Artikel "Utama" Terkini
Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Bantuan makanan kepada mangsa banjir di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak boleh diakses dengan kenderaan biasa di Terengganu akan mula diagihkan menggunakan helikopter hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, langkah drastik itu perlu dilakukan segera untuk memastikan mangsa banjir di kawasan terjejas yang terputus bekalan makanan tidak kelaparan.
Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan telah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk menggunakan helikopter pasukan penyelamat tersebut bagi tujuan itu.
"Bantuan pertama akan dihantar ke beberapa PPS di sekitar daerah Besut hari ini dan ke daerah lain yang turut terjejas.
"Semua mangsa di 310 PPS seluruh Terengganu jangan bimbang, kita akan segerakan penghantaran bekalan makanan dan kelengkapan yang lain untuk mereka.
"Kalau tak boleh guna kenderaan darat, kita hantar dengan helikopter agar kebajikan semua mangsa dijaga," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bagi mengulas isu tular tentang kekurangan bekalan makanandan kelengkapan lain di beberapa kawasan terutama di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.
Tambahnya, bencana yang berlaku sangat luar biasa kerana terjadi serentak di semua lapan daerah di negeri ini dan banyak laluan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah ditenggelami air dalam banjir buruk kali ini.
Sementara itu, beliau juga telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan komuniti setempat untuk menyegerakan bantuan terhadap aduan yang diterima.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh mangsa banjir di PPS yang terlibat walaupun persiapan rapi telah dilakukan namun masih ada kes-kes terpencil kekurangan makanan dan keperluan lain berlaku di PPS yang terjejas," katanya.
20 Dec 22
807
Lebih 1,600 Mangsa Dipindahkan Kali Kedua
SETIU, 20 Disember - Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 1,641 mangsa terpaksa ditutup dan dipindahkan ke lokasi lain selepas ditenggelami air berikutan banjir sejak Jumaat lalu
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.
“Kesemua PPS ini terletak di kawasan baharu yang ditenggelami air dan diluar jangkaan. Malah situasi bencana banjir kali ini agak berbeza namun mangsa telah pun dipindahkan.
“Dengan kekuatan lebih 3,000 anggota penyelamat semua agensi, pembahagian penugasan telah dibuat untuk memberi keutamaan di lokasi kritikal,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk, di sini hari ini.
Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.
Justeru itu, tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga perlu lebih tegas dengan kanak-kanak kecil yang bermain air kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa yang boleh mendatangkan mudarat.
20 Dec 22
188
PKM ADUN Batu Buruk Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir Telemong
KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk dengan kerjasama PKM DUN Telemong telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di sana, semalam.
Rombongan yang diketuai oleh ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menghantar kira-kira 250 pek makanan dan 300 pek barang mentah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jenderis dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jenderis.
Selain itu, rombongan misi bantuan tersebut juga menghantar sebahagian bekalan makanan di Politeknik Hulu Terengganu untuk dimanfaatkan oleh warga politeknik tersebut.
bantuan bekalan makanan untuk Politeknik Hulu Terengganu
“Suasana banjir yang berlaku di sini agak luar biasa dan Hulu Terengganu antara daerah yang sangat terkesan pada ketika ini selain Besut dan Kemaman.
“Kita diperingkat Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan terus menyantuni rakyat yang ditimpa musibah ini untuk membantu mereka,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.
Beliau turut menasihatkan agar semua menjaga keselamatan sepanjang tempoh musim tengkujuh ini.
Bantuan bekalan makanan untuk dihantar ke PPS SK Jenderis dan PPS SMK Jenderis
“Bagi yang berpindah ke PPS, matikan suis elektrik utama sebelum meninggalkan rumah dan elakkan bermain air banjir kerana kita bimbang ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya lagi.
Terkini, seramai 2,133 keluarga telah ditempatkan di 58 buah PPS dalam Daerah Hulu Terengganu.
20 Dec 22
262
60 Buah Rumah Di Kemaman Dipukul ‘Kepala Angin'
KEMAMAN, 20 Disember – Hampir 60 buah rumah terjejas akibat ribut ‘kepala angin’ yang melanda daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kejadian itu berlaku ketika banjir yang melanda di daerah berkenaan.
Katanya, kebanyakan rumah tersebut mengalami kerosakan di bahagian atap yang sebahagian besarnya diterbangkan ribut.
“Kerja-kerja membaik pulih sedang dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut giliran.
“Kami akan cuba tangani masalah ini dengan secepat mungkin supaya mereka boleh meneruskan kehidupan harian dengan lebih tenang dan selesa,” Katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada hari ini.
Tambah Hanafiah, semua pihak diminta bersabar dan mendoakan supaya kerja-kerja membaik pulih ini berjalan dengan lancar.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kepada semua jentera Parti Islam Semalaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai yang sentiasa komited membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.
20 Dec 22
355
Pertama Kali Berdepan Banjir Guru Cemas Ayah Strok, Dua Bayi Dalam Rumah
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Seorang guru yang pulang bercuti di kampung terpaksa mengharungi saat sukar apabila berdepan situasi cemas ketika banjir melanda kawasan kediaman kedua ibu bapanya di Kampung Telok Menara, Manir di sini.
Hani Mahirah Johari, 40, mengakui agak panik memandangkan ini kali pertama mereka sekeluarga mengalami situasi banjir kerana sejak 10 tahun tinggal di kampung terbabit, rumah keluarganya tidak pernah dinaiki air.
"Air mula naik petang semalam, bila sampai paras buku lali dalam rumah kami buat keputusan untuk pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Menara sebab ayah strok dan ada dua bayi berusia dua dan tiga bulan iaitu anak kepada adik-adik saya dalam rumah.
"Kami pindah dalam pukul 2 pagi tadi sebab risau air makin naik lagipun tidak biasa berdepan situasi banjir macam nie.
"Saya mengajar di Johor, kebetulan cuti sekolah balik kampung ziarah emak dan ayah, adik beradik lain pun sama ada yang pulang dari Sabah, Shah Alam tidak sangka pula kami yang jadi mangsa banjir kali ini, " ujarnya yang mempunyai 10 adik beradik ketika ditemui pemberita di PPS tersebut, hari ini.
Sementara itu, Wan Gayah Abdullah, 60, dari Kampung Banggol, Manir pula menyifatkan banjir yang melanda Negeri Terengganu kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini kerana sepanjang usianya dia tidak pernah berpindah ke PPS.
"Sepanjang tinggal disini rumah makcik tidak pernah naik air, tapi kali ini air cepat sangat naik dan arus deras.
"Sebaik air sudah mula mencecah lantai rumah, makcik empat beranak segera mengemas barang dan simpan di tempat selamat sebelum berpindah ke PPS ini dengan berjalan kaki.
"Ketika itu air sudah mencecah paras lutut di luar rumah. Makcik terpaksa berhati-hati untuk mengharungi banjir kerana bimbangkan keselamatan berikutan paras air agak tinggi ketika itu, bukan tak nak tunggu bantuan tiba tapi takut lambat sampai, sebab tu makcik sekeluarga redah juga air banjir, " ujarnya yang ke PPS kira-kira 11.30 malam tadi.
20 Dec 22
258
Empat Hospital Di Terengganu Terjejas Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Empat Hospital dan puluhan Klinik Kesihatan di negeri ini terjejas akibat banjir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat hospital tersebut melibatkan Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu.
Katanya, peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus.
“Laluan tersebut hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara sahaja.
“Bagaimanapun, hospital-hospital ini sudah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan yang mencukupi,” menurutnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Noor Hisham, sebanyak 40 fasiliti kesihatan juga terjejas banjir di Terengganu.
“Ia melibatkan klinik desa, klinik kesihatan, klinik pergigian, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan 15 tidak beroperasi,” katanya.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan bagi mencegah penyakit berjangkit berkaitan banjir.
20 Dec 22
607
Rugi RM50,000, Kedai Ditenggelami Air
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Seorang peniaga kedai makan dan produk pertanian reda alami kerugian RM50,000 apabila perniagaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu di Kampung Kepah di sini, ditenggelami banjir.
Mangsa, Wan Nora Wan Mustaffa, 42, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan di kedainya
selepas air naik mendadak akibat hujan lebat.
Berkongsi cerita, dia bersama suaminya Mohd Noor Abd Ghani, 63, tidak menyangka banjir kali ini lebih teruk dari 2014 dan dipenuhi lumpur.
"Pada hari Ahad, saat hujan lebat dan air sungai mula melimpah, saya dan ahli keluarga mengemas barang-barang di rumah ke tempat yang lebih tinggi.
"Pergerakan air sangat laju dan mula melimpah ke dalam kedai dan saya tidak sempat menyelamatkan barangan berat seperti peti sejuk dan
kelengkapan memasak yang lain yang ada di kedai hadapan rumah" katanya yang berpindah ke PPS bersama lima lagi anak-anaknya.
Menurutnya, walaupun biasa menghadapi banjir setiap tahun, namun dia tidak menyangka banjir kali ini besar hingga tidak sempat membuat persiapan rapi.
Wan Nora berkata, selain kedai makan, kediamannya yang terletak di belakang kedai turut ditenggelami banjir.
Tambahnya lagi, banjir terbaharu itu adalah kali kedua berlaku yang mana kedainya sebelum ini juga ditenggelami hingga mengalami kerosakan dalam banjir besar melanda awal tahun lalu.
20 Dec 22
264
Peniaga Tanggung Kerugian Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Kejadian banjir besar yang melanda mukim Hulu Telemong dekat sini telah mengakibatkan ramai peniaga terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit apabila barang perniagaan dan peralatan kedai rosak teruk sehingga ada yang terpaksa dibuang.
Salah seorang pemilik kedai peralatan memancing di Kampung Tengkawang, Mohd Safee Wahab, 56, berkata kejadian banjir itu di luar jangkaan memandangkan kawasan itu pernah dinaiki air tetapi tidak seburuk itu.
"Saya tak jangka banjir seteruk ini sedangkan dalam kejadian bencana itu pada Januari lalu, kawasan ini hanya dinaiki air melepasi paras O.5 meter.
"Saya sangka air hanya akan naik paras lutut, jadi ada barang saya sempat letakkan ditempatkan lebih tinggi namun semuanya juga turut terendam air," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini.
Mohd Safee yang kerugian lebih RM5,000 berkata, kerja-kerja membersihkan kedai kini dimulakan sejak pagi tadi selepas banjir surut.
Turut mengalami nasib sama, peniaga kedai runcit, Mas Atia Mohd Safee, 30 yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 apabila hampir separuh barang perniagaannya rosak dan terpaksa dibuang.
Dia berkata, kedainya itu ditenggelami banjir sedalam dua meter.
"Memang kami tak buat persediaan awal untuk mengalihkan barang-barang sebab kedai ini dibina tinggi dengan harapan mampu mengelakkan dimasuki air," katanya.
20 Dec 22
340
PPS Dah Jadi Rumah Kedua
KUALA NERUS, 19 Disember - Pusat Pemindahan Sementara umpama rumah Kedua bagi Rohani Mohamad, 58, kerana telah menjadi kelaziman penduduk di Taman Murni Permai terpaksa berpindah kerana kediaman mereka dinaiki air setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh.
"Memang rasa penat, sedih dan terpaksa menanggung kerugian namun Kali ini sepertinya mengulangi kembali banjir besar 2014.
"Air naik begitu cepat, dalam hanya beberapa jam sahaja mencecah separas pinggang dengansegala barangan seperti perabot, peralatan dan perkakasan elektrik segalanya musah dan rosak saya anggarkan kerugian dialami mencecah RM10,000 termasuk barang-barang perniagaan saya.
"Ketika kejadian saya tidak segera berpindah, kerana hendak lihat dulu setakat mana namun apabila air telah melebihi had saya bersama ahli keluarga yang lain segera ke PPS, memang beginilah tiap-tiap tahun namun kali ini lebih parah, baru minggu lalu ke sini, kali ini air naik lagi, kiranya tahun ini tiga kali," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di PPS SK Tok Jembal di sini, hari ini.
Katanya, pernah terfikir hendak berpindah namun mengenangkan nasib diri terpaksa terus menetap di Taman perumahan itu mendiami rumah yang ditinggalkan oleh arwah suami.
Sementara itu Zukahiri Yahaya, 29,yang merupakan penyewa kediaman di Taman Murni Permai telah mengetahui daripada awal mengenai kawasan tersebut sering dinaiki air.
"Namun saya terpaksa juga menyewa di sini, kerana isteri saya sambung belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin,hanya kawasan ini sahaja paling dekat dengan tempat isteri belajar.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya menghadapi banjir, setelah berpindah ke sini pada bulan Oktober yang lalu, saya tidak alami kerugian yang besar melainkan beras 10 kilogram yang baru sahaja dibeli, dan hanya sedikit sahaja sempat digunakan kerana air paras pinggang dan terlalu deras, beras saya yang diletakkan dalam bekas khas terlingkup dan dihanyutkan air begitu sahaja," ujarnya.
19 Dec 22
59
Mangsa Banjir Terperangkap Diminta Tingkat Langkah Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Mangsa banjir yang masih terperangkap diminta untuk meningkatkan langkah keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agensi berkaitan dan pihak keselamatan ketika ini giat menjalankan kerja-kerja menyelamatkan dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.
"Sejak malam tadi, usaha menyelamat masih berjalan.
"Kita doakan semoga situasi hujan lebat ini tidak berlarutan lebih buruk, " ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Beliau turut mengingatkan mangsa banjir yang masih terperangkap agar tidak menghampiri tiang atau kabel elektrik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, setakat 6 petang tadi, sejumlah 23,164 mangsa terjejas di seluruh Terengganu telah dipindahkan ke 267 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan kelapan-lapan daerah.
19 Dec 22
230