Artikel "Utama" Terkini
KT Bypass Bakal Beroperasi Menjelang Aidilfitri Tahun Ini
Kuala Terengganu (KT) Bypass dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh hampir enam kilometer dijangka beroperasi menjelang Aidilfitri tahun ini.
31 Jan 22
303
Hospital Pengajar UniSZA Beroperasi Secara Berperingkat April Ini
Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini siap sepenuhnya dan menunggu untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
31 Jan 22
1353
Rumah RM180 Ribu Dijual Hanya RM54 Ribu
Percaya atau tidak, sebuah rumah dengan kos RM180 ribu akan dijual pada harga RM54 ribu sahaja.
31 Jan 22
120
Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta-kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbungan, di sini sejak semalam.
31 Jan 22
240
Adun Sura Zahir Takziah Atas Pemergian Bapa Azizul
Oleh: Naim Fadhilah
DUNGUN, 31 Januari- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik merakamkan ucapan takziah kepada jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan pemergian bapanya, Awang Embong, awal pagi tadi.
Wan Hapandi mengharapkan agar Azizulhasni sekeluarga tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan keluarga dapat menerima ujianNya dengan redha,” ujarnya kepada pemberita selepas mengziarahi arwah buat kali terakhir di rumahnya, hari ini.
Allahyarham Awang Embong, yang berusia 72 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada jam 2 pagi kerana menderita sakit strok.
Perkara itu disahkan oleh Mohd Razman Mohamad, 37, menantu kepada Allahyarham.
"Saya dan beberapa orang ahli keluarga sempat menemani dan menjaga Allahyarham sehingga nafas terakhirnya," ujarnya.
Allahyarham lebih dikenali sebagai sebagai ‘Pak Awang’ menghidap penyakit strok sejak lima tahun yang lalu.
Mohd Razman berkata, Allahyarham baru sahaja pulang setelah membuat rawatan di Hospital Swasta empat hari yang lalu.
"Allahyarham baru lepas mendapatkan rawatan kerana mengalami masalah paru-paru dan pulang ke rumah apabila disahkan normal oleh pihak Hospital," katanya.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.
31 Jan 22
254
Bercuti Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Terus SKS Airways
KUALA NERUS, 31 Januari - Syarikat penerbangan komersial terbaharu, SKS Airways, kini menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) ke Lapangan Terbang Pulau Redang bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perjalanan udara yang kedua selepas Berjaya Air diharap akan memacu industri pelancongan Pulau Redang yang terjejas akibat pandemik.
"Kini, percutian ke Pulau Redang semakin mudah dengan adanya penerbangan terus tanpa menggunakan kenderaan darat, sama ada pandu kereta sendiri atau menaiki bas sehingga ke jeti.
"Saya yakin penerbangan terus dari Subang itu akan membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke Pulau Redang," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways Inaugural Flight, Subang-Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja.
Katanya, penerbangan itu mengambil masa selama 1 jam 20 minit dengan kapasiti 19 penumpang termasuk kru penerbangan.
"Buat masa ini, SKS Airways beroperasi sekali penerbangan setiap hari sehingga 6 Mac dan akan bertambah pada dua kali sehari yang akan bermula pada 7 Mac nanti dengan harga tawaran serendah RM160 sehala," tambah Ariffin lagi.
Sementara itu, Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad, pemilihan Pulau Redang merupakan salah satu strategi untuk meluaskan pasaran syarikat penerbangan mereka.
"Selain itu, Pulau ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan dan pulau tercantik di Malaysia di samping mempunyai landasan kapal terbang.
"Pihaknya turut mendapat sambutan baik daripada pelancong yang memilih penjimatan dari segi masa dan jarak," jelasnya.
Tambah beliau, pihak SKS Airways juga menawarkan akses ke lawatan pulau-pulau lain dengan penerbangan bermula antara (LTSAAS) ke Pulau Pangkor mulai 25 Januari dan ke Pulau Tioman dari (LTSAAS) pada suku kedua 2022.
SKS Airways memulakan operasi dengan pesawat jenis Twin Otter yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik.
Pesawat itu juga turut membolehkannya mendarat dengan selesa di landasan udara pendek.
31 Jan 22
7150
JPNT Rangka Inisiatif Baru Tingkat Industri Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sedang merangka beberapa inisiatif baru bagi meningkatkan pembangunan industri pelancongan di negeri ini sekaligus dijangka berupaya mencapai sasaran tiga juta pengunjung pada tahun ini.
Antaranya mengenalpasti, merancang, mengadakan pelbagai program, aktiviti dan memperkukuhkan community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke Terengganu.
Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, buat permulaan, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menganjurkan bengkel halu tuju CBT selama dua hari, bermula semalam melibatkan semua pejabat daerah dan pengusaha CBT.
“Bengkel ini memfokuskan berkaitan hala tuju pelancongan berasaskan komuniti CBT dan pengkongsian pengalaman CBT Kalang Warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Hala Tuju Pelancongan CBT di Hotel Permai, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk), Ahmad Fathil Abd Ghani.
Fadli berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 28 CBT di negeri ini kini aktif membantu sektor pelancongan Terengganu, termasuk Kalang Warisan, Dataran Batu Putih dan Merchang Lestari.
“Pihak kami melihat CBT cukup unik, bukan sahaja mampu menjadi tarikan kepada pelancong malah menambah sumber ekonomi kepada penduduk setempat.
“Pada masa sama, mengeratkan hubungan persaudaraan antara penduduk dan mampu mempamerkan kelebihan kampung kepada pihak luar, termasuk pelancongan asing,” katanya.
Menurutnya, program CBT diterajui sepenuhnya komuniti, JPNT hanya membantu dari segi khidmat nasihat, penambahan infrastruktur, promosi dan publisiti.
“Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk-produk CBT di daerah ini sentiasa terpelihara, memiliki keunikan tersendiri, menjana idea baru yang relevan serta mempergiatkan lagi aktiviti promosi dari masa ke masa,” ujarnya.
30 Jan 22
492
"Sempat Lari Berpakaian Solat" - Mangsa Kebakaran
KEMAMAN, 30 Januari – “Pada jam 7.40 pagi, saya yang masih berpakaian solat sempat menyelamatkan diri bersama keluarga," luah seorang ibu, Rosmi Yusof menceritakan kembali pengalaman pahit dialaminya dalam kebakaran di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi.
Ibu berusia 54 tahun itu berkata, dia menyedari insiden tersebut setelah dihubungi jiran terdekat yang melihat jentera Bomba mengelilingi kawasan perumahan tersebut.
Rosmi berkata, dia bersama dua orang anak sempat menyelamatkan diri bersama seorang suami yang terlantar sakit akibat menghidap strok sejak enam tahun lalu.
“Pada saat getir itu, saya memberitahu anak-anak supaya ambil apa yang perlu sahaja, sekarang ini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggan.
“Antara kerosakannya adalah mesin membuat kuih murukku, salah satu sumber pendapatan saya bagi menyara keluarga,” katanya yang juga diantara 32 penghuni di tujuh buah rumah yang hangus dijilat api.
Namun begitu, Rosmi amat berterima kasih terhadap kecaknaan kerajaan negeri yang melawat tapak rumahnya dan memberi bantuan kewangan serta pembinaan semula rumah dengan peruntukan sebanyak RM420,000.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, sumbangan kewangan tersebut adalah daripada pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Pembangunan Persekutuan termasuk kerajaan negeri bagi meringankan beban.
Jelasnya, beliau turut menyarankan syarikat bukan berkaitan kerajaan dalam sama-sama menyalurkan derma dalam bentuk tanggungjawab sosial kepada Tabung Darul Iman bagi meningkatkan lagi keupayaan bagi membantu masyarakat terkesan akibat bencana.
30 Jan 22
409
Kit Pengurusan Jenazah Percuma Buat Warga Buluh Gading
KUALA NERUS, 30 Januari - Melihat kepada kos pengurusan kematian yang tinggi dewasa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim mengambil inisiatif proaktif dalam menyediakan kit pengurusan jenazah percuma bagi meringankan beban masyarakat Islam setempat.
Katanya, pihaknya amat memahami kos-kos berkaitan dalam pengurusan satu-satu kematian memakan sejumlah wang yang banyak.
“Oleh itu, kita telah putuskan untuk membekalkan perkakasan pengurusan jenazah secara percuma di Buluh Gading bermula pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Kit Pengurusan Jenazah peringkat DUN beliau, baru-baru ini.
Jelas beliau, set tersebut keperluan asas seperti kapas, kain kafan, setanggi, kapur barus dan air mawar yang digunakan untuk proses kafan jenazah dan kos setiap kit ini dianggarkan bernilai sekitar RM70.
“Tidak kira apa golongan sekalipun, B40 atau M40, miskin ataupun kaya, semua peringkat masyarakat kita akan usahakan.
“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban kewangan dan memudahkan urusan keluarga si mati,” tambahnya lagi.
Ridzuan juga menyarankan agar setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat menubuhkan badan khairat kematian dalam kampung masing-masing.
“Dengan penubuhan tersebut, ia cukup memberi kesan positif kepada setiap penduduk kampung serta merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
“Dengan adanya badan khairat kematian, pembiayaan pengurusan setiap kematian akan dapat ditampung dan peserta pula akan berpeluang untuk mendapat duit sumbangan,” jelasnya.
30 Jan 22
307
AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu
KUALA NERUS, 30 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perkembangan itu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, inisiatif tersebut juga diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya.
"Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini hari ini.
Tambah Ariffin, pihaknya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk terus bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri terbabit.
"Kita telah mengemukakan cadangan kepada AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu," ujar beliau lagi.
Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19.
Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini.
Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik.
"Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa," ujarnya.
30 Jan 22
2498