Artikel "Utama" Terkini
'Kenangan Kami Redah Banjir Untuk Majlis Akad Nikah'
HULU TERENGGANU, 26 Februari -Sepasang pengantin baharu, Zaleha Ahamad, 25, dan pasangannya, Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah, 26, tidak membiarkan banjir yang melanda menghambat rancangan majlis perkahwinan mereka.
Zaleha berkata, dia tetap mengharung banjir paras betis untuk menuju ke masjid bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi ini.
Katanya, majlis akad nikah sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid kerana rumah keluarga dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.
"Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.
"Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya, perasaan sedih tidak dapat digambarkan kerana itu majlis persandingan di pihak sebelah dirinya dan tidak menyangka kejadian ini berlaku dengan sekelip mata.
"Kita dah rancang sebulan lepas dengan anggapan banjir sudah selesai. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan pada anak cucu nanti," ujarnya lagi.
Tambah anak keempat dari enam beradik ini, khemah kenduri yang dipasang di perkarangan rumah juga turut dialihkan di atas jalan dan kira-kira 150 jemputan hadir memeriahkan majlis perkahwinannya.
26 Feb 22
859
Banjir : Beberapa Jalan Ditutup Kepada Semua Kenderaan
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Beberapa laluan melibatkan lima daerah di Terengganu ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat beberapa hari lalu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 8 pagi tadi berkata, bagi daerah Kemaman ia membabitkan Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh) yang dinaiki air sehingga 0.85 m serta Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas) yang ditenggelami air sedalam 0.80 m.
"Juga Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak) dinaiki air sehingga 0.76 m, Jalan Air Putih (Exit Tol Chukai) 0.20 m, Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) 0.76 m," ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan, laluan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh- Keruak (Kampung Jerubun) masing-masing turut ditenggelami air sedalam 0.80 m.
"Di Setiu pula melibatkan laluan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan) yang dinaiki air sedalam 1.25 m.
"Manakala Jalan Tepus-Kuala Jengai ( Kampung Rantau Panjang) di Dungun pula ditenggelami air sedalam 0.76 m," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, di Hulu Terengganu melibatkan laluan Jalan Simpang Gaung- Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) 1.20 m dan Jalan Bukit Diman- Tersat (Kampung Pengkalan Ajal) 1.90 m.
26 Feb 22
13199
APM Hulu Terengganu Bantu Pindah Mangsa Banjir Kuarantin Covid-19
HULU TERENGGANU, 26 Februari - Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) daerah ini membantu memindahkan 26 mangsa banjir kuarantin Covid-19, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, ia melibatkan empat keluarga dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong.
Katanya, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Khas Di Sekolah Kebangsaan Menerong sekitar jam 9 malam.
"Mangsa yang dipindahkan berusia antara dua hingga 58 tahun melibatkan lapan lelaki, lapan perempuan dan 10 kanak-kanak.
"Empat mangsa disahkan positif Covid-19 dan selebihnya sedang dalam tempoh kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada ahli keluarga mereka,"katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, operasi tersebut melibatkan empat anggota yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika memindahkan mangsa-mangsa berkenaan.
"Proses pemindahan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang diarahkan kerajaan.
26 Feb 22
376
Penternak Ambil Tindakan Pantas Pindah Lembu Elak Kerugian
HULU TERENGGANU, 26 Februari - Seorang penternak lembu disini mengambil tindakan pantas dengan memindahkan 13 ekor lembunya ke tempat yang lebih tinggi susulan paras air semakin meningkat di Kampung Paya Besar di sini sejak pagi tadi.
Mohd Afandi Hanafi, 37
akui akibat kerap berdepan masalah banjir dan beliau harus memikirkan cara terbaik bagi menggelakkan kerugian.
"Baik saya bertindak awal dan pindahkan lembu-lembu sebelum kawasan ini ditenggelami banjir.
"Jika lambat, saya terpaksa menanggung kerugian lebih besar sebab seekor lembu boleh mencecah harga lebih RM3,000 ke atas," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, banjir kali ini di luar jangkaan kerana kawasan tersebut biasanya dilanda banjir pada bulan Disember atau Januari.
"Dah beberapa malam sejak hujan lebat tak berhenti, tidur saya tidak lena. Risau banjir berlaku pada waktu malam dan haiwan akan lemas di kandang.
"Lagipun sudah banyak kali kandang haiwan ternakan saya ditenggelami air kerana hujan lebat yang berterusan dan banjir yang berlaku sebelum ini," ujarnya.
26 Feb 22
589
Banjir: 22 PPS, Mangsa Di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (SPBN) memaklumkan, sehingga jam 8:00 malam ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan empat daerah negeri tersebut.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan, daerah Kemaman menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan pembukaan 12 PPS melibatkan 162 keluarga dan seramai 581 mangsa.
Seterusnya, daerah Setiu membuka empat PPS dengan 54 keluarga melibatkan 154 mangsa terpaksa dipindahkan.
Besut dan Hulu Terengganu pula masing-masing telah membuka tiga PPS.
Bagaimanapun, jumlah mangsa dipindahkan di Hulu Terengganu meningkat daripada 351 mangsa (83 keluarga) kepada 413 mangsa (103 keluarga).
Manakala, di Besut mangsa dipindahkan berjumlah 89 orang (20 keluarga).
Menurut pihak SPBN, jumlah keseluruhan mangsa meningkat daripada 975 mangsa kepada 1237 mangsa dipindahkan dengan peningkatan daripada 15 PPS, pada jam enam petang tadi.
Banjir dijangka bertambah teruk berikutan keadaan hujan lebat berterusan.
Justeru itu, semua penduduk Terengganu dinasihatkan berwaspada dan bersedia dengan keperluan bagi menghadapi situasi banjir.
25 Feb 22
1763
301 Peserta Undi Lot RTB Pertanian Di Kijal
KEMAMAN, 25 Februari - Seramai 301 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian (Kelapa Sawit) Felcra Lubuk Dalam 4, membuat undian lot masing-masing, semalam.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di majlis perasmian mengucapkan syukur dan tahniah kepada pegawai agensi yang terlibat dan peserta yang terpilih menyertai RTB tersebut.
"Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada kakitangan Felcra dan Pejabat Tanah Kemaman yang terlibat dalam menjayakan RTB ini dan semua yang terpilih menyertainya.
"Setelah sekian lama menunggu semenjak kerajaan yang lalu, banyak RTB pertanian berjaya diselesaikan dengan beberapa pertemuan dan proses teknikal dilakukan," katanya di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal.
Hazri menyantuni salah seorang peserta.
Menurut beliau, nilai semasa tanah RTB tersebut adalah RM100 ribu seekar dan peserta perlu membayar premium sebanyak RM40 ribu (empat ekar) dalam kadar 10 peratus daripada harga tersebut.
"Pada bulan Disember lepas, kami bersama Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felcra di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu premium ini.
"InsyaAllah, keputusannya agak positif bagi mengurangkan kadar premium ini dan ianya masih berjalan dan harapan agar ianya berjaya dikurangkan dengan kaedah yang dicadangkan," ujarnya.
Sebahagian peserta yang hadir.
Dalam masa yang sama, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh turut menerangkan proses selanjutnya selepas undian lot kepada peserta.
"Tempoh tiga bulan pertama yang berikan kepada peserta boleh lagi dilanjutkan ke tiga bulan seterusnya dengan memaklumkan kepada kami sebelum tamat tarikh tersebut.
"Kepada peserta yang bermasalah dari segi kewangan untuk membuat pembayaran premium tanah ini didalam tempoh yang diberikan, bolehlah merujuk kepada pihak kami untuk dipermudahkan," jelas beliau.
Turut hadir Ketua Bahagian Khidmat Sokongan Felcra Berhad Wilayah Timur, Sulaiman Mohamad, Pegawai Pemasaran Felcra Wilayah Timur, Mohamad Ismail dan Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad Hafiz Che Awang.
25 Feb 22
682
Cuaca Buruk, Angin Kencang Mulai Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, hujan sangat lebat berterusan dan angin kencang di kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka melanda mulai malam ini hingga esok.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia berikutan ketika ini sistem cuaca tekanan rendah berada di kedudukan 3.04°U 104.78°T di Laut China Selatan dan dijangka melanda sempadan negeri Pahang serta Terengganu pada lewat malam ini dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung.
Ia boleh menyebabkan hujan sangat lebat berterusan dan angin kencang di kebanyakan kawasan di Semenanjung.
"Ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan).
"Hujan sangat lebat berterusan dalam tempoh yang panjang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah. Justeru orang awam di kawasan terbabit dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor serta Sarawak, Sabah dan Labuan diramal berterusan hingga 28 Februari ini.
Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi.
25 Feb 22
6402
Kembara 'YBC Members 2022' Ke Langkawi Jalin Semangat Kerjasama
KEMAMAN, 25 Februari - Seramai 80 orang telah menyertai "Kembara YBC Members 2022" bermula dari sini menuju ke Pulau Langkawi, baru-baru ini.
Program kembara menaiki motosikal itu disertai oleh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata beliau memanjat kesyukuran di atas penganjuran program itu dan kelancaran pelaksanaannya.
"Alhamdulillah, kami berjaya melaksanakan program ini dengan sangat baik dan meriah.
"Banyak tempat yang telah berjaya kami singgah. Terima kasih saya ucapkan buat semua pihak yang terlibat dan telah sama-sama menjayakan program ini," ujarnya yang juga merupakan ADUN Cukai selepas tiba di pekarangan Pejabat Daerah Kemaman.
Tambah beliau, antara objektif penganjuran ialah merapatkan silaturrahim, mencari idea baharu di samping berkongsi pengalaman menarik sepanjang perjalanan.
Program kembara tersebut mengambil masa selama lima hari bermula 17 februari 2022 dan berakhir pada 21 februari 2022.
Kembara ini juga telah melalui beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kelantan.
25 Feb 22
585
Mangsa Banjir Di Terengganu Makin Meningkat
KUALA TERENGGANU, 25 Februari -Gelombang banjir kelima kembali melanda Terengganu hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.
Antara daerah yang terlibat adalah Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya hujan lebat masih berterusan.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, 13 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri ini.
"PPS yang mula diaktifkan pada hari ini ialah tujuh di Kemaman, tiga di Setiu dan Hulu Terengganu.
"Setakat ini, seramai 828 mangsa daripada 235 keluarga dari ketiga-tiga daerah telah berpindah ke PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai melepasi paras bahaya di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak setinggi 19.37 meter (m) berbanding 18.5 m dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.54 m (paras bahaya 14 m).
Enam lagi sungai di empat daerah kini melepasi paras amaran iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu (Sungai Berang, Sungai Peneh dan Sungai Telemong) serta Sungai Nerus di Kampung Langkap daerah Setiu, Sungai Dungun dan Sungai Tumpat di Kemaman.
25 Feb 22
2836
Terengganu Terima Peruntukan Tertinggi Pulihara Muara Sungai Cetek
SETIU, 25 Februari- Terengganu menerima peruntukan paling tinggi berjumlah RM1.16 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di negeri itu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian dari peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM1.6 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di seluruh negara bagi tempoh 2002 sehingga 2021.
Katanya, masalah muara sungai berlaku di seluruh negara, namun terdapat 14 muara sungai di Terengganu berbanding negeri lain yang hanya ada tiga atau empat muara.
Menurut beliau, sebanyak RM343 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, bagi pelaksanaan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.
"Salah satunya Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu yang menerima dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM150 juta yang telah bermula Januari lepas dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
"Selain itu, kos pembinaan struktur pemecah ombak, struktur training wall, lapis lindung
(revetment), penyuburan pantai (beach nourishment) dan juga kerja pengorekan alur navigasi
sepanjang 14 kilometer dari Kampung Gong Batu sehingga Jeti LKIM di Kampung
Penarik pula melibatkan peruntukan sebanyak RM116 juta." katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa peka dengan keluhan para nelayan yang terlibat dengan permasalahan muara cetek
yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Jelasnya lagi, menjadi salah satu keutamaan Kementerian Alam Sekitar bagi kelangsungan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat tempatan berjalan dengan lancar.
25 Feb 22
571