Artikel "Utama" Terkini
Maahad Tahfiz Jalin Kerjasama Strategik Dengan Kolej Komuniti
KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Komuniti Kuala Terengganu dalam memastikan pelajarnya terus mendapat kemahiran lain untuk menjamin kebolehpasaran apabila tamat pengajian kelak.
Acara menandatangani MoU itu berlangsung pada Majlis Mini Konvokesyen Kursus Tahfiz vokasional 2022 di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sambil disaksikan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Abdullah Suhaimi Zakaria.
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman diwakili Mudirnya, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal manakala Kolej Komuniti Kuala Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Ts. Ali Mamat.
Sempena majlis mini konvokesyen itu, seramai 52 pelajar maahad tersebut dianugerahkan sijil selepas berjaya menamatkan kursus pendek Program Peningkatan Kemahiran PSH Bermodul dan Bermodul (kredit) dalam bidang pendawaian elektrik dan jahitan pakaian wanita di bawah kelolaan Kolej Komuniti Kuala Terengganu.
Sementara itu, Muzaihar Kamal merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Komuniti Kuala Terengganu yang menawarkan kerjasama untuk melatih pelajar mereka dengan kemahiran yang diperlukan.
“Diharapkan dengan termeterainya MoU ini, jalinan kerjasama sebelum ini akan berterusan.
“Ini kerana gabungan pendidikan agama dan kemahiran amat penting kerana ia bukan saja memberikan ilmu agama berterusan kepada pelajar tetapi juga ilmu kemahiran yang pastinya mampu dipraktikkan sepanjang hayat.
“Kesinambungan antara bidang tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang muslim.
Justeru, gabungan bidang kemahiran dan bidang tahfiz di Kolej Komuniti mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit,” ujarnya.
20 Mar 23
741
Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Norway
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Besar Norway ke Malaysia, TYT Morten Paulsen.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedatangan TYT Morten Paulsen bertujuan mewujudkan kerjasama antara dua pihak yang mengembalikan manfaat kepada rakyat.
"Negeri Terengganu ingin mencontohi Norway dalam Pengurusan hasil petroleum dan gas agar lebih terancang.
"Serta mengurangkan kebergantungan syarikat-syarikat berkait Kerajaan (GLC) terhadap Dana daripada Kerajaan pusat semata-mata, " ujarnnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini.
"Terima kasih kerana sudi bertandang ke negeri kami, mudah-mudahan Terengganu indah di mata dan hati," ujarnya lagi.
20 Mar 23
313
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023.
20 Mar 23
242
Ihya Ramadan : Lebih RM900 Ribu Disalurkan Ke Masjid dan Surau Terpilih
Kerajaan negeri memperuntukan RM944,200 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Pejabat Agama Daerah bagi melaksanakan program Ihya Ramadan di masjid dan surau di seluruh Terengganu bagi tahun ini.
19 Mar 23
294
MB Cabar TikTokers Sertai Cabaran Hasilkan Video Menarik
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi cabaran kepada pengguna media sosial TikTok menghasilkan video kreatif yang terbaik dengan menyertai pertandingan dianjurkan kerajaan negeri.
19 Mar 23
97
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
SETIU, 19 Mac - Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot lewat petang semalam.
Mangsa Mahamad Harun, 63 nelayan tempatan dikatakan turun ke pengkalan bot Kampung Baru Penarik untuk memeriksa serta menguji keadaan bot untuk keluar menangkap ikan.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan 9.52 malam tadi.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula malam tadi dan diteruskan pagi ini dengan penglibatan jabatan dan agensi lain dengan melibatkan agensi penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahan Awam, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).
Serta unit anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu, Isteri mangsa, Kamariah Ali, 65 ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, tiada sebarang petanda pelik ditunjukkan sebelum kejadian dan suaminya turun ke pengkalan bot seperti biasa.
19 Mar 23
363
Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat
KUALA NERUS, 19 Mac - Orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab dengan menyalurkan aduan di saluran yang tepat jika berlaku penipuan jualan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata rentetan daripada peningkatan kos sara hidup, sebagai pengguna perlu tahu memainkan peranan untuk membuat aduan dan tahu untuk membuat tuntutan.
Katanya, terdapat sembilan saluran yang boleh mereka kemukakan salah satunya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang maupun berkaitan dengan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan yang diberikan mempunyai maklumat yang lengkap dengan nama premis yang dinyatakan.
“Sebarang maklumat pengadu adalah sulit… oleh itu, jangan teragak-teragak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan samada dengan meletakkan harga yang tidak munasabah, menyorok bekalan dan membuat penyelewengan barang-barang subsidi,”ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada program Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam.
Sementara itu, satu kajian indeks pemerkasaan pengguna Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama KPDN pada tahun 2020, Terengganu mencapai 68.80 peratus lebih tinggi berbanding dengan indeks nasional iaitu 63.10 peratus.
“Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna negeri Terengganu adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan peringkat kebangsaan,”katanya.
19 Mar 23
211
Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi
KUALA NERUS, 19 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu agar tidak menjual makanan dan kuih muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual makanan basi dan tercemar sekali gus membahayakan kesihatan orang ramai yang membeli makanan daripada mereka di bazar Ramadan.
Menurut beliau, pihaknya tidak mahu kejadian kes keracunan makanan yang berlaku setiap tahun sehingga ada mengakibatkan kematian berulang dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda dan gerai perniagaan mereka akan ditutup serta merta.
“Kalau kesalahan besar, kita akan arahkan tutup serta merta dan jika ada yang boleh dinasihat… kita nasihat sebab kita pun nak jaga juga lagipun masing masing nak cari rezeki.
“Mungkin dia buat tanpa sedar jadi kita nasihat untuk perbaiki kesalahan tu tapi kalau nampak ada orang dah terpaksa masuk wad kerana makan di kedai dia itu maka terpaksa tutup 14 hari untuk pulih balik kebersihan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam.
Katanya , makanan lebihan pada hari sebelumnya tidak sepatut dijual semula bagi mengelak mereka menjual makanan basi dan tercemar
Tambah beliau peniaga yang didapati bersalah menjual makanan basi boleh didenda maksimun RM10,000 dan dua tahun penjara di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Dr Alias turut mengingatkan pengusaha gerai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan makanan dijual kepada pengguna dengan memastikan makanan mereka tidak basi.
19 Mar 23
336
Produk Usahawan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Indochina
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan negeri melalui kerjasama Asean Mall bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal meneroka pasaran produk usahawan Terengganu ke Indochina.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihaknya telah berbincang supaya kerjasama ini dapat membuka ruang kepada usahawan tempatan yang mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara terutamanya melibatkan negara yang berdekatan.
"Usahawan Terengganu mempunyai pelbagai produk menarik dan berpotensi untuk menembusi pasaran Indochina namun mereka kekurangan informasi bagi menjalinkan perhubungan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.
"Jadi salah satu hasrat saya melalui YPU, kita akan cuba memudahkan urusan yang berkaitan terutamanya dalam membina rangkaian untuk memasarkan produk ke negara -negara berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Pengarah Operasi Asean Mall, Mohd Zamri Said.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuti YPU, Mohd Rashdan Muda dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani.
Tambah Nurkhuzaini, sehingga kini, YPU banyak membuka ruang kepada usahawan-usahawan Terengganu dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Menurutnya, namun begitu masih ramai lagi yang tidak memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sediakan oleh pihak YPU oleh mereka.
"YPU mempunyai bantuan-bantuan khas yang disediakan dalam membantu mereka untuk menjadikan produk mereka mudah untuk diterima masuk dalam pasaraya-pasaraya antaranya seperti bantuan pembungkusan, pelabelan, barcode dan fakta nutirisi.
"Dengan bantuan ini jugalah usahawan-usahawan dapat menembusi pasaran antarabangsa selain mendapatkan bantuan bagi mendapatkan sijil-sijil yang berkaitan seperti Sijil Halal dan GMP/HACCP," katanya.
17 Mar 23
267
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
KUALA NERUS, 17 Mac - Delegasi Kerajaan negeri bertolak ke Turkiye pada semalam bagi menyampaikan sumbangan lebih RM1.3 juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit dan Syria.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kutipan melalui Tabung Terengganu For Turkiye itu amat bermakna sebagai solidariti kerajaan terhadap nasib yang menimpa rakyat di dua buah negara tersebut.
"Alhamdulillah selama sebulan tabung ini telah digerakkan ke seluruh daerah, hasil ini berjaya dikumpulkan melalui agensi, Jabatan, masjid-masjid dan juga NGO di bawah PASrelief.
"Saya mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperolehi jumlah bantuan yang agak besar untuk membantu rakyat Turkiye.
"Melalui sumbangan ini kita akan menyampaikan bantuan berupa pek makanan sebagai persediaan menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, menyediakan dapur rakyat serta yang paling utama sekali akan menyumbangkan kontena bagi dijadikan rumah tumpangan sementara kepada mangsa gempa bumi di sana," ujarnya.
Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan negeri, berkata demikian ketika berucap pada Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
Turut menyertai rombongan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Soud Said.
Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, rombongan berkenaan akan berada di sana selama empat malam bagi menjayakan misi bantuan tersebut.
"Doakan kejayaan untuk misi pada kali ini, di atas sumbangan yang diberikan ini Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini tanpa henti menghulurkan sumbangan.
"Di sini saya ingin turut memaklumkan bantuan ke Syria akan turut disampaikan melalui sempadan antara Negara Turkiye dan Syria," ujarnya lagi.
17 Mar 23
257