lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anjur Pemeriksaan Kesihatan Percuma
Anjur Pemeriksaan Kesihatan Percuma
KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma bagi penduduk setempat bertempat di perkarangan pejabatnya, semalam.  Program yang berlangsung bermula jam 9 pagi dan tamat pada jam 12 tengah hari itu telah mencatatkan 80 penyertaan dalam kalangan warga DUN Batu Buruk di peringkat usia dewasa serta warga emas.  “Antara yang menarik dalam program yang dianjurkan pada kali ini ialah ujian darah secara percuma khusus buat golongan B40 di bawah Skim Peka B40.  “Selain itu, kaunter Tabung Haji juga di buka untuk urusan pendaftaran dan sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan agensi tersebut,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemui pemberita.  Di samping itu, program ini juga menerima respon yang positif daripada orang ramai yang hadir.  “Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat atas penganjuran program yang baik ini kerana ia memudahkan orang kampung untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih dekat malah percuma,” kata Zabedah Ali, 53. Menurut Hanisah Nasuha Azib, 23, program tersebut berjalan dengan baik serta teratur dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang.  Program yang  melibatkan seramai 7 orang doktor perubatan itu juga turut melibatkan kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu Medical Team.  
24 Jul 22
530
'Bantuan i-Perantau Bukan Wayang Politik'
'Bantuan i-Perantau Bukan Wayang Politik'
KUANTAN, 24 Julai - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan pemberian bantuan 'one-off' kepada rakyat Terengganu yang berada di perantauan merupakan wayang sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 adalah tidak benar. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tohmahan itu sengaja diadakan bagi memburukkan kerajaan negeri yang serius menjaga kebajikan rakyat. Katanya, ia boleh dibuktikan dengan melihat data agihan dana berkenaan. "Bantuan ini telah diagihkan secara telus tanpa membezakan fahaman ideologi dan politik. Malah tidak perlu pakai kabel, cukup syarat, insya-Allah akan diberikan bantuan. "Boleh dikatakan semua wakil rakyat PAS yang dipilih ini berusaha sedaya mungkin untuk memastikan kekayaan negeri Terengganu ini dibahagikan sama rata. "Perkhidmatan yang diberikan selama ini telah memuaskan hari rakyat Terengganu, sehingga seluruh masyarakat khususnya anak muda pada hari ini jelas memberikan sokongan dan mahu melihat kerajaan ini dikekalkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir pada Program Penyerahan Dana i-Perantau dan Ramah Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan Sri Dagangan, di sini kelmarin. Dalam majlis berkenaan, seramai 380 anak Terengganu di Pahang telah menerima manfaat daripada sumbangan terbabit. Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, sebaik sahaja mengambil alih kerajaan pihaknya sudah memikirkan untuk mewujudkan bantuan tesebut. "Dua tahun lepas kita tidak lakukan kerana pada waktu itu semua sedia maklum bahawa negeri dan juga seluruh negara dilanda ancaman wabak pandemik Covid-19. "Sehingga tahun ini kita merasakan ini masa yang tepat untuk kita agihkan dana ini, sama ada i-Fitri untuk rayat yang berada di dalam negeri ataupun i-Perantau untuk mereka yang berada di perantauan," ujarnya. Dalam pada itu, Hanafiah turut menegaskan PRU tidak akan berlaku pada tahun ini. "Kemungkinan ia adakan diadakan pada tahun hadapan, jadi tidak kena jika setiap bantuan dan pemberian ini dikaitkan dengan PRU yang semakin hampir. "Sebenarnya mereka tidak boleh kata apa dah, bahawa rakyat Terengganu akan  terus memberikan sokongan kepada kerajaan ini, mereka ingin melihat sekali lagi kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ini memerintah," ujarnya.
24 Jul 22
451
Gol Kipre Bikin Penyokong Terengganu 'Berpesta'
Gol Kipre Bikin Penyokong Terengganu 'Berpesta'
KUALA NERUS, 23 Julai - Dua gol jaringan penyerang kesayangan ramai, Tcheche Kipre membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengatasi Kuching City FC, 4-1 dalam aksi suku akhir Piala FA 2022, sebentar tadi. Seawal minit pertama, Terengganu FC menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri dengan menggasak kubu Kuching City FC bertubi-tubi. Meskipun tanpa kehadiran dua tonggak import iaitu Pape Diakite dan Habib Haroon, skuad kendalian Nafuzi Zain tampak mendominasi permainan dengan Argzim Redzovic mengetuai barisan pertahanan. Pada minit ke-18, tuan rumah hampir dihadiahkan penalti setelah situasi kelam-kabut di hadapan gol pasukan pelawat. Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli membatalkan keputusan itu setelah merujuk pembantunya. Gol pendahuluan Terengganu FC hadir dua minit kemudian selepas pemain yang mendapat gelaran 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir menanduk hantaran lintang Azam Azmi Murad membolosi kawalan Mohd Iqbal Mohd Suhmi. Sang Penyu terus menguasai perlawanan sementara 'Il Gatto' (The Cats) lebih banyak bertahan. Anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim hanya berpeluang melakukan serangan pada minit ke-34 perlawanan. Tiga minit sebelum tamat babak pertama, salah faham antara barisan pertahanan Terengganu FC menghadiahkan pelawat gol penyamaan apabila Amir Amri Salleh menyambar tandukan Wan Mohammad Faiz yang dibiarkan pertahanan dengan rembatan padu melepasi Muhammad Rahadiazli Rahalim. Separuh masa pertama berkesudahan dengan keputusan 1-1. Bersambung babak kedua, Terengganu FC terus menggandakan serangan untuk jaringan kedua. Kemasukan Kipre menggantikan Kpah Sherman pada minit ke-60 membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Ivory Coast itu meledak dua gol dalam tempoh enam minit bagi mengatasi lawan. Jaringan pertamanya muncul pada minit ke-73 setelah menanduk deras hantaran Shitembi ke gawang lawan. Kipre kembali menggegarkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila menggelecek penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu untuk gol ketiga tuan rumah. Penyerang lincah kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim turut mencetak nama sebagai penjaring gol dan melengkapkan kemenangan 4-1 Terengganu FC dengan rembatan leret pada minit ke-87 perlawanan. Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC bakal melayan kunjungan Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA pada 5 Ogos ini.      
23 Jul 22
4420
Kontinjen Terengganu Tekad Kekalkan Kejuaraan Sukma
Kontinjen Terengganu Tekad Kekalkan Kejuaraan Sukma
Kontinjen Terengganu berkeyakinan untuk mengekalkan gelaran juara Sukan Malaysia (Sukma) menjelang 60 hari ke kejohanan tersebut yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur September ini.
20 Jul 22
208
70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan
70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan
KUALA NERUS, 19 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengredkan 70 rumah bot  yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu dan menaiktaraf perkhidmatan itu.  Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, berkata,  perincian pengredan sama ada mengikut penarafan bintang atau dikelaskan kepada kategori tertentu akan ditentukan kemudian bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi yang terlibat. Katanya,  keputusan untuk mengredkan rumah bot tidak semudah mengredkan  Premis Penginapan Pelancongan (PPP) yang dilaksanakan terhadap hotel bandar, hotel resort, hotel tanah tinggi, hotel butik dan hotel inovatif sebelum ini. “Ini kerana, perkhidmatan rumah bot yang dianggap hotel bergerak itu melibatkan banyak aspek teknikal terutama berkaitan sistem kumbahan, enjin bot, pengurusan bilik enjin, saliran ekzos, tangki minyak dan tandas. “Bagaimanapun, antara kriteria utama yang perlu dititikberat pengusaha bot dalam memastikan mereka layak diberikan pengredan adalah perlu mempunyai lebih 10 bilik, 50 katil, aspek keselamatan, kebersihan, penyediaan makanan dan penyaman udara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika beruca pada Majlis Penutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PremisPenginapan Pelancong Hotel Inovatif Kategori Houseboat anjuran Motac dengan kerjasama JPNT di Hotel Raia, Kuala Nerus, kelmarin.  Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir A. Aziz  Ar Rahim. Menurut  Mohd Zamri, penggredan yang akan dilaksanakan itu bukanlah satu mandatori kepada premis untuk memohon dan tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pengusaha rumah bot yang tidak membuat pemohonan pengredan.  “Hal ini sama seperti penggredan PPP sedia ada di mana pelaksanaannya adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun MOTAC akan sentiasa menggalakkan mereka untuk diberikan penggredan di bawah MOTAC.   “Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada industri rumah bot di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik,” katanya.
19 Jul 22
621
Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini
Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini . Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh secara berperingkat bermula akhir tahun ini. “Kita akan mulakan proses pembaikian monumen kincir Air  yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Taj Mahal dan Samarra. “Pihak kami juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita. Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam. Kompleks ini menempatkan 22 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia dari 20 negara. Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India). Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China. Kesemua 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.  
18 Jul 22
1023
Menu RM3.50 Manfaatkan Lebih 9,000 Pelajar UMT
Menu RM3.50 Manfaatkan Lebih 9,000 Pelajar UMT
KUALA NERUS, 17 Julai -Sudut Menu Keluarga Universiti Malaysia Terengganu(UMT) menawarkan pelbagai pilihan menu makanan dengan harga RM3.50  bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar, terutama golongan B40. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata inisiatif tersebut bakal memanfaatkan lebih 9,000 pelajar UMT  khususnya mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. "Dengan harga RM3.50, menu adalah berbeza mengikut pilihan 24 pengusaha makanan di dalam kampus, namun dapat membantu mahasiswa  untuk mendapatkan makanan dengan harga murah tetapi lengkap dengan nutrisi dengan menu asas adalah nasi, ayam dan sayur. "Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di kafetaria kampus,"katanya. Beliau berkata demikian di sidang media sempena Pelancaran Menu Keluarga UMT dan Dapur AOK-GR bertempat di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malek, di sini hari ini. Tambahnya, dengan adanya bantuan itu, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan. Bagi pelajar Tahun Satu  Kejuruteraan Perisian, Siti Nur Aisyah Abdullah, 21, menu yang disediakan memang membantu terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan. Katanya yang berasal dari Melaka, kebiasaannya dia dan rakan membelanjakan hampir RM10 untuk menu makan tengah hari berserta air. "Dengan adanya menu murah ini, kami boleh makan dengan rasa tenang dan tidak perlu bimbang untuk membeli makanan lagi. "Ia adalah inisiatif yang baik dan dapat membantu ramai mahasiswa untuk menikmati juadah," ujarnya.  
17 Jul 22
1045
TNB Juara Candat Sotong
TNB Juara Candat Sotong
Kemeriahan Fiesta Candat Sotong 2022 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berakhir dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melakar kejuaraan dalam acara utama mencandat sotong. 
17 Jul 22
365
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
17 Jul 22
258
Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
MARANG, 17 Julai- Seramai 216 graduan Institut Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Majlis Konvokesyen ILKBS Zon Pantai Timur Ke-17 dalam suasana norma baharu, hari ini. Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Besar  Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai itu melibatkan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, IKTBN Bachok, IKBN Kemasik, IKBN Pekan, IKBN Tanah Merah selain IKBN Wakaf Tapai sendiri. Graduan yang diraikan merupakan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma masing-masing daripada bidang Teknologi Elektrik, Teknologi Awam, Teknologi Mekanikal, Teknologi Automotif serta Teknologi Tekstil Hospitaliti. Hadir menyempurnakan penyampaian sijil dan diploma tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia Dan Sukan, Ramona Mohd Razali. Ramona dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen ini amat bermakna kepada Kementerian Belia Dan Sukan kerana telah berjaya menyempurnakan amanah untuk memberikan peluang pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) dalam pelbagai bidang kepada generasi belia. “Ia juga merupakan hari kemenangan istimewa kepada seluruh graduan yang telah membuktikan kegigihan dan usaha keras sepanjang mengikuti pengajian di ILKBS telah membuahkan hasil,” ujarnya. Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET menjelang tahun 2025 yang disediakan oleh 1,295 buah institusi dan penyedia TVET di Malaysia. “Ini merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan sebelas kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta,” jelasnya. Tambah Ramona, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma. “Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan, tidak mustahil TVET bakal menjadi pilihan utama pendidikan belia Malaysia,” jelasnya. Menurut beliau, TVET kini mejadi satu agenda penting negara untuk melengkapkan para belia ke dalam pasaran kerja termasuklah untuk mencipta pekerjaan sendiri. ILKBS yang merangkumi IKTBN, IKBN dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) adalah pusat latihan kemahiran di bawah Kementerian Belia Dan Sukan yang diwujudkan bagi pembangunan modal insan negara khususnya dalam memenuhi keperluan dan kehendak tenaga kerja mahir industri di Malaysia.  
17 Jul 22
1149