Artikel "Utama" Terkini
Kelonggaran Pengoperasian UMT Berikutan Bencana Banjir
KUALA NERUS, 19 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengumumkan beberapa kelonggaran dan inisiatif terbaik bagi mengimbangi antara pengoperasian UMT dan kebajikan warga kampusnya memandangkan universiti tersebut turut terkesan dengan kejadian banjir yang melanda Terengganu ketika ini.Â
Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap warga kampus, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan secara dalam talian dan
tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan kelak.
"Aktiviti luar seperti kerja lapangan atau amali pula hendaklah dijadualkan semula kepada suatu tarikh yang bersesuaian, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, warga kerja UMT yang ditimpa bencana banjir boleh memohon cuti khas (cuti bencana) manakala warga kerja yang terjejas untuk hadir ke kampus/pejabat
disarankan untuk memohon Bekerja Dari Rumah (WFH) melalui Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing.
Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.
"Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk, " ujarnya.Â
Justeru katanya, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.
"Melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda negeri Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.
"Pastikan senantiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, " ujarnya.Â
Katanya, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Banjir di talian 09-6685059/4118.
19 Dec 22
322
Enam PPS Di Hulu Terengganu Dinaiki Air
HULU TERENGGANU, 19 Disember- Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini turut dilanda banjir sejak semalam sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya 'selamat' itu cemas dan kebimbangan.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata ia melibatkan PPS Balairaya Kampung Kepah, PPS Paya Besar, PPS Bukit Tok Bat, PPS Pengkalan Ajal, PPS Kampung Padang Setar dan PPS Kampung Lubuk Periuk.
"Kebanyakan mangsa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan ada sebahagiannya berpindah ke tingkat atas PPS.
"Pihak bomba sentiasa memantau dari masa ke semasa keselamatan kesemua mangsa bagi memastikan tidak kejadian buruk berlaku," katanya kepada pemberita ketika di temui di Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, di sini hari ini.
Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 19,601 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 4 petang tadi, mangsa daripada 5,699 keluarga kini ditempatkan di 243 PPS di lapan daerah.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 5,726 orang daripada 1,799 keluarga dipindahkan ke 50 PPS
Â
Â
19 Dec 22
1106
Jangan Sebar Berita Tidak Sahih - Polis
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih kerana ia akan mengundang kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lebih drastik terhadap mereka yang cuba gugat ketenteraman awam.
Katanya, ia termasuk menggunakan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi mereka yang melakukan kesalahan itu.
"Ada kes-kes yang berlaku di luar negara namun mereka mengwar-warkan seperti kejadian itu berlaku di negara atau di negeri iniÂ
"Jadi apa yang kita tengok tahun lalu benda ini berlaku dan kita tidak nafikan benda ini akan berulang," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Rohaimi berkata, tengah malam semalam berlaku satu lagi limpahan air dari cerun bukit di Kilometer 392 dan buat masa ini hanya satu laluan dibuka.
Menurutnya, laluan dari arah Ajil ke Kuantan saja dibuka buat masa ini manakala dari arah Kuantan ke Ajil masih ditutup dan pengguna LPT2 dinasihat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berwajib.
19 Dec 22
528
2,992 Pegawai, Anggota Polis Diatur Gerak Hadapi Banjir
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seramai 2,992 orang pegawai dan anggota Polis Kontinjen Terengganu sedia digerakkan dalam menghadapi bencana banjir yang sudah melanda negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ketika banjir yang melanda Terengganu semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan dan berlaku pertambahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut beliau, pihaknya ada menerima penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini dari beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya Kemaman, Besut dan Setiu.
"Kita tidak ada masalah dari segi kekuatan anggota bagaimanapun pihaknya mempunyai kekangan sedikit dari segi pengangkutan terutama untuk kerja-kerja memindah dan menyelamat mangsa banjir ke PPS.
"Buat masa ini kita guna aset-aset dari Terengganu sendiri dan kita turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selain aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).
"Tapi itu tidak mencukupi lagi, malah kita di maklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kelewatan bekalan makanan tiba di PPS, beliau berkata, semua pihak yang terlibat terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah buat yang terbaik dalam menyampaikan bantuan.
"Ini kerana kita tiada satu kenderaan yang berat, bot yang kuasa mencukupi untuk meredah arus yang deras dan satu lagi masalah adalah tempat itu sendiri yang baru pertama kali dilanda banjir.
"Jadi tiada persediaan awal bagi pihak kita dan ia tidak dijangka sebelum ini jadi kita harap mereka (mangsa) dapat bersabar kerana kita terima semua maklumat tersebut berikutan semua bilik gerakan kita beroperasi dengan baik," katanya.
Â
Â
Â
19 Dec 22
318
Golden Pharos Serah RM400,000 Zakat Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Golden Pharos Berhad menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM400,000 kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Zakat disampaikan Pengerusi Golden Pharos Berhad, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar
kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu majlis ringkas di Pejabat Maidam, hari ini.
Tengku Hassan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh anak syarikat iaitu Kumpulan Pengurusan kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd dan Persama Timber Corporation Sdn Bhd (RM50,000) manakala bakinya oleh syarikat induk.
"Agihan zakat ini adalah daripada hasil pendapatan syarikat serta anak-anak syarikat dibawah Golden Pharos Berhad bagi tahun ini.
"Selain sebagai tanda sokongan kepada pihak Maidam, dengan penyerahan zakat ini kami di Golden Pharos Berhad percaya ianya dapat sedikit sebanyak membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan dan meneruskan kelangsungan hidup mereka," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut.
Sementara itu, Shaikh Harun berkata, pihaknya berbesar hati menerima zakat perniagaan daripada Golden Pahros Berhad yang menjadi antara organisasi wajib pada setiap tahun menjalankan tanggungjawab mereka bagi turut serta membantu golongan asnaf.
"Sehingga semalam, Maidam menerima RM186 juta bayaran zakat di seluruh Terengganu dengan bayaran tertinggi ialah dari kategori zakat pendapatan.
"Kita sasar kutipan zakat tahun ini ialah RM240 juta sebelum 31 Disember ini dan yakin jumlah itu akan tercapai kerana kebiasaannya akan ramai yang tampil membuat pembayaran zakat dalam minggu-minggu terakhir ini," ujarnya.
19 Dec 22
306
Tiga Pesara Tentera Panjat Pokok, Demi Selamatkan Diri
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Tiga pesara tentera terperangkap lebih enam jam di atas dua batang pokok Leban apabila kawasan kebun di Paya Dadeh, Kampung Bukit Tok Bat di sini.
Banjir setinggi lebih semeter itu menenggelamkan kawasan tersebut hanya beberapa jam bermula 12 tengahari hingga menjadi seperti lautan.
Kapten Abd Latif Jamaludin, 54 , dari Kampung Undang berkata dia dan dua lagi rakannya Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42, seperti biasa mengusahakan kebun sayur
milik koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Hulu Terengganu.
Menceritakan detik cemas itu, dia bersama dua rakannya seperti biasa ke kebun pada jam 8 pagi, Ahad dan ketika itu hujan renyai.
"Tengah buat kerja tu, dalam jam 10 pagi hujan turun dengan lebatnya dan sekitar jam 12.45 tengahari, Rusli keluar untuk membeli makanan tapi gagal keluar kerana jalan dah mula ditengelami air.
"Kami berehat di pondok sementara menunggu hujan berhenti dengan harapan air surut sehingga malam namun sia-sia bila kereta ditenggelami air pada jam 1 pagi.
"Air semakin tinggi dan kami terpaksa memanjat pokok Leban yang berdekatan kerana semua tempat dinaiki air lebih dua meter bersama sedikit bekalan makanan seperti maggi dan biskut,"ujarnya ketika ditemui di lokasi.
Tambahnya, mereka bernasib baik kerana satu telefon masih berfungsi, dan digunakan untuk mendapatkan bantuan dari Mohd Fauzi Sufian, 51, yang berada diluar.
Namun katanya, bantuan sukar didapatkan susulan cuaca dan keadaan gelap yang membahayakan operasi menyelamat dilakukan.
"Pengalaman kami sebagai bekas tentera digunakan sepenuhnya bagi memastikan situasi selamat sementara menunggu bantuan tiba.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata dia dihubungi rakannya pada hari kejadian dan terpaksa menunggu sehari selepas itu untuk masuk ke kawasan terlibat.
"Saya masuk menggunakan bot awam dan menyusuri air lebih lima kilometer untuk sampai kepada mereka.
"Berpandukan tiupan wisel, saya berjaya menyelamatkan mereka pada jam 10 pagi tadi dan bersyukur ketiga-tiganya selamat," tambahnya.
Â
Â
Â
Â
Â
Â
 Â
Â
Â
19 Dec 22
425
Mangsa Banjir Terengganu Terus Bertambah
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Hujan tak ‘celik’ mata atau lebat sejak malam tadi sehingga kini menyebabkan jumlah mangsa terus meningkat di Terengganu kepada lebih 5,000 orang.
Marang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadikan keseluruhan tujuh daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.
Paling terjejas di Hulu Terengganu, apabila lebih 2,000 orang berada di 34 PPS di Telemong, Ajil dan Kuala Berang.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), 103 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu 40 di Besut, Hulu Terengganu (34), sembilan di Dungun, masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Marang, Setiu (11), Kemaman ( tujuh) setakat ini.
Seramai 13 orang daripada tiga keluarga terbabit di Kuala Terengganu, Setiu (725 orang daripada 227 keluarga), Dungun (196 orang daripada sembilan keluarga), Kemaman (598 orang daripada 146 keluarga), Besut (1712 orang daripada 461 keluarga) dan Hulu Terengganu (2207 orang daripada 732 keluarga).
Sehingga kini, hujan lebat masih berterusan dan dijangka jumlah mangsa banjir akan terus meningkat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada awal pagi tadi mengeluarkan amaran cuaca tahap bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan bermula hari ini hingga Selasa.
Â
Â
18 Dec 22
577
Banjir : Guna Jalan Alternatif
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Semua pengguna jalan raya di negeri ini dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif akibat penutupan beberapa jalan di Setiu, Besut dan Dungun.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kesesakan setelah jalan-jalan utama ditutup susulan bencana banjir.
"Di Kilometer (KM)67- KM68 Jalan Kuala Terengganu Ke kota Bharu (Petronas Permaisuri, Kampung Balik Bukit) tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan, pengguna perlu melalui jalan alternatif Batu Rakit- Pantai Penarik- Saujana- Kuala Besut- Tok Bali- Bachok.
"Besut, jalan Padang Luas ke Bukit Yong ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, jalan alternatif bagi pengguna adalah melalui Jalan Pantai Kuala Besut- Tok Bali -Bachok.
"Manakala di Dungun KM67 Jalan Jerangau- Jabor (Stesen Timbang JPJ Bukit Besi) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif melalui Tol Paka - Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2- Tol Bukit Besi (untuk ke Pahang), "ujarnya menerusi Kenyataan Media Polis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu menurutnya, setakat laoporan yang dikeluarkan sehingga 8.00 malam tadi dua jalan utama yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang yang masih boleh dilalui seperti biasa adalah Jalan Pantai Kemaman -Dungun - Marang- Kuala Terengganu - Setiu- Besut.
Serta LPT Pantai Timur Fasa II boleh dilalui oleh pengguna seperti biasa untuk ke Negeri Pahang.
18 Dec 22
264
Banjir Hulu Terengganu Makin Buruk, Lebih Seribu Mangsa Dipindahkan
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Keadaan banjir di daerah ini makin buruk apabila lebih ramai mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 6Â petang pada Ahad , seramai 1185 orang daripada 349 keluarga ditempatkan di 25 PPS yang mula dibuka sejak jam 12 tengahari.
Ketua Polis Daerah, DSP Hasmerra Hassan, ia melibatkan beberapa kampung seperti Kampung Lubuk Periuk, Kampung Pereh, Kampung Cheting, Kampung Belukar Bukit, Kampung Kuala Ping, Kampung Pangkalan Ajal, Kampung Tengkawang dan beberapa lokasi lain.
"Semua mangsa bencana banjir yang melibatkan perpindahan seramai (349) buah keluarga  berjaya dipindahkan ke (25) buah PPS yang telah ditetapkan dengan pantas dan tiada sebarang kemalangan jiwa yang terjadi.
"Turut serta dalam pemantauan dan operasi menyelamat mangsa bencana banjir kali ini ialah Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SMART Team dan Pasukan Sukarelawan (RELA),"Â katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, tujuh jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya segera berpindah ke PPS yang berdekatan jika kawasan yang didiami mengalami kenaikan aras air bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Â
18 Dec 22
446
'Kami dah banyak kali pindah ke PPS' - Mangsa
HULU TERENGGANU, 18 Disember - "Kami dah banyak kali pindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), setahun entah berapa kali dah," demikian kongsi Mariani Mohd Razali, 43, seorang daripada mangsa banjir di Kampung Tapah di sini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian banjir di kawasan itu sudah terlalu kerap berlaku hinggakan penduduk sendiri lali dengan keadaan itu.
Menurutnya, setiap kali tiba musim banjir, dia akan bersiap sedia untuk berpindah demi keselamatan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi pada kali ini suami terkandas di Besut dan gagal dihubungi.
"Air mula naik pada jam 9 pagi apabila air sungai Berua melimpah susulan hujan lebat sejak semalam.Melihat keadaan semakin teruk, saya buat keputusan untuk keluar ke PPS.
"Saya bersama tiga orang anak yang berusia 19 hingga lapan tahun terpaksa mengharungi air setinggi satu meter sejauh 500 meter untuk sampai ke PPS.Penat tapi demi keselamatan...terpaksa juga," ujarnya ketika ditemui di PPS Balairaya Kampung Tapah.
Malah katanya, kediaman mereka juga banyak kali dimasuki air hingga mengakibatkan peralatan dan kelengkapan rumah sering rosak.
"Sedih apabila memikirkannya, ada yang baru beli seperti perkakas elektrik tapi dah musnah lagi.Hanya redha dan tak mampu nak kata apa-apa, nasib baik dokumen penting dapat diselamatkan," jelas Mariani.
Seorang lagi mangsa banjir, Norazlina Abdul Wahab, 33, berkata sudah lebih tiga kali dia pindah ke PPS termasuk rumah ayahnya kerana kawasan rumah sering banjir.
"Mahu kata lelah pun sudah tak tahu... sebab banjir berlaku setiap tahun. Barang-barang di dalam rumah rosak akibat ditenggelami banjir tidak mengapa, janji anak-anak selamat," kata ibu kepada dua anak itu.
Â
Â
Â
18 Dec 22
267