankan kepada seluruh masyarakat agar tidak memperlekeh dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat terutamanya melibatkan kuarantin kendiri. “Ada pihak ambil kesempatan, pakai gelang tetapi bercampur dengan orang lain dan tidak menghadkan diri di dalam bilik, terutamanya bila wujud VOC yang mudah berjangkit. “Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu, Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat); Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup,” jelasnya.
19 Jan 22
7459
Penerima Dos Penggalak Di Terengganu Meningkat
Penerima Dos Penggalak Di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Sejak pelaksanaannya pada tahun lepas, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak (Booster) (PICK-B) di Terengganu menunjukkan peningkatan dari segi penerima dan sambutan meskipun melaporkan kadar ketidakhadiran temu janji yang tinggi. Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata, sehingga semalam, seramai 241,745 orang telah disuntik dos penggalak mewakili 32 peratus daripada 753,900 orang yang layak menerimanya. Menurutnya, kadar ketidakhadiran melalui tarikh di aplikasi MySejahtera di Terengganu lebih 60 peratus, namun pihaknya optimis ia dapat diatasi menerusi usaha penyenaraian nama penerima sandaran serta pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘walk in’. "Sehingga hari ini Terengganu mempunyai 81 PPV di seluruh negeri supaya capaian dan kemudahan dapat diakses oleh masyarakat, peningkatan jumlah pusat ini melibatkan 39 buah PPV adalah kategori swasta, dua PPV daripada hospital swasta, 10 PPV luar kawasan, 24 PPV klinik kesihatan, enam PPV hospital. “Ini menjadikan kapasiti keseluruhan 12,809 ribu suntikan sehari, ditambah lagi dengan 3 PPV luar kawasan bermula 24 Januari di Kemaman akan menjadikan kapasiti pemberian dos penggalak di dalam negeri sehingga 13,000 dos sehari. “Pada peringkat awal, suntikan harian hanya mampu mencapai sehingga 1,000 sehari, namun kebelakangan ini sambutan orang Terengganu berjaya mencapai kadar 7,000 sehari,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi. Tambah Dr Kasemani, pihak JKNT turut mengadakan inisiatif menerusi PPV outreach bagi mendekati dan memudahkan urusan imunisasi penduduk di kawasan pedalaman.  
19 Jan 22
891
Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM
Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) sentiasa menekankan pemahaman serta pematuhan terhadap Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (pindaan 2018) dalam operasi kumpulan terbabit bagi gerak kerja berjalan lancar dan berintegriti. Presiden dan Pengarah Eksekutif, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, seksyen 17(A) merujuk kepada kesalahan oleh organisasi komersial yang boleh didakwa dan dihukum sekiranya kakitangan mereka melakukan kesalahan rasuah. Katanya, pelbagai perkara telah dipelajari lebih 200 barisan ahli lembaga pengarah daripada lebih 100 buah syarikat tentang tanggungjawab, tugas dan masalah yang timbul jika tidak mematuhi akta tersebut. “Impak perubahan sistem percukaian dan krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dan bisnes perlu berubah mengikut arus ini. “Kita yakin dengan Perancangan Strategik Perniagaan 2022 yang optimis serta momentum kejayaan mengharungi pandemik ini, akan menghasilkan peningkatan pendapatan lebih besar," katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Pengarah-Pengarah Korporat Kumpulan Terengganu Inc 2022, Duyong Marina, petang semalam.    Menurut beliau, antara perancangan pada tahun ini adalah melaksanakan pengoperasian pusat peranginan di Pulau Poh, Kenyir dan projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) utara di bawah kerajaan negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negara (UPEN) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Jelas Burhanuddin, pihaknya turut merancang untuk menyediakan lebih 400 peluang pekerjaan dengan keutamaan pada orang tempatan menerusi kekosongan di dalam GLC lain seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT). Sementara itu, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis penutup program tersebut termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah daripada pelbagai GLC negeri. Acara tertutup tahunan tersebut telah diadakan selama sehari bersama penceramah-penceramab jemputan yang merangkumi pelbagai perkara terutamanya tanggungjawab Pengarah syarikat menerusi sesi forum bertajuk 'Meningkatkan Tadbir Urus dan Kepimpinan : Dalam Suasana Pasca Pandemik'.
18 Jan 22
710
Konvokesyen Secara Bersemuka Babitkan 3,345 Graduan UniSZA, Ahad Ini
Konvokesyen Secara Bersemuka Babitkan 3,345 Graduan UniSZA, Ahad Ini
KUALA NERUS, 18 Januari – Seramai 3,345 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi tahun 2020 akan diraikan di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Kali ke-12  secara bersemuka selama lima hari bermula 23 hingga 27 Januari depan.  UniSZA dalam satu kenyataan  memaklumkan, konvokesyen akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. “Sebanyak sepuluh sidang dijadualkan akan berlangsung bermula dari Ahad ini, bertempat di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), UniSZA Gong Badak," ujarnya. Dalam masa yang sama, satu festival maya sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen turut berlangsung selama lima hari bermula Ahad ini. Katanya pelbagai aktiviti menarik sepanjang Festival Maya ini antaranya Pertandingan Membaca Berita, Penulisan Khat, Mewarna, Fotografi, e-Sport dan Tarannum Al-Quran. Sehubungan itu, UniSZA menjemput orang ramai untuk turut serta bagi memeriahkan lagi festival yang berlangsung secara dalam talian ini di platform You Tube dan Facebook.
18 Jan 22
716
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri
SETIU, 18 Januari - Barangan kraf tangan seperti lekar yang diperbuat daripada lidi nipah kini makin dilupai namun pengusaha kraf tangan lekar di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu masih lagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang berusia lebih 100 tahun. Salah seorang pengusaha, Fatimah Che Long, 66, walaupun sudah berusia, dia tidak pernah merasa penat atau bosan mengusahakan kraf tangan tradisi itu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan. Beliau yang menjalankan anyaman berkenaan sejak 18 tahun lalu berkata, meskipun pendapatan tidak seberapa kerana jualan barangan itu banyak bergantung kepada tempahan tetapi ia mampu juga memberi pendapatan sampingan untuk keluarganya. “Pada zaman dulu lekar dijadikan alas periuk panas tetapi  kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman. “Sekarang ada sesetengah lekar dibuat par untuk hantaran, tempat letak buah-buahan, bakul bawang dan ada juga yang dibentuk untuk hiasan, pasu bunga dan tempat letak mentol,” katanya. Menurut Fatimah, asas utama menghasilkan bakul adalah menggunakan lidi nipah dan selebihnya bergantung kepada kreativiti masing-masing. Tambahnya lagi, bekalan lidi nipah mudah diperoleh kerana kawasan terbabit dipenuhi rimbunan pokok nipah yang tumbuh liar sepanjang tebing sungai sambil berfungsi menghalang hakisan. "Paling utama pembuatannya memerlukan tujuh rumpun daun nipah dan setiap rumpun itu terdiri daripada 25 hingga 30 batang lidi nipah yang sudah matang.lebih 100 batang lidi diperlukan untuk menghasilkan satu lekar bergantung kepada saiznya.   "Proses seterusnya ialah membuat tapak bakul dan diikuti menganyam lidi itu secara berselang seli. Masa yang diperlukan tidak lebih setengah jam tetapi jika barang dihasilkan kecil, masa lebih lama diperlukan," ujarnya. Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia  mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah. “Kalau lidi yang lebih besar, mak cik hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit untuk hasilkan sebuah lekar,tapi kalau lidi yang bersaiz kecil dan halus, kerjanya agak rumit dan hampir 45 minit diperlukan untuk menghasilkan sebuah lekar. “Lekar ini dijual mengikut saiz antara RM8 hingga RM18 dan lekar yang dibuat daripada lidi nipah ini tahan lama hingga 10 tahun serta tak mudah rosak sebab lidinya yang kukuh,” katanya yang dapat menghasilkan lebih 200 lekar sebulan. Selain membuat anyaman itu di rumahnya beliau juga sering diundang untuk mengadakan demotrasi di progam-program tertentu yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.  “Memang mak cik risau, tak ada pengganti yang dapat sambung seni ini sebab sekarang orang muda tak minat nak buat lekar ni termasuk anak-anak sendiri...ada yang tak tahu pun lekar ni diperbuat daripada apa. “Makcik harap sangat akan ada pihak yang dapat meningkatkan semula industri ini dan makcik bersedia menjadi tenaga pengajar sebab ramai juga orang yang makcik ajar termasuk dari luar negeri, dia orang datang sini dan lihat bagaimana cara kami buat lekar,” katanya. Fatimah juga berkata, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja pernah mendapat sambutan dari luar negeri, malah turut mendapat sambutan daripada pelancong dari pelbagai negara termasuk China.
18 Jan 22
634
Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula
Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula
KEMAMAN, 17 Januari - Kilang Besi Perwaja di Telok Kalong, bakal dibangunkan semula dalam tempoh terdekat. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu JXR Manufacturing yang akan membangun semula kilang Perwaja Steel Kemaman. "Syarikat yang menghasilkan 'steel billet' ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak tujuh juta metrik tan kargo setahun. "Ini adalah perkara yang dinantikan oleh pemain industri dan akan memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat kelak," ucapnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid. Illustrasi Pelabuhan Kemaman yang baru. Dalam masa yang sama, beliau yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan dan agensi yang terlibat, perancangan itu dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat. "Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan ini mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan. "Kementerian juga yakin pembesaran pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus merancakkan pembangunan Koridor Pantai Timur," ujarnya.  
17 Jan 22
8475
Keresahan 256 Nelayan Dapat Perhatian ADUN Bukit Tunggal
Keresahan 256 Nelayan Dapat Perhatian ADUN Bukit Tunggal
KUALA NERUS, 17 Januari – Seramai 256 orang nelayan terjejas mata pencarian rezeki akibat musim Monsoon Timur Laut di sekitar Bukit Tunggal tidak tercicir daripada perhatian kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, beliau amat memahami situasi getir seorang penggiat laut yang juga ketua keluarga apabila tibanya musim tengkujuh.  “Sebagai anak yang membesar dalam keluarga nelayan, saya dapat menjiwai perasaan mereka. ‘’Oleh itu, saya guna peruntukkan khas dari Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Tunggal bagi membantu meringankan sedikit beban mereka dengan bantuan kewangan sebanyak RM300 seorang. “Kerja sebagai nelayan sepenuh waktu ini pendapatan tidak menentu dan jarang ada simpanan tetap, oleh itu kita mengambil usaha penyokong dalam ’’ katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Musim Tengkujuh Peringkat Dun Bukit Tunggal di Dewan Sivik Pulau Duyong, baru-baru ini. Menemubual salah seorang penerima, Abdullah Abdul Rani, 64, dari Kampung Banggol Limau, beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kecaknaan pihak MTD dalam menjaga kebajikan mereka. “Masa air kucoh ni, dok berani nok kelaut, hanya duduk baiki bot sahaja,’’ ujarnya yang telah berkecimpung selama 18 tahun sebagai nelayan. “Bantuan berupa wang tunai berjumlah RM300 ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut mencari rezeki beberapa bulan lepas,’’ katanya.
17 Jan 22
482
'Boleh Tampung Perbelanjaan Kami' - Penerima Pencen Rakyat
'Boleh Tampung Perbelanjaan Kami' - Penerima Pencen Rakyat
KUALA NERUS, 17 Januari – Rata-rata warga emas yang menerima bantuan kewangan pencen rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur dan terharu atas usaha keprihatinan di bawah kepemimpinan kerajaan negeri. Salah seorang penerima berasal dari Kampung Pulau Ketam, Mohammad Abdullah, 73, menyifatkan pemberian itu dapat menampung kos perbelanjaan bulanannya. ‘’Meskipun pada dahulunya kerja saya hanya memandu lori di sebuah syarikat swasta namun inisiatif ini sangat dihargai dan membantu golongan warga emas seperti saya,’’ katanya ketika ditemu bual selepas majlis penyerahan bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu Peringkat DUN Bukit Tunggal, baru-baru ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata bantuan RM600 setahun ini adalah untuk warga emas yang tidak menerima sebarang bantuan dari pihak kerajaan. ‘’Mewakili Kerajaan Terengganu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ibu-ibu ayah-ayah yang terpilih menerima sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan dari pihak kerajaan ini. ‘’Sumbangan ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan sumbangan warga emas yang telah lama bekerja sebelum ini dalam apa jua lapangan sama ada buruh, nelayan, petani dan sebagainya bagi memajukan sektor ekonomi negeri," jelasnya. Jelas beliau, bantuan itu juga termasuk kejayaan 18 daripada 20 manifesto dari 2018 sehingga 2021 tempoh pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan janji sebagaimana yang termaktub dalam manifesto Pilihanraya Umum lepas. “Jika ada rakyat dalam Dun ini yang layak tetapi terlepas pandang atau tercicir nama mereka, sila hubungi wakil kampung setempat untuk tindakan selanjutnya,’’ tambahnya.
17 Jan 22
652