Artikel "Utama" Terkini
870 Penduduk di Hulu Terengganu Terima Hak Tanah
HULU TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 870 pemohon di daerah ini menerima dokumen hak milik tanah termasuk Jadual 5A selepas menanti puluhan tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan segera.
Katanya, penyerahan geran hak milik kali ini melibatkan enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) iaitu Padang Ragut Kampung Tapah, Bukit Tinggi, Kampung Basong, Bukit Nyior, Kuala Por dan Bukit Tualang.
"Selain itu enam Rancangan Tanah Felcra dan Felda di kawasan Hulu Terengganu iaitu Felda Mengkawang, Felda Tersat (Tambahan), Felcra Bukit Kapah III (Tambahan), Felcra Bukit Kapah (Belia), Felcra Kampung Tapah (Paya Burung) dan Felda Jerangau Barat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah & Pertanian, Rancangan Tanah Felcra dan Felda serta Penyampaian Jadual 5 A, Bagi Daerah Hulu Terengganu, di Dataran ATC Ajil, di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 84 daripada 360 peserta yang menerima Borang 5A hari ini, adalah peserta-peserta yang terkilan permohonan yang tidak diluluskan sebelum ini dan kerajaan negeri mengembalikan tanah berkenaan kepada pemohon asal.
Menurut Alias, kerajaan negeri juga meluluskan pemilikan tanah kepada 55 orang di RTB Padang Damar.
"RTB Padang Damar sudah lama wujud tetapi mempunyai isu berkaitan tanah yang mana isu pemilikan tanah sudah berlarutan lebih daripada 60 tahun," katanya.
Sementara itu, bagi generasi kedua Felda Bukit Bading, penantian hampir sebelas tahun bermula sejak Disember 2011 kini berakhir apabila mereka menerima hakmilik masing-masing pada hari ini.
"Prosesnya memakan masa yang lama kerana asalnya adalah tanah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, jadi pihak Pejabat Tanah perlu membatalkan terlebih dahulu tanah GSA ini untuk diluluskan secara Kanun Tanah Negara(KTN) dengan melalui proses yang panjang.
"Tanah GSA perlu kelulusan daripada Menteri, sokongan daripada Felda sebelum diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Alias.
04 Aug 22
1061
Lebih 10,000 Rakyat Terengganu Hadir Pelancaran PN
Bumi Terengganu melakar sejarahnya yang tersendiri apabila Pelancaran Perikatan Nasional (PN) semalam telah dihadiri lebih 10,000 rakyat Terengganu.
04 Aug 22
115
Kerajaan Negeri Lancar Pusat Panggilan Setempat TeCC
Kerajaan negeri hari ini, melancarkan pusat panggilan setempat Terengganu Contact Centre (TeCC) dengan penggunaan #6006000 sebagai satu nombor tunggal untuk pelbagai urusan kerajaan. #TVDarulIman #TRDI #UPDI #TerengganuMajuBerkatSejahtera
04 Aug 22
243
Duyong Marina Belanja RM4.4 Juta Baik Pulih Kemudahan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bagi membolehkan resort kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) melakukan kerja pengubahsuaian dan pembaikan secara menyeluruh bermula 1 Ogos 2022.
Pengurus besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, kos terbabit melibatkan renovasi keseluruhan kawasan termasuk chalet, bangunan Cindai, bangunan Marina serta peralatan mekanikal dan pendawaian elektrik.
"Kita juga akan membaiki apa jua kerosakan yang berlaku di sepanjang jeti, apa yang rosak kita akan gantikan semua, termasuk mengantikan dinding, atap bocor dan semua penghawa dingin kita akan tukar baharu.
"Proses ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023, setelah dibaik pulih pelbagai perancangan akan kita lakukan untuk membangunkannya kerana kita telah ada pelan induk untuk pembangunan di masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #SenyumSokmo, di Verandah Restaurant, DMR, di sini baru-baru ini.
Ujar Wan Mohd. Faizul, tindakan yang diambil itu sekali gus membuktikan segala aduan yang disuarakan pengunjung didengari oleh pengurusan DMR
"Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat terhadap setiap aduan daripada pelanggan apabila datangnya sebarang aduan kita memberikan tindak balas segera untuk kepuasan pengunjung sebab kita sentiasa 'on call' untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan.
"Menjadi masalah ialah aduan tidak diasalurkan segera, sebaliknya dimaklumkan selepas keluar dari hotel, saya rasa itu tidak wajarlah sebagaimana aduan yang pernah ditularkan dahulu mengenai bilik kotor dan rosak yang sengaja dihebahkan di media sosial sedangkan tiada sebarang aduan pun diterima.
"Kami mengambil sikap untuk tidak memanjangkan isu terbabit, kerana ia memerlukan masa dan juga kos jadi kami dinasihatkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pimpinan negeri agar tidak menyaman pihak yang melakukan dakwaan berkenaan, demi kebaikan apa teguran yang betul kita ambil tindakan dan atas tohmahan yang tidak betul, kita maafkan," ujarnya lagi.
04 Aug 22
1032
ECERDC Lahir 2,447 Usahawan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan 2,447 usahawan di bawah bimbingannya di Terengganu sejak 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata melalui program ini, pihaknya membangunkan modal insan, terutama dalam golongan B40, penganggur, suri rumah yang berkelapangan dan mereka yang memerlukan bimbingan perniagaan.
"Kita menggabungkan elemen latihan dan bimbingan dengan memberikan pendedahan tentang pengetahuan teknikal, kemahiran pengurusan serta kemahiran berkaitan pemasaran digital bagi membantu mereka menjalankan perniagaan secara formal.
"Dalam masa yang sama pihak kami mewujudkan satu jalinan kerjasama dengan universiti setempat bagi memberi tunjuk ajar kepada peserta,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan dan Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan Program Pembangunan Usahawan Mikro Baharu Empower ECER, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Dalam majlis tersebut, seramai 450 peserta dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu, menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM1,500 dalam bentuk barangan.
Menurutnya, kesemua peserta tersebut akan diberi bimbingan berterusan dari peringkat memulakan perniagaan hingga ke pemasaran produk.
Tambahnya, ECERD juga menyasarkan pelaburan sehingga RM70 bilion, 120 ribu peluang pekerjaan dan 60 ribu peluang perniagaan di wilayah ini bermula 2018 hingga 2025.
"Tiga elemen penting menjadi tumpuan iaitu membawa masuk pelaburan, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan di wilayah Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Kelantan,Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor," ujar beliau.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata agenda kesejahteraan rakyat akan terus diperkukuhkan menerusi penyediaan fasilitasi serta kemudahan kepada usahawan dan bakal usahawan termasuklah mereka yang menjalankan perniagaan secara tidak formal.
"Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta dibawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera
(TUGAS) khusus bagi pengukuhan kepada usahawan mikro di Negeri Terengganu yang diuruskan dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
"Kita juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.0 juta bagi Program Tunas Usahawan khususnya kepada para belia.
"Ini termasuk pelbagai aktiviti keusahawanan termasuklah latihan, promosi, penyediaan infra bimbingan berterusan terus dilaksanakan oleh agensi dibawah kerajaan negeri serta
agensi persekutuan di Negeri Terengganu," katanya.
04 Aug 22
555
Hospital Pengajar UniSZA Dibuka Kepada Orang Awam Tahun Depan
KUALA NERUS, 3 Ogos- Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA), dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada awal tahun depan.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, pembukaan hospital yang dibangunkan dengan kos RM281 juta akan membantu mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurut beliau, HPUniSZA yang dilengkapi 16 bilik bedah dan 10 bilik bersalin juga menyasar untuk beroperasi secara patuh syariah.
"Sebagai permulaan, HPUniSZA baru sahaja memulakan operasi secara dalaman dengan klinik untuk pembukaan perubatan am kakitangan dan pelajar UniSZA pada Isnin lepas
(1 Ogos).
“Melalui percubaan pembukaan ini, pengurusan HPUniSZA dapat meneliti keberkesanan pergerakan pesakit dalam proses mendapatkan rawatan, selain menilai dan menambahbaik perkhidmatan berkualiti sebelum ia dibuka kepada umum nanti,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Fadzli berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukkan 100 katil tambahan bagi melengkapkan fasiliti HPUniSZA supaya hospital tersebut dapat memberi perkhidmatan kepada umum sebagaimana dijadualkan.
Tambah beliau lagi, HPUniSZA bakal menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik apabila dibuka kelak termasuk rawatan pakar kepada pesakit jantung hasil kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) melalui pembukaan Klinik IJN.
“Harapan kita, pembukaan hospital yang dilengkapi peralatan canggih, berkonsepkan mesra ibadah dan menyediakan rawatan serta persekitaran Islamik secara holistik ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu,” katanya.
03 Aug 22
2636
Duyong Marina Rekod Pendapatan Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Hotel atau resort milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) mencatatkan pendapatan tertinggi sejak penubuhannya apabila memperolehi hasil RM10 juta tahun lalu.
Pengurs Besar DMR, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, pendapatan itu telah diraih melalui pelancongan domestik.
"Sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan tahun 2020 di mana pada masa itu disebabkan pandemik maka aktiviti pelancongan sebagaimana sedia maklum sangat terjejas dan pendapatan yang kita perolehi pada waktu itu ialah RM7.4 juta,"ujarnya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #Senyumsokmo, di Verandah retaurant, DMR di sini semalam.
Ujar Wan Mohd. Faizul, pada tahun ini pihaknya menyasarkan pendapatan sebanyak RM12 juta.
"Untuk mencapai sasaran ini ia agak mencabar dan kita juga melakukan 'renovation' di beberapa tempat, pelbagai cara dan usaha akan kita laksanakan termasuk memperkenalkan pelbagai produk baru.
"Kita akan berfikir di luar kotak bagi mencapai sasaran itu, jadi saya harap 'team sales' akan lebih kuat selepas ini, untuk masa sekarang kita akan terus pergiatkan promosi melalui perancangan yang telah kita aturkan mengikut jadual tahunan," katanya.
03 Aug 22
3273
Kerajaan Negeri Lancar Pusat Panggilan Setempat TeCC
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Kerajaan negeri hari ini, melancarkan pusat panggilan setempat Terengganu Contact Centre (TeCC) dengan penggunaan #6006000 sebagai satu nombor tunggal untuk pelbagai urusan kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, TeCC di bawah Unit Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berperanan sebagai pemudah cara komunikasi antara orang awam dengan agensi kerajaan.
“Diharapkan TeCC dapat berdiri setanding dengan pusat-pusat panggilan setempat yang ada di Malaysia seperti MyGCC yang diuruskan oleh MAMPU dan ONCC yang dimiliki oleh Kerajaan Melaka.
“Saya percaya dengan semangat dan azam yang kuat dibantu oleh kerajaan negeri, TeCC akan dapat berperanan secara maksimum,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran Terengganu Contact Centre (TeCC) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, cabaran selepas ini adalah untuk memastikan TeCC dapat berfungsi sebagaimana yang dihasratkan oleh semua dan peranannya juga signifikan dalam membantu kerajaan menjadi sebuah kerajaan sejahtera serta mesra rakyat.
“Justeru, perkhidmatan kepada rakyat perlu diberi mengikut peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan berdasarkan kepada keupayaan masing-masing agar tiada yang terpinggir dari menikmati arus kemajuan,” ujarnya.
03 Aug 22
596
JAS Keluarkan 17 Kompoun Kerana Ekzos Bising
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos–Sebanyak 17 kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu kepada pemilik motosikal atas kesalahan gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan.
Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, kompaun itu dikeluarkan sewaktu Operasi Bersepadu Bunyi Bising Kenderaan Motor selama dua hari bermula Ahad lalu mengikut Peraturan 4 (2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan.
Menurut beliau, satu notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan atas kesalahan yang sama.
“Operasi melibatkan Unit Kenderaan Bermotor (UKB) JAS Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.
"Sepanjang operasi ini diadakan, ratusan motosikal pelbagai kategori telah disaring dan diperiksa dengan 30 motosikal menjalani ujian visual manakala 18 motosikal lagi menjalani ujian meter sebelum mengeluarkan 17 kompaun," katanya.
Sehubungan itu, Ramli menasihati pemilik motosikal supaya sentiasa memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan yang baik serta mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Bermotor) 1987, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, terdapat had paras bunyi bising maksimum yang dibenarkan bagi motosikal dengan kaedah pengujian secara statik atau pecutan bebas atau ‘free acceleration’.
"Had bunyi motosikal dengan keupayaan enjin kurang daripada 90cc adalah 92dB(A), manakala bagi 90cc ke atas adalah 95dB(A) bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik yang ingkar.
"Pemilik kenderaan yang didapati melepaskan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000,” jelasnya.
03 Aug 22
538
Kerajaan Tambah Baik Projek Melon Manis – Dr Azman
Kerajaan negeri akan menambah baik projek Melon Manis Terengganu (MMT) bagi menghasilkan kualiti terbaik disebabkan permintaan terhadap MMT makin meningkat.
02 Aug 22
154