lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Terengganu Lunas Elaun Imam, Bilal Dinafikan Hak
Kerajaan Terengganu Lunas Elaun Imam, Bilal Dinafikan Hak
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kebajikan imam dan bilal mukim di negeri ini yang dinafikan hak semasa pemerintahan kerajaan terdahulu terbela apabila kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan bermula tahun 2019. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada 11 November 2019 sebanyak RM2.9 juta peruntukan telah diluluskan kepada 42 orang imam dan bilal yang ditahan elaun bermula tahun 2005 sehingga tahun 2018. “Alhamdulillah, pada hari ini kerajaan negeri telah meluluskan lagi peruntukan sebanyak RM242,925 kepada lima orang imam dan tujuh orang bilal yang tidak mendapat elaun mereka sepertimana yang biasa mereka perolehi, akibat daripada sebab-sebab tertentu termasuk apabila dilihat ada antara imam dan bilal ini mempunyai perbezaan pandangan politik ketika itu. “Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan iman dan bilal khasnya dan semua rakyat Terengganu amnya agar negeri ini sentiasa diberi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, hari ini. Menurut beliau, kerajaan negeri memberi peruntukan kewangan kepada 509 buah institusi masjid di negeri ini untuk melantik beberapa orang imam dan bilal bagi setiap masjid agar pentadbiran masjid berjalan dengan lebih sempurna.  
14 Sep 22
1434
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi itu berlaku akibat hujan lebat yang kini tidak menentu yang menyebabkan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir "Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan...kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir. "Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan.    "Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah olah disebabkan satu pembalakan tetapi ia tidak sebenarnya," katanya. Beliau berkata demikian di sidang media  selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman. Dalam masa yang sama katanya, Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat dari pembalakan. "Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah," katanya. Tambah Ahmad Samsuri, beliau telah membuat tinjauan dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir bagi melihat sendiri runtuhan bukit yang berlaku. “Saya dah lihat sendiri dan mendapati air keruh dan berkeladak di air terjun Tasik Kenyir itu tak ada kena mengena dengan pembalakan,” ujarnya.   
14 Sep 22
628
JHEAT Lapor Polis Terhadap Penyebar Video Tular
JHEAT Lapor Polis Terhadap Penyebar Video Tular
KUALA TERENGGANU, 14 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan membuat laporan polis terhadap pihak yang sengaja menularkan semula video tarian dan pesta arak yang berlaku pada 2017 di Pulau Perhentian. Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pegawai Penguatkuasa Syariah Besut telah membuat semakan dan mendapati video yang menimbulkan fitnah itu adalah video lama.  Katanya, tidak berlaku sebarang aktiviti seumpama itu di Pulau Perhentian dan selepas membuat semakan balik pada video berkenaan mendapati ia itu telah dipadam.  “Kalau diikutkan pada tarikh  yang diviralkan 10 September itu, tidak ada apa-apa aktiviti yang berlaku di pulau berkenaan dan saya difahamkan pada keesokkan harinya, pelancong tidak ramai yang berada di Pulau Perhentian berikutan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil. “Saya telah memohon Pegawai Agama Daerah Besut membuat laporan polis untuk membuka kertas siasatan tentang apa yang berlaku sebagai pengajaran kepada mana-mana individu supaya tidak melakukan perkara-perkara  yang tidak betul  dan boleh mencemarkan imej kerajaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media  selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman Sebelum ini, pada malam Selasa, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik video yang memaparkan sekumpulan individu berpesta dan menari yang didakwa berlaku pada 10 September lalu di sebuah lokasi di Pulau Perhentian.  "Pesta arak dan disko.. yang juga melibatkan bangsa Melayu.. September fest kot," tulisnya sebelum memadamnya pada pagi Rabu.  
14 Sep 22
6731
186 Bangunan Sekolah Di Terengganu Akan Dijadikan PPS
186 Bangunan Sekolah Di Terengganu Akan Dijadikan PPS
KUALA TERENGGANU, 14 September- Sebanyak 186 sekolah menengah dan rendah akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 156 membabitkan sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan tujuh sekolah agama. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, bangunan sekolah yang akan dijadikan sebagai PPS boleh menampung kira-kira 74,580 mangsa bencana banjir. Bagaimanapun katanya, proses pembelajaran tidak terjejas walaupun 186 bangunan sekolah dijadikan PPS. "JPNT akan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu kerana pelajar akan dipindahkan ke bangunan lain untuk mengikuti pembelajaran," katanya kepada media pada majlis perasmian Kayuhan Merdeka peringkat negeri di Dataran Anjung Ilmu, di sini, semalam. Majlis pelepasan peserta kayuhan yang turut disertai pelumba berbasikal kebangsaan, Mohd Harris Salleh dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed. Turut hadir dan menyertai kayuhan sejauh kira-kira 20 kilometer adalah Ketua Hakim Syarie, Datuk Wan Mohd Nazri Wan Mohd, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zulkarnain Yasin, Pengarah Muzium negeri, Muhammad Azmi Ngah dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Nukman Hashim. Abdul Muie berkata demikian ketika mengulas persiapan JPNT menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda Negeri Terengganu mulai November depan. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. Mengulas lanjut, Abdul Muie, berkata berdasarkan kepada bencana banjir tahun lalu, bukan semua bangunan sekolah akan digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.  
14 Sep 22
494
Keadaan Ahmad Amzad Bertambah Baik
Keadaan Ahmad Amzad Bertambah Baik
KUALA TERENGGANU, 14 September - Tahap kesihatan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad kini berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), ujar Dato' Dr. Kasemani Embong. "Hasil pemeriksaan awal mendapati tahap kesihatan dirinya stabil dan pasukan perubatan telah memberikan rawatan sewajarnya kepada beliau, pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kesihatan beliau dan menghormati permintaannya untuk pulang berehat di rumah," ujarnya yanng merupakan Pengarah Kesihatan negeri sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti 'Kabak Bukit' sempena Program Merdekadi Parlimen Kuala Terengganu 2022 melakukan separuh pendakian bukit setinggi 156 meter dari aras laut.. Beliau kemudian dibawa menaiki ambulans Pertahanan Awam Malaysia (APM)) dan dikejarkan ke HSNZ untuk menerima rawatan. Terdahulu, Ahmad Amzad bersama peserta program tersebut mendaki bukit itu selepas melakukan pelepasan peserta yang berkumpul di kawasan terbabit pada jam 7 pagi.  
13 Sep 22
93
Kerajaan Bina 587 Rumah Baru di Teluk Kalong
Kerajaan Bina 587 Rumah Baru di Teluk Kalong
KEMAMAN, 13 September- Projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan bercampur bernilai RM102.7 juta akan dibina di kawasan Teluk Kalong melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak pemaju iaitu Syarikat Arus Juta Sdn. Bhd. Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 57.94 ekar dalam tempoh lima tahun melibatkan dua fasa bermula Julai tahun lalu dan dijangka siap menjelang Julai 2026. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan tersebut merupakan salah satu usaha bagi merealisasikan kehendak rakyat yang selama ini berhajat memiliki kediaman sendiri. Jelasnya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut bagi memastikan kawasan itu selamat untuk diduduki setelah perumahan berkenaan siap mengikut masa yang telah ditetapkan. "Kita dimaklumkan oleh pihak pemaju bahawa tanah di kawasan ini perlu ditambah lagi dengan ketinggian lima kaki setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengelakkan kawasan ini daripada tenggelam. "Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan akan meneruskan proses pembinaan jambatan  dengan peruntukan RM12.5 juta yang akan disiapkan dalam masa 18 bulan bermula Oktober ini," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembangunan RMM dan Bercampur di kawasan Teluk Kalong, di sini hari ini. Untuk rekod, komposisi pembangunan yang dijalankan oleh syarikat Arus Juta Sdn Bhd itu membabitkan RMM jenis A yang bernilai RM80,000 sebanyak 123 unit dan Jenis B (RM185,000) sebanyak 361 unit yang direkabentuk mengikut spesifikasi Rumah Darul Iman (RAHMAN) merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Bagi pembangunan komersial pula bakal memberi peluang kepada golonagn M40 dan T20 untuk mendiami kawasan berkenaan dua jenis rumah teres dua tingkat (RM295,000)  dibina sebanyak 103 unit serta turut didirikan bangunan kedai pejabat satu tingkat (RM395,000) dibina sebanyak 14 unit.  
13 Sep 22
515
'Fokus Selamatkan Rakyat'- MB Terengganu
'Fokus Selamatkan Rakyat'- MB Terengganu
KEMAMAN, 13 September - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa ahli politik berhenti daripada terus menyusahkan rakyat demi agenda dan kepentingan peribadi. Beliau sebaliknya mahu ahli politik fokus menyelamatkan rakyat agar mereka berupaya untuk keluar daripada kemelut masalah yang dihadapi selama ini. Katanya, PAS dalam Muktamar Tahunan Kali Ke-68 baru-baru ini telah mengangkat tema 'Malaysia Sejahtera' membawa mesej yang jelas untuk menyelamatkan negara. "(Juga) menjadi salah satu tanda bahawa PAS bersama dengan rakan muafakat yang lain bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada bila-bila masa kita tidak kata mampu untuk mencapainya seorang diri tetapi bersama dengan muafakat politik. "Saya rasa sudah-sudahlah kita berpolitik yang menyusahkan rakyat yang menyebabkan mereka menjadi mangsa, kesejahteraan yang ingin dibina itu bukan pada parti tetapi kepada seluruh rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika hadir menyempurnakan Perasmian Pecah Tanah Pembangunan Rumah Mampu Milik dan Bercampur Kawasan Teluk Kalong, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, mengenai dakwaan terdapat ugutan sehingga Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sukar untuk menentukan tarikh PRU, menurut Ahmad Samsuri itu hanya kenyataan mereka yang berada di luar jemaah menteri. "Kita faham bahawa dalam kerajaan Persekutuan yang ada sekarang ini adalah keputusannya (melalui) jemaah menteri yang dibawa oleh Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong. "Yang penting jemaah menteri mesti buat keputusan yang dibawa oleh Perdana Menteri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.  
13 Sep 22
438
367 Nelayan Terengganu Terima Bantuan
367 Nelayan Terengganu Terima Bantuan
KEMAMAN, 13 September - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan kepada 367 orang nelayan di seluruh daerah di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi perolehan bantuan kepada nelayan. Katanya, seramai 62 orang nelayan pesisir pantai dari daerah Kemaman menerima bantuan berupa peralatan nelayan. “Bantuan peralatan tersebut adalah seperti pukat tangsi, alat mengesan ikan dan kawat bubu yang bersaiz 1.5 inci. “Bagi bantuan alat mengesan ikan, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan mengadakan kursus khas untuk para nelayan bagi menggunakan peralatan tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi dan Penyerahan Bantuan Peralatan kepada Nelayan Pantai bertempat di Pantai Kuala Penunjuk, Kijal di sini hari ini. Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Dr Azman, kerajaan negeri juga telah berusaha membantu para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan. “Terengganu merupakan satu-satunya negeri  menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak bagi menyelesaikan masalah isu lesen nelayan. “Penting bagi para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan untuk mendapatkan elaun sara hidup nelayan, minyak subsidi dan sebagainya,” katanya.  
13 Sep 22
462
Jambatan Baru Kuala Por Beroperasi, Beri Impak Ekonomi
Jambatan Baru Kuala Por Beroperasi, Beri Impak Ekonomi
HULU TERENGGANU, 13 September - Penduduk Kampung (Kg) Kuala Por ke Pasir Nering dan Kg Dusun kini menarik nafas lega apabila jambatan baru yang menghubungkan antara kampung tersebut kini telah siap dan beroperasi sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal dengan penjimatan kos walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19. "Berkat kesabaran penduduk atas ujian yang diterima tahun lalu, jambatan baru telah dibina dan ia lebih baik dari yang jalan asal malah mampu menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat. "Jambatan tersebut menelan belanja RM5.3 juta dibina sejauh 40 meter dan selebar 11 meter siap dua bulan lebih awal dari tarikh jangkaan asal dengan komitmen Jabatan Kerja Raya (JKR). "Ketinggiannya dari aras sungai ialah tujuh meter ketika air pasang dan mampu mengatasi banjir besar," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Perasmian Jambatan Kuala Por-Pasir Nering, di sini hari ini. Salah seorang penduduk, Siti Hajar Kassim, 36, menyuarakan rasa terujanya kerana setelah berbulan-bulan merasai kesusahan untuk berulang alik ke Bandar Kuala Berang akhirnya berakhir. "Saya mempunyai warung makanan dan untuk mendapatkan bekalan mentah, saya terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke pekan berbanding hanya 10 minit sahaja jika menggunakan laluan yang terputus ini. "Terima kasih kepada semua pihak yang menyelesaikan masalah yang membebankan orang kampung selama ini,"katanya. Terdahulu, akibat banjir besar yang melanda Hulu Terengganu pada awal tahun 2022, jalan tersebut runtuh  berpunca daripada 'culvert' yang roboh menyebabkan laluan dari Kuala Por ke Pasir Nering dan Kampung Dusun terjejas teruk sehingga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.
13 Sep 22
805
Rancangan Tempatan 2035 Rancakkan Pembangunan Setiu
Rancangan Tempatan 2035 Rancakkan Pembangunan Setiu
Pelaksanaan Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (Penggantian) yang mengambil kira pandangan penduduk setempat bakal merancakkan pembangunan di daerah tersebut.
13 Sep 22
215