Artikel "Utama" Terkini
Tiga Fokus Utama Cikgu Rosol Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 8 November - Tiga fokus utama akan diberi tumpuan calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid jika Perikatan Nasional (PN-PAS) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Katanya, beliau tekad mahu terus menambah baik segmen kebajikan, pendidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kelestarian hidup rakyat.
"Saya berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini dengan utamakan anak orang susah, anak yatim dan orang miskin.
"Contohnya kita akan bina lebih banyak rumah untuk elak rakyat membayar sewa bagi yang tidak ada rumah lagi.
"Keduanya, agenda pendidikan yang memastikan setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti mempunyai laptop dan jika terdapat orang susah, anak yatim yang tidak mampu membiayai pelajaran kerana masalah kewangan, boleh maklum kepadanya," katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Tajin, di sini hari ini.
Seterusnya beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, perkara ketiga ialah pembangunan setempat.
"Banyak aset yang perlu diketengahkan, kita ada Tasik Kenyir, Sekayu, Belukar Bukit, ada banyak bukit untuk program pendakian (hiking) yang perlu dijenamakan semula dan dibangunkan.
"Contohnya Sekayu yang menjadi tumpuan satu ketika dulu, sekarang hilang serinya, jadi kita akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kembalikan kegemilangan kawasan tersebut," tambah beliau lagi.
Berdepan saingan empat penjuru, beliau menghadapi tentangan Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional), Alias Ismail mewakili Pakatan Harapan (PH) sementara Mohd Khadri Abdullah calon Pejuang.
Rosol yakin mampu memenuhi kemahuan rakyat andainya diberi mandat pada PRU15 ini.
"Banyak perkara yang terbantut dan ketinggalan sebelum ini dan semuanya perlu diperbetulkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini," ujarnya.
08 Nov 22
702
Syarahan Umum Martabatkan Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk
Kerajaan negeri melalui Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu (R-TIHiLS) menganjurkan syarahan umum bertemakan 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria.
07 Nov 22
311
PRU15: Politik Matang Demi Rakyat- Amzad
KUALA TERENGGANU, 5 November- Penyandang Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Parlimen Kuala Terengganu menyatakan akan terus mengamalkan budaya politik matang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, beliau juga akan berkempen secara sihat tanpa memburukkan keperibadian pihak lawan.
"Kita sejak dulu mempromosikan budaya politik matang dan sejahtera. Ini pada saya perlawanan matang sifatnya dan InsyaAllah kita akan saksikan pertandingan yang sihat.
"Apa yang penting, rakyat dapat yang terbaik demi agama, bangsa dan negara, " ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu bertempat di Stadium Negeri Terengganu, hari ini.
Berkongsi kisahnya dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad Amzad memberitahu, mereka berdua mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi, malah mempunyai beberapa wawasan yang sama untuk pembangunan Kuala Terengganu.
"Kebetulan pula, kami berdua adalah bekas pelajar sekolah yang sama (Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di Kuala Nerus).
"Mohd Zubir adalah senior saya, jadi kami tak berkesempatan berada dalam sesi persekolahan yang sama, bagaimanapun hubungan kami terjalin erat dalam alumni sekolah melalui pelbagai program yang diadakan.
"Kami juga pernah tinggal sebilik sepanjang mengerjakan umrah pada tahun 1997 jadi, kami berdua akan mengamalkan pertandingan yang sihat supaya pengundi Kuala Terengganu dapat wakil yang terbaik," katanya.
Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai seramai 123,305 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam PRU-15 kali ini.
Selain Ahmad Amzad dan Mohd Zubir, dua lagi calon ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu serta Mohamad Abu Bakar Muda dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
05 Nov 22
369
PRU-15: Wan Hassan Hadapi Cabaran Lima Penjuru
DUNGUN, 5 November - Penyandang kerusi Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli akan berhadapan cabaran lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau akan menentang calon Barisan Nasional ( BN), Nurhisham Johari, Pakatan Harapan (PH), Mohasdjone @ Mohd Johari Mohamad, Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Noraisah Hasan dan Bebas, Ghazali Ismail.
Kertas penamaan calon terawal telah dihantar oleh calon daripada PH pada jam 9.02 pagi, diikuti PAS pada jam 9.05 pagi, Barisan Nasional (9.09 pagi), Bebas (9.12 pagi) dan PEJUANG (9.42 pagi).
Kesemua calon disahkan layak untuk bertanding oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dungun, Jusman Ibrahim dengan nama masing-masing akan dipamerkan di kertas undi mengikut turutan nombor calon, Peguam Ghazali (Bebas), Noraisah Binti Hasan (Pejuang), Dato' Dr Mohd Johari (Pakatan Harapan), Ustaz Sham (Barisan Nasional), Dan Ustaz Haji Wan Hassan (PAS).
Pada PRU Ke-14 yang lalu, Wan Hassan Mohd Ramli telah menang dengan majoriti 13, 119 dengan jumalah undi sebanyak 40,850 dengan mengalahkan calon BN, Dato' Din (jumlah undi 27,731) dan calon Parti Keadilan Rakyat , Hj. ABD Rahman Yusof (jumlah 6,683 undi).
05 Nov 22
681
PRU15: Saingan Empat Penjuru Di Parlimen Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November- Kerusi Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Perikatan Nasional (PN-PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon Parlimen Kuala Terengganu adalah Mohamad Abu Bakar Muda (PEJUANG), Datuk Mohd Zubir Embong (BN), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) dan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS).
Sebelum itu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abd Razak menamatkan proses penamaan calon secara rasmi tepat jam 10 pagi yang berlangsung di Stadium Negeri Terengganu sebelum kesemua senarai calon yang bertanding diumumkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memaklumkan penerimaan borang dari calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang diterima pada jam 9.05 pagi bersama pihak pencadang dan penyokong.
Manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi.
Selain itu, SPR turut menerima borang pencalonan dari Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS) pada jam 9.13 pagi serta calon parti BN, Datuk Mohd Zubir Embong pada jam 9.19 pagi.
Proses penamaan calon bagi Parlimen Kuala Terengganu kelihatan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.
05 Nov 22
1388
PRU15: 2,000 Penyokong Iringi Amzad Ke Pusat Penamaan Calon
KUALA TERENGGANU, 5 November- Hujan renyai tidak mematahkan semangat kira-kira 2,000 penyokong PAS yang hadir ke Pusat Penamaan Calon bagi memberikan sokongan padu kepada calon parti itu bagi Parlimen Kuala Terengganu.
Calon Perikatan Nasional (PN- PAS) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tiba di stadium Negeri Terengganu di sini pada jam 8.55 pagi bagi menyerahkan borang penamaan calon.
Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah bersama kira-kira 100 penyokong setia menjadi calon pertama tiba di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu pada jam 8.45 diikuti calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar pada Pejuang pada jam 8.49 pagi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zuber Embong bersama kira-kira 200 penyokong hadir ke pusat penamaan calon pada jam 9.12 pagi.
Pertembungan empat penjuru itu dijangka menarik kerana empat calon bertanding masing-masing mempunyai reputasinya yang tersendiri.
05 Nov 22
380
PRU15: Rosol Lawan Rozi Curi Tumpuan Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 5 November - Parlimen Hulu Terengganu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon daripada empat gabungan utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon P038, Adnan Abdullah di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu di sini, semalam.
Penyandang Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bertanding mewakili PN manakala BN diwakili Datuk Rozi Mamat.
Sementara itu, dua calon lain, Alias Ismail mewakili PH sementara Mohd Khadri Abdullah calon Pejuang.
Terdahulu Calon Pejuang, Mohd Khadri paling awal tiba di Perkarangan Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu pada pukul 8.10 pagi diikuti Alias (8.15 pagi), Rosol (8.20 pagi) dan Rozi (8.55 pagi).
Pada proses penamaan calon yang berlangsung di sini pagi tadi, kesemua calon hadir bersama wakil parti dan penyokong mereka lebih 5,000 orang seawal pukul 8 pagi.
05 Nov 22
622
Rayu Undi Di Universiti Malukan Diri
Tindakan 'merayu undi' di universiti dengan memaksa mahasiswa mengundi calon tertentu disifatkan sebagai keterlaluan dan memalukan diri sendiri.
03 Nov 22
1856
Syarahan Umum Martabatkan Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk
KUALA TERENGGANU, 3 November- Kerajaan negeri melalui Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu (R-TIHiLS) menganjurkan syarahan umum bertemakan 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang diberi nama Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk telah diperkenalkan pada 2 November 1911 bagi menjaga kedaulatan Negeri Terengganu.
“Hari ini (3 November), usia undang-undang ini telah mencapai 111 tahun satu hari dan syarahan umum yang dianjurkan bertujuan mendedahkan dan memartabatkan kepada umum satu undang-undang yang dijadikan teras pentadbiran Kerajaan Terengganu sehingga kini dengan beberapa pindaan yang dilakukan bagi memenuhi keperluan semasa.
“Undang-Undang yang digubal ini dapat memberi gambaran tentang kehebatan dan kekuatan daya pemikiran pemerintah terdahulu dalam mempertahankan negeri daripada ancaman musuh dan boleh dijadikan model untuk masa akan datang,” ujarnya.
Teks ucapan beliau dibacakan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali pada Majlis Perasmian Syarahan Umum 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, beliau berharap program sebegini akan terus diadakan agar banyak lagi bahan-bahan sejarah didedah dan diketengahkan kepada umum.
“Selain dapat memperkukuhkan jati diri, ianya dapat melahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat demi mempertahankan negeri dan negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata R-TIHiLS, anak syarikat Kerajaan Negeri yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2018 dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian, memperolehi, memelihara bahan-bahan pensejarahan dan perundangan yang berkaitan Negeri Terengganu demi memelihara jati diri bangsa dan kedaulatan Negeri Terengganu.
03 Nov 22
262
PRU15 : Rosol Calon PN Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 3 November - Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan calon pertama Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Jelajah Prihatin dan Pelancaran Jentera PN PRU-15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, malam tadi.
“Saya hendak tengok (Parlimen) Hulu Terengganu diisytiharkan memang (PRU15). Calon yang bertanding tidak lain dan tidak bukan ialah Rosol Wahid untuk Hulu Terengganu.
“Sepatutnya esok (hari ini) diisytihar (calon-calon PN Terengganu), tetapi kerana dia calon Bersatu, mewakili PN di kawasan Hulu Terengganu. Biar saya isytihar,” katanya.
Rosol yang juga penyandang kerusi Parlimen akan berhadapan dengan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat; calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd. Khadri Abdullah.
Terdahulu, PN Terengganu akan mengumumkan calon yang akan bertanding di lapan kerusi parlimen pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU-15 di Dewan Tok Guru Rusila Marang hari ini.
Daripada jumlah itu, PAS akan bertanding di tujuh kerusi parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut manakala Bersatu akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.
Kesemua calon PN di Terengganu akan menggunakan simbol bulan (PAS).
03 Nov 22
1042