lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bazar Aidilfitri: Peniaga Mengeluh, Pengunjung Hanya Ambil Suasana
Bazar Aidilfitri: Peniaga Mengeluh, Pengunjung Hanya Ambil Suasana
HULU TERENGGANU, 18 April - Rata-rata peniaga bazar Aidlfitri mengeluh apabila jualan pakaian serta kelengkapan menyambut hari raya kurang mendapat sambutan meskipun Ramadan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Seorang peniaga, Norazuwa Kamaruddin, 38, berkata, kebiasaannya setiap tahun,  jualan di bazar pasti mendapat sambu¬tan baik, namun berbeza tahun ini yang ternyata perlahan. Katanya, pada tahun lepas dia mengaut keuntungan walaupun negara ketika itu baru keluar dari fasa PKP buat pertama kalinya. “Kebiasaannya, pada minggu akhir, kami dah dapat kembali modal yang dilaburkan serta keuntungan jualan tapi kali ini ternyata jauh berbeza apabila modal masih lagi belum dapat sepenuhnya. “Saya tak berani nak tambah stok kerana gagal pusing modal yang sedia ada lagipun orang ramai kurang membeli sekadar cuci mata sahaja,” katanya yang berniaga baju kanak-kanak dan alat kosmetik. Dia yang dibantu kembarnya, Norazila Kamaruddin berkata, faktor kewangan mungkin menjadi penyebab orang tidak berbelanja ditambah pula harga barang sekarang yang mening¬kat. "Namun, saya tetap bersyukur. Masih ada yang membeli dan berharap jualan akan bertambah baik dalam beberapa hari ini," katanya. Seorang lagi peniaga, Rokiah Ibrahim, 55, memberitahu, dalam tempoh Ramadan ini jualannya merosot 60 peratus dan masih jauh daripada sasaran.  “Biasanya untuk tempoh ini jualan kita amat baik, tapi berbeza pada tahun ini mungkin sebab pada tahun lepas rakyat dapat keluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan terima pelbagai bantuan lain daripada kerajaan, maka kuasa membeli masih ada,” ujarnya. Katanya, selain itu jualan secara atas talian yang jauh lebih murah  menjadi pilihan orang ramai untuk membuat persiapan raya. "Ini mengakibatkan sebahagian peniaga bazar Aidilfitri menanggung kerugian teruk ekoran barangan yang dijual tidak laku," tambahnya.
18 Apr 23
6268
Mangsa Bencana Pertanian Terima Bantuan RM891,880
Mangsa Bencana Pertanian Terima Bantuan RM891,880
BESUT, 17 April - Simpati dengan nasib yang menimpa 724 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar akibat musibah banjir, kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan berjumlah RM891,880 kepada mangsa bencana terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini. Katanya, kesemua yang layak telah ditapis oleh Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Terengganu. "Saya kira rakyat sangat beruntung kerana Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai Tabung Bencana Pertanian sendiri. "Dalam masa yang sama kita turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang turut menghulurkan bantuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anun Man. Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, daripada 743 memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan, 19 daripadanya ditolak kerana tidak cukup syarat. "Antaranya sebagai contoh sektor penternakan lembu yang diternak secara lepas bebas, ada juga yang mengemukakan kepada kita angka sehingga beratus-ratus ekor tetapi tidak dinyatakan secara jelas di mana lembu itu ditenak.  "Kita tidak mengiktiraf kaedah penternakan seperti itu. Antaranya lagi permohonan ditolak kerana tidak mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan seperti tidak membuat laporan polis, selain itu juga perlu menunjukkan gambar di tempat berlakunya kejadian. "Sebab kita menguruskan ramai rakyat, ada yang jujur serta ada yang mengambil kesempatan, kerana itu kita menetapkan peraturan walaupun dilihat agak menyusahkan tetapi dilaksanakan untuk kita menjaga kepentingan semua pihak," ujarnya. Untuk rekod, sektor pertanian Terengganu mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh lima tahun akibat banjir besar pada 18 Disember lepas, setelah kali terakhir mengalaminya sebelum itu pada Februari 2022 yang hanya mengakibatkan sekitar RM2 juta.
17 Apr 23
751
Warga Emas Terharu Kerajaan Terengganu Bagi Duit Raya
Warga Emas Terharu Kerajaan Terengganu Bagi Duit Raya
MARANG, 17 April- Seorang warga emas menzahirkan kesyukuran kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 5,190 penerima Bantuan i-Fitri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini. Penerima bantuan, Mohd Ismail, 74, berkata, dia akan menggunakan pemberian tersebut untuk membeli baju raya buat dirinya selain lauk pauk yang akan dinikmati seisi keluarga pada pagi 1 Syawal. “Terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini, boleh pak cik gunakan untuk beli kelengkapan raya kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita pada program penyerahan bantuan tersebut. Majlis perasmian Porgram Penyerahan Bantuan i-Fitri DUN Rhu Rendang itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. Bagi Yusof A. Ghani, 68, pula, bantuan i-Fitri amat bermakna buat dirinya memandangkan kos sara hidup begitu tinggi ketika ini. “Biasanya tiap-tiap tahun  pak cik dapat ‘duit raya’ nie dan gunakan untuk keperluan harian, tapi tahun nie amat terasa sebab semua barang mahal. “Pakcik harap kerajaan negeri akan terus bantu rakyat melalui pemberian sebegini kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan seperti kami,” ujarnya. Untuk rekod, Bantuan i-Fitri pada tahun ini melibatkan seramai 144,840 penerima yang layak bagi seluruh Negeri Terengganu. Bantuan sebanyak RM300 untuk setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM43 juta.  
17 Apr 23
573
222 Kompaun Dikenakan Kepada Peniaga Bazar Ramadan
222 Kompaun Dikenakan Kepada Peniaga Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 April - Sebanyak 222 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terhadap peniaga Bazar Ramadan setakat 14 April lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM24,800 atas pelbagai kesalahan yang menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281). Katanya, sebanyak 3,431 pemeriksaan telah dijalankan di 57 lokasi bazar Ramadan di negeri ini dan kesalahan yang paling banyak adalah tidak memakai apron/pakaian bersih dimana 113 notis telah dikeluarkan. “Diikuti dengan kesalahan tidak menjaga kebersihan diri iaitu 49 notis, tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) serta notis lain-lain (11)," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, semalam.  Menurut beliau, sebanyak 69 sampel makanan diambil yang mana 61 adalah sampel analisa mikrobiologi dan lapan lagi untuk sampel analisa kimia. "Daripada 61 sampel analisa mikrobiologi, lapan sampel makanan tersebut mempunyai pelanggaran. "Berdasarkan tahap penilaian kebersihan premis, sebanyak 99.5 peratus iaitu 3,416 premis mencapai tahap kebersihan melebihi 80 peratus,” ujarnya.  
17 Apr 23
320
Operasi Bazar Aidilfitri Dibenar Hingga 29 Ramadan
Operasi Bazar Aidilfitri Dibenar Hingga 29 Ramadan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri akan terus mengekalkan tempoh operasi Bazar Aidilfitri yang dilaksanakan ketika ini iaitu sehingga malam 29 Ramadan sahaja sebagaimana perjanjian yang ditandatangani peniaga ketika memohon permit. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, peniaga Bazar Aidilfitri diingatkan agar mematuhi peraturan itu bagi mengelakkan mereka disaman. Katanya, operasi Bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal adalah tidak dibenarkan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum Hari Raya Aidilfitri. "Sekiranya pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri jatuh pada Sabtu, maka waktu pengoperasian Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, hari Khamis. "Sama juga, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, waktu operasi Bazar Aidilfitri tetap dibenarkan sehingga Khamis sehingga jam 12 tengah malam," katanya pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, hari ini. Katanya, tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan tersebut. “Selain tindakan kompaun terhadap peniaga yang berniaga melepasi masa dihadkan, nama mereka juga akan disenaraikan hitam daripada berniaga pada tahun depan. "Kami berharap para peniaga dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pekerja pembersihan dapat menjalankan kerja membersihkan sampah di bazar terbabit," katanya. Tambah beliau, ketika ini seramai 2,224 pekerja pembersihan ditugaskan untuk mejalankan operasi pembersihan di Bazar Aidilfitri seluruh Terengganu.  
16 Apr 23
1200
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
 Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyantuni 100 orang murid tidak berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri  tidak lama lagi. 
16 Apr 23
57
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kewangan bagi meringankan golongan miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H yang akan disambut tidak lama lagi.
16 Apr 23
61
TAPAi Ubah Hidup OKU Lebih Berdikari
TAPAi Ubah Hidup OKU Lebih Berdikari
MARANG, 16 April- Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sekitar daerah ini boleh menarik nafas lega apabila mampu meningkatkan taraf hidup selepas mengikuti kelas jahitan dan kraftangan di Bengkel dan Butik Kraftangan, TAPAi yang terletak di Bangunan Perkedaian Wakaf Tapai. Merupakan anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, TAPAi yang memberi peluang OKU berdikari dan memahirkan diri di bengkel jahitan itu mula beroperasi pada tahun 2017 selepas menerima geran ‘one off’ sebanyak RM18,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai. Pengurusnya, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, peruntukan tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli mesin dan peralatan menjahit selain menambah baik susun atur bengkel untuk keselesaan pelatih. “Sebelum itu, kita hanya latih pelajar di PPDK, apabila dapat geran kita buka bengkel jahitan TAPAi di salah satu lot kedai di bangunan ini. Di awal permulaan, kita ajar peserta untuk buat jahitan ringkas seperti bekas pensil, beg kecil dan lain-lain sehingga mereka mahir. “Kita juga buat pemasaran secara ‘online’, apabila menerima banyak tempahan, JKM sarankan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Koperasi, bermula dari situ perniagaan kita semakin meluas,” ujarnya ketika ditemui di bengkel TAPAi, baru-baru ini. Menurut Wan Nur Akmal, lebih membanggakan apabila dua pelatih TAPAi ketika ini sudah berjaya membuat produk berasaskan jahitan kraf sendiri di rumah tanpa perlu bimbingan daripada guru-guru di sini. “Kita hanya menyasarkan golongan OKU sekitar daerah Marang. Setakat ini, kita ada tujuh orang pelajar, tiga daripadanya sudah mahir menjahit dan selebihnya dalam proses belajar. Menurut beliau, fokus utama bengkel jahitan TAPAi adalah mempromosikan warisan negeri terutamanya batik Terengganu dengan menawarkan versi eksklusif dan mampu milik kepada peminatnya. “Hasil ketekunan pelatih, dimana ada antara mereka OKU fizikal, pekak dan bisu, down sindrom dan lain-lain telah membawa beg-beg ini ke Dubai dan mendapat permintaan tinggi daripada duta-duta dan pelancong luar. “Selain itu, hasil kerja tangan mereka juga ditempah oleh jabatan kerajaan, swasta untuk digunakan pelbagai program termasuk sebagai cenderahati,” ujarnya. Katanya, TAPAi menyediakan dua orang guru khas untuk jahitan dan lima orang guru dari PPDK dimana tujuh orang guru ini yang bertanggungjawab membimbing pelatih untuk menyiapkan tempahan yang diterima. “Cara mereka menerima arahan berbeza bergantung kepada prestasi masing-masing, tidak semua mampu menjahit, ada yang mampu menggunting, mengawal kualilti, jadi perkerjaan mereka berbeza bergantung kepada kemahiran. “Untuk berkerja disini tiada tempoh masa, mana-mana OKU yang berminat untuk menjalani latihan dekat ini wajib ada kad OKU sahaja. Koperasi akan bayar mengikut hasil kerja mereka disamping elaun bulanan yang diterima daripada JKM,” jelasnya. Wan Nur Akmal berkata, besar harapan beliau dan guru-guru di TAPAi agar masyakarat di luar sana membuka mata dan hargai hasil kerja tangan OKU ini dengan terus menyokong produk yang mereka hasilkan. “Mereka ini insan terpilih dan jika diberi peluang mereka boleh buat lebih baik daripada kita manusia normal,” ujarnya.  Sementara itu, Siti Zulaikha Abdul Muin, 32, yang telah tiga tahun menjadi pelatih TAPAi berkata, dia amat bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu jahitan kraf di bengkel tersebut. “Disini ada guru-guru yang tidak jemu tunjuk ajar, kalau dulu saya ambil masa yang lama untuk menyiapkan sebiji beg kecil, alhamdulillah, kini saya boleh siapkan kira-kira 30 biji sehari hasil dorongan mereka,” katanya yang berazam untuk membuka kedai jahitan sendiri pada masa akan datang.
16 Apr 23
352
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 16 April - Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyantuni 100 orang murid tidak berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri  tidak lama lagi.  Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata program tersebut yang juga mendapat kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) melibatkan murid-murid kurang berkemampuan dari dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Marang. “MAIDAM telah menyumbang RM300  dan ibu bapa angkat yang dipilih akan bawa anak-anak ini berbelanja apa yang dia orang nak beli di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus. “Sebelum ini, kita juga anjurkan Program “Back To School” bagi menyantuni 100 orang murid membeli pelbagai peralatan sekolah bagi memulakan sesi persekolahan baharu tahun 2023 bagi meringankan golongan yang memerlukan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas merasmikan Projek baju Raya Di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir,    Pengerusi Puspanita Cawangan Terengganu.To’ Puan Nor Zaini Abd. Latiff, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin  Adnan. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan). Anuar Awang) dan  Pengerusi AKRAB, Zuwislan Awang  Sejurus majlis perasmian, ibu bapa angkat mengiringi anak-anak angkat ke pasar raya berkenaan seterusnya memilih sendiri pakaian raya yang diperlukan. Sementara itu, Tengku Seri Bijaya berkata selain membantu golongan tidak berkemampuan, penubuhan AKRAB sebenarnya bertujuan sebagai rakan pembimbing kepada penjawat awam yang mempunyai masalah. “Sekarang ni semua tahu keadaan kita bekerja hari ini, ada kakitangan kita terlibat dengan masalah mental  dan kesihatan fizikal  di tempat kerja. “Jadi AKRAB bertindak sebagai kaunselor atau pembinmbing kepada mereka yang punyai masalah  berkaitan dengan mental contohnya tekanan di tempat kerja atau lain-lain bagi kakitangan ini keluar dari belenggu tersebut,”ujarnya,  
16 Apr 23
232
Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air
Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air
SETIU, 14 April - Kerajaan negeri telah mengatur pelan dan bersiap siaga dalam menghadapi peningkatan penggunaan bekalan air semasa cuti perayaan Aidilfitri minggu depan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kemeriahan menyambut Syawal tidak terjejas. "Kita telah mengarahkan Syarikat Air Terengganu Utara (SATU) supaya menyediakan tangki-tangki statik dan juga kita telah menyediakan sebanyak tujuh Lori untuk bergerak di kawasan yang dijangka akan berlaku masalah ini membabitkan kawasan Marang. "Jadi penguna di Marang diharapkan dapat menggunakan air secara berjimat cermat dan berhemah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Prihatin Ramadan dan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Setiu, di Masjid Sungai Lerek, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Sementara itu menurutnya, di Setiu dijangka tidak akan mengalami masalah bekalan air kecuali di Pulau Redang. "Kerana paip kita di sana (Pulau Redang) belum sempurna daripada masalah pecah, jadi kita akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. "Kerajaan negeri serta SATU telah berbincang supaya masalah berkaitan air di negeri ini dapat diatasi dan akan sentiasa melakukan tindakan proaktif," ujarnya. Terdahulu, SATU memaklumkan pihaknya akan melaksanakan Pelan Kontingensi Air bagi membendung masalah tersebut berlaku. Dalam pada itu beliau sempat menitipkan pesanan kepada semua anak Terengganu yang berada di perantauan agar sentiasa mengambil langkah memandu dengan berhati-hati agar selamat pulang ke negeri ini dan meraikan hari lebaran dengan penuh ceria. "Kita tahu bahawa cuti sekolah bermula Khamis sudah tentu perantau akan pulang bermula Rabu dan pada Khamis dijangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya. "Jadi saya nasihatkan semua pengguna jalan raya pandulah dengan lebih berhati-hati, serta mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur menghadapi pelbagai karenah pemandu yang lain," ujarnya.
14 Apr 23
189