lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Negeri Belanja 2,393 Nelayan Terengganu Perbaharui Lesen
Kerajaan Negeri Belanja 2,393 Nelayan Terengganu Perbaharui Lesen
BESUT, 24 Januari - Terengganu mengumumkan pembaharuan lesen nelayan bagi tahun 2022 akan ditanggung kerajaan negeri bagi membantu golongan nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, kos pembaharuan lesen yang ditanggung melibatkan 2,393 orang. "Hari ini saya hendak umum satu berita gembira yang kami telah putuskan. Biasanya jika hendak memperbaharui lesen nelayan, ada yuran yang perlu dibayar. “Pertama ‘fee’ sampan berjumlah RM2, yang kedua ‘fee’ peralatan (RM2) dan yang ketiga ‘fee’ matil (RM5) nama dia, menjadikan kos RM9. “Kos ini akan ditanggung kerajaan negeri bagi tahun ini. Doakan semoga kita dimurahkan rezeki supaya tahun-tahun yang seterusnya pun tidak perlu bayar,” katanya. Beliau mengumumkan berita baik itu ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Beting Lintang, di sini hari ini. Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan  Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II; Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Kota Putera; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu; Dato' Shahidan Embok. Menurut Dr. Azman, sebelum ini lebih 600 nelayan sampan di seluruh Terengganu tidak mempunyai lesen menyebabkan mereka dinafikan daripada menerima kelebihan dan elaun, dan subsidi yang diperuntukkan. “Alhamdulillah, pemberian lesen nelayan yang telah dibekukan sekian lama ini, gerakan ‘task force’ untuk mencairkannya bermula daripada negeri Terengganu. “Beberapa kali kita berjumpa YB menteri berbincang dan akhirnya apabila menteri setuju mencairkannya, negeri-negeri lain juga menerimanya,” katanya. Dalam projek tersebut, sebanyak 50 buah rumah kediaman nelayan bakal dibina melibatkan kos berjumlah RM7.6 juta melibatkan usahasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
24 Jan 22
363
KT Bypass Bakal Beroperasi Menjelang Aidilfitri Tahun Ini
KT Bypass Bakal Beroperasi Menjelang Aidilfitri Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Kuala Terengganu (KT) Bypass dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh hampir enam kilometer dijangka beroperasi menjelang Aidilfitri tahun ini. Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof, berkata kemajuan projek yang bermula pada tahun 2016 kini telah mencapai 92 peratus iaitu awal 18 hari dari tarikh yang ditetapkan. Katanya, projek KT Bypass dengan kos RM220 juta sebenarnya dijadualkan siap sepenuhnya pada September tahun ini tetapi dijangka siap lima bulan awal. "Selepas mendengar taklimat dan pihak kontraktor memberi komitmen untuk siapkan lebih awal iaitu pada April. "Jadi saya harap kemajuan kerja projek ini tidak ada masalah dan dapat dibuka kepada orang ramai menjelang raya tidak lama lagi," katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat tinjauan ke Tapak Projek Seliaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di Pejabat Tapak Projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas, di sini hari ini. Menurut Fadillah, jalan pintasan tersebut dapat memberi manfaat kepada 70,000 orang penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar. Tambah beliau, selain mengurangkan kesesakan trafik, pengguna juga dapat menjimatkan jarak dan masa perjalanan. "Projek untuk mengalirkan keluar kenderaan daripada memasuki Bandaraya Kuala Terengganu.  "Ini akan mengurangkan kesesakan didalam pusat bandar dan pada masa yang sama dapat mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya dengan penjimatan masa sebanyak 30 minit," ujarnya lagi. Antara skop projek ini adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir di Kampung Durian Burung dengan piawaian reka bentuk Jabatan Kerja Raya (JKR) U5.  Turut dibina adalah lima buah jejambat serta melibatkan skop naik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat. Selain itu, skop kerja lain adalah penyediaan sistem perparitan dan pembentungan yang sistematik, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pemasangan kelengkapan jalan, pengalihan utiliti dan pembinaan dua buah 'vehicular box culvert' (VBC). Sementara itu, satu lagi projek berskala besar menaiktaraf jalan raya akan dibuat di Kampung Kemat menghala ke Kuala Poh, di Hulu Terengganu, membabitkan kos RM27 juta, bermula Mac depan.         
24 Jan 22
10554
Pukat Tunda, Pembuangan Sampah Punca Penyu Mati
Pukat Tunda, Pembuangan Sampah Punca Penyu Mati
KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Aktiviti pukat tunda dan pembuangan sampah di kawasan berdekatan pantai, sungai dan perairan air tawar menjadi punca peningkatan kes kematian penyu khususnya dalam tempoh sebulan pertama tahun ini. Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, susulan itu para nelayan tempatan digesa mematuhi peraturan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 apabila menjalankan aktiviti penangkapan ikan terutamanya melibatkan bot pukat tunda di samping menggunakan peralatan Peranti Penyisih Penyu (Turtle Excluder Device). “Ini bagi mengelakkan berlakunya kematian reptilia marin ini akibat tersangkut dan lemas pada pukat tunda tempatan yang beroperasi di lautan, dengan alat tersebut haiwan marin yang terperangkap terlepas jika sekiranya memasuki ke dalam pukat tunda ketika operasi menunda sedang dijalankan. “Punca kedua kes sebegini dikesan apabila penyu ditemui terdampar mati di pesisir pantai, hasil siasatan mendapati terdapat sisa plastik di dalam badan mereka. “Plastik dan sisa buangan manusia adalah daripada masyarakat dan pengguna-pengguna laut termasuk para nelayan. Oleh itu, kempen ‘Save Our Sea’ yang telah diadakan adalah bagi memberi kesedaran kepada komuniti dan para nelayan supaya tidak membuang sampah ke laut dan kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Jelas Ruzaidi, pihaknya sentiasa menjalankan solusi berterusan dengan penguatkuasaan pematuhan peraturan perikanan kepada pengusaha bot nelayan di bawah Akta Perikanan 1985. “Kita juga menggalakkan agar pemilik vesel pukat tunda pantai untuk menaiktaraf vesel mereka supaya dapat melaksanakan operasi di kawasan perairan yang lebih jauh iaitu melebihi 12 batu nautika supaya tidak memberikan tekanan ke atas sumber perikanan di pesisiran pantai khususnya,” katanya lagi. Tegas Ruzaidi, sampah sarap yang dibuang di kawasan tidak sepatutnya akan hanyut ke laut sekali gus mengancam hidupan marin termasuk penyu. Susulan itu juga, beliau juga mahu orang awam untuk segera memaklumkan kepada Jabatan Perikanan atau menghubungi talian pusat komunikasi perikanan (Fish Comm) di 03-88885019 atau 03-88704058, sekiranya menemui penyu hidup atau mati untuk tindakan lanjut. Terdahulu, sebanyak 51 kes kematian reptilia berkenaan telah direkodkan di seluruh Terengganu tahun lalu manakala 11 kes dikesan sehingga bulan ini.    
24 Jan 22
692
Warga Marang Terima Potongan Harga Barang Dapur Sehingga 20 Peratus
Warga Marang Terima Potongan Harga Barang Dapur Sehingga 20 Peratus
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad  MARANG, 24 Januari - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan asas lebih murah antara 15 hingga 20 peratus menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat Marang. Penganjuran selama dua hari bermula 22 sehingga 23 Januari di Dataran Pejabat Daerah Marang tersebut menawarkan diskaun terhadap barangan dapur seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta produk harian lain. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian. “Penduduk setempat tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat memberi kemudahan untuk membeli barangan yang lebih murah berbanding harga di pasaran seperti pasaraya dan supermarket. "Saya juga berharap program ini dapat diwar-warkan kepada sedaramara dan sanak saudara agar dapat hadir untuk mengambil peluang ini bagi membeli bekalan yang secukupnya. "Inisiatif program sebegini harap dapat dipanjangkan lagi dimasa akan datang agar masyarakat yang terkesan dengan pendapatan dan pandemik Covid-19 yang melanda negara kita hari ini dapat mengurangkan sedikit bebanan harian," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di Dataran Pejabat Daerah Marang, Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa (KPDNHEP) Terengganu, Nor Azmi Lamisza, Ketua Cawangan (KPDNHEP) Hulu Terengganu, Fauzi Mamat dan Pembantu Ehwal Ekonomi LKIM Terengganu, Mohd Farhan Haminullah.
24 Jan 22
810
PERANTAU Platform Anak Rantau Perolehi Maklumat Kerajaan
PERANTAU Platform Anak Rantau Perolehi Maklumat Kerajaan
HULU LANGAT, 24 Januari - Anak rantau dari negeri Terengganu digesa agar lebih aktif menyertai segala program dan aktiviti yang dilakukan oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU). Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Awasi Mohamad berkata, melalui penyertaan program yang dianjurkan oleh persatuan tersebut, segala maklumat berkenaan insentif bantuan daripada kerajaan kepada rakyat dari negeri ini yang berada di perantauan akan diperolehi. "Kita sentiasa menganjurkan perjumpaan dengan mengadakan pelbagai program sosial, sukan dan melaluinya perkembangan semasa mengenai kerajaan negeri disampaikan. "Apabila bertemu kita akan dapat maklumat untuk disimpan jika berlaku apa-apa permasalahan, dalam masa yang sama memelihara kebajikan mereka," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyantuni rakyat Terengganu di Selangor yang terkesan banjir baru-baru ini, di sini, semalam Beliau mewakili anak-anak rantau telah dikunjungi oleh rombongan kerajaan negeri yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turun padang bagi menyantuni mereka yang terkesan banjir secara mobil. Dalam pada itu, Awasi berkata dengan menyertai persatuan PERANTAU juga memberi peluang anak negeri mengemukakan cadangan dan permasalahan untuk disalurkan kepada kerajaan negeri. "Saya juga mahu mencadangkan agar Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap kampung menyalurkan maklumat mengenai anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dengan menghantar senarai nama kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) masing-masing. "Tujuannya, agar segala maklumat terbaru mengenai rakyat Terengganu yang berada di luar ini dapat kita perolehi. "Sehingga kini, seramai 2,000 lebih yang aktif menyertai persatuan ini di negeri Selangor dan kita mengharapkan di masa akan datang akan lebih ramai menyertainya agar segala insentif ditawarkan kerajaan akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
23 Jan 22
669
Terengganu Jaga Kebajikan Perantau
Terengganu Jaga Kebajikan Perantau
HULU LANGAT, 24 Januari- Kerajaan Terengganu konsisten dalam menjaga kebajikan anak-anak negeri di perantauan dengan sentiasa mengambil cakna tentang segala keperluan dan masalah dialami untuk diberikan pelbagai bantuan. Sebahagian anak-anak Terengganu turut terjejas akibat banjir di Selangor baru-baru ini, memberi kesan besar dalam kehidupan mereka sehingga ada yang trauma dengan kejadian tersebut. Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, bersama pasukannya berkunjung ke setiap rumah untuk bertemu mata dengan mereka yang terkesan dan menyampaikan sumbangan daripada rombongan pihak kerajaan negeri dan juga badan bukan kerajaan (NGO). "Inilah usaha kita lakukan samada di peringkat kerajaan negeri mahupun di peringkat NGO yang sangat prihatin tentang denyut nadi rakyat yang berada di sini ketika mengalami musibah.  "Sumbangan yang disampaikan pada hari ini sebahagian besarnya adalah daripada Perbadanan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di bawah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) dan sebahagian lagi daripada warga negeri yang disalurkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Kelab Kebajikan Terengganu. "Beberapa NGO yang turut terlibat antaranya ialah Al-Azhar Care, Cakna Care dan beberapa lagi pertubuhan yang lain. Saya jangkakan sekitar 100 keluarga menerimanya dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70,000. "Alhamdulillah,setakat ini kita telah sampaikan semua sumbangan-sumbangan secara menyantuni dari rumah ke rumah yang mana kesemua mereka (penerima) ini telah dikenal pasti oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU)," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyantuni kesemua anak Terengganu yang terkesan banjir, di Selangor, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kemasik; Ir Saiful Azmi Suhali, ADUN Batu Burok; Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha PERANTAU; Awasi Mohamad. Salah seorang penerima bantuan, Fitri Yana Tumingan, berasal dari Hulu Langat yang berkahwin dengan anak jati Terengganu dari Ajil, Mohd Saifullizan Awang, mengakui teruja dengan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu itu. "Alhamdulillah boleh buat belanja sedikit untuk kami sekeluarga serta emak mertua yang berasal dari felda Bukit Bading, Ajil yang kini tinggal bersama kami kerana sudah uzur. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri. "Pengalaman banjir kali ini antara yang terburuk dihadapi selama tinggal di sini, memang boleh dikatakan tahun inilah yang paling memberi kesan disebabkan ramai yang terjejas dengan musibah yang dihadapi," katanya. Sementara itu, Awasi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan cakna sehingga menjejaki perantau di mana sahaja berada untuk dibantu dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara. "Sangat cakna dan prihatin sehingga bertungkus lumus untuk turun padang membantu anak-anak Terengganu di sini, seharian Hanafiah Mat berada di lapangan untuk turun berjumpa dengan kesemua mereka ini pada hari ini. "Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO juga telah turun menyantuni penduduk yang berada di Lembah Klang, sebelum ini pun telah ramai wakil rakyat yang telah turun bertemu dan membantu anak rantau ini," katanya.        
23 Jan 22
648
RM9 Juta Diperuntuk Bagi Program Pembangunan Desa Di Wilayah Ketengah
RM9 Juta Diperuntuk Bagi Program Pembangunan Desa Di Wilayah Ketengah
HULU TERENGGANU, 23 Januari - Sebanyak RM9 juta diperuntukan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi memperkasakan Program Pembangunan Keusahawan Desa di wilayah tersebut. Pengurus Besarnya, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata pelaksanaan dibawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK 12) itu bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dan melahirkan lebih ramai usahawan dikalangan mereka. "Melalui program itu, Ketengah akan melaksanakan kursus dan latihan, bantuan input peralatan, pembungkusan termasuk pelabelan dan menaik taraf premis bagi tujuan pensijilan. "Di wilayah Ketengah, kita ada 1,500 usahawan dan akan dibantu dengan mengatur pasaran untuk mereka," ujarnya di Majlis Pelancaran Produk Usahawan di Petron Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini. Dalam program tersebut, sebanyak 35 produk dari 10 usahawan diletakkan di ruang Kedai Mart di stesen tersebut. Tengku Ahmad Nadzri berkata kerjasama dengan Ketengah Properties dilihat mampu membantu usahawan luar bandar memasarkan produk melalui platform yang disediakan  Katanya, peluang tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan jualan mereka malah secara tidak langsung dapat meluaskan rangkaian perniagaan mereka. Menurut beliau lagi, sehingga kini 30 usahawan dengan lebih 50 produk makanan dan minuman telah berjaya memasarkan produk mereka di tiga stesen minyak di kawasan Ketengah iaitu di Bandar AlMuktafi Billah Shah, Bandar Bukit Besi di Daerah Dungun serta Bandar Cheneh Baru di Kemaman.
23 Jan 22
339
ADUN Batu Buruk Raikan Peniaga Kecil
ADUN Batu Buruk Raikan Peniaga Kecil
KUALA TERENGGANU, 22 Januari – Seorang peniaga di Pantai Batu Buruk, Faridah Kasim, 39, telah menerima sumbangan sebuah kanopi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Sumbangan tersebut telah diserahkan sendiri oleh Ustaz Muhammad Khalil yang turun bertemu mata dengan Puan Faridah di tempat beliau berniaga, kelmarin. Menerusi satu hantaran di laman Facebook ADUN Batu Buruk itu, beliau menyatakan sumbangan itu telah diberikan bagi memudahkan urusan perniagaan Faridah.  “Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan sumbangan ini dan saya boleh teruskan perniagaan saya di sini,” kata Puan Faridah ketika ditemu bual pemberita.  Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal telah berniaga selama 11 tahun dengan jualan ayam goreng, keropok goreng dan air minuman.  Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah wakil daripada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Batu Buruk, Puan Hadida Jauhari.  
21 Jan 22
413
Polis Terengganu Kesan Trend Baharu Edar Dadah
Polis Terengganu Kesan Trend Baharu Edar Dadah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari –  Polis Terengganu  mengesan taktik baru penyeludupan dadah  dengan menghanyutkan guni yang diikat dengan pelampung ke pinggir pantai bagi membawa masuk barang terlarang itu ke dalam negara. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, susulan itu, pihaknya berjaya merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 18.7 kilogram bernilai RM674, 244 yang ditemui terdampar di tepi Pantai Rhu Kubur, Jambu Bongkok, Marang pada Ahad lepas. Katanya, taktik tersebut digunakan  untuk mengaburi aktiviti penyeludupan tersebut selepas cubaan menyeludup melalui jalan darat gagal berikutan operasi besar-besaran yang dijalankan pihak narkotik diseluruh negara. "Dadah tersebut disorok di dalam 17 bungkusan teh Cina yang dilabel dengan tulisan tangan perkataan Cina bermaksud ‘lancar’. “Melalui taktik baru ini,  mereka telah melepaskan guni tersebut melalui pantai dan telah memaklumkan kepada pihak sindiket di Malaysia untuk mengambilnya. “Ini bermakna mereka bukanlah berhubung secara terus dengan pengedar tempatan dan tidak menolak kemungkinan perairan Terengganu dijadikan sebagai lokasi transit untuk membawa masuk dadah dari sempadan sebelum dijual ke pasaran di negara,”katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. Rohaimi berkata, kegiatan pengedaran dadah menerusi jalan laut itu terbongkar selepas seorang penduduk tempatan terserempak dengan tiga individu mencurigakan sedang mengangkat barang di kawasan pantai tersebut pada pukul 8 malam, hari tersebut. Walaubagaimanapun katanya, tiga suspek berkenaan bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa. Tambahnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Sementara itu, orang ramai dimohon memberikan kerjasama terutamanya mereka yang menetap di perkampungan pantai nelayan agar sentiasa peka kepada kegiatan sebegini untuk melaporkan segera kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur mencurigakan.  
20 Jan 22
2912
KKM Sekat Status MySejahtera Pemilik Sijil Vaksinasi Palsu
KKM Sekat Status MySejahtera Pemilik Sijil Vaksinasi Palsu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Kementerian Kesihatan (KKM) kini menyekat status MySejahtera lebih 1,000 individu yang dikesan mendapatkan sijil digital vaksinasi tidak sah dari sebuah klinik swasta di Marang. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sekatan itu dibuat bagi membolehkan pihak KKM menjalankan siasatan terhadap aplikasi MySejahtera mereka bagi mengesahkan ketulenan status vaksinasi. selepas pihaknya mendapati kesemua 1,223 daripada 1,900 yang terbabit tidak pernah menerima suntikan vaksin Covid-19 "Dokumen yang berkaitan telah dihantar kepada pihak vendor untuk dikemas kini status MySejahtera masing-masing  dan daripada jumlah itu, kita tidak pasti berapa ramai yang sudah siap atau dikemas kini MySejahtera mereka dan ia akan dimaklumkan pihak KKM kelak. “Dalam masa yang sama, seramai 23 individu yang berurusan dengan klinik tersebut juga membuat akuan bahawa tidak menerima vaksin walaupun status MySejahtera sudah merekod penerimaan vaksinasi. "Mereka juga mengaku ada mengambil suntikan tetapi sebenarnya adalah suntikan air suling atau garam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. Tambah beliau lagi, pihaknya turut dimaklumkan sesetengah jabatan telah memanggil kakitangan mereka yang disyaki terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi untuk siasatan dalaman Terdahulu, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang. Suspek yang ditahan pada 8 Januari lalu dipercayai melakukan perbuatan itu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lalu.  
20 Jan 22
732